HIJRAH: DI MANA PERANAN MUSLIMAH??

Posted: December 15, 2010 in artikel.pilihan.ku, Takwim Hijrah
Tags: ,

Hijrah Rasulullah


1 Muharram datang lagi.  Selesai sahaja mentari merah Zulhijjah 1431 Hijrah berlabuh, sinar Muharram 1432 Hijrah menjelma.  Ketibaan bulan yang mulia ini akan diraikan dengan sambutan Maal Hijrah bersempena tahun baru kalender Islam dan bagi mengenang satu peristiwa agung dalam sejarah umat Islam, iaitu penghijrahan RasulullahSallallahu Alaihi wa Sallam dari Mekah ke Madinah.

Peristiwa hijrah merupakan titik tolak ke arah tertegaknya Negara Islam Madinah yang dipimpin oleh baginda RasulullahSallallahu Alaihi wa Sallam.  Kisah hijrah juga mengingatkan kita tentang pengorbanan umat Islam terdahulu dalam proses mengembangkan Islam di Mekah.  Kejayaan Rasulullah dan para sahabat sehingga tertubuhnya negara Islam pertama iaitu Madinah bukanlah suatu perkara yang mudah.  Selama 13 tahun Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallamberdakwah di Mekah, namun usaha dakwah Rasulullah dan para sahabat ditentang hebat oleh Kafir Quraisy Mekah.

Kafir Quraisy Mekah telah menggunakan pelbagai usaha seperti melakukan penganiayaan dan penyeksaan, menimbulkan pelbagai propaganda di dalam dan di luar kota Mekah, dan melakukan pemboikotan terhadap umat Islam.  Semua ini dilakukan dengan harapan Rasulullah akan menghentikan dakwah baginda, namun semua usaha mereka tidak berhasil.  Rasulullah dan umat Islam terus menyampaikan risalah Islam walaupun dalam serba kekurangan.

Setelah lebih 10 tahun menyampaikan risalah Islam di Mekah, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menyedari bahawa meneruskan dakwah di Mekah tidak akan membuahkan hasil kerana masyarakat Quraisy Mekah sering berfikiran dangkal, berhati batu dan cenderung kepada kesesatan.  Oleh itu, baginda mula merancang untuk menyebarluaskan dakwah kepada masyarakat lain.  Lalu baginda mula memikirkan tentang kemungkinan untuk hijrah dari Mekah.

Penghijrahan kaum Muslim ke Madinah dilakukan supaya mereka dapat meneruskan dakwah dalam menyampaikan risalah Islam memandangkan penduduk Madinah berpotensi dan telah bersedia menerima cahaya Islam.  Dengan bimbingan wahyu, berlakulah penghijrahan Rasulullah ke Madinah.

Menelusuri Peranan Asma’ dalam Hijrah

Penghijrahan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan umat Islam ke Madinah telah dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi mengaburi mata Kafir Quraisy Mekah.  Dalam proses penghijrahan Rasulullah dan Abu Bakar ke Mekah, diriwayatkan bahawa Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Tsur selama tiga hari.  Ketika orang-orang Quraisy kehilangan jejak Rasulullah, mereka menawarkan imbuhan yang lumayan kepada sesiapa yang mengetahui tempat persembunyian Rasulullah dengan menawarkan seratus ekor unta.  Dalam masa yang sama Kafir Quraisy Mekah terus menjejaki dan mencari tempat persembunyian baginda.  Selama tiga hari mereka berusaha mencari jejak Rasulullah, tetapi gagal.  Akhirnya, orang Kafir Quraisy berhenti daripada terus mencari Rasulullah.  Setelah itu, Rasulullah dan Abu Bakar telah meneruskan perjalanan mereka ke Madinah dengan penuh berjaga-jaga.

Dalam peristiwa hijrah ini, keberanian luar biasa Asma’ Abu Bakar terserlah tatkala beliau memastikan bekalan makanan sampai kepada ayahandanya dan baginda Rasulullah di saat nyawa baginda diancam oleh kafir Quraisy.  Dalam usaha menghantar makanan, Asma’ memastikan bahawa pemergiannya menghantar makanan kepada Rasulullah dan ayahandanya tidak dapat di kesan oleh pihak Kafir Quraisy Mekah.  Asma’ mengembala kambing di belakangnya sepanjang perjalanan menghantar makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar dengan tujuan jejaknya akan terhapus oleh kambing yang digembalanya.  Asma’ telah berjaya membawa makanan untuk Hijrah Rasulullah dan ayahandanya, namun beliau terlupa membawa tali untuk mengikat makanan tersebut.  Dengan kecerdasan akalnya, beliau telah memotong dua tali yang digunakan untuk mengikat pinggangnya (wanita yang memiliki dua tali pinggang).

Asma’ tidak sekadar menjadi penghantar makanan, malah beliau juga menyampaikan berita-berita penting tentang rencana pihak musuh terhadap kaum muslimin.  Dengan kehamilannya ketika itu sedikit pun tidak mematahkan semangat Asma’ dalam memberi sumbangan kepada Islam.

Setelah Rasulullah dan Abu Bakar berangkat ke Madinah, Asma’ terus pulang ke rumah.  Setibanya di rumah, beliau telah didatangi Abu Jahal dan Kafir Quraisy yang hendak bertanyakan kedudukan Abu Bakar ketika itu.  Dengan tenang Asma’  menjawab, “Demi Allah aku tidak tahu ke mana ayahku pergi!”.  Abu Jahal berasa tidak puas hati dan sangat marah.  Dia menampar pipi Asma’ sehingga subang yang dipakai ditelinganya tercabut.  Setelah itu, Abu Jahal dan Kafir Quraisy beredar dari rumahnya.

Diriwayatkan dari Ibnu Ishaq, sesungguhnya Asma’ tidak mengetahui ke mana hala tuju baginda Rasulullah dan ayahandanya sehinggalah Asma’ mendengar syair yang didendangkan oleh seorang penyair.  Daripada bait-bait syair tersebut, barulah Asma’ tahu bahawa Rasulullah dan ayahandanya menuju ke Madinah.

Begitu hebat dan cekalnya hati Saidatina Asma’ binti Abu Bakar dalam kita menelusuri peranannya dalam peristiwa hijrah. Asma’ telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai muslimah yang unggul, bagaimana dengan muslimah masa kini? Sudahkah muslimah hari ini melaksanakannya?

Di Mana Peranan Muslimah?

Jika Asma’ sanggup mempertaruhkan nyawanya demi kelangsungan Islam, adakah kita juga sanggup?  Adakah sejarah pengorbanan Asma’ ini hanya sekadar lintasan sejarah?  Apakah bezanya kita dengan Asma’ sehingga kebanyakan daripada kita sering memberi alasan untuk berkorban demi Islam?  Asma’ adalah wanita biasa, sama seperti kita. Yang membezakan antara kita dan Asma’ adalah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala.  Adakah mustahil untuk kita memiliki iman sehebat Asma’ ?  Tidak wahai muslimah, semua itu tidak mustahil!  Setiap daripada kita berpeluang beriman kepada Allah sehebat Asma’  dan tidak mustahil untuk menjadi lebih hebat daripada Asma’.

Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah.” [TMQ al-Baqarah (2):207]

Wahai Muslimah,

Kalian mempunyai peranan besar dalam dunia Islam.  Kalian merupakan Ummun wa rabbatul bait (pengatur urusan rumahtangga).  Di tangan kalianlah, akan lahir cendiakawan dan mujahid pembela Islam.  Di bahu kalianlah terletak satu amanah untuk mempersiapkan anak-anak menjadi pejuang Islam yang akan membawa perubahan dalam masyarakat.  Oleh itu, seorang muslimah hendