SN230 – TANPA KHILAFAH, ISLAM TERUS DIHINA

Posted: September 21, 2010 in Sautun Nahdhah
Tags: , , ,

SN Keluaran 17 September 2010

alt

TANPA KHILAFAH, ISLAM TERUS DIHINA
[SN230] Pada akhir Ramadhan yang lalu hinggalah menjelang Syawal, untuk ke sekian kalinya umat Islam diuji keimanan dan kesabarannya. Kali ini adalah angkara rancangan biadab sekelompok puak Kristian di Florida, Amerika Syarikat. Terry Jones, paderi sebuah gereja Dove World Outreach Center di Gainesville, Florida telah mengisytiharkan ke seluruh dunia dan menyeru warga Amerika untuk memperingati Tragedi 11 September 2001 dengan menjadikannya sebagai “International Burn a Koran Day” (Hari Membakar Al-Quran Antarabangsa). Sebelumnya, iaitu pada akhir bulan Julai lalu, mereka melakukan propaganda keji dan permusuhan terhadap Islam dengan menyatakan “Islam is Of The Devil” (Islam adalah syaitan). Terry Jones menuduh Islam dan hukum syariah bertanggungjawab atas aksi keganasan terhadap World Trade Center di New York. “Islam adalah syaitan. Agama itu menyebabkan jutaan orang masuk neraka, agama menipu, agama kekerasan”, katanya ketika wawancara dengan CNN. Dalam laman webnya, mereka mengemukakan sepuluh alasan mengapa Al-Quran mesti dibakar. Di antaranya, Al-Quran dianggap tidak asli, tidak mengakui Jesus sebagai Tuhan dan mengajarkan totalitarisme kekuasaan. Islam juga dianggap tidak sesuai dengan demokrasi, Hak Asasi Manusia dan Barat. Rancangan gila Jones ini mengundang kritikan hebat dari umat Islam di seluruh dunia. Malangnya pentadbiran AS langsung tidak mahu bertegas dengan Jones atas alasan ‘kebebasan’ di bawah sistem demokrasi yang mereka amalkan. Setelah kecoh dunia dibuatnya, Jones bagaimanapun membatalkan rancangannya di saat akhir.

Namun demikian penghinaan terhadap Islam tetap berlaku pada 11 September lepas, oleh sekumpulan ekstremis Kristian di AS. Empat kejadian mengoyak dan membakar al-Quran dilaporkan berlaku di New York dan Tennessee. Dalam kejadian di depan Rumah Putih, sekumpulan penganut Kristian Konservatif mengoyak beberapa muka surat senaskhah Al-Quran sempena ulang tahun serangan 9/11. Sambil mengoyak, mereka menjerit, “Kata-kata palsu bahawa Islam adalah agama keamanan mesti dihentikan”. Seorang daripada mereka kemudian berkata, “Satu-satunya sebab saya tidak membakarnya dalam kawasan Rumah Putih ialah melakukannya adalah jenayah. Bangunan berkembar (WTC) musnah kerana Al-Quran dan ajarannya “. Dalam kejadian lain di Lower Manhattan, seorang lelaki yang membantah pembinaan masjid di tapak berhampiran Ground Zero (tempat runtuhnya WTC) mengoyakkan beberapa muka surat daripada senaskhah Al-Quran sebelum membakarnya. Dalam kejadian ketiga, seorang lagi lelaki mengoyakkan dan membuat isyarat lucah dengan kitab suci itu, mengejutkan orang lain yang melihatnya. Di satu daerah dekat Nashville, Tennessee, paderi Bob Old dan seorang lagi rakannya menggunakan pemetik api untuk membakar sekurang-kurangnya dua naskhah Al-Quran dan menggelar Islam ‘agama palsu’ [BH13/09/10].

Penyakit Islamophobia

Langkah gereja Dove World Outreach Center dan juga tindakan biadab beberapa orang paderi yang mengoyak dan membakar Al-Quran menunjukkan betapa Islamophobia (ketakutan terhadap Islam) telah merebak luas di kalangan orang Amerika, khususnya ekstremis Kristian. Apa yang dilakukan oleh puak gereja itu sesungguhnya tidak terlepas dari rencana global AS untuk ‘memangsakan’ Islam setelah serangan 11 September 2001 yang didakwa kononnya dilakukan oleh ‘teroris’ Muslim. Dunia mengetahui bahawa sejak serangan 9/11, AS melancarkan kempen war on terrorism dengan menjadikan Islam sebagai sasaran. Seluruh dunia menyaksikan bagaimana George W Bush dengan jelas menjadikan war on terrorism ini sebagai ‘perang salib’ baru terhadap Islam yang seterusnya menzahirkan Amerika sebagai sebuah negara penjajah yang buas lagi ganas.

AS telah menghancurkan Afghanistan dan Iraq dan membunuh lebih dari 1.5 juta nyawa yang tidak berdosa dengan cara yang amat kejam serta menjadikan kesemua infrastruktur di kedua negara tersebut hancur luluh. Dunia Islam hingga kini masih dilanda derita nestapa yang belum ada penghujungnya hasil dari perbuatan jahat AS ini. Di sebalik kejahatan nyata AS ke atas umat Islam ini, masih ada segelintir paderi di AS yang buta kayu cuba mengaitkan Islam dengan keganasan! Tindakan mereka ini sesungguhnya membuktikan kebenaran firman Allah SWT terhadap mereka,

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah senang kepada kalian hingga kalian mengikuti agama mereka” [TMQ al-Baqarah (2):120].

Allah SWT juga menegaskan lagi hakikat mereka itu dalam firmanNya,

Mereka (kaum kafir) tidak pernah berhenti (menimbulkan) kemudaratan atas kalian. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kalian. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi” [TMQ Ali Imran (3):118].

Sebagai Muslim, kita hendaklah sentiasa ingat akan firman Allah ini dan sentiasa waspada terhadap golongan kuffar ini. Ternyata, walaupun Jones telah membatalkan hasratnya, namun masih tetap ada paderi yang meneruskan apa yang Jones hajatkan. Ini membuktikan bahawa kebencian mereka terhadap Islam tidak pernah ada titik noktahnya.

Dari segi politik, jika kita amati betul-betul apa yang cuba dilakukan oleh Jones, kita akan faham bahawa Jones ‘tidak bersendirian’ dalam hal ini. Sekiranya si paderi gila ini tidak mendapat ‘sokongan’ dari institusi pemerintahan dan juga pihak media Barat, mana mungkin percubaannya yang tak masuk akal ini mendapat liputan yang begitu meluas? Di dalam ucapannya sempena menyambut ulang tahun kesembilan memperingati peristiwa serangan 11 September yang menyebabkan ketegangan agama, Presiden Barrack Obama menegaskan bahawa AS tidak akan pernah berperang dengan Islam. “Sebagai rakyat Amerika, kami tidak akan dan tidak pernah berperang dengan Islam,” kata Obama. “Serangan yang menimpa kami pada 11 September itu bukan berupa serangan keagamaan. Ia dilakukan oleh Al-Qaeda, iaitu sekumpulan lelaki yang menyelewengkan agama,” katanya [AFP]. Kata-kata ini tidak ada bezanya dengan ucapan John Brennan, penasihat kanan kepada Obama dalam isu terrorism ketika menyemak semula sebahagian dari dokumen baru ‘The National Security Strategy’ (Strategi Keselamatan Nasional) yang diisytiharkan oleh Obama pada akhir Mei lepas yang menyebut bahawa the United States ‘does not consider itself at war with Islam’ (AS tidak menganggap dirinya berada dalam keadaan perang dengan Islam). Selanjutnya, disebut “we have never and will never be at war with Islam” (kami tidak pernah dan tidak akan berperang dengan Islam).

