PENGORBANAN UNTUK MENDAULATKAN SYARIAT ALLAH SWT .

Posted: November 20, 2009 in artikel.pilihan.ku
Tags: , , , , ,
Khutbah Jumaat ( siri 3 ) Oleh :
Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan At Tantawi 
Masjid Balok Pantai : 13 January 2006
Sidang Jumaat yang dihormati sekelian :

Melalui suara mimbar hari ini , saya berpesan kepada diri saya dan seluruh sidang jamaah yang hadhir agar meningkatkan prestasi taqwa kita kepada Allah swt . sebagaiman firman Allah swt :

Wahai orang – orang yang beriman , bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar – benar taqwa dan jangan kamu mati melainkan kamu mati dalam keadaan menyerah diri kepada Allah swt . ( Ali Imraan : 102 )

Ketaqwaan lah yang menyelamatkan manusia dari terhumban ke lembah maksiat dan mungkar yang dimurkai Allah swt. Semoga kita selamat dengan melaksanakan apa yang telah diperintah oleh Allah dan meninggalkan apa yang telah dilarang olehNya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah swt.:

Hari ini ummat Islam diseluruh dunia masih menyambut Hari raya Aidil Adha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya korban . Perlu diinsafi bahawa Hari raya korban tidak hanya terhenti diatas semangat menyembelih binatang korban sebagai ibadah untuk taqarraub kepada Allah dan kemudiannya membahagikan daging sembelihan itu kepada faqir miskin , tetapi lebih jauh daripada itu , ialah memahami dan menghayati falsafah korban tersebut.

Untuk kita memahami dan menghayati falsafah korban ini , sewajarnya kita melihat sejarah awal syariat korban ini , justeru ia memaparkan maksud sebenar korban yang dilakukan .

Sidang Jumaat sekelian , Sejarah Korban ini telah dirakam oleh Allah swt didalam alquran , surah As – Shofaat ayat : 102 :

Maka tatkala umurnya telah dewasa ( berdikari ) maka nabi Allah Ibrahim as. berkata : Wahai anakku , sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelih kamu , maka apakah pandangan kamu ? Lalu jawab Nabi Allah Ismail as. Wahai bapaku ! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan ( oleh Allah ) nescaya engkau akan dapati aku insyaallah , terdiri dikalangan orang – orang yang sabar ( menerima perintah Allah swt.)

Ayat ini memaparkan bagaimana Nabi Allah Ibrahim as. mempunyai kecekalan yang sangat tinggi dan luarbiasa untuk taat kepada perintah Allah sementara anaknya Nabi Allah Ismail as. pula memiliki tahap kesediaan yang tinggi untuk menerima apa jua bentuk perintah daripada Allah , sekalipun terpaksa mengorbankan nyawanya sendiri .

Sememangnya perintah ini dilihat tidak masuk aqal , bagaimana seorang bapa diperintah menyembelih satu-satunya anak kesayangan yang telah ditinggalkan belasan tahun ditengah -tengah padang pasir Makkah Al Mukarramah .

Sewajarnya pertemuan kedua Nabi Allah Ibrahim as. dengan isteri dan anaknya Nabi Allah Ismail as. ( setelah diuji Allah buat pertama kali , agar mereka ditinggalkan dipadang pasir ) sebagai pertemuan untuk melepaskan rindu dendam yang teramat sangat , sementelah pula itulah satu – satunya anak Nabi Allah Ibrahim as.

Tiba – tiba Allah swt. menguji lagi , mereka dua beranak dengan ujian yang lebih dahsyat dan mengerikan apabila Nabi Ibrahim diwahyukan agar menyembelih anaknya .

Sidang Jumaat sekelian .

Saksikanlah , bagaimana mereka menerima arahan dan perintah daripada Allah swt. bagi membuktikan bahawa mereka adalah manusia yang beriman kepada Allah dan bersedia menjadi hamba yang dengar dan taat perintah Allah .

Nabi Ibrahim tanpa mempertikai perintah Ilahi terus melaksanakan sebagaimana yang diarahkan , demikian jua Nabi Ismail as. tanpa cuba melarikan diri sedia menerima apa yang telah diperintahkan ke atasnya. Mereka bukan sahaja telah mengorbankan perasaan mereka bahkan apa yang mereka korban ialah darah dan nyawa mereka demi untuk melaksanakan perintah Allah swt .

Apabila mereka benar – benar melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah bagi melayakkan mereka menjadi hamba Allah yang taat , lalu Allah menghantar seekor Kibas bagi mengganti Ismail as. untuk disembelih. Justeru itu semua , hanyalah sebagai ujian Allah keatas mereka , bagi mengukur dan menilai tahap pengabdian diri mereka kepada Allah sekaligus menjadi satu iktibar kepada semua ummat manusia disepanjang zaman .

Sidang Jumaat sekelian .
Demikianlah kita yang melakukan ibadah korban ini , Ibadah ini tidak terhenti diatas penyembelihan binatang korban , sebaliknya mengajar kita erti pengorbanan untuk taqarrub diri kepada Allah swt.

Umum menyedari bahawa untuk taqarrub atau menghampirkan diri kepada Allah swt. dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarangNya serta mendaulatkan syariat Allah dan mengangkat martabat ummat ini adalah suatu usaha yang terpaksa berhadapan dengan pihak , organisasi , individu atau golongan yang tidak setuju melihat Islam ini berdaulat di atas mukabumi .

Mereka menghalang , merintang , mencabar dan mengancam kita agar Islam tidak didaulatkan . Inilah pengalaman yang telah dilalui oleh Nabi saw. dan seluruh pejuang pejuang Islam sepanjang zaman . Sedang Islam adalah agama yang wajib dilaksana dan didaulatkan !

Maka kita sebagai ummat Islam , kita tidak mempunyai pilihan lain melainkan terpaksa menghadapi segala halangan , cabaran dan rintangan tersebut. Pertembungan Islam dengan pelbagai pihak yang menghalang inilah memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit dari orang – orang yang beriman . Mereka mesti berkorban . tanpa pengorbanan , tiadalah perjuangan dan Islam tidak akan berdaulat .

Sidang Jumaat sekelian : Pengorbanan ini memaksa kita mengorbankan harta benda , tenaga keringat dan darah nyawa jika perlu . Sebagaimana yang telah dipertegaskan oleh Allah swt. melalui surat pekelilingnya Al Quranul karim , dalam surah At taubah ayat 41 :

Bangkitlah( segera berlari menuju medan ) olehmu , dalam keadaan ringan ataupun berat dan berjihadlah olehmu dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah , sedemikian itu adalah suatu yang terlebih baik bagi kamu jika kamu mengerti .

Bangkitlah saudara , bangkitlah saudara , bangkitlah saudara demi mengembalikan semula kehebatan ummah ini , agar tidak lagi menjadi mangsa ratahan musuh – musuh Allah jua tidak lagi ummat ini hanyut dibawa arus nafsu dan syahwat .

Biarpun kita terpaksa menghadapi cabaran yang hebat dan tekanan yang berat , apa nak jadi , jadi ! kita tetap akan pertahankan kesucian agama Allah swt dan kita sanggup mati kerananya .

Seluruh individu muslim yang hadhir dalam ijtima’ mingguan ini , marilah kita pikul amanah ini dipundak kita dengan roh dan semangat pengorbanan yang dipamerkan oleh Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Ismail alaihimassalam .

Kita bersumpah setia untuk menjaga kemurniaan agama , agar tiada lagi perlecehan terhadap agama , persendaan terhadap syariat dan penghinaan terhadap Islam dilakukan oleh musuh durjana .

Ambillah semangat Nabi kita Muhammad saw. dalam menghadapi cabaran kuffar musyrikin yang cuba menghalang pergerakkan dakwah baginda dengan mengenakan tekanan berat keatas bapa saudaranya Abi Talib yang selama ini bertindak sebagai penaung kepada gerakan nabi saw.

Apabila Abu Talib dilihat tidak mampu lagi menyerap tekanan kuffar Musyrikin ini , lalu nabi tampil dengan berkata :

Wahai bapa saudaraku , jika sekiranya mereka meletakkan matahari ditangan kanan ku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan kerja dakwah ini , nescaya tidak aku tinggalkan , sehinggalah Islam mencapai kemenangan atau aku binasa kerananya !

Ketegasan baginda saw. menjadi prinsip pejuang Islam sepanjang zaman, mendepani cabaran dan merentas halangan tanpa gentar .

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s