Pedoman Sistem Pendidikan Sekular: Fesyen Untuk Meraih Manfaat, Bukan Untuk Menutup Aurat!!

Posted: July 20, 2010 in berita sana > situ > sini
Tags: , , ,

Pedoman Sistem Pendidikan Sekular: Fesyen Untuk Meraih Manfaat, Bukan Untuk Menut up Aurat!!

PARA pemenang bergambar bersama Naib Canselor UiTM Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid (kemeja batik)

PARA pemenang bergambar bersama Naib Canselor UiTM Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid (kemeja batik)

Elemen Rekaan Eksklusif

PADA setiap tahun, para pelajar Fakulti Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah menamatkan pengajian akan mempamerkan hasil rekaan masing-masing dalam satu pertunjukan fesyen khusus untuk mereka.

Mereka akan diberikan tema tertentu sebagai panduan dalam hasil rekaan pada setiap kali pertunjukan fesyen diadakan.

Tahun ini tema Elemen telah dipilih sempena Pertunjukan Fesyen Ijazah 2010 pelajar-pelajar Fakulti Seni Reka Fesyen UiTM yang diadakan baru-baru ini di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.

Elemen merupakan pertunjukan fesyen yang mempamerkan koleksi rekaan kreatif pelajar-pelajar semester akhir bagi memenuhi syarat program pengajian dua tahun Ijazah Seni Reka (Fesyen).

Bakat dan keupayaan pelajar yang memperoleh inspirasi daripada pelbagai sumber dan memilih elemen yang bersesuaian bagi projek rekaan mereka dapat dilihat daripada rekaan yang dipertontonkan.

Pertunjukan fesyen ini menggabungkan bakat, teori, rekaan, teknikal serta kebolehan pelajar-pelajar tahun akhir yang mengambil inspirasi daripada pelbagai sumber bagi menghasilkan koleksi mereka.

Setiap rekaan yang dilihat merupakan hasil titik peluh pelajar dan mempamerkan kepakaran pelajar bermain dengan elemen garisan, tekstur, perincian dan bagaimana mereka menggunakan teknik draping, pleating, ilusi dan drama yang mengangkat martabat fesyen sebagai satu hasil seni tulen.

Hasil rekaan memfokus pada satu kategori tertentu seperti koktel, kostum, kasual dan art-to-wear supaya pelajar dapat memberikan tumpuan pada setiap rekaan mereka.

Walaupun para pelajar diberi kebebasan bagi melahirkan hasil rekaan namun mereka tetap dipantau dan diberikan bimbingan daripada segi teknikal oleh pensyarah.

Paling penting hasil rekaan pelajar kelak mendapat pasaran daripada dunia fesyen tanah air mahu pun antarabangsa. Pun demikian, aspek estetik masih diutamakan supaya para pelajar tidak tersasar daripada rekaan yang bersesuaian dengan kehendak masyarakat Malaysia.

Usaha yang dilakukan oleh universiti yang pernah memenangi Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2008 ini merupakan satu cara ke arah melahirkan lebih ramai pereka fesyen berwibawa negara pada masa hadapan.

Seramai 44 orang pelajar sesi Disember 2009 hingga Mei 2010 telah mengambil bahagian dan setiap seorang pelajar mempersembahkan sebanyak lima helai rekaan baju yang berbeza. Ini bermakna sebanyak 220 helai rekaan dapat disaksikan pada malam persembahan yang turut disaksikan oleh Naib Canselor UITM, Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid, para pensyarah, ibu bapa dan bekas pelajar.

Sumber: Utusan Malaysia Online 02/06/2010


Pedoman Sistem Pendidikan Sekular: Fesyen Untuk Meraih Manfaat, Bukan Untuk Menutup Aurat!!

Luahan hati para aktivitis yang berada di atas Mavi Marmarra dalam misi bantuan ke Gaza yang menyaksikan kapal dengan misi ’Flotila Pembebasan – Life Line For Gaza (LL4G) bertukar menjadi tasik darah akibat serangan tentera Israel laknatullah cukup untuk membuat umat Islam dirundung kesedihan melihat kesengsaraan saudaranya. Malangnya, sebahagian remaja di negara 1Malaysia ini begitu teruja menyambut kejayaan mereka dalam merealisasikan aspirasi Barat iaitu kebebasan dan kepentingan manfaat. Keperitan yang dialami umat Islam di lain-lain belahan dunia seolah-olah tiada ada kena-mengena dengan mereka. Walhal Junjungan Mulia Muhammad Salallahu alaihi Wasallam telah mengingatkan: Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka (iaitu kaum Muslim)” [Hadis Riwayat Thabrani].

Hal ini adalah sesuatu yang tidak mengejutkan dalam dunia Kapitalis, yang mana apabila suatu perkara membawa keuntungan, nilai-nilai lain akan diketepikan. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Taala telah mengkhabarkan kepada kita mengenai kenyataan ini. Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah”. [TQM Al-An’am(6): 116].

Realitinya, ideologi Sekular-Kapitalis lah yang sedang menjadi ikutan masyarakat dunia sekarang sehingga orang Islam sendiri sesat daripada syariat yang telah diciptakan oleh Penciptanya untuk panduan hidup manusia. Inilah yang berlaku kepada para belia harapan 1Malaysia di universiti assobiyah Melayu apabila mereka diberi kebebasan dalam melahirkan hasil rekaan pakaian. Rekaan mereka hendaklah menepati salah satu kategori samada koktel, kostum, kasual dan art-to-wear yang secara jelas tidak bersumber daripada Al-Quran dan As-Sunah.

Padahal Allah SWT telah menetapkan cara berpakaian tertentu bagi umat Islam. Bagi muslimah, Allah Subhanahu wa Taala telah mensyariatkan beberapa perkara untuk dipenuhi dalam berpakaian. Antaranya adalah suruhan untuk memakai tudung (khimar) sebagaimana maksud firman Allah dalam Surah An Nur ayat 31: …dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka”, [TMQ An-Nur (24):31]

Wanita juga diperintahkan untuk mengenakan jilbab dalam kehidupan umum (public life) iaitu Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka” [TQS Al-Ahzab (33) :59], serta larangan bertabarruj (berhias).

Dengan wujudnya pelbagai rekaan pakaian seperti yang dihasilkan oleh remaja-remaja ini, kaum Muslimah akan berpakaian kerana fesyen dan bergaya untuk kecantikan dan kemewahan dan bukan untuk menunaikan kewajipannya menutup aurat di hadapan laki-laki ajnabi. Perkara ini terbukti, sebagai contoh, baru-baru ini MEGA-Utusan Malaysia dan Butik MaMa telah menganjurkan Peraduan Muslimah Bergaya Bersama Ibu Tersayang yang telah membuka ruang kepada muslimah berfesyen untuk merebut hadiah lumayan iaitu berpeluang menghadiahkan ibu dengan wang tunai RM3,000 dan produk Butik MaMa bernilai RM500 serta peluang menjadi model tudung dan pakaian untuk butik tersebut bersama duta produk.(http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Feminin&pg=fe_01.htm)

Apa yang anak-anak harapan ini lakukan adalah semata-mata untuk memenuhi kehendak duniawi mereka iaitu untuk memenuhi syarat program pengajian dua tahun Ijazah Seni Reka (Fesyen) di universiti itu. Dan sebagai kesan pemikiran kapitalis, mereka bercita-cita untuk menembusi pasaran dunia fesyen tanah air mahu pun antarabangsa dan seterusnya ke arah melahirkan lebih ramai pereka fesyen berwibawa negara pada masa hadapan.

Jadi, telah terang lagi bersuluh. Inilah produk keluaran sistem pendidikan Sekular yang melahirkan pelajar yang berorientasikan peperiksaan (exam-oriented student) semata-mata tanpa menitikberatkan pembentukan syakhsiyah Islam dalam diri setiap pelajar. Apa yang dititikberatkan adalah mereka perlu mencapai keputusan yang terbaik dalam peperiksaan untuk bersaing di pasaran kerja selepas tamat belajar.

Wahai umat Islam,
Bukalah matamu, celikkanlah mindamu,
Islam telah mengatur sistem pendidikannnya tersendiri. Sistem pendidikan Islam yang diterapkan kepada para pelajar hendaklah berteraskan aqidah Islam yang akan mencerminkan syakhsiyah Islam kepada setiap pelajar. Hasilnya, para pelajar akan meraih kecemerlangan yang seimbang dari segi akademik dan juga syakhsiyah Islamiyah kerana setiap ilmu yang diperolehinya akan digunakan untuk meraih redha Allah.

Wahai pemuda pemudi Islam sekalian!
Adakah kamu lupa pada tuntutan daripada Allah yang menciptakan kamu? Allah telah memberi peluang kepada kamu untuk berlabuh di dunia yang sementara ini bagi menyiapkan bekalan untuk hidup kekal di syurga nanti. Kesenangan-kesenangan duniawi itu hanya sebentar dan tidak kekal. Janganlah kamu terperdaya dengan kesenangan-kesenangan dunia, serta lalai dari memperhatikan urusan akhirat. Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” [TMQ Al-An’aam (6):32]

Allah telah melahirkan kamu ke dunia ini daripada rahim ibu kamu adalah untuk kamu mengabdikan dirimu kepada Allah Subhanahu wa Taala.Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi (beribadah) kepada-Ku.” [TMQ. adz-Dzariyat (51): 56]

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setetes mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), karena itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. “[TMQ Al-Insaan (76):2]

Sedarlah bahawa kamu sekarang telah dibelenggu oleh rantai demokrasi dan telah diperolok-olokkan oleh idea kebebasan ciptaan akal si Kuffar Barat. Ambillah Islam sebagai manual kehidupan kamu dan berjuanglah untuk merealisasikannya dalam kehidupan seluruh umat manusia di dunia ini. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang disebut oleh Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam dalam hadis di bawah. Na’uzubillahi min zaalik!

“Aku hairan (melihat) orang yang yakin terhadap kematian kemudian dia (masih) bergembira, aku hairan (melihat) orang yang yakin terhadap neraka kemudian dia (masih) ketawa, aku hairan (melihat) orang yang yakin terhadap kadar ketentuan Allah kemudian dia (masih) kecewa, aku hairan (melihat) orang yang melihat bagaimana dunia memutar belitkan penghuninya kemudian dia (masih) tenang hati terhadap dunia, aku hairan (melihat) orang yang yakin terhadap wujudnya hari hisab kemudian dia (masih) tidak beramal.” [HR Ibn Hibban]

Wallahua’lam

Sumber: mykhilafah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s