SN223 – ANTARA JIHAD DAN KEGANASAN

Posted: July 17, 2010 in Sautun Nahdhah
Tags:

SN Keluaran 25 Jun 2010

alt
ANTARA JIHAD DAN KEGANASAN
[SN223] Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja isu pengganas kembali diangkat oleh kerajaan sekular 1Malaysia. Seperti biasa, orang yang paling penting dan paling relevan yang boleh menyalakan isu ini pada bila-bila masa tidak lain tidak bukan ialah Ketua Polis Negara sendiri. Seperti biasa juga, siapa lagi yang akan dikaitkan dengan pengganas jika bukan gerakan Islam? Mungkin kerana masih belum ada kumpulan pengganas baru yang boleh dijadikan sasaran, maka ‘kumpulan pengganas’ lama tetap terpilih untuk dijadikan mangsa. Tan Sri Musa Hassan mendedahkan bahawa sekurang-kurang 20 orang pelajar IPTA telah dan sedang direkrut oleh kumpulan Jemaah Islamiah (JI) ke arah keganasan. Malah, beberapa orang pensyarah juga dikatakan terlibat. Menjawab kepada perkembangan ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kebimbangannya mengenai kewujudan gerakan terancang kumpulan JI untuk merekrut remaja termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.
Justifikasi kepada semua ini adalah rentetan penahanan sembilan warga asing dan seorang rakyat tempatan yang dituduh sebagai pengganas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Januari lalu. Sungguh aneh apabila isu enam bulan lepas tiba-tiba dihangatkan kembali, apatah lagi apabila kesemua tahanan telah pun dilepaskan dan dihantar balik ke negara masing-masing. Oleh itu, tidak hairanlah jika ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan isu JI hanyalah digembar-gembur oleh UMNO untuk mengalih tumpuan rakyat dari isu-isu besar yang sedang ‘mengancam’ kerajaan sekarang. Rata-rata pemimpin pembangkang berkongsi pandangan yang sama dan menyifatkan apa yang dilakukan oleh kerajaan ini hanyalah sebuah sandiwara untuk kepentingan politik mereka dalam usaha kerajaan untuk mengekalkan ISA serta meraih sokongan, khususnya non-Muslim dalam pilihan raya ke-13 yang akan datang. Dalam reaksinya, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan bahawa ancaman JI adalah benar dan mengharapkan seluruh rakyat agar memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk menanganinya [UM 21/06/10].

Apa pun alasan yang diberi, sesungguhnya apa yang dilakukan oleh kerajaan sekular Malaysia ini hanyalah satu usaha untuk menakut-nakutkan rakyat terhadap perjuangan menegakkan Islam. Inilah hasil kejayaan Barat yang berjaya membuatkan pemimpin umat Islam tak henti-henti menari dengan gendang war on terror yang dipalu mereka. Natijahnya, Barat tidak perlu berusaha keras untuk menghapuskan Islam, kerana ternyata pemimpin ini sudah berjaya dimabukkan untuk tujuan ini. Nampaknya kempen ‘war on terror’ kuffar Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) masih disahut baik oleh pemimpin Malaysia biarpun sudah hampir satu dekad ia berlalu. Biarpun seluruh dunia tahu bahawa war on terror  sebenarnya adalah war on Islam (perang ke atas Islam), namun pemimpin Malaysia nampaknya masih tetap tidak mahu berganjak dari berkiblatkan Barat. Kita semua tahu bahawa, baik terorisme atau ektremisme yang dicanangkan oleh Barat terutama AS, hanyalah sebuah metafora untuk mereka menceroboh, menangkap, membunuh dan menghina kaum Muslimin dan yang paling penting, mereka ingin memastikan agar Islam tidak bangkit sebagai kekuatan sebuah negara (Khilafah).

