APABILA GOLONGAN RUWAIBIDHAH BERBICARA..

Posted: February 25, 2010 in berita sana > situ > sini, Sautun Nahdhah
Tags:

SN Keluaran 26 Februari 2010

alt
APABILA GOLONGAN RUWAIBIDHAH BERBICARA..

[SN209] Nampaknya kes perbicaraan liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melewati dimensi baru apabila pihak luar seperti Amerika melalui Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat Amerika Syarikat (AS), John Kerry mengeluarkan kenyataan supaya kes tersebut dikendalikan secara adil dan begitu juga sekutunya Australia, apabila  seramai 50 Ahli Parlimen Australia meminta supaya kerajaan Malaysia menggugurkan pertuduhan liwat ke atas Anwar.  Sehubungan dengan desakan ahli parlimen Australia itu, pihak parti pemerintah yang diketuai oleh UMNO mengerahkan ahlinya yang diketuai oleh sayap pemudanya untuk turun berdemonstrasi di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia baru-baru ini. Diberitakan hampir 500 individu dari parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun dan berarak secara aman dalam demonstrasi tersebut. Keadaan dalam negeri juga tidak kurang kecohnya apabila sekutu baik PKR iaitu DAP melalui desakan penasihatnya Lim Kit Siang, mengesyorkan agar usul pengguguran kes liwat Anwar itu dibawa ke Parlimen. Begitu juga dengan Anwar sendiri yang nampaknya menggunakan talian hayat negara luar seperti Amerika dan Turki dalam menanggapi isu ini, di mana Anwar mengatakan bahawa beliau mendapat sokongan daripada Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton dan juga Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogen yang ditemuinya ketika berlangsungnya Forum Dunia Islam-Amerika Syarikat di Doha, Qatar baru-baru ini.

Kerajaan Malaysia nampaknya agak melenting dengan campurtangan kuasa asing ini, namun anehnya dalam masa yang sama berusaha memberikan penjelasan. Timbalan Perdana Menteri dengan tegas berkata bahawa Malaysia tidak akan tunduk dengan desakan negara asing [UM 20/02/10]. Namun pada masa yang sama Perdana Menteri sendiri, semasa berucap di Maran berkata, “Kita (kerajaan) kena terangkan, sebab mereka (Ahli Parlimen Australia) tidak dapat maklumat sebenar. Maklumat diperoleh hanya daripada pembangkang,” katanya.  Najib juga memberitahu bahawa Kedutaan Malaysia di AS telah menjelaskan kepada Washington mengenai kedudukan sebenar kes pendakwaan liwat tersebut [UM 20/02/10]. Mengapa perlu memberi penjelasan jika benar tidak tunduk kepada kuasa asing? Takkan setiap kali mereka mendesak maka Malaysia perlu menjawab dengan panjang lebar? Adakah ini sikap orang yang tidak tunduk kepada kuasa asing? Umum mengetahui bahawa AS dan negara-negara kuffar yang lain seperti Australia memang akan menangguk di air keruh. Amerika telah lama berlagak sebagai polis dunia yang kononnya prihatin dengan keamanan dunia dan hak asasi manusia. Walhal orang buta sekalipun mengetahui bahawa Amerikalah syaitan besar dunia pada saat ini. Secara faktanya, semua undang-undang mahupun sistem penghakiman yang diguna pakai di Malaysia tidak ada bezanya dengan Australia dan Amerika, iaitu sama-sama buatan manusia dan sama-sama kufur kerana bertentangan dengan hukum Allah. Justeru, mengapa mereka perlu campurtangan dalam kes Anwar Ibrahim? Walaupun AS dan Australia bercakap tentang keadilan dan hak asasi manusia, namun orang kampung sekalipun tahu bahawa bukan ‘kedaulatan undang-undang’ yang menjadi fokus negara kuffar tersebut dalam kes ini, tetapi ‘Anwar Ibrahim’ itu sendirilah yang menjadi minat dan sasaran mereka. Persoalannya, kenapa dan untuk apa mereka begitu berminat dengan Ketua Pembangkang Malaysia ini? Mungkin para pembaca sekalian ada jawapannya…

Hudud Adalah Hak Allah Yang Tidak Boleh Digugurkan

Had liwat, sebagaimana hudud yang lain adalah hak Allah SWT meskipun di dalam sesetengah kes hudud (seperti mencuri), terdapat hak anak Adam di dalamnya. Dalam kes hudud, ia tidak boleh digugurkan dengan pengampunan, permintaan, tekanan atau arahan daripada sesiapa pun. Semua hadis yang menyentuh tentang liwat adalah bersifat umum sebagaimana ayat tentang zina dan mencuri. Rasulullah SAW bersabda,

“Barang siapa yang kamu dapati ia melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (liwat), maka bunuhlah kedua-duanya”
[HR Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Tirmizi].

Hadis ini dengan jelas mewajibkan perlaksanaan hukuman (hudud) ke atas kedua-dua pelaku liwat, baik yang meliwat mahupun yang diliwat. Jika dakwaan liwat telah terbukti, maka had wajib dijatuhkan. Atau jika tiada dakwaan sekalipun, tetapi pelaku liwat tersebut tampil di hadapan qadhi dan mengaku akan perbuatannya, maka hukuman had wajib dijatuhkan ke atasnya. Tidak ada seorang pun terkecuali daripada hukuman apabila kes ke atasnya telah terbukti, baik dibuktikan dengan kesaksian mahupun pengakuan.

Dalilnya adalah hadis tentang wanita Makhzumiyah, bahawa Rasulullah SAW begitu marah atas tuntutan pengampunan atau pengguguran hukuman yang diajukan oleh Usamah. Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kalian  adalah disebabkan apabila ada orang yang terhormat di kalangan mereka mencuri, ia dibiarkan. Akan tetapi apabila orang yang lemah mencuri, tangannya dipotong. Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan ku potong tangannya”.

Dalam hadis ini, Rasulullah menerangkan bahawa kehancuran umat sebelum kita adalah kerana tidak dilaksanakannya hudud Allah. Nabi SAW juga bersabda,

“Had yang ditegakkan di muka bumi lebih baik bagi penduduk bumi daripada turunnya hujan selama 40 hari.”

Daripada Ibnu Umar ra, daripada Nabi SAW,

“Barangsiapa memberikan pengampunan dengan tidak melaksanakan had dari had-had (hudud) Allah, maka ia telah menjadi pembangkang terhadap perintah Allah”.

Kesemua nas ini menunjukkan bahawa tidak boleh menggugurkan hudud Allah. Sebab hudud adalah hak Allah. Hatta Rasulullah sendiri tidak boleh menggugurkan dakwaan atau hukuman ke atas pesalah hudud.

Sebahagian ulama yang terkeliru berpendapat bahawa hukuman hudud boleh digugurkan sekiranya ada pengampunan sebelum kesnya dibawa ke muka pengadilan. Mereka berdalil dengan apa yang diriwayatkan daripada Safwan bin Umayyah, yang berkata,

“Aku sedang tidur di masjid dengan membawa baju berjalur hitam dan merah (khamisah) milikku. Lalu baju itu dicuri. Kami berjaya menangkap pencuri itu kemudian kami melaporkan kepada Rasulullah SAW. Baginda memerintahkan untuk memotong tangannya. Aku berkata kepada Rasulullah SAW, ‘Wahai Rasulullah, adakah ia dipotong tangannya hanya kerana mencuri khamisah yang bernilai 3 dirham? Baiklah,  (kalau begitu) akan ku berikan sahaja khamisah ini kepadanya atau aku jualkan kepadanya’. Nabi menjawab, ‘Mengapa (hal ini) tidak (dilakukan) sebelum engkau serahkan dia ke mari?”.

Mereka yang terkeliru juga berdalil dengan apa yang dikeluarkan oleh Abu Daud daripada hadis Amru bin Syuaib daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Saling bermaafanlah kalian dalam  masalah hudud yang terjadi di antara kalian. Kerana kalau kes pelanggaran itu telah sampai kepadaku, maka hukuman itu pasti aku laksanakan.”

Daruquthni mengeluarkan riwayat daripada hadis Zubair bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Saling bermaafanlah di antara kalian selama mana belum dilaporkan kepada wali. Jika terdapat pengampunan setelah kes dilaporkan kepada wali, maka Allah tidak memaafkannya”.

Bagi orang yang meneliti dengan mendalam dan mustanir (jernih) kesemua nas-nas mengenai perkara ini, akan mendapati bahawa hudud (potong tangan) tidak boleh digugurkan dengan adanya pengampunan secara mutlak, baik sebelum atau setelah kes dilaporkan kepada pihak yang berkuasa. Dalilnya adalah keumuman ayat tentang mencuri. Ini adalah kerana, jika kes mencuri itu telah terbukti, maka hukuman potong tangan wajib dilakukan walaupun tidak ada laporan sekalipun. Apatah lagi dalam kes yang mempunyai laporan (dakwaan) biarpun ia ditarik balik. Ibnu Abdilbarr telah meriwayatkan tentang Ijma’ Sahabat mengenai wajibnya penguasa menegakkan hudud apabila kes itu telah sampai kepadanya. Demikian pula diriwayatkan dalam kitab al-Bahr tentang Ijma’ Sahabat atas perkara tersebut. Di samping itu, hadis-hadis yang melarang pengampunan itu datangnya dalam bentuk yang umum. Nas-nas tersebut ternyata merangkumi kedua-dua keadaan kes sama ada sebelum atau setelah laporan/dakwaan dibuat. Hujah yang lain, kerana hukuman had bagi mencuri adalah hak Allah, meskipun di dalamnya terdapat juga hak anak Adam. Sedangkan hak Allah tidak boleh sama sekali digugurkan dengan pengampunan daripada manusia. Semua hal ini menunjukkan bahawa had pencurian tidak boleh digugurkan dengan pengampunan.

Adapun hadis-hadis daripada Safwan, Amru bin Syuaib dan Zubair, kesemuanya bukan  menunjukkan adanya atau bolehnya ‘menggugurkan’ had, sebaliknya ia hanya menunjukkan tentang bolehnya memberi ‘pengampunan’ daripada pemilik barang (yang dicuri), itu sahaja. Dan hadis-hadis tersebut langsung tidak menyentuh mengenai kebolehan/kebenaran menggugurkan hukuman. Pengampunan daripada pemilik barang (jika diberikan) tidak boleh menggugurkan hudud Allah, sama halnya dengan pengampunan daripada penguasa, juga langsung tidak boleh menggugurkan hudud Allah. Pengampunan hanya membawa kepada hal ‘menghapuskan dosa’, bukannya (dan tidak boleh) membawa kepada ‘menghapuskan hukuman (hudud)’.

Hadis daripada Safwan dengan jelas menyatakan,

“Baiklah, (kalau begitu) akan ku berikan sahaja khamisah ini kepadanya atau aku jualkan kepadanya’. Nabi menjawab, ‘Mengapa (hal ini) tidak (dilakukan) sebelum engkau serahkan dia ke mari?”.

Maksud daripada hadis ini adalah, Rasulullah bertanya ‘mengapa pengampunanmu tidak diberikan kepadanya sebelum engkau membawanya kepadaku’. Hal ini tidak bererti bahawa, jika pemilik barang telah mengampuni si pencuri sebelum pencuri diserahkan kepada penguasa, maka dakwaannya boleh digugurkan kerana ia mengampuninya. Hadis ini langsung tidak memberi pengertian seperti ini. Adapun kata-kata pemilik baju kepada Rasulullah (setelah melihat si pencuri itu akan dipotong tangannya),

“Baiklah, (kalau begitu) akan ku berikan sahaja khamisah ini kepadanya atau aku jualkan kepadanya”,

ini hanyalah kinayah (kiasan) atas permintaan daripada pemilik baju agar baginda SAW mengampuni (tidak menghukum) pencuri tersebut. Jawapan Rasulullah,

“Mengapa (hal ini) tidak (dilakukan) sebelum engkau serahkan dia ke mari?”,

bermaksud adalah boleh bagi tuan punya baju untuk mengampuni si pencuri sebelum dia melaporkannya kepada Rasulullah (penguasa/qadhi). Namun, jika setelah dilaporkan, maka tuanpunya baju tadi tidak lagi boleh mengampunkannya. Hak untuk dia mengampunkannya hanya wujud sebelum kes tersebut di bawa ke muka pengadilan.

Hadis ini tidak menunjukkan bahawa pencuri yang telah dimaafkan oleh si pemilik barang sebelum ia diserahkan kepada penguasa, maka gugurlah had potong tangan bagi pencuri tersebut. Hadis ini juga tidak menunjukkan bahawa jika si pencuri itu diserahkan kepada penguasa oleh orang selain daripada pemilik barang, maka penguasa tidak perlu membicarakannya. Dan hadis ini juga tidak menunjukkan bahawa penguasa wajib untuk mengampuni pencuri tersebut jika adanya pengampunan daripada pemilik barang. Sesungguhnya hadis tersebut tidak menunjukkan pengertian tersebut secara mutlak. Dalalah hadis ini hanya menunjukkan gugurnya hak pemilik barang untuk mengampuni pencuri setelah kes dilaporkan kepada penguasa, serta kebolehan untuk memberi pengampunan sebelum kes itu dibawa kepada penguasa. Tidak ada pengertian lain lagi selain ini. Hadis ini langsung tidak menunjukkan tentang gugurnya hudud jika ada pengampunan kerana hadis ini hanya berbicara tentang persoalan pengguguran pengampunan, bukannya persoalan pengguguran hudud.

Adapun tentang hadis Amru bin Syuaib, ia menunjukkan bahawa pengampunan di kalangan mereka hukumnya adalah jaiz (boleh). Itulah sebabnya baginda SAW bersabda,

“Akan tetapi, kalau kes pelanggaran itu telah sampai kepadaku, maka hukuman itu pasti akan dilaksanakan.”

Hadis ini berbentuk umum, sama sahaja keadaannya baik kes itu dilaporkan oleh si pemilik barang mahupun oleh orang lain.

Sedangkan hadis Zubair di mana Rasulullah SAW bersabda,

“Saling bermaafanlah di antara kalian selama mana belum dilaporkan kepada wali”.

Ini adalah saranan daripada Rasulullah agar saling memaafkan, tidak ada kena mengena dengan persoalan gugurnya hudud jika ada kemaafan. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW bersabda,

“Jika ada pengampunan setelah dilaporkan kepada wali, maka Allah tidak memaafkannya”,

di mana hadis ini adalah bersifat umum yang menunjukkan pengertian bahawa tidak boleh memberi pengampunan apabila kes telah dilaporkan kepada wali, baik (laporan) oleh pemilik barang ataupun  oleh orang lain. Keumuman hadis Amru bin Syuaib dan hadis Zubair memperkuatkan hujah bahawa pengampunan daripada pemilik barang sebelum kes dilaporkan kepada penguasa sama sekali tidak menggugurkan hudud, apatah lagi setelah dilaporkan. Seluruh hadis tersebut menunjukkan bahawa pemilik barang boleh memberikan pengampunan (bukan menggugurkan dakwaan atau menggugurkan hukuman hudud) sebelum kesnya dilaporkan kepada penguasa.

Dengan demikian, had (hukuman) pencuri adalah hak Allah SWT. Had tidak boleh digugurkan secara mutlak, baik pemilik barang memaafkannya sebelum atau sesudah kes di bawa kepada pengadilan. Jika seseorang penguasa/qadhi telah menerima laporan sesuatu kes hudud, maka dia wajib mendengar dakwaan si pelapor, tidak kira siapa sahaja yang melaporkannya. Bagaimanapun kes hudud tidak semestinya memerlukan adanya laporan/dakwaan. Hudud Allah wajib ditegakkan dalam apa keadaan sekalipun. Berdasarkan nas yang jelas, Islam menyatakan bahawa setelah sesuatu kes hudud di bawa ke mahkamah, maka kesnya wajib dijalankan dan tidak boleh digugurkan dengan apa jua cara sekalipun. Seseorang tertuduh hanya akan terlepas daripada hukuman sekiranya si pendakwa gagal membuktikan kesnya sama ada kerana ketiadaan saksi, kekurangan saksi atau ketiadaan bukti-bukti lain yang boleh mensabitkan kesalahan tertuduh. Dengan kata lain, tertuduh akan terlepas jika wujudnya sebab-sebab yang dibenarkan syarak sahaja, dan ia hanya berlaku setelah kes dibicarakan, bukan sebelumnya. Tertuduh juga tidak terlepas (dan tidak boleh dilepaskan) begitu sahaja hanya kerana adanya pengampunan, permintaan, tekanan atau arahan mana-mana pihak untuk menggugurkan kes. Sesungguhnya undang-undang sekular di bawah sistem pemerintahan sekular dengan pemimpin sekular yang ada pada hari inilah justeru menjadi penyebab kepada keberanian dan kebiadapan puak kuffar untuk memberi tekanan dalam hal ehwal yang melibatkan umat Islam!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Masalah pokok yang kita perlu fahami di sini adalah, semua perkara yang dibincangkan di atas hanya berlaku apabila kes tersebut merupakan sebuah kes hudud yang dibicarakan mengikut undang-undang Islam di bawah mahkamah Islam dan di negara Islam, bukannya kes atau kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) yang dibicarakan di mahkamah kufur dan di negara kufur. Apa yang berlaku sekarang di dalam kes Anwar Ibrahim, walaupun jelas bahawa dakwaan terhadapnya adalah atas kesalahan hudud (liwat), namun daripada A hingga Z hukum Allah telah dicampakkan oleh institusi kehakiman mahupun pemerintahan. Yang digunakan dalam perbicaraan sekarang adalah 100% undang-undang buatan akal manusia yang mustahil akan mewujudkan sebuah keadilan. Ingatlah wahai saudaraku, bahawa keadilan hakiki hanya akan terwujud apabila hukum daripada kitab Allah dilaksanakan sepenuhnya. Dan demi Allah, tidak akan ada keadilan walau sebesar zarah sekalipun apabila hukum daripada kitab Lord Reid yang diterapkan. Apabila hukum Allah dan Rasul telah dibuang, yang dapat kita saksikan sekarang adalah munculnya satu golongan yang disebut Rasulullah,

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar, dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah, dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan ‘Ruwaibidhah’. Sahabat bertanya, ‘Apakah Ruwaibidhah wahai Rasulullah?’ Nabi menjawab, ‘Orang bodoh yang bercakap mengenai urusan orang ramai” [HR Ahmad].

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s