Alangkah indahnya permainan kata-kata ini! Bagi Obama dan juga Brennan, pembunuhan langsung yang dilakukan oleh AS ke atas ratusan ribu umat Islam yang terdiri dari wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua yang tidak berdosa di Iraq dan Afghanistan bukanlah peperangan terhadap Islam! Ini belum lagi mengambil kira peperangan (dan pembunuhan) ‘tajaan’ AS di Pakistan, Palestin, Turki dan beberapa negara bergolak lainnya, yang kesemuanya dilakukan ke atas umat Islam. Jika ini semua bukannya peperangan ke atas Islam, lalu peperangan ke atas siapakah ini, ke atas Hindu, Buddha atau Yahudi? Orang buta sekalipun mengetahui akan kemunafikan AS ini!

Apakah Reaksi Kita?

Wahai kaum Muslimin! Sudah tidak terhitung rasanya penghinaan yang dilakukan oleh golongan kuffar ke atas agama Allah. Mereka semakin berani menghina Rasulullah SAW secara terang-terangan, dan kini untuk ke sekian kalinya Al-Quran pula dihina secara terang-terangan oleh musuh Allah ini. Hal ini amatlah menyakitkan kita, namun apa yang lebih menyakitkan ialah apabila kita menyaksikan para pemimpin kaum Muslimin yang begitu ramai masih tetap berpeluk tubuh, malah masih menjalin hubungan intim dengan Barat. Jika ada pun ketidaksetujuan, ia hanya dinyatakan dalam nada yang sungguh lembut dan merdu oleh pemimpin-pemimpin bacul ini. Tidak akan ada amaran atau gertakan dari mereka, apatah lagi untuk mengambil tindakan politik bagi menutup mulut si penghina Islam itu. Jauh sekali jika kita ingin mendengar seruan jihad dilaungkan oleh para pemimpin pengecut ini untuk ‘mengajar’ puak kuffar yang biadab tersebut. Sesungguhnya para pemimpin umat Islam hari ini sudah langsung tidak mempedulikan penghinaan yang dilakukan oleh golongan kafir ke atas kitab suci Al-Quran mahupun ke atas Rasulullah SAW. Mereka sebaliknya bersekongkol dengan Barat untuk menjahanamkan umat Islam atas alasan memerangi pengganas. Para pemimpin ini lebih sibuk menjaga tuan mereka (AS) daripada menjaga kesucian Al-Quran itu sendiri. Dengan berlakunya begitu banyak peristiwa penghinaan ke atas Islam dewasa ini dan dengan diamnya para pemimpin umat Islam hari ini, apakah kita masih mengharapkan mereka untuk menjaga Islam? Sudah terang lagi bersuluh bahawa umat Islam tidak memerlukan pemimpin seumpama ini!

Sebagai reaksi dari kebiadaban segelintir paderi yang menghina Al-Quran ini, kita telah menyaksikan kemarahan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Umat Islam semakin sedar bahawa pemimpin mereka tidak pernah menjaga Islam. Umat Islam juga semakin sedar bahawa isu kita cuma satu sahaja, yakni Islam. ‘Islam’ adalah isu umat Muhammad yang bersifat sejagat tanpa mengira negara di mana mereka tinggal, tanpa mengira bangsa atau keturunan. Ringkasnya, jika Islam dihina, maka sesiapa sahaja yang mengucap syahadah akan bangkit mempertahankannya tanpa mengira tempat. Jika Al-Quran dihina, umat Islam semakin sedar bahawa kitab suci itu bukan kitab orang Arab, Iran atau Pakistan semata-mata, tetapi ia adalah kitab kita umat Islam. Jika Rasulullah yang dihina, umat Islam semakin sedar bahawa yang dihina itu bukan Nabi orang Arab atau Nabi orang Melayu atau Nabi orang Afrika, tetapi itu adalah Nabi kita umat Islam. Pendek kata, semakin kuat penghinaan berlaku ke atas Islam, arus kebangkitan Islam semakin dapat dirasakan. Dan arus kebangkitan ini sudah tidak lagi mengira sempadan. Yang masih menjadi benteng kepada kebangkitan umat Islam adalah pemimpin-pemimpin jahat yang memerintah negara-bangsa berdasarkan hukum kufur. Merekalah yang menjadi tembok penghalang kepada penyatuan umat Islam untuk bernaung di bawah satu payung pemerintahan.

Istiqamah Berjuang Hingga Tegak Khilafah Sebagai Penyelesaian

Wahai kaum Muslimin! Bangkitlah demi mempertahan dan memperjuangkan Islam. Bangkit dan berjuanglah secara istiqamah (konsisten). Bagaimana mungkin sebahagian dari kalian masih boleh berdiam diri menyaksikan kebiadaban kuffar menghina kitab suci kalian? Sebahagian dari kalian pula masih menjadikan ‘emosi sesaat’ sebagai perjuangan di mana kalian sungguh-sungguh marah tatkala Al-Quran dihina, namun setelah isu ini reda, kemarahan kalian pun ikut reda. Janganlah kalian terus dihinggapi penyakit wahn (cinta dunia dan takut mati) yang menyebabkan kalian langsung tidak bernilai di sisi Allah. Tanyalah diri kalian sudah berapa lama kalian hidup demi mencari dunia dengan meninggalkan akhirat? Muhasabahlah diri sendiri, selama ini apakah usaha yang telah kalian lakukan untuk menegakkan agama Allah? Renungilah diri kalian sejauh manakah langkah yang telah kalian ambil demi meletakkan agama Allah sebagai agama yang paling tinggi? Hizbut Tahrir telah lama menyeru kalian dan Hizbut Tahrir tidak akan berhenti melakukannya, namun sejauh manakah kalian telah menyahut seruan kami untuk bergerak mengembalikan semula kehidupan Islam dengan jalan menegakkan kembali Daulah Khilafah? Sesungguhnya perjuangan untuk menegakkan agama Allah ini memerlukan usaha yang gigih dan istiqamah dari kaum Muslimin. Bagaimana mungkin panji-panji Islam dapat ditegakkan sekiranya perjuangan hanyalah berdasarkan emosi yang bersifat sementara? Sungguh amat mengecewakan apabila ada di kalangan kaum Muslimin yang, apabila diajak untuk istiqamah berjuang untuk mendirikan Daulah Khilafah bagi mengembalikan semula kemuliaan dan kekuatan Islam, mereka tetap berdiam diri, malah lebih buruk, ada pula yang cuba menentang. Sebahagian dari mereka pula, apabila di ajak untuk istiqamah berjuang dengan Islam, pelbagai alasan diberikan yang menunjukkan diri mereka dibelit rasa cinta dunia dan takut mati.

Selama mana umat Islam masih dibelenggu dengan kecintaan kepada dunia dan selama mana pemimpin umat Islam masih menjadi hamba kepada Barat, maka selama itulah agama suci kita ini akan terus dihina oleh musuh Allah tanpa pembelaan. Sesungguhnya golongan kuffar laknatullah tidak akan berani mencabuli kesucian Islam jika Negara Khilafah sudah wujud, sebagaimana takutnya mereka kepada Daulah Khilafah suatu ketika dahulu. Lihat sahaja bagaimana pengajaran yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap Yahudi Bani Qainuqa’ akibat dari penghinaan mereka terhadap seorang Muslimah, di mana Rasulullah SAW terus mengisytiharkan jihad ke atas golongan terkutuk itu. Begitu juga dengan peristiwa pembukaan kota Amuriyah oleh Khalifah Mu’tasim melalui jihad fi sabilillah, yang berpunca dari puak Rom menghina seorang Muslimah. Jika ‘pengajaran’ yang keras diberikan oleh Rasulullah hanya akibat seorang wanita Islam dihina, maka apatah lagi penghinaan yang dilakukan oleh puak celaka ini terhadap Kitab suci umat Islam, Al-Quranul Kareem. Jihad adalah setuntas-tuntas jawapan bagi mereka. Namun tidak ada seorang pun pemimpin Islam yang melakukannya. Betapa jauhnya pemimpin ini dari ajaran Rasulullah!

Oleh sebab musuh Allah ini tahu bahawa semua pemimpin dunia Islam yang ada adalah pengecut dan tidak akan mempertahankan Islam, malah hanya mementingkan diri sendiri dan tunduk kepada Barat, maka segala racangan jahat mereka dapat diteruskan dengan mudah. Pemimpin kaum Muslimin hanya lebih berminat untuk berdialog mencari titik temu dengan puak kuffar, walaupun di saat Islam dihina dengan hebat atau pun di saat darah umat Islam ditumpahkan dengan sewenang-wenangnya oleh golongan kuffar di depan mata mereka sendiri. Inilah sikap pemimpin umat Islam saat ini yang telah meninggalkan jihad dan melanggar perintah Allah yang bersifat qat’ie (tegas), walhal puak kuffar itu adalah kafir harbi yang wajib diperangi sebagaimana firmanNya,

Dan perangilah mereka, supaya tidak ada fitnah (kesyirikan) dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah” [TMQ al-Anfal (8):39].

FirmanNya yang lain,

Jika mereka merosak sumpah (janji)nya sesudah mereka berjanji, dan mereka mencerca agamamu, maka perangilah pemimpin-pemimpin orang-orang kafir itu, karena sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang (yang tidak dapat dipegang) janjinya, agar mereka berhenti” [TMQ at-Taubah (9):12].

Selagi mana ada pemimpin yang tidak kembali kepada hukum Al-Quran, begitulah pastinya kesucian Islam akan terus dicabuli berulang-ulang kali oleh pihak musuh.

Khatimah

Wahai Musuh Allah! Pada hari ini kamu boleh menghina kitab kami, kamu boleh menghina Rasul kami, membunuh kaum lelaki, wanita dan anak-anak Muslim kami, menyeksa dan memenjarakan saudara-saudara kami serta merampas sumber alam dan tanah-tanah kepunyaan kami.  Ini semua kerana adanya pengkhianatan dari pemimpin-pemimpin kami yang bacul. Tetapi ingatlah dan sedarlah kamu bahawasanya perkara ini hanyalah sementara sahaja.  Kebangkitan Islam sedang berlaku dan penyakit wahn itu sedang dirawat dan sedang mencair secara perlahan-lahan dengan ikatan pemikiran dan akidah Islam yang menebal dan kian utuh di kalangan umat Islam.  Kamu sudah tentunya menyedari akan hal ini, maka sebab itulah kamu melancarkan peperangan menentang keganasan dan membelanjakan wang berbillion-billion untuk memastikan Khilafah tidak akan muncul. Nantilah wahai musuh Allah! Tatkala kemenangan dari Allah Azza Wa Jalla telah tiba bagi kami dengan terlantiknya seorang Khalifah, maka di saat itu perisai kami telah kembali. Sang Khalifah akan menyeru dan menyatukan negeri-negeri kami di bawah satu pemerintahan. Daulah Khilafah yang terbentuk itu akan mengerahkan segenap kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraannya untuk membebaskan seluruh tanah kami yang kamu kuasai. Khalifah dan tenteranya akan menjaga kemuliaan dan kesucian Islam dan umatnya, seterusnya akan ‘mengajar’ kamu agar kamu jangan sekali-kali bermain dengan api kerana sesungguhnya api itu akan pasti membakar kamu. Ingatlah wahai musuh Allah! Khalifah yang akan berdiri tidak lama lagi akan berhukum dengan hukum Allah dan akan mengikuti jalan kenabian dan melalui tangannyalah kamu akan dikembalikan ke tempat kamu yang sewajarnya,

Wahai Nabi, perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah jahannam dan itu adalah seburuk-buruk tempat kembali” [TMQ at-Tahrim (66):9].

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s