Apa Nak Jadi Dengan 1Malaysia Kebanggaan Najib

Posted: September 28, 2010 in artikel.pilihan.ku, berita sana > situ > sini, dunia oh dunia...
Tags: , , , , , , ,

gejala-sosial2 rakan lelaki 3 remaja perempuan hilang direman


GEORGETOWN 22 Sept. – Dua lelaki yang ditemui bersama tiga remaja perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini, hari ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol gadis bawah umur.  Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kedua-dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu yang berasal dari Kampar dan Teluk Intan, Perak, ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.  Kedua-dua mereka ditemui bersama remaja pasangan kembar, Nurul Ain Kamarazmi dan Nurul Ashiqin, 14, serta teman sebaya, Suhaili Abd. Razak yang dilaporkan hilang di Kampar sejak 11 September lepas dan ditemui dalam sebuah flat di sini semalam.  “Berdasarkan keterangan tiga remaja wanita terbabit, mereka mengaku melakukan hubungan seks dengan dua lelaki itu ketika berada di sebuah hotel murah di Jalan Pintal Tali di sini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang mendapati terdapat kesan koyakan pada kemaluan tiga remaja perempuan terbabit dan polis kini sedang menjalankan siasatan.  Beliau berkata, mereka memberi kerjasama dan mengakui secara rela hati mengikut teman lelaki ke negeri ini pada 14 September iaitu tiga hari selepas mereka dilaporkan hilang. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 21/09/10

Penagih dadah Terengganu meningkat 1,366.67%

KUALA TERENGGANU – Terengganu merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 1,584 penagih berbanding hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus.  Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Terengganu Wan Addenan Wan Mohd. Noor berkata, daerah Besut mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 445 diikuti daerah Kemaman (351) dan Kuala Terengganu (229) manakala Dungun (188), Hulu Terengganu (128) dan Setiu (91).  “Kita dapati daerah-daerah yang berada di sempadan mencatatkan penagihan yang tinggi seperti Besut dan Kemaman manakala daerah-daerah lain juga turut meningkat,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya AADK negeri Terengganu di sini hari ini.   Beliau berkata, mengikut profil penagih, 98.2 peratus adalah lelaki dan 98.5 peratus merupakan keturunan Melayu manakala 78.53 peratus terdiri daripada golongan belia yang berumur antara 19 dan 39 tahun.  Katanya, sebanyak 32.36 peratus penagih pula mengambil methamphetamine, 12.63 peratus morfin manakala 9.72 peratus penagih amphetamine. – Bernama

Sumber: KOSMO 20/09/10


Mahasiswa IPTA buang bayi di belakang dapur

KUBANG PASU 19 Sept. – Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat menerima nasib malang apabila dibuang ibunya sendiri di belakang pintu dapur sebuah rumah di Taman Rasa Sayang di sini, semalam.  Tidak cukup dengan itu, seorang gadis dipercayai ibu bayi berkenaan telah berpura-pura kononnya ‘menemui’ seorang bayi di belakang rumah tersebut kira-kira pukul 8 malam semalam.  Difahamkan, bayi tersebut dibuang ibunya sendiri yang merupakan seorang penuntut di salah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di daerah ini.  Gadis tersebut yang berusia 20 tahun, dikatakan melahirkan bayi tersebut di rumahnya namun bertindak membuang bayinya di belakang rumah itu bagi mengelakkan perkara tersebut diketahui ramai.  Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ibrahim Mohd. Yusoff memberitahu, bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan. Menurutnya, hasil siasatan, polis kemudian menahan seorang penuntut IPTA berusia 20 tahun pada pukul 9 malam bagi membantu siasatan.  “Pelajar terbabit ditahan di kawasan berhampiran dan dia ketika ini menerima rawatan di hospital sama,” katanya.  Ibrahim berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.


Sumber: Utusan Malaysia 20/09/10

Kontraktor disyaki dera tunang hamil ditangkap

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Seorang kontraktor ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan hamil yang koma setelah perutnya dipercayai dipijak sehingga bayi dalam kandungannya gugur di Batang Kali dekat sini, Jumaat lalu.  Sumber polis memberitahu, suspek yang ditahan merupakan tunang kepada remaja perempuan berusia 18 tahun itu.  Katanya, lelaki berusia 30-an itu disyaki memukul mangsa menyebabkan tunangnya mengalami keguguran dan tidak sedarkan diri sehingga kini.  Katanya, kontraktor terbabit kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.  “Siasatan polis mendapati, mangsa sebelum ini ditemui oleh ahli keluarganya berlumuran darah dalam bilik air di rumahnya di Batang Kali pada pukul 4 pagi, Jumaat lalu.   “Ketika ditemui oleh keluarganya, remaja perempuan itu sedang menggelupur kesakitan dipercayai menghidap sawan sebelum dibaringkan di atas katil. “Ahli keluarga dan jiran mangsa kemudian menyedari wanita itu sedang hamil dan berusaha mengeluarkan bayi dalam kandungan namun tidak sempat setelah kandungannya disahkan gugur,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Sumber berkata, keluarga mangsa kemudian membawa gadis malang dan mayat bayi itu ke Hospital Selayang.   Sehingga kini, katanya, mangsa masih dirawat di hospital dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan untuk terus hidup.  Pada Jumaat lalu, pihak Hospital Selayang membuat laporan polis setelah pemeriksaan mendapati perut remaja perempuan itu ada kesan lebam disyaki dipijak menyebabkan dia mengalami keguguran dan tidak sedarkan diri.

Sumber: Utusan Malaysia 22/09/10

Apa Nak Jadi Dengan 1Malaysia Kebanggaan Najib?

Najib yang terus mengusung ke sana ke mari idea dan gagasan 1Malaysia nampaknya terus dilambakkan dengan 1001 macam masalah masyarakat yang berlaku hampir setiap hari di seluruh negara. Lihat dan perhatikanlah cebisan laporan akhbar di atas.  Pelaku dan mangsa yang terlibat rata-ratanya adalah terdiri dari golongan remaja. Apakah denyut jantung Najib tidak berdegup kencang apabila membaca dan mendengar berita-berita seperti d iatas? Hanya mereka yang pekak, bisu, buta dan mati hatinya sahajalah yang tidak merasa apa-apa dengan kejadian yang berlaku. Sedangkan jika kita perhatikan dengan sudut pandangan Islam ternyata dan terbukti betapa sistem masyarakat yang digunapakai oleh pemerintahan yang diterajui oleh Najib hari ini adalah merupakan sistem yang rosak lagi merosakkan.

Jika kita teliti dan kaji secara mendalam dan cemerlang maka sudah pasti kita akan mendapati bahawa sebenarnya sistem sekular Kapitalisme yang diwarisi oleh Najib hari inilah sebenarnya punca dan penyumbang terbesar kepada masalah-masalah yang berlaku di dalam masyarakat hari ini. Tetapi malangnya, sering kali apabila kes-kes seperti di atas diulas dan dibincangkan di mana-mana forum maka ramailah ”tokoh-tokoh yang terpilih” akan menuding 10 jari mereka kesemuanya kepada institusi keluarga, ibu-bapa dan juga individu itu sendiri tanpa ada satu jari pun yang mereka tujukan kepada pemerintah yang ada pada hari ini. Apakah mata tokoh-tokoh yang berbicara ini buta dalam melihat sistem yang diterapkan oleh pemerintah sekular hari ini sebagai penyumbang dan penyebab sebenar kepada masalah ini?

Terlampau jarang kedengaran teguran dan kritikan mahupun muhasabah yang ditujukan kepada pemerintah sekular dalam isu ini. Akibatnya kita dapat menyaksikan secara jelas bagaimana pemerintah sekular hari ini secara berterusan dengan tanpa rasa malu dan bersalah tetap tegar menerapkan dan mempertahankan sistem pemerintahan yang terhasil dari ciptaan akal-akal manusia sedangkan sistem kehidupan selain dari kehidupan Islam yang diturunkan oleh Allah SWT adalah sistem kehidupan jahiliyyah. Firman Allah SWT: ”Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al Maaidah (5) : 50].

Lihat SN083 – MASYARAKAT JAHILIYYAH DI MALAYSIA

-mykhilafah.com-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s