Ruhul Zikri 2

Posted: December 5, 2009 in knowledge, sharing.is.caring
Tags: , , , , , ,

بسم الله الرحمان الرحيم

Petikan dari Buku ruhul Zikri Jilid ke-2 ini mengandungi sebahagian dari kata-kata sufi Syeikh Mahmud atau nama penuh beliau Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Mahmud al-Kedahi, pengasas Madrasah Nurul Iman yang dipetik daripada syarahan mahupun nasihat beliau kepada murid-muridnya. Kata-kata sufi yang diungkap oleh Syeikh Mahmud mempunyai mutiara kata makna yang mendalam, dimana ada sebahagian daripada kata-kata beliau tidak boleh difahami atau dibuat bandingan secara langsung mengikut fahaman orang awam.

Mutiara kata yang indah dan bermakna ini juga diharap -dengan rahmat dan kasih sayang Allah – dapat menangkis tuduhan-tuduhan liar selama ini terhadap ilmu Tasawuf. Semoga petikan dari buku ini menjadi santapan rohani yang dapat membersihkan jiwa dan mendorong hati untuk menjadi hamba Allah yang sehamba-hambaNya di dunia-Nya ini, Insya Allah.


1.            Jangan tinggal dengan nafsu. Jangan duduk dengan nafsu. Taslim (berserah) kepada Allah s.w.t.. Jangan redho dengan maksiat. Redholah dengan Qadho & Qadar Allah s.w.t.

2.            Tutuplah pintu pancaindera yang di bangsakan (ikut) nafsu. Tutuplah pintu hati yang di bangsakan mazmumah (sifat-sifat kebinatangan). Terbukalah pintu rahmat. Terbukalah anugerah Allah s.w.t. melalui taslim (penyerahan).

3.            Tolak hajat (kemahuan) sehingga Allah s.w.t. beri faham.

4.            Perkara yang kita kurang puas hati jangan kritik Allah s.w.t.

5.            Kedatangan sombong jadi nafsu. Perasaan sudah lama mengikuti (perjalanan) jadi nafsu.

6.            Buatlah istighfar, selawat, dan zikir. Lambat atau cepat (diri terbentuk) mengikut tekanan masing-masing.

7.            Terasa penat! Susah! Itu disebabkan nafsu tidak berupaya. Ibarat (seolah-olah) mendahului Allah s.w.t. apabila di datangi tekanan.Sebab itu kalau hendak berjalan (ikut perjalanan sufi), jangan ikut nafsu! Ikutlah Al-Quran & As- Sunnah.

8.            Ikhlas adalah rahsia. Selagi ada rungutan. Selagi terasa sudah lama dan sebagainya. Tanda belum dapat lagi (Tawakkul Mutlaq & Tauhid Mujarrad). Itu tandanya kurang ikhlas.

9.            Rahsia anak kunci kejayaan guru adalah ikhlas dengan Allah s.w.t.

10.        Cara pembersihan (jiwa) dengan cara bersedikit-sedikit (ikut kemampuan) iaitu dengan selawat, istighfar dan zikir. Membaca surah Alam Nasyroh jikalau datang perasaan jemu dan membaca surah Qulhuallah hu Ahad jikalau berasa celaru dan serabut.

11.        Orang buta kena gila penuh (yakin sepenuhnya) dengan orang celik. Barulah boleh berjalan. Jangan soal mati atau hidup.

12.        Wali Allah bukan maksum, jadi jangan tertipu kerana melihat syariatnya.

13.        Melihat kesalahan dan kelemahan guru adalah hijab bagi murid.

14.        Pelajaran ilmu tauhid (mengenai sifat dua puluh – usuluddin) hanya untuk mengawal akal. Bagi menumpukan kepada kalimah “La ila haillallah”.

15.        Macam mana Allah hendak beri rahmat kepada kamu? Kerana kamu “BIADAP DENGAN ALLAH!”

16.        Kerohanian, tidak dicari dengan akal tetapi dengan bertaqwa. Bila datang alamat kerohanian kena tolak dulu, sehingga ia datang bertubi-tubi, buatlah sembahyang istikhorah supaya pasti.

17.        Apa yang kita dakwa dari kerohanian kita, mesti ada bukti selepas itu. Tujuan (latihan) kerohanian ialah (untuk mendapat) sembahyang khusyuk. Sebagai anugerah dari Allah.

18.        Rahmat Allah datang dengan menendang atau meninggalkan nafsu.

19.        Bila timbul krisis (persilihan pendapat), perkara ini kena rujuk kepada Allah. Kalau ada rahmat melalui saya. Saya akan selesaikan dengan Rahmat Allah.

20.        Krisis mesti berlaku dikalangan Sahabat Radiallahu anhum kerana tidak sama darjah permikiran.

21.        Roh adalah urusan tuhan (maksud Alquran –Al-Isra’ ayat 85) ikut suka Tuhanlah hendak buat macam mana. Perkara inilah yang tidak difahami oleh ulamak zahiriah. Kenapa hendak campur urusan Tuhan?

22.        Kamu pun boleh dapat! (kekuatan iman dan taqwa yang tinggi)! Dengan syarat membuang kezaliman yang ada pada diri kamu sendiri.

23.        Taksub pada diri sendiri adalah hijab yang paling besar sekali.

24.        Kalau ada taksub atau mengambil kesempatan. Maka terhijablah kepada abid dan zuhud.

25.        Kadang-kadang manusia itu, kena dibiarkan dahulu sampai mereka terhantuk.

26.        Jatuh bangun dalam perjalanan (sufiyah-ahlullah) adalah perkara biasa.

27.        Berlaku pergeseran sesama jemaah adalah perkara biasa. Tetapi janganlah jadi bodoh.

28.        Rahsia perjalanan ialah tawaduk. Merendah diri dengan kebenaran.

29.        Orang yang kaya ilmu hendaklah tawaduk dengan kekayaan ilmunya atau keteguhannya.

30.        Sekarang ramai orang seperti kacang yang lupakan kulit. Hanya memandang jasad (zahiriah sahaja) tidak memandang Rahmat Allah, itulah punca menjadi tidak tawadduk (takabbur) – inilah permainan syaitan.

31.        Orang yang buta mata hati. Hal-hal dunia dia boleh buat bermacam-macam. Kereta yang beranika bentuk, pakaian yang berfesyen-fesyen dan bangunan yang pelbagai bentuk. Tetapi jalan ke akhirat mereka tidak boleh buat pula.

32.        Taslim (penyerahan). Menunggu lakonan-susunan Allah. Tidak kempen, tidak halau, tidak cepat, tidak lambat, tidak hendak sikit, tidak hendak banyak, tidak kira lama dan tidak kira baru. Tidak mahu jadi, tidak mahu tidak jadi, tidak kalau boleh dan tidak kalau tidak boleh!

33.        Nafsu sentiasa menarik kepada ammarah untuk duduk setakat lawwamah pun tidak di beri.

34.        Buatlah sesuatu bukan berasa kerana hendak untung dan bukan takut mengalami kerugian.

35.        Mutmainnah itu ialah nafsu yang duduk atas garisan syariat. Sentiasa memikirkan jalan, bagi mendorongkan manusia ke jalan Allah s.w.t.

36.        Apabila mendapat mutmainnah. Penyakit penat akan hilang.

37.        Kalau raja (pemerintah) lupa Allah dan rakyat lupa Allah maka kedua-duanya masuk neraka.

38.        Budak-budak gila dengan cara budaknya. Remaja gila dengan cara remajanya. Orang muda, gila dengan cara mudanya. Orang tua gila dengan cara tuanya, yang ini lagi teruk! Janggut dah putih tidak sedar-sedar lagi. Tidak ingat mati. Alamat hendak masuk neraka!

39.        Iblis pun berzikir. Dalilnya dalam surah Sod (ayat 82) iblis menyebut fabi izzatika (hingga akhir ayat) (Demi KebesaranMu aku akan menyesatkan mereka semua). Dia minta dengan kebesaran Tuhan.Tetapi iblis tidak istighfar dan selawat.

40.        Pada tiap-tiap lapisan langit ada penjaganya.

41.        Dalam merebut takwa, hendaklah kita pentingkan diri kita dahulu.

42.        Saya tidak boleh tarik sesiapa. Kalau boleh, saya tarik anak dan isteri saya dahulu. Saya hanya sekadar memberi galakan dan dorongan sahaja.

43.        Saya hendak bersahabat dengan orang yang ikhlas dan orang yang berani.

44.        Saya yang diberi amanah oleh Allah di muka bumi ini pun saya berasa masih banyak melakukan silap. Saya juga tidak tahu, di mana Allah hendak letakkan saya di akhirat nanti. Di syurga atau neraka.

45.        Tidak ada sebab kamu tidak mati, pasal malaikat maut pun akan mati.

46.        Ada orang mengadu kepada Hadrat Tok ayah. “Ayah! saya kadang-kadang berasa sayu, sedih, hancur hati dengan Allah semasa dalam halqah zikir. Kadang-kadang berasa  tawar, berat dan malas hendak zikir. Saya berasa risau”. Tok ayah menjawab. “Tidak mengapa, yang pentingnya kita istiqomah. Allah hendak tengok kita bersunguh-sungguh sahaja”.

47.        Di dalam perjalanan Ahlullah, orang yang masih terbelengu dengan hawa nafsu di kira budak-budak lagi, walaupun janggutnya sudah putih!

48.        Budak-budak hendak buat baik, takkan saya hendak halang. Tetapi fahamilah bahasa saya, budak-budak hendak buat baik!

49.        Kita jangan di perbudak-budakkan oleh budak-budak penjajah. Budak-budak penjajah lebih ganas daripada penjajah. Dia melayu tetapi perangai seperti orang England. Dia melayu tetapi perangai seperti orang Amerika. Dia melayu tapi perangai seperti orang Jepun.

50.        Kalau berzikir sahaja tetapi tidak selawat, tidak akan meningkat. Beristighfarlah paling kurang 100 kali sehari. Selawat pula kena lebihkan.

51.        Apa dia Amerika? Apa dia England? Apa dia Jepun? Bumi Allah yang derhaka dengan Allah! Ada Tuhan lain lagi? Seolah-olah Tuhan tidak tahu dan hendak membiarkan mereka memusnahkan orang mukmin. Takkan Allah hendak biarkan. Sesungguhnya Allah berserta dengan orang yang bertaqwa, dengan orang yang bersabar dan orang yang buat baik.

52.        Orang yang panas baran, payah hendak dapat dan masuk dalam perjalanan kesufian.

53.        Tanyalah para ulama’ solehin, kalau kamu tidak tahu perkara yang bersangkut-paut dengan hal agama. Jangan kamu hendak memandai-mandai! Tengok kitab! Kitab bertimbun-timbun.

54.        Saya sayang kamu tetapi kamu tidak sayang diri kamu sendiri.

55.        Kalau saya sahaja yang sayang kamu, tetapi Tuhan tidak sayang kamu. Tidak berguna juga.

56.        Kita kasih kepada orang yang Allah kasih. Kita benci kepada orang yang Allah benci.

57.        Tauhid Salaf adalah tauhid orang Zaukiah. Bukannya tauhid fahaman wahabbiah.

58.        Para Aulia’ yang bertugas di muka bumi ini ada seramai lapan ratus lima puluh enam orang (856). (Rujukan Kitab Tanwirul Qulub-Syaikh Muhammad Amin Al-Kurdi).

59.        Makan nasi jadi tahi, busuk. Makan zikir tidak busuk. Makanan jasad bila dimakan jadi busuk. Makanan roh bila dimakan jadi wangi. Kalau makan zikir jadi tahi, busuk. Ini menunjukkan ada penyelewengan.

60.        Apa dia iman? Iman ialah tumpuan yang penuh kepada Allah.

61.        Apa dia Iman? Iman ialah membuat perkara yang Allah perintah, dan meninggalkan segala tegahannya tanpa fikir bicara.

62.        Malulah dengan Allah. Kalau tidak boleh malu dengan Allah. Malulah dengan orang-orang yang Allah lantik (wali Allah).

63.        “Tawadhu”. Penyamun pun tawadhu, tapi tawadhu hendak menipu. Tawadhu yang dikehendaki ialah menerima benda yang haq (kebenaran).

64.        Memanglah agama Islam sudah lengkap tetapi “orang Islam” yang tidak ada dan tidak lengkap lagi.

65.        Orang (cinta) dunia buat (menganjurkan) “agama” tidak jadi agama tetap jadi “DUNIA”.

66.        Fana’ ialah kita membuat satu tumpuan yang penuh dengan Allah. Sehingga menghilangkan tumpuan selain Allah.

67.        Kenapa orang ketagih dengan benda maksiat, ketagih dengan candu? Sebab mereka tidak pernah rasa kemanisan dalam zikrullah.

68.        Sekurang-kurang darjah “guru mursyid” ialah orang yang sampai darjah “nafsu rodhiah”. Tetapi yang kita mahu ialah “guru murabbi”. Guru mursyid boleh membimbing anak muridnya setakat mutmainnah sahaja. Manakala guru murabbi, boleh membimbing lebih tinggi lagi. Guru murabbi ialah orang yang “Majzub”.

69.        Kenapa bila kita menyampaikan ilmu, Orang tidak boleh berubah? Sebab kita menyampai dalam syirik, ikut nafsu. Macam orang jual ubat. Dia kata ubat ini, kalau makan, kita sihat, boleh sembuhkan penyakit dan badan jadi gemuk. Tetapi si penjual ubat itu sendiri penuh dengan penyakit. Badannya sendiri kurus kering, ini menunjukkan dia tidak makan ubat yang dia jual. Macam mana orang hendak percaya.

70.        Kamu majlis orang soleh tidak boleh hadir. Majlis orang ‘tholeh’ (fasik) kamu boleh duduk-hadir. Ini alamat hendak masuk “NERAKA”.

71.        Mana ada kebaikan di dalam kekufuran.

72.        Orang bakhil musuh Allah, walaupun dia ahli ibadah. (Maksud hadis) Kamu jangan sempitkan istilah bakhil-kedekut hanya tertentu kepada harta sahaja.

  • Bakhil masa– Tidak ada masa duduk halqah zikir dan membuat kebajikan. Pergi tempat lalai ada masa!
  • Bakhil tangan– Tidak di gunakan untuk khidmat di jalan Allah. Untuk nafsu boleh pula!
  • Bakhil mulut– Tidak digunakan untuk berzikir, berselawat, istighfar, membaca quran, membaca hadis dan bercakap perkara berfaedah. Untuk bercakap kosong dan perkara yang Allah tidak ridho boleh (mengumpat, memfitnah, melaga-lagakan orang dan lain-lain lagi) pula!
  • Bakhil mata– Tidak digunakan untuk membaca Al-Quran, hadis, baca kitab dan memandang kebesaran Allah. Tengok benda maksiat boleh pula!
  • Bakhil kaki– Untuk berjalan ke majlis orang soleh dan berkhidmat kerana Allah tidak boleh. Berjalan ke tempat-tempat yang Allah benci boleh pula!
  • Bakhil pemikiran– Tidak digunakan untuk  memikirkan kebesaran Allah dan mencari jalan keridhoan Allah. Hanya digunakan memikir untuk memuaskan “HAWA NAFSU”.
  • Bakhil perut – Tidak digunakan perutnya untuk berlapar.

73.          Orang-orang yang banyak berkhidmat (di jalan Ahlullah) lebih cepat dan mudah meningkat (di dalam proses membaiki diri) daripada orang yang banyak tumpu kepada ibadah sahaja.

74.        Untuk (ikut kemahuan) nafsu kamu, kamu sanggup berhutang. Hendak beli kereta boleh berhutang. Hendak beli atau buat atau tambah rumah (yang hebat) boleh berhutang. Untuk jalan Allah kamu tidak sanggup berhutang. Ini syaitan!

75.        Berganding bahu di dalam kebaikkan dan takwa, ialah kita berganding bahu di dalam bidang masing-masing. Macam guru dan murid. Guru menyampaikan ilmu dengan “IKHLAS”, murid pula menerima ilmu. Kebaikkannnya ialah ilmu. Seperti sebuah rumah. Ada bumbung, tiang, lantai, tingkap, pintu dan dinding. Mereka duduk ditempat masing-masing. Kalau bumbung tidak mahu duduk di tempatnya, tiang, lantai, tingkap, pintu dan dinding tidak mahu duduk di tempat masing-masing. Tidak jadilah rumah!

76.        Perasaan dan khayalan itulah kejinan. Bukannnya jin. Kalau di kata kepada kita “JIN”. Kena terima, jangan marah. Kalau marah, jin akan tumpang dekat kita.

77.        Janganlah ikut perasaan. Kawallah perasaan supaya ia tidak melampau.

78.        Allah jodohkan junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. dengan Siti Khadijah (r.ah) Kerana ia seorang perempuan yang mempunyai kewibawaan. Rasulullah berumur 25 tahun, dia berumur 40 tahun. Allah jodohkan Rasulullah s.a.w. dengan seorang perempuan yang bersesuaian dengan kebangkitan seorang Rasul.

79.        Hiduplah sebagaimana Musa a.s, Asiah (isteri firaun) dan Masyitah yang hidup di dalam istana firaun.

80.        Orang yang mengaku Islam tetapi tidak buat amalan orang Islam. Dia buat perkara yang Allah larang minum arak, berzina, berjudi, dan macam-macam perkara mungkar yang ia buat. Teruknya manusia jenis ini. Kalau kita tanyakan kepada orang Hindu, “Ini orang awak ke?” Hindu pun tidak mahu mengaku dia Hindu! Tanya Majusi dan Budha, mereka pun tidak mengaku orang ini orang mereka. Tanya Yahudi dan Nasrani, mereka pun tidak mengaku orang ini orang mereka. Habis itu kamu hendak kata dia orang Islam!

81.        Air mata ada 7 peringkat. Air mata orang Ammarah mana hendak sama dengan air mata Lawwamah. Air mata Lawwamah mana hendak sama dengan air mata Mulhammah. Air mata Mulhammah mana hendak sama dengan air mata Mutmainnah. Air mata Mutmainnah mana hendak sama dengan air mata Rodhiah. Air mata Rodhiah mana hendak sama dengan air mata Mardhiah. Air mata Mardhiah mana hendak sama dengan air mata Kamilah.

82.        Semua yang datang jumpa saya ini ada keturunan (baik). Samada keturunan ahli sufi ataupun datuk nenek mereka pernah berbuat baik dengan Ahli Sufi-Ahlullah. Dia ada khidmat dengan orang-orang Allah. Tidak kiralah kebaikan yang mereka lakukan. Ataupun dia kasih dengan orang-orang Allah.

83.        Kamu sakit tetapi tidak mahu makan ubat tetapi kamu hendak sihat. Bagaimana kamu hendak sihat? Tuhan (Allah) yang menjadikan langit dan bumi sudah buat peraturannya (kalau sakit dan hendakkan sihat perlulah makan ubat). Kamu sombong! Sombong dengan Allah.

84.        Hendak makan buah tembikai, tetapi tidak tanam buah tembikai atau tidak beli buah tembikai bagaimana pula hendak makan buah tembikai. Tidak ikut susunan Allah. Kamu hendak berjaya tapi tidak ikut orang yang berjaya. Imam Syafie (r.a.) pernah berkata. Kamu harap-harap hendak berjaya tetapi kamu tidak ikut saluran-salurannya. Sesungguhnya kapal itu tidak akan belayar di atas darat.

85.        Kecil-kecil anak kita (boleh diasuh ikut kita). Bila sudah besar belum tentu jadi anak kita.

86.        Semasa saya di Bangkok (Thailand). Ada orang bertanya saya satu masalah. Allah s.w.t. buka kepadanya tentang hikmah bilangan rakaat sembahyang fardhu. Katanya sembahyang Zuhur dan Asar kalau di campur jadi lapan- syurga ada lapan. Maghrib dan Isyak kalau di campur jadi tujuh- nereka ada tujuh. Sembahyang subuh ada dua rakaat. Ini dia tidak dapat jawapannya. Puas dia memikir dan bertanya orang tetapi masih tidak mendapat jawapannya. Akhirnya dia bertanya kepada saya. Saya pun Syuhud Allah. Jawapannya, dua rakaat itu menunjukkan adanya malam dan siang. Dua perkara inilah (masa malam dan siang) menyebabkan manusia masuk syurga atau neraka.

87.        Saya tidak persoal tariqat. Yang saya persoalkan ialah jurulatih yang memimpin satu-satu tariqat itu. Adakah jurulatih itu sampai atau tidak (sampai haqiqat dan makrifat).

88.        Kita tidak boleh lawan iblis. Hendak lawan iblis sama seperti hendak melawan Allah. Pasal iblis pun minta izin daripada Allah untuk menyesatkan manusia. Untuk lawan Iblis mintalah bantuan daripada Allah.

89.        Tengok televisyen berjam-jam boleh. Tidak lenguh. Duduk halqah zikir ½ jam tidak boleh. Tidak larat!

90.        Nafsu Ammarah tidak boleh menyelesaikan nafsu Ammarah. Dia menjadi bertambah-tambah Ammarah lagi.

91.        Ketenangan tidak ada di dalam harta kekayaan, pangkat keturunan dan anak pinak. Ketenangan hanya ada di dalam “zikrullah”. (mengingati Allah)

92.        Sekarang ini zaman Karamah dan bukannya Ma’unah.

93.        Iblis hendak buat sesuatu dia minta izin dari Tuhan. Kamu hendak buat sesuatu, ada tanya Tuhan terlebih dahulu?

94.        Para sahabat r.a semuanya berjaya mendapat keredhaan Allah kerana mereka sentiasa memberi tumpuan yang penuh kepada Rasulullah s.a.w. Mereka memperbaiki diri mereka terlebih dahulu kemudian kepada orang-orang yang hampir dengan mereka seterusnya barulah kepada umat sejagat.

95.        Perkara (kerohanian) ini bukan boleh dapat dengan perasaan, dengan khayalan. Kena bersungguh-sungguh dan bertawakkul.

96.        Makanan dunia boleh dikongsi bersama. Makanan rohani tidak boleh di kongsi, perlu sungguh-sungguh (mujahadah lawan nafsu).

97.        Kamu janganlah hendak lawan orang-orang Allah (Wali Allah). Siapa kamu dan siapa mereka? Kamu tidakkan menang. Di dunia lagi Allah lipat kamu. Di akhirat Allah bubuh dalam neraka. Rugi! Rugi! Rugi!

98.        Para wali ialah orang yang paling aktif. Paling sibuk di dalam dunia ini. Sebab mereka faham dunia ini. “Maz ra’atul Akhirah”. Mereka faham surah “Wal ‘Asri”. Mereka tidak ada masa hendak buat kerja sia-sia.

99.        Saya hanya boleh beri nasihat dan dorongan kepada kamu. Selepas itu terpulanglah kepada kamu. Kamu hendak terima atau tidak. Kamu hendak jadi munafik ke? Mana saya  tahu.

100.    Di dalam perjalanan (Ahlullah-Tarikah Sufiyah) hak kita, hak orang (orang lain boleh tumpang), hak orang tetap hak orang.

101.    Sesiapa yang melanggar syariat Rasulullah s.a.w. dan merosakkan syariat Rasulullah s.a.w., boleh di hukum dan dipancung hatta dari kalangan para Aulia sekalipun.

102.    Kalau tidak ada syariat bagaimana hendak berjalan? (jalan Tarikat)

103.    Orang yang tidak mahu berguru di dalam jalan untuk mengenal Allah samalah seperti orang yang hendak petik buah rambutan di pokok yang banyak kerengga. Dia pula tidak mahu menggunakan galah, dan tangga. Hatinya hendak makam buah rambutan. Hendak dipanjatnya pokok rambutan itu tidak boleh, sebab banyak kerengga. Akhirnya lihat sahajalah buah rambutan tersebut!

104.    Syeikh (Guru Mursyid) ini umpama tangga atau pun pintu rumah. Hendak masuk rumah kenalah naik tangga dan melalui pintu. Apabila sudah masuk ke dalam rumah tidak perlulah bawa masuk tangga itu sekali. Biarlah di luar rumah sahaja.

105.    Perkara yang kita perlu  “tawassul” kita tidak “tawassul” dan perkara yang tidak perlu “tawassul” kita “tawassul”, ini sudah silap.

106.    Di dalam rumah, tempat makan boleh kamu sediakan tetapi kenapa tempat untuk halqah zikir tidak boleh kamu sediakan (tempat bermunajat dengan Allah).

107.    Untuk permulaan supaya kita mendapat kekuatan untuk meninggalkan perkara-perkara yang tidak bersesuaian. Maka hendaklah di seimbangkan masa makan dengan masa zikir. Seimbangkan masa mambaca akhbar dan majalah dengan masa membaca Al-Quran ataupun kitab-kitab yang bersesuaian dengan syariat dan thoriq. Seimbangkan masa ketika kita melakukan hobi yang sia-sia dengan masa kita membuat tumpuan kepada Allah. Insya Allah kita akan lihat hasilnya sedikit demi sedikit.

108.    Punca yang paling besar manusia tidak sampai Tuhan ialah “bimbang makhluk”. Kalau bimbang pasal “rezeki” lebih lagi teruk.

109.    Batu permata yang tersimpan di dalam bukit pun kalau tidak di korek dan tidak di gali, tetap tersimpanlah di dalam bukit sebagai batu permata selama-lamanya. Kalau manusia tidak korek dan prosesnya, maka manusia tidak akan dapat manfaat darinya. Begitu juga dengan kayu balak yang banyak terdapat di dalam hutan. Kayu jati atau kayu meranti pun, kalau tidak di tebang dan diproses, tidak boleh di buat kerusi, almari, perabot, rumah dan lain-lain dan akhirnya kayu balak tersebut reput dan mati dan tidak mendatangkan hasil. Begitulah jugalah para Aulia’, mereka Allah rahsiakan dari pengatahuan manusia. Kalau manusia tidak mecari mereka (Aulia’ Allah) maka mereka tidak  dapatlah manfaat darinya.

110.    Selagi dunia ini tidak kiamat, selagi itulah para aulia’ ada di muka bumi Allah ini.

111.    Orang yang nafsu Mutmainnah sudah tidak ada lagi penyakit-penyakit hati.

112.    Penyakit hasad ini adalah penyakit yang paling bahaya. Rasulullah menyatakan, hasad memakan kebajikan (menghilangkan pahala), sebagaimana api memakan kayu yang kering. Kamu semua ini tidak meningkat-ningkat sebab ada sifat hasad. Penatlah kamu meratib (berzikir)!, semuanya habis.

113.    Sesuatu perjuangan atau pekerjaan yang tidak ada aqidah, maka perjuangan atau pekerjaan tersebut tidak akan kekal lama. Aqidah merupakan asas atau akar tunjang bagi setiap pokok dan bangunan. Kalau asasnya tidak kuat, maka tumbanglah bangunan dan pokok itu. Maka perlulah di kuatkan aqidah sejak daripada buaian lagi.

114.    Mimpi-mimpi ini semua jangan pakai, kena tolak. Berpegang kepada Allah sahaja.

115.    Dapat berjumpa Rasulullah ini banyak jenis (kategori). Abu Bakar Assidiq r.a pun berjumpa Rasulullah s.a.w. Begitu juga Abu Jahal, Abu Lahab dan Abu Talib pun berjumpa Rasulullah s.a.w.

116.    Setengah ulama’ zahiriah tidak setuju dengan penggunaan tasbih. Mereka kata tasbih itu bid’ah, asal daripada Hindu dan Buddha. Kalau begitu, kereta yang kita pakai itu mana ada Tok Syeikh yang buatnya. Semua datang daripada Jepun, dan dari negeri orang putih. Jangan kita gunakan kereta itu buat maksiat sudahlah.

117.    Untuk mendapatkan kekuatan dan ketahanan (kerohanian) kena banyak menangis dengan Allah. Kalau tidak boleh buat-buatlah menangis.

118.    Adab dengan Allah seni-seseninya (halus sehalus-halusnya)

119.    Orang yang berjumpa Nabi Allah Khidir dan mengatakan Nabi Khidir a.s masih ada. Manaka orang yang tidak jumpa dengan Nabi Khidir dia akan berkata Nabi Khidir sudah tidak ada – sudah wafat.

120.    Hendak jumpa Khidir, Syirik! Dia makhluk Allah macam kamu juga. Tidak boleh bagi manfaat atau mudharat.

121.    Boleh jadi (lafaz) Allah Hu Akbar yang kita sebut terpesong dengan sesuap nasi, seteguk air, sekepal tanah, seorang perempuan, sebuku roti dan berbagai-bagai lagi. Allah sudah cerita dalam Al-Quran. Al-haa-kumut-takaasur (telah melalaikan kamu oleh banyak-banyak).

122.    Iblis yang asal kejadiannya daripada api pun boleh terpesong dan derhaka Tuhan! Apatah lagi kita manusia yang Allah ceritakan di jadikan daripada Air yang HINA!

123.    Pada suatu hari saya pergi jumpa guru saya, Tok Ayah Said (Qaddasallahusirrahu) di Lundang Paku, Kelantan. Saya sampai lewat dan ketika itu belum bersembahyang fardhu lagi. Saya lihat dia sedang duduk, maka saya pun pergi mendapatkan dia, bersalaman dan terus duduk berhampirannya. Tiba-tiba mukanya berubah merah menyala. Saya tahu yang dia marahkan saya, sebab saya belum sembahyang fardhu lagi dan terus berjumpa dengannya. Saya pun bergegas bangun dan terus bersembahyang. Selesai sahaja bersembahyang saya terus mendapatkannya dan barulah kelihatan beliau tersenyum. Lihat bagaimana dia mengajar saya beradab. Saya sangkakan apa yang telah saya buat di awal pertemuan tersebut, betul dan beradab tetapi sebenarnya salah. Dia bawa saya kepada beradab dengan Allah dahulu dan bukannya beradab kepada dia.

124.    Allah bersama orang yang Tawajjuh tetapi Allah tidak akan bersama dengan orang yang gelojoh.

125.    Rukun Islam ada lima perkara. Pertama, mengucap dua kalimah syahadah. Kedua, sembahyang lima waktu. Ke tiga berpuasa di bulan Ramadhan. Keempat, mengeluarkan zakat harta dan kelima mengerjakan ibadah haji. Pada hari ini mengapa sembahyang, puasa dan yang lain-lain tidak ke mana-mana, tidak ada roh? Kerana rukun Islam yang pertama lagi sudah tidak ada roh.

126.    Takrif iman ialah kita wajib ucapkan dengan lidah wajib tasdiq (terima) dengan hati dan wajib zahirkan dengan amalan jasad. Masalahnya sekarang, iman yang ada pada orang Islam, hanya ada pada lidah sahaja tidak sampai ke dalam hati. Sebab itulah ibadat mereka tidak ke mana-mana. Sembahyang mereka pun tidak boleh mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran.

127.    Untuk melahirkan manusia yang berperwatakkan Aulia, kena lahir daripada ayah yang soleh dan ibu yang solehah. Kita ambil contoh Maulana Ilyas, Ghaust Abad 14 Hijrah (Pengasas Jemaah Tabligh).

128.    Gelombang dan ombak hanya berlaku di permukaan laut sahaja. Di dalam laut tidak ada gelombang, lagi dalam lagi tidak ada gelombong. Hendak masuk dalam laut, kena guna kapal selam. Kena keluar belanja mahal. Kalau setakat hendak terapung dipermukaan laut tidak perlulah semua itu. Guna batang pisang atau buluh, atau tong dram plastik, atau perahu pun boleh dan belanjanya pun tidaklah mahal. Tetapi kena lambungan gelombang sahajalah. Begitulah juga kalau nafsu Ammarah, Lawwamah, dan Mulhammah sentiasalah kena lambung dengan gelombang (kekufuran-kesyirikkan). Hanya orang Mutmainnah ke atas sahaja yang selamat daripada gelombang terutamanya orang Rodhiah, Mardhiah dan Kamil. Mereka ini lagi dalam mereka boleh menyelam.

129.    Untuk menyihatkan badan. Macam-macam kamu makan. Makan vitamin dan makan itu dan ini. Tetapi untuk menyihatkan “ROH”, kamu tidak pandai hendak usahakan.

130.    Bila ada iman, kamu akan bersatu dengan orang-orang Allah. Bila tidak ada iman kamu akan memusuhi orang-orang Allah.

131.    Apabila syirik, penyakit yang mula-mula akan terbit ialah khianat – tidak Amanah. Kedua, pembohong – tidak Sidiq (benar). Ketiga, jadi bodoh – tidak Fathonah. Oleh yang demikian, wajib bagi Rasul-Rasul dan Nabi-nabi bersifat Amanah, Sidiq dan Fathonah kerana mereka manusia yang tidak syirik.

132.    Mati hidup balik dan sampai hari kiamat pun Yahudi, Nasrani, Majusi dan Wasani (penyembah berhala) tidak akan redho dengan orang Islam; sehinggalah orang-orang Islam tinggalkan Allah dan Rasul-Nya.

133.    Tok Ayah Ismail Lundang Paku, Kelantan Qaddasallahu sirrahu (wali Allah yang berpangkat Qutub). Sebelum makan dia akan meratib (berzikir) terlebih dulu. Dia berzikir, “Dia (Allah) yang bagi makan, Dia (Allah) yang tidak bagi makan”. Sampai penuh perasaan dia dengan Allah barulah beliau makan. Sebaliknya kalau perasaannya tidak penuh dengan Tuhan dia tidak akan makan.

134.    Allah s.w.t. buat sesuatu ada kuotanya (kadarnya). Kuota itu terbahagi dua iaitu kuota Ar-Rahman (Maha Pemurah) dan kuota Ar-Rahim (Maha Pengasih). Orang kafir dan musyrikin, mereka ini termasuk di dalam kuota Ar-Rahman manakala orang Islam yang mukmin termasuk di dalam kuota Ar-Rahim. Orang yang mengaku Islam tetapi tidak ikut segala aturcara agama Islam, mereka ini tidak termasuk di dalam kuota Ar-Rahim kerana pura-pura Islam. Mereka ini tidak pula termasuk di dalam kuota Ar-Rahman kerana mereka mengaku Islam. Mereka inilah yang di makan oleh puak kafir musyrikin, dan mereka jugalah yang merosakkan agama Islam. Inilah golongan Munafiqin namanya.

135.    Bagaimana muridnya hendak dapat Mutmainnah kalau gurunya tidak Mutmainnah?.

136.    Cakapnya logik (cakap orang yang belum sampai mutmainnah) tetapi di dalamnya jijik (penuh dengan kekufuran dan kesyirikan)

137.    Contohilah orang-orang yang ikut saya yang telah maju walaupun mereka orang baru. Janganlah mencontohi orang-orang yang ikut saya yang tidak maju walaupun mereka orang yang telah lama.

138.    Kalau kamu boleh bersungguh-sungguh sebagaimana saya bersungguh-sungguh setidak-tidaknya 10 % (peratus). Pasti kamu akan berjaya.

139.    Berdoalah kepada Allah “Ya Allah dengan berkat mukjizat Rasulullah S.A.W, dengan berkat Kesultanan Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani dan dengan berkat Ahli zaman ini, anugerahkanlah kepada hambaMu yang hina, daif, jahil lagi banyak dosa ini keimanan, keyakinan, ketakwaan, ketahanan dan kesolehan sebagaimana yang telah Engkau anugerahkan kepada Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani”.

140.    Dua perbezaan di antara orang yang berdoa tetapi tidak ikut saluran dan orang yang tidak berdoa tetapi ikut saluran.

Cerita dua orang yang menanam buah tembikai (timun). Seorang, menggali lubang sedalam tiga kaki persegi dan letakkan segantang baja tahi ayam. Manakala seorang lagi menggali lubang sedalam satu kaki persegi dan letakkan hanya satu tempurung kelapa baja tahi ayam. Kemudian dia pun berdoa agar hasil buah tembikainya mencapai seberat 5 kilogram sebiji. Manakala yang seorang lagi tidak pun berdoa. Apabila pokok itu berbuah tentulah yang bubuh baja segantang dan gali lubang 3 kaki dalam itu buahnya mencapai berat 3 kilogram ke atas. Orang yang seorang lagi, takkanlah boleh mendapat berat buah 5 kilogram sebab cara dia tanam tidak betul walaupun dia berdoa. Orang yang berjaya itu, sebab ikut susunan walaupun dia tidak berdoa. Begitulah orang-orang Islam di hari ini, hendak iman, hendak menjadi orang soleh dan mati hendak masuk syurga tetapi tidak ikut salurannya. Hanya berdoa sahaja.

141.    Selagi mana tidak sampai (darjah) nafsu mutmainnah, selama itulah tidak faham Al-Quran dan Hadis.

142.    Mengapa manusia mudah terpengaruh dengan suasana kekufuran dan kesyirikkan? Sebab mereka masih duduk di dalam nafsu Ammarah. Nafsu yang penuh kekufuran.

143.    Orang yang tidak cinta agama, tidak cinta tanah air. Dia akan jual tanah air.

144.    Maksud niat ialah tumpuan hati kepada Allah. Untuk Allah kita tumpukan 65%. Manakala untuk Rasulullah 35%. Selain dari kedua-dua ini, hanyalah benda yang kita buat sampingan sahaja.

145.    Karomah yang berlaku ditangan para Aulia’, hanyalah untuk meyakinkan mereka, bahawasanya Dia (Allah) Tuhan, kita hamba.

146.    Karomah berlaku di kalangan Aulia’ dalam keadaan mereka tidak tahu dan tidak sedar berlakunya perkara tersebut. Apabila mereka mengetahui, mereka akan malu dengan Allah. Bersalahan pula dengan Ma’unah dimana apabila berlakunya sesuatu perkara yang dikehendaki maka akan wujud rasa hairan diri (perasan).

147.    Karomah yang ada pada para Aulia’ boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dan ianya berkekalan. Walaupun para Aulia’ tersebut sudah meninggal dunia. Manakala Ma’unah berlaku pada waktu yang tertentu dan ianya tidak kekal, bila mati sahaja orang soleh tersebut habislah Ma’unahnya.

148.    Perkara yang kita buat sebab tabiat, ianya tidak jadi ibadah. Kalau buat dengan kehambaan barulah ianya jadi ibadah. Seperti orang perempuan yang mengasuh anak atau membasuh pinggan-mankuk. Kalau dibuatnya dengan tabiat tidaklah mejadi ibadat. Kalau dibuat dengan kehambaan barulah ianya menjadi ibadah.

149.    Orang yang tidak senang dengan perjalanan Aulia’ ialah orang yang tidak senang dengan Rasulullah s.a.w. Tidak senang dengan Rasulullah s.a.w. bermakna tidak senang dengan Allah s.w.t.

150.    Agama ialah berperibadi dengan peribadi Rasulullah s.a.w. dan membuat amalan soleh.

151.    Maksud Hadis. Doa adalah senjata orang mukmin. Pada hari ini manusia hanya berdoa sahaja tetapi tidak mahu memproses dirinya menjadi mukmin. Sebab itulah doa mereka tidak di terima oleh Allah (tertolak).

152.    Wajib ke atas orang-orang yang hendak menjalani perjalanan (sufi) ini, melengkapkan dirinya dengan ilmu fardhu ain; untuk mengesahkan ibadahnya, bukan untuk mengesahkan ibadah orang lain. Lainlah kalau hendak menjadi mufti.

153.    Bila terasa adanya diri kita itulah DUNIA.

154.    Daripada kisah Uwais-Al-Qarni yang terdapat di dalam hadis Rasulullah s.a.w. Fahamlah bahawasanya Allah dan Rasul mementingkan kerohanian yakni ketaqwaan.

155.    Rasulullah s.a.w. menyuruh Amirul Mukminin Saiyidina Omar Al-Khatab r.a dan Saiyidina Ali Karamallah Wajhah berjumpa dengan Akbaru-Tabien-Uwais-Al-Qarni. Bukanlah bermakna pangkat Uwais lebih afdhal daripada Omar dan Ali. Cuma hendak membuktikan bahawasanya pingat yang ALLAH anugerah kepada Uwais tidak ada pada Omar dan Ali Radiallahu ‘anhuma.

156.    Kita hanya menolong orang-orang yang mahu menerima pertolongan.

157.    Nafsu Mutmainnah ialah nafsu yang tidak ada sifat-sifat yang keji dan sudah bersih daripada sifat-sifat yang ganas.

158.    Tanah Patani (Selatan Thailand) asalnya bumi Aulia’. Ramai orang soleh di zaman dahulu. Tetapi sekarang sudah teruk. Terpengaruh dengan suasana Siam (Buddha). Sebab apa? Sebab penyakit gila dunia (cinta dunia).

159.    Untuk membuat bangunan, semua orang kafir boleh buat. Ah Chong, Ramasamy dan orang kafir yang makan biawak pun boleh buat. Tetapi untuk membangunkan keimanan. Siapa hendak buat? Ini hanyalah kerja para Aulia’.

160.    Untungnya orang yang mengikuti perjalanan Aulia’, ialah akan mendapat iman.

161.    Tiada makhluk Allah yang paling biadab melainkan nafsu Ammarah. Apa yang Tuhan beri dia tidak mahu dan apa yang Tuhan tidak beri dia mahu. Apa yang Tuhan suruh dia tidak buat dan apa yang Tuhan larang dia buat!

162.    Kucing kalau sakit dia tidak menyusahkan tuannya. Manusia kalau sakit dia akan menyusahkan orang lain.

163.    Orang yang ikhlas di benci oleh orang nafsu ammarah.

164. Saiyidina Bilal r.a diseksa oleh kafir musyrikin. Supaya dia keluar daripada Islam. Dia hanya menyebut Ahad! Ahad! (Allah yang Esa) sehingga jasadnya tidak terasa kesakitan atas setiap siksaan yang dikenakan terhadapnya. Kerana dia membuat tumpuan terhadap Ahad! Ahad! Saiyidina Bilal ialah orang ‘Ajam (bukan arab) Maknanya zikir Ahad! Ahad! sesuai bagi orang ‘Ajam.

165. Saiyidina Bilal menyebut Ahad! Ahad! Sebelum surah Al-Ikhlas di turunkan lagi.

166. Mujahadah, ialah menundukkan nafsu untuk mengikuti garisan syariat dan thoriq serta meninggalkan keinginan nafsu dalam setiap aspek kehidupan.

167. Orang kafir mana ada yang sabar. Mana ada redho. Mana ada tawakkul. Sabar yang ada pada mereka tabiat sahaja.

168. Kalau orang kata kepada kamu, jahat. Kamu jangan marah. Kalau kamu marah, maknanya kamu memang jahat. Contohnya besi dan logam atau pun air boleh mengalirkan elektrik, kerana di dalamnya ada unsur yang boleh elektrik mengalir. Mengapa kayu, tembikar, dan tanah tidak boleh mengalirkan elektrik? Kerana di dalamnya tidak terdapat unsur-unsur yang boleh mengalirkan elektrik.

169. Buatlah zikir, istighfar dan selawat, sehingga menjadi darah dan daging. Di katakan menjadi darah dan daging, ialah setiap sel-sel kita tunduk kepada keagungan dan kebesaran Allah, sebagaimana pengakuan yang roh latifah robbaniah telah buat di alam zuriat.

170. Ketika dalam sembahyang, datang macam-macam gangguan di dalamnya (tidak ada tumpuan). Ingat macam-macam. Pada masa itu, jangan lawan dan jangan tolak, kena terima. Sebab ianya adalah qodho Allah. Kalau tolak bermakna lawan Tuhan. Sewaktu itu hendaklah kita hancur hati kepada Allah. Mengakulah bahawasanya kita ini tidak terpakai.

171. Orang yang tidak boleh menjaga waktu sembahyang yakni melewat-lewatkan sembahyang. Menunjukkan zikir belum masuk dalam badannya lagi. Orang yang sudah masuk zikir dalam badan akan membuat persiapan sebelum masuk waktu lagi. Walaupun dia tertidur, sebelum masuk waktu lagi, automatik dia akan terjaga.

172. Ketika Tuhan menjemput hamba-hambaNya menghadap Dia, kamu tidak boleh hadir (melewatkan waktu sembahyang). Tetapi bila kamu hendak jumpa bos kamu, buat perkara yang bersesuaian dengan nafsu, boleh pula tepat pada waktunya.

173. Pengajaran dari seorang Aulia’ Allah. Semasa mengaji di India. Saya belajar daripada Maulana Abdul Bari r.a. Sewaktu kuliah hadis, dia mengajar kitab Misykat. Di dalamnya, banyak hadis-hadis yang menerangkan Rasulullah s.a.w. membaca doa Qunut pada sembahyang Subuh daripada sembahyang witir. Ini menunjukkan bahawasanya mazhab kita Assyafie lebih kuat dalilnya daripada mazhab Hanafi. Saya pun memberitahu guru saya, “Daripada apa yang kami belajar tadi, menunjukkan bahawa dalil mazhab Syafie lebih kuat daripada mazhab empat yang lain”. Saya berasa kemaslah, pasal saya Syafie. Guru saya menjawab, “Wahai anakku! Imam-imam mujtahid ini adalah manusia juga dan sebagai manusia tentulah banyak kelemahan dan kekurangannya. Kalau kita ikut salah seorang daripada mereka, janganlah pula kita komen yang lain”. Masya-Allah! Saya kagum dengan jawapan yang di berinya. Tepat dan padat serta menyelesaikan masalah dan tidak pula menimbulkan masalah.

174. Orang yang pandai mengatakan itu tidak betul, ini tidak betul tetapi tidak boleh memberi jalan keluar dan membuat contoh; itu orang bodoh dan orang jahat! namanya.

175.    Bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh. Sebagaimana ‘bapa’ kita iaitu Nabi Adam a.s bertaubat, barulah Allah s.w.t. menerima taubat kita.

176. Orang yang masak tidak membaca bismillah dan tidak berselawat, samalah seperti Apek (Cina Kafir).

177. Nafsu Ammarah ini, dia hendak beriman dengan syarat dia hendak Allah tunjukkan bukti dahulu. Macam kisah Nabi Musa a.s dengan Bani Israel. Selepas Allah selamatkan dari Firaun, Allah perintahkan mereka masuk ke Palestin tetapi mereka membantah. Mereka suruh Musa a.s masuk dahulu, kalau Nabi Musa sudah berjaya mengambil Palestin baru mereka hendak ikut. Padahal Allah sudah membuktikan kepada mereka cukup banyak. Tapi mereka membantah sebab nafsu ammarah. Dia (Nafsu Ammarah) tidak herani keluar masuk neraka.

178. Peralatan yang digunakan untuk memotong kaca, di depannya diletakkan batu berlian. Ia tidak menggunakan besi walaupun badan alat tersebut diperbuat dari besi. Macam itu juga kita. Hendak buat sesuatu, kena tumpu kepada Allah terlebih dulu. Letakkan Allah di hadapan dan nafsu di belakang kita. Inilah yang dikatakan iman. Hanya kekuatan iman sahaja yang boleh menyelesaikan segala kebuntuan (sebagaimana kekuatan berlian yang boleh memotong kaca).

179. Ada tiga “Ta” yang punca manusia berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan akhirnya mereka masuk ke dalam Neraka:-

  • Wanita
  • Takhta                        
  • Harta

180. Fanak-fi-Syeikh (ikut susunan guru) ialah kita patuh kepada susunan Syariat dan Thoriq.

181. Orang yang hendak (kenal) Allah. Tetapi tidak mahu berguru (dengan guru mursyid-murabbi). Semuanya hendak dibuat sendiri. Dia mengajar sendiri kemudiannya dia belajar sendiri kemudian dia buat kertas soalan sendiri, dan dia jawab kertas soalan itu. Selepas itu dia semak jawapan tadi betul ke salah dan dia berilah markah sendiri. Akhirnya dia pun perasan. Betul semua aku jawab!

182. Untuk mendapat ilmu hendaklah ada dua perkara:-

(i) Kebolehan.                             (ii) Keberkatan. Yang paling penting sekali ialah keberkatan. Untuk mendapat keberkatan hendaklah beradab dengan orang yang memberi kita ilmu (guru).

183. Kisah Yakinnya Abdul Mutalib. Semasa Abrahah hendak menyerang Kaabah. Dia merampas binatang ternakan penduduk Mekah. Kemudian dia memanggil Abdul Mutalib supaya berjumpa dengannya. Abrahah memberitahu dia mahu meruntuhkan Kaabah. Apa yang Abdul Mutalib hendak buat? Abdul Mutalib menjawab dia hanyalah tuan punya unta. Adapun Kaabah itu rumah Allah. Dia hanya  mahu binatang ternakan yang di curi oleh Abrahah dikembalikan semula. Adapun Kaabah kami serahkan kepada TuanNya (Allah) untuk menjaganya. Akhirnya Allah musnahkan  Abrahah dan tenteranya. Di hari ini kalau orang Islam ada keyakinan dan penyerahan kepada Allah seperti Abdul Mutalib. Sudah cukup bagi mereka mendapat bantuan dari Allah. Masa itu, Rasulullah baru hendak lahir dan Al-Quran pun belum diwahyukan lagi.

184. Maksud bersatu ialah berpegang teguh dengan apa-apa yang Allah bangkitkan Rasul.

185. Mengapa orang Islam di hari ini di timpa bala oleh Allah seperti ditindas oleh orang kafir musyrikin? Sebab, mereka takut selain dari Allah.

186. Semasa Tok Wali hidup tidak mahu mencari. Bila sudah mati baru tahu (bahawa) dia itu seorang Tok Wali. Hendak buat apa lagi? Dia sudah mati. Dia sudah masuk alam lain. Lepas itu pakat pergi lawat kubur sajalah.

187. Kalau benda dunia boleh di buat pertandingan. Lumba basikal, lumba lari, angkat berat dan berbagai-bagai lagi. Kalau kesolehan macam mana hendak dibuat pertandingan? Kenalah bergaul dengan orang-orang soleh. Lihatlah peribadi mereka. Kalau duduk seorang diri, (tidak campur orang soleh) kita jadi perasanlah. Entah-entah kita lebih berlemoih ( biadab ) daripada orang lain.

188. Syuhud

  • Syuhudul-kasrah-fil-wahdah: Memandang yang banyak (makhluk) di dalam perintahan Allah yang Esa. Ini untuk orang salik.
  • Syuhudul-wahdah-fil-kasrah: Memandang Allah yang Esa memerintah (mentadbir) pada sekalian makhlukNya. Ini untuk orang Mazjub.

189. Perjalanan saya ini adalah “perjalanan Uwaisiah”.

190. Yang di katakan Sanad Silsilah ialah kita berperibadi, beriman dan bertakwa sama seperti Ahli Silsilah (Para  Aulia’) yang lebih dahulu daripada kita. Bukannya hanya ada pada tulisan sahaja. (Silsilah ialah rantaian hubungan daripada satu orang guru kepada satu orang hingga kepada Tabi’-ul-Tabien, Tabien- Sahabat sampailah kepada Rasulullah S.A.W hingga kepada Jibril terus kepada Allah).

191. Selagi mana timbul persoalan kenapa? bagaimana? macamana? Apa fasal? di dalam diri kamu (terhadap susunan Allah). Selama itulah Allah s.w.t. tidak akan membuka rahsia kepada kamu. Fasal ini soalan yang timbul daripada kekufuran dan kesyirikkan kamu.

192. Amanah yang paling besar ialah “kehambaan”.

193. HARAM ikut orang sufi yang JAHIL! (Orang tarikat yang terikat)

194. Hendak jadi orang yang cerdik, jadilah HAMBA ALLAH!

195. Orang sakit yang duduk di Hospital, mereka tidak kacau orang sakit lain. Sebab doktor sudah ada. Masing-masing hanya memikirkan penyakit masing-masing. Mereka berharap penyakit mereka akan cepat sembuh. Begitulah juga kamu yang datang ikut saya, semuanya ada penyakit. Jadi janganlah ambil peduli dengan penyakit orang lain. Proseslah untuk menyembuhkan penyakit kita dulu.

196. Yang di katakan Syuhud Guru ialah seperti kereta kita beterinya lemah, kemudian kita “CAS” dengan menggunakan bateri kereta orang yang kuat. Kita sambungkan wayar bateri kita dengan bateri dia, kemudian ‘start’lah enjin.

197. Was-was mainan syaitan.Kalau kita ikut dia (was-was) maknanya kita ikut syaitanlah. Macam kita ambil wuduk, kita dah basuh anggota wuduk kita 3 kali. Kemudian datang bisikkan mengatakan belum rata lagi. Janganlah ikut. Kita dah basuh 3 kali, tidakkanlah tidak rata-rata lagi. Kita takbiratul ihram, dia kata tidak masuk (niat) lagi. Jangan ikut dia. Apabila kita buat sesuatu yang berbetulan dengan Syariat dan Thoriq, itu sudah mecukupi. Bila datang was-was, kita kata, “Ya Allah, hambamu ini bodoh, tidak reti (faham) dan banyak dosa”. Syaitan tidak bagi kita mengaku itu sahaja.

198. Kalau kamu dengar muzik yang haram (melalaikan), kaki kamu bergoyang ikut rentaknya, itu menunjukkan di kaki kamu ada IBLIS!

199. Daripada kamu berjumpa dengan Aulia’ yang sentiasa tenggelam di dalam kebesaran Allah, lebih baik kamu tengok tiang, sebab kamu tidak sangka buruk dengan tiang. Tetapi dengan Aulia’ jenis ini kamu akan sangka buruk. INI BAHAYA!

200. Semua Tarikat di dalam dunia ini sanad silsilahnya hanya sampai kepada dua orang sahabat iaitu Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saiyidina Ali Karamallah Wajhah. Ini bukanlah bermakna para sahabat yang lain tidak membawa perjalanan Sufiyah. Ini adalah kerana kedua mereka ini merangkumi segenap aspek. Saiyidina Abu Bakar mendapat kesufian kerana dia yang awal-awal memeluk Islam dan dia terlalu kasih dan rapat terhadap Rasulullah s.a.w. Dia juga banyak , membuat pengorbanan di dalam perjuangan Rasulullah s.a.w. Saiyidina Ali Karamallah Wajhah mendapat kesufian sewaktu peperangan Uhud. Apabila beliau mendengar berita bahawa Rasulullah s.a.w. telah terbunuh di dalam pertempuran tersebut (berita palsu yang sengaja di buat oleh musyrikin untuk melemahkan orang mukmin). Dia pun terus memecut kudanya dengan sekuat-kuatnya untuk menyerbu kafir musyrikin. Dia hendak bunuh semua kafir musyrikin biar seorang pun tidak tinggal di bumi Allah. Allah s.w.t. menjadikan debu-debu yang berterbangan daripada kuda Saiyidina Ali malaikat-malaikat. Bila orang kafir melihat perkara tersebut mereka pun lari bertempiaran. Inilah perjalanan sufi. Asyidda’u A’lal Kuffar. Ruhama’ Bainahum (tidak tunduk kepada kekufuran dalam segenap aspek. Menunaikan dan memelihara hak-hak mukmin dan muslim).

201.    Buat zikir, istighfar dan selawat (semua perintah Allah) bukannya hendak ubah-menolak Qodho Allah. Tetapi adalah untuk mendapat Redho dengan Qodho Allah.

202.    Orang yang sombong, Allah tidak pilih mereka berkhidmat di jalan Allah. Hendak angkat seketul batu pun Allah tidak izin.

203.    Apa dia Iman? Iman ialah membuat perintah Allah dan menjauhkan laranganNya tanpa fikir bicara.

204.    Orang kaya jangan sombong dengan kekayaannya. Orang miskin jangan cemas dengan kemiskinannya.

205.    Berkawan dengan jutawan (orang kaya dunia) seperti kita naik kereta di belakang lori minyak. Di lori itu ada tertulis “BAHAYA! JANGAN HAMPIR, MUDAH TERBAKAR!”

206.    Selagi mana kamu tiada penyerahan kepada Allah, selagi itulah Iblis duduk dalam perut kamu!

207.    Orang yang mengatakan hendak masuk perjalanan tidak perlu ilmu. Itu cakap orang yang tidak sihat. Mengajilah banyak mana pun, tetapi janganlah kita berasa, ilmu itu kita punya dan kita ada ilmu. Ianya adalah semata-mata anugerah Rahmat Allah!

208.    Orang yang melihat orang lain mengamalkan sunnah seperti melihat bangkai. Sebenarnya, merekalah bangkai.

209. Di awal-awal Islam, Rasulullah s.a.w. mengajak manusia mentauhidkan Allah. Di sekeliling Rasulullah s.a.w. penuh dengan berhala, di dalam Masjidil Haram pun banyak berhala. Namun Rasulullah s.a.w. tetap pergi ke KAABAH buat ibadat. Rasulullah tidak pergi katuk bagi hancur berhala itu. Tetapi Rasulullah s.a.w. boleh duduk dalam suasana yang macam itu. Itulah yang di namakan KETAHANAN!.

210. Belajarlah ilmu fikah tetapi janganlah berbalah.

211. Bulan Muharram adalah bulan yang Allah s.w.t. berikan kemenangan kepada Rasul-RasulNya dan juga bulan yang dihancurkan kezaliman dan kekufuran.

212. Orang yang mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w. kenalah melaparkan perut dan bukannya membuncitkan perut.

213. Punca-punca yang merosakkan kesufian adalah disebabkan ilmu yang bercampur aduk dengan kejinan seperti puak bathiniah-zindiq dan tarikat yang tidak sampai kepada hakikat dan makrifat.


Dimulakan dan disudahi susunan ‘Ruhul Zikri’ Jilid kedua ini, hanya semata-mata dengan dan berharap Rahmat Allah S.W.T., di bawah berkat pancaran Nur Rasulullah S.A.W., dengan keberkatan kesultanan Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani r.a. dan Ahli Zaman ini walau di mana pun mereka berada di bumi Allah S.W.T. ini. -Penyusun-

Sekiranya pembaca ada kemusykilan terhadap kandungan petikan buku ini silalah merujuk terus kepada Syeikh Mahmud sendiri. Beliau kebiasaannya berada di salah satu madrsah berikut:

  • Madrasah Nurul Iman, Batu 5, Sik, Kedah
  • Madrasah Nurul Iman, Jalan Kuari Sungai Long, Sungai Serai Hulu Langat, Selangor
  • Madrasah Nurul Iman, Kg Kok Sira, Narathiwat, Thailand

———————————————————————

Sesungguhnya apa yang baik itu datangnya daripada Allah, sedangkan yang kurang atau khilaf itu adalah kerana kelemahan manusia itu sendiri. Maka, ambillah kebaikan ilmu yang terdapat dalam penyampaian ini. Mana yang baik itu jadikan teladan dan tauladan. Dan, jika terdapat sebarang kekurangan atau perbezaan pendapat, sila lah berdiskusi dengan pihak berkenaan atau ilmuan yang arif. Sesungguhnya ilmu itu luas melebihi pengetahuan manusia itu sendiri.

Sekian. Wallahu’alam.

<Aduhai teman, tidakkah kau sedar bahawa dunia ini hanyalah suatu persinggahan? Maka, perlulah kita bersegera kembali kepada hakiki. Menuai bekalan bagi menempuh perjalanan ke negeri abadi itu… Sesungguhnya teman, persinggahan ini cumalah satu… sekali sahaja… hanya satu tiket, satu perhentian… bangunlah, usah kita terus terleka dalam mimpi yang sementara ini…>

Kredit/Endnote: Ruhul Zikri 2, Iman, etc.

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s