Wanita, berkorbanlah sebelum kamu menjadi korban!

Posted: March 15, 2010 in artikel.pilihan.ku, berita sana > situ > sini, sharing.is.caring
Tags:

“Berkorban apa saja, harta atau pun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia.” Malangnya pengorbanan yang dinyatakan dalam lagu malar segar dendangan Seniman Agung P. Ramlee sebatas pengorbanan demi cinta. Akhbar Utusan Malaysia pada 12hb November 2009 melaporkan bahawa “Lima tahun selepas kematian Norzi Ayu Md. Noor, bekas penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Irawadi Mohamad hari ini dihukum gantung sampai mati kerana membunuh teman wanitanya itu dengan sebilah pisau”. Demi cinta yang mungkin tak kesampaian, nyawa menjadi taruhan. Ibarat pantun pusaka: tanam pinang rapat-rapat, biar senang puyuh berlari. Ku pujuk-pujuk tak dapat, ku tusuk-tusuk sampai mati.

Demi cinta, seorang ibu tergamak membiarkan anak kecilnya yang berusia 3 tahun menjadi mangsa dera, rogol dan liwat oleh teman lelakinya, warga Sudan sehingga mati malah tergamak berbohong kononnya semuanya angkara pembantu rumahnya semata-mata mahu melindungi teman lelakinya. [Harian Metro, 21 Oktober 2009].

Ada wanita yang sanggup menggadai maruah, menjadi GRO dan pelacur semata-mata untuk mencari kemewahan dengan jalan mudah. Menggunakan modus operandi yang baru iaitu sebagai ’call girl’ yang boleh dilanggan dengan hanya membuat panggilan telefon pada bila-bila masa sahaja. [Harian Metro, 27 September 2009].

Tiada yang lebih menyayat hati dari seorang ibu yang terpaksa mengorbankan anaknya dengan menekup mulut bayinya yang berusia 10 bulan dengan bantal kecil sehingga mati gara-gara sudah tidak tahan mendengar tangisan bayinya yang dahagakan susu kerana tidak mampu membeli susu akibat dihimpit kemiskinan. [Harian Metro, 28 Oktober 2009]

Kisah-kisah yang dipaparkan di adalah seribu rencah kehidupan yang mana wanita menjadi korban.

Secara umumnya, sebahagian anggota masyarakat terutamanya dari kalangan wanita sendiri merasa sedih dan sayu dengan ‘pengorbanan’ yang dilakukan oleh wanita hingga mereka sendiri menjadi mangsa korban.

Penganut fahaman Sekular-Kapitalis yang mana darinya terbit idea kebebasan dan konsep matlamat menghalalkan cara yang dipelopori oleh Niccoló Machiavelli (1469-1527) merasakan bahawa antara jalan keluar dari kemelut yang melanda wanita adalah dengan perjuangan kesetaraan gender yang mana duduknya wanita di dalam barisan kepimpinan negara seperti menjadi ahli parlimen dan menteri diharapkan akan dapat membantu mencari sinar di penghujung terowong melalui penggubalan undang-undang yang cenderung kepada feminisme. Hakikatnya, setelah lebih 50 tahun negara ‘mengecapi’ kemerdekaan, jenayah melibatkan wanita tidak pernah surut.

Disisi lain, golongan yang cenderung kepada penyelesaian Islamik memiliki perspektif berbeza. Pengorbanan wanita untuk bebas dari menjadi korban bermula seawal usia gadis sunti apabila telah kelihatan secara fizikal ciri-ciri kewanitaannya yang semakin terserlah. Dari saat itu, gadis Muslimah mestilah rela berkorban untuk menutup auratnya, membungkus seluruh tubuh kecuali muka dan telapak tangannya demi menyelamatkan dirinya dari pandangan mata liar yang tertuju padanya. Tidak sekadar menutup aurat, seorang gadis juga mesti mampu menjaga pergaulan dalam kehidupan sehariannya. Seorang gadis pasti dipandang serong jika berpeleseran di waktu malam, bergurau berlebihan di tempat umum dan berdandan hingga mencuri pandangan sang jejaka.

Setelah melalui fasa kematangan, seorang wanita bersedia untuk melakukan banyak lagi pengorbanan iaitu fasa berumahtangga. Demi memastikan kelancaran tanggungjawab asas suami selaku ketua rumahtangga patut mencari nafkah untuk seisi keluarga dan menyumbang bakti kepada masyarakat, wanita perlu berkorban untuk memastikan tiada hambatan atas tugas-tugas ini tadi. Dalam era globalisasi dan mordenisasi, wanita juga diminta berkorban dengan menahan dirinya dari tergiur dengan pelbagai peranan yang disodorkan kepadanya dengan mengatasnamakan emansipasi dan persamaan hak.

Walaubagaimanapun, penyelesaian yang dipaparkan di atas lebih bersifat penyelesaian individu, bukan penyelesaian holistik untuk meraih matlamat tertinggi seorang Muslim iaitu meraih keredhaan Allah Subhanahu wa Taala. Penyelesaian di atas juga hanya akan membawa seorang wanita Muslimah memahami dan melaksanakan sebahagian hukum syarak dalam kapasiti sebagai individu, bukan dalam kapasiti sebagai Muslimah yang turut berperanan dalam masyarakat dan berkorban demi agama demi memastikan seluruh perintahNya terlaksana secara keseluruhan. Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu [TMQ Al-Baqarah (2) :208].

Apakah Pengorbanan Hakiki buat Wanita?

Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna [TMQ Az-Zumar (39):9]

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya [TMQ Al-Baqarah (2):269].

Ayat Quran di atas menjelaskan tentang peri pentingnya ilmu dalam kehidupan manusia. Dengan ilmu manusia dipandu untuk mencari penyelesaian tuntas atas permasalahan yang menimpanya, tak terkecuali kaum wanita.

Pada hari ini, insiden korban yang melibatkan wanita sebagaimana paparan media amat menyebakkan dada. Wanita sedih melihat kaum sejenisnya menjadi mangsa keadaan. Wanita tahu bahawa antara punca sebahagian mereka menjadi korban adalah disebabkan kejahilan dan jauhnya hidup mangsa-mangsa ini dari hukum syarak selain dari faktor tidak adanya pemerintah untuk melaksanakan sistem perundangan yang menjaga kemaslahatan mereka.

Walaubagaimanapun, sebahagian wanita Muslimah masih tidak mengetahui bahawa jalan keluar dari suatu permasalahan hanya dapat diraih dengan memiliki ilmu agama yang mana kaum wanita perlu berkorban untuk mendapatkannya. Akan tetapi sebahagian kaum wanita, disebabkan jangkitan virus penyakit wahan, lebih sanggup berkorban untuk meraih ilmu demi sekelumit ganjaran dunia yang terlalu jauh dari nikmat syurga Allah di akhirat.

Sebahagian wanita yang telah dijangkiti virus individualisme juga merasakan bahawa mereka hanya perlu menumpukan kepada ibadah khusus dan sebahagian hukum hakam yan melibatkan diri individu seperti makan-minum dan tatacara berpakaian menurut syarak, bertanggungjawab untuk memastikan keluarga selamat dan anak-anak mendapat didikan sempurna, menyebabkan tumpuan hanya untuk menjaga diri dan keluarga. Mereka tidak menyedari bahawa mendidik dan mendakwahkan masyarakat itu juga adalah satu tuntutan yang dibebankan di atas batu jemala setiap kaum Muslimin lelaki dan wanita sebagaimana firman Allah: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. [TMQ Ali Imran (3):110].

Wanita-wanita ini mahu menjadi sebahagian dari khayru ummah (umat terbaik) sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Ali Imran ayat 110. Akan tetapi mereka tidak memahami bahawa jalan yang mesti ditempuh adalah dengan melibatkan diri dalam aktiviti dakwah, mengajak manusia kembali kepada kehidupan Islam (istinafil hayatil islam) yang mana untuk melaksanakannya perlukan pengorbanan masa, tenaga, harta, keselesaan dsb pastinya ia akan menjadi bukti wanita itu telah sanggup melakukan tijarah (perniagaan) yang paling utama. Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?[iaitu] kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya [TMQ as-Saff (61):10-11].

Hakikatnya, perintah Allah dalam firman Nya “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” [TMQ At-Tahrim (66):6] sepatutnya menyedarkan wanita bahawa jalan untuk menjauhkan diri dan keluarga dari azab yang pedih dan api neraka hanya dapat diraih melalui pengorbanan demi untuk agama yang mulia ini lebih dari sekadar melaksanakan ibadah ritual semata-mata.

Satu perkara penting yang mesti juga difahami oleh wanita adalah penyelesaian atau jalan keluar untuk kes-kes jenayah melibatkan wanita tidak akan selesai hanya dengan individu-individu dan anggota masyarakat menumpukan kepada aktiviti dan dakwah ritual semata. Keujudan pemerintah yang melaksanakan seluruh hukum syarak lebih dari sekadar hukuman hudud, takzir dan qisas akan dapat memberikan kesejahtaraan kepada seluruh umat manusia, sama ada lelaki atau wanita.,

Akan tetapi jalan untuk menegakkan semula sistem pemerintahan Islam yang melaksanakan Islam Kaffah ini tadi tidak akan dapat diraih tanpa penyertaan dan pengorbanan dari wanita sebagaimana yang pernah ditunjukkan kepada kita dalam sirah. Ibu Nabi Musa alaihissalam berkorban melepaskan anakanda tercinta dengan mengapungkannya di sungai demi menyelamatkan nyawa baginda dari Fir’aun. Begitu juga dengan kisah Asiah yang berkorban dan terpaksa bersabar hidup dengan suaminya, Fir’aun yang angkuh dan zalim. Air mata kita juga luluh mengenangkan hebatnya Khansa radiallahu anha yang meniupkan semangat juang kepada keempat-empat anaknya untuk berjihad hingga kesemuanya gugur syahid.


Khatimah

Tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Tidak mungkin terlaksana suatu kewajipan atau kehidupan sejahtera yang jauh dari gangguan dan ancaman apabila kaum wanita yang menjadi anggota masyarakat bersikap individualistik dan hanya menumpukan kepada urusan peribadi, rumah tangga dan kerjaya semata-mata hanya menadah tangan memohon kesejahteraan. Ibarat kata pepatah lama. Yang bulat tidak akan datang menggolek. Yang pipih tidak akan datang melayang. Kejayaan dan kesejahteraan hanya akan menjelma apabila kaum wanita sanggup bersusah payah mengetahui tanggungjawab dan peranannya sebagai individu dan anggota masyarakat, serta kesediaannya untuk berkorban. Pengorbanan ini juga bermakna wanita mesti bersedia melakukan perkara yang tidak mereka sukai kerana ia jauh dari rutin harian dalam rumah tangga dan kerjaya. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi [pula] kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. [TMQ Al-Baqarah (2): 216].

Wallahu ‘alam bisshawab.

SUMBER: mykhilafah.com, fikratulummah.blogspot.com

<“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” [TMQ At-Tahrim (66):6]>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s