Sebab Muncul Kumpulan Jihad Islam

Dalam usaha kerajaan untuk memerangi pengganas, semestinya mereka tidak boleh lari dari mensasarkan kumpulan jihad Islam. Sama ada kita pernah atau tidak pernah mendengar bahawa kumpulan ini wujud atau  pernah melakukan keganasan, hal ini tidaklah begitu relevan bagi pemerintah kerana ‘kumpulan jihad’ ini dan ‘aktiviti’ mereka boleh ‘diwujudkan’ pada bila-bila masa sahaja. Yang penting bagi pemerintah adalah mengaitkan apa jua aktiviti fizikal dengan keganasan, kerana inilah ‘aqidah’ yang telah diajar oleh AS kepada mereka. Bagi yang prihatin, cuba kita tanya atau kaji dengan jernih, mengapakah gerakan jihad ini wujud? Sebagai Muslim, kita semua tahu bahawa jihad adalah sebuah kewajipan, malah ia merupakan puncak kepada Islam [Al-Hadis]. Terlalu banyak nas yang menerangkan tentang kewajipan jihad, baik dalam Al-Quran mahupun Al-Hadis. Semua pemimpin umat Islam dari Rasulullah SAW, Khulafa’ Rasyidun, Khulafa’ Umawiyyah, Khulafa’ Abbasiyyah sehinggalah kepada Khulafa’ Uthmaniyyah, mereka semua tidak putus-putus berjihad melawan darul kufur dan orang-orang kafir. Malangnya sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), jihad sudah tidak lagi dilaksanakan oleh pemimpin umat Islam. Bertambah malang apabila para pemimpin dan ulama yang digaji mereka telah menghapuskan hukum jihad dan menyelewengkan makna jihad kepada jihad diri, jihad keluarga, jihad ekonomi dan seumpamanya. Lebih buruk dari itu, para pemimpin ini berusaha pula untuk menghapuskan mana-mana umat Islam yang ingin berjihad melawan orang-orang kafir harbi (kafir yang memerangi Islam).

Sejak kejatuhan Daulah Khilafah dan hukum jihad dihapuskan oleh pemimpin sekular, umat Islam ditindas dengan begitu kejam oleh pemimpin mereka sendiri dan diperangi pula oleh puak kuffar, khususnya Barat. Begitu ramai umat Islam dibunuh di seluruh dunia, negeri-negeri mereka diceroboh, rumah-rumah mereka diroboh, kesucian mereka dinodai, kekayaan negara mereka dikaut, harta-harta mereka dirampas dan banyak penderitan lain lagi dialami oleh kaum Muslimin. Semua ini dilakukan oleh kuffar Barat dengan begitu brutal dan mudah sekali kerana adanya bantuan (baca: pengkhianatan) dari para pemimpin Muslim itu sendiri yang tunduk patuh kepada Barat. Di samping mengalaminya sendiri, sebahagian besar kaum Muslimin menyaksikan kesemua kesengsaraan ini di depan mata mereka. Mereka menyaksikan bagaimana saudara-saudara mereka dibunuh tanpa peri kemanusiaan oleh puak kuffar dan oleh pemimpin mereka sendiri. Mereka menyaksikan Palestin dirampas, Afghanistan dan Irak diceroboh, Kashmir, Bosnia, Chechnya, Pakistan, Bangladesh, Uzbekistan dan banyak negara Muslim lain dicengkam oleh puak kuffar. Negeri-negeri ini kesemuanya diperintah oleh boneka Barat dan mereka menjadi anjing-anjing yang setia kepada Barat. Manakala negeri-negeri Muslim lainnya diperintah oleh pemimpin sekular yang bencikan Islam dan tidak pernah mahu menerapkan Islam, malah memerangi rakyatnya sendiri yang ingin menerapkan Islam.

Natijah dari semua itu, sudah sewajarnyalah muncul kaum Muslimin yang ikhlas yang tidak sanggup menyaksikan semua penderitaan dan kejahatan terus berlaku. Mereka mengharapkan pemimpin mereka agar menerapkan Islam dan berjihad melawan kuffar. Malangnya pemimpin mereka membenci Islam, menerapkan hukum kufur dan berlutut menyembah Barat. Akibatnya, kumpulan kaum Muslimin yang ikhlas ini berusaha untuk mengakhiri semuanya ini dengan jalan terjun ke medan jihad untuk melawan keganasan Barat dan keganasan penguasa umat Islam yang bersekongkol dengan Barat. Sungguh, munculnya gerakan jihad ini adalah disebabkan oleh kejahatan pemimpin sekular itu sendiri, yang-

(i) tidak mahu menerapkan hukum Islam, sebaliknya menerapkan hukum kufur dalam pemerintahan, dan

(ii) disebabkan oleh pengkhianatan pemimpin sekular ini yang tidak pernah menghantar tentera untuk berjihad melawan puak kuffar, walhal mereka memiliki tentera yang ramai. Kita dapat bayangkan jika pemimpin kaum Muslimin hari ini menerapkan hukum Islam dan menerapkan hukum jihad (melancarkan jihad), maka sudah semestinya gerakan jihad ini tidak lagi perlu wujud. Jika benar mereka ingin berjihad sekalipun, maka mereka tidak perlu mewujudkan ‘gerakan jihad’ kerana pintu jihad sentiasa terbuka untuk mereka. Mereka dengan mudah boleh memohon kepada pemerintah untuk menjadi tentera dan Insya Allah mereka akan berperang dan beroleh syahid di jalanNya.

Bila Boleh Memberontak?

Kemunculan gerakan jihad ini bukanlah didorong atas dasar emosi dan semangat semata-mata, malah beberapa gerakan jihad mendasari tindakan mereka berpandukan nas yang sahih. Nas yang sering digunakan adalah hadis dari Ubadah bin Samit yang berkata,

“Nabi SAW mengajak kami (membaiatnya), lalu kami membaiat beliau. Kemudian beliau mengajarkan kepada kami bagaimana kami perlu membaiat. Lalu kami membaiat beliau untuk mendengarkan dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan yang kami senangi ataupun kami tidak senangi, dalam keadaan sulit ataupun lapang, serta dalam hal tidak mendahulukan urusan kami, juga agar kami tidak merebut kekuasaan dari seorang pemimpin, kecuali (sabda beliau), ‘Kalau kalian melihat kufran bawahan (kekufuran yang nyata) yang dapat dibuktikan berdasarkan keterangan dari Allah”
[HR Bukhari & Muslim].

Secara umumnya berdasarkan banyak nas, kaum Muslimin diwajibkan untuk mentaati penguasa dan dilarang (haram) memisahkan diri atau memberontak (melawan) penguasa yang dilantik secara sah dari segi syarak. Bagaimanapun, berdasarkan hadis di atas, kaum Muslimin dibenarkan memerangi penguasa dengan pedang (kekerasan) jika wujud satu keadaaan yakni “kufran bawwahan” (kekufuran yang nyata). Ertinya, jika seorang penguasa telah melakukan kekufuran yang nyata, maka kaum Mukmin wajib melepaskan ketaatan dari mereka dan diperbolehkan memerangi mereka dengan pedang. Ibnu Hajar, tatkala memberi komen mengenai hadis di atas menyatakan, jika kekufuran penguasa boleh dibuktikan dengan ayat-ayat, nas-nas atau berita sahih yang tidak memerlukan takwil lagi, maka seseorang itu wajib memisahkan diri darinya. Akan tetapi, jika bukti-bukti kekufurannya masih samar dan masih memerlukan takwil, seseorang itu tetap tidak boleh memisahkan diri dari penguasa [Al-Hafidz Ibnu Hajar, Fath al-Bariy, juz 13/8-9].

Di dalam Syarah an-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, dijelaskan sebagai berikut, “Al-Qadhi ‘Iyadh berkata, ‘Para ulama telah sepakat, bahawa jawatan imamah (Khilafah) tidak boleh diserahkan kepada orang kafir sekiranya tiba-tiba kekufuran itu menimpa dirinya. Dalam keadaan seperti ini ia wajib dipecat’. Beliau berkata, ‘Ketentuan ini juga berlaku jika ia meninggalkan penegakan solat dan dakwah untuk mendirikan solat’. Lalu Imam Nawawi berkata, ‘Al-Qadhi berkata, ‘Seandainya Khalifah terjatuh ke dalam kekufuran, atau mengubah syariat, atau melakukan bid’ah yang boleh mengeluarkan dirinya dari jawatan ketua negara, maka ia tidak wajib ditaati. Kaum Muslimin wajib mengangkat senjata, memecatnya dan mengangkat Imam adil yang baru, jika mereka mampu melakukan hal itu” [Imam al-Nawawi, juz VIII, hal. 35-36].

Syeikh Abdul Qadim Zallum menyatakan bahawa kaum Muslimin wajib mentaati penguasa dan dilarang memisahkan diri, kecuali sabda Nabi “jika kalian (kita) melihat kekufuran secara nyata dan kalian memiliki bukti yang kuat dari Allah.” Ini menunjukkan bahawa seorang Muslim wajib memisahkan diri dari penguasa, bahkan boleh memerangi mereka dengan pedang, jika telah terbukti dengan nyata dan pasti, bahawa penguasa tersebut telah terjatuh ke dalam “kekufuran yang nyata.” Akan tetapi mesti difahami bahawa yang dimaksudkan dengan kufran bawwahan itu adalah kekufuran yang boleh dibuktikan dengan dalil yang qath’ie (pasti) bahawa ia jelas-jelas sebuah kekufuran. Ini adalah kerana Rasulullah SAW tidak hanya berhenti di situ (kufran bawahan), tetapi baginda meneruskan dengan sabda baginda, “yang kalian memiliki burhan (bukti) di hadapan Allah”. Kata burhan tidak boleh digunakan selain untuk menunjukkan dalil yang qath’ie. Oleh itu, adanya dalil yang qath’ie menjadi salah satu syarat memisahkan diri. Sekiranya masih ada bukti yang masih samar, apakah kufur atau tidak, atau hanya dengan bukti yang bersifat dzanni (dugaan) bahawa telah wujud kekufuran, maka tetap tidak boleh memisahkan diri dari penguasa [Nidzam al-Hukmi fi al-Islam].

Berdasarkan nas di atas, ada gerakan/umat Islam yang menafsirkan bahawa sekarang telah wujud keadaan ‘kufran bawwahan’ yang dijelaskan oleh Nabi SAW yang justeru membolehkan, malah mewajibkan umat Islam untuk berjihad melawan penguasa. Persoalannya, benarkah kefahaman ini dan adakah hadis ini terpakai dalam konteks pemerintahan sekarang? Dalam hal ini, ingin kami nyatakan bahawa kami (Hizbut Tahrir) menerima perbezaan pendapat dalam penafsiran yang masih Islamik, namun perlu kami tegaskan bahawa kefahaman seperti di atas adalah keliru kerana alasan berikut: Maudhu’ (subjek) pembahasan atau penunjukkan dalil hadis ini adalah terhadap pimpinan Islam (Khalifah) di bawah sistem pemerintahan Islam (Khilafah), bukannya terhadap pemimpin kafir atau pemimpin Islam di bawah sistem-sistem pemerintahan kufur seperti yang ada sekarang baik sistem demokrasi, teokrasi, otokrasi, federasi dan seumpamanya. Dengan kata lain, hadis ini tidak terpakai terhadap pemerintah dan sistem pemerintahan yang berjalan sekarang. Ini kerana, hadis tersebut menyentuh tentang pemberontakan yang mesti dilakukan ke atas Imam (pemimpin) yang sah dilantik dengan cara bai’at tetapi mereka kemudiannya menampakkan kekufuran yang nyata. Adapun pemerintahan sekarang, ia bukan lagi Khilafah yang memerintah berdasarkan Islam kemudian bertukar menerapkan kekufuran yang nyata, tetapi ia adalah sebuah pemerintahan berdasarkan sistem kufur sejak dahulu (sejak 1924) lagi.

Muhammad Khair Haekal, dalam Jihad wa al-Kital Fi as-Siyasah as-Syar’iyyah menjelaskan bahawa kewajiban memerangi penguasa yang telah termasuk ke dalam “kekufuran yang nyata” berlaku hanya ke atas penguasa yang sebelumnya menerapkan sistem Islam, kemudian ia mengubahnya menjadi sistem kufur. Hanya pada ketika (transisi) inilah, umat Islam wajib mencegah tindakan penguasa tersebut sekalipun dengan mengangkat senjata. Mencermati hadis tersebut dengan cara yang benar akan menghantar kepada kefahaman bahawa bolehnya memerangi penguasa adalah dalam keadaan di mana “an tarau kufran bawwahan” (apabila kamu melihat kekufuran yang nyata). Lafaz “illa an tarau” (kecuali kamu melihat) membawa erti bahawa, ‘sebelum ini kamu tidak melihat, sekarang (baru) kamu lihat’. Dengan kata lain, ia bermaksud bahawa sebelum ini kita tidak pernah menyaksikan kekufuran yang nyata, kemudian sekarang (baru) kita menyaksikannya. Maka, dalam kondisi transisi seperti inilah, baru kita dibenarkan mengangkat senjata. Faktanya sekarang, rata-rata kita (umat Islam) pada hari ini telah hidup (dilahirkan) dalam sistem yang sudah pun termasuk dalam keadaan ‘kekufuran yang nyata’. Justeru, kita tidak mengalami proses transisi tersebut. Maka, hadis yang membolehkan kita mengangkat senjata terhadap penguasa tidak terpakai kepada kita sekarang. Hukum bagi kita sekarang bukanlah membunuh atau mengangkat senjata terhadap penguasa, apatah lagi jika mereka adalah Muslim, tetapi kita wajib ‘membunuh’ sistem kufur dan menggantikannya dengan sistem Islam serta menukar negeri ini kepada negeri Islam (Khilafah) dengan thariqah (metode) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW semasa baginda berjuang di Mekah sebelum tegaknya Negara Islam Madinah. Dan thariqah Rasulullah tidak pernah mengangkat senjata atau menggunakan kekerasan untuk mendirikan sebuah negara.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita perlu faham bahawa bukanlah hadis mengangkat senjata ini tertolak, cuma ‘hukum’nya tidak berlaku (sekarang). Bagaimanapun hukumnya akan tetap berlaku bila ‘keadaannya’ wujud. Keadaan/hukum ini pernah wujud satu ketika dahulu iaitu tatkala pemerintahan Khilafah bertukar dari pemerintahan Islam kepada pemerintahan kufur (yakni) di akhir-akhir pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah apabila satu per satu negeri-negeri umat Islam terpisah dari Daulah lalu menerapkan kekufuran. Mustafa Kamal Attartuk laknatullah alaihi telah menerapkan kekufuruan yang nyata ke atas kaum Muslimin di Turki dengan menggantikan sistem Islam kepada sistem kufur/sekular. Kaum Muslimin di seluruh penjuru dunia pada waktu itu wajib bangkit untuk memerangi kekuasaan Mustafa Kamal, sebagai kekuasaan yang telah menampakkan kekufuran yang nyata, yang belum pernah mereka saksikan sebelumnya. Namun sayang, kewajiban ini hanya dilakukan oleh beberapa kerat individu sahaja waktu itu dan sebahagian besar kaum Muslimin lainnya tidak melakukan apa-apa. Keadaan kufran bawwahan ini terus berlangsung sehingga kini, sehingga kita yang hidup saat ini sudah tidak lagi berada dalam ‘transisi pemerintahan’ Islam-kufur, tetapi telah lama berada dalam keadaan kufran bawwahan iaitu sejak kita lahir lagi. Kerana itulah, hadis mengangkat senjata di atas tidak lagi terpakai dalam konteks kita sekarang. Walaupun demikian, kita mesti ingat bahawa haram untuk kita berdiam diri dalam keadaan kufran bawwahan yang wujud sekarang. Kita wajib berusaha menggantikan sistem demokrasi kufur yang ada ini dengan sistem Islam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Setiap dari kita wajib berusaha menegakkan kembali Daulah Khilafah yang dengan cara ini sahajalah, kesemua kufran bawwahan dapat dihapuskan, Insya Allah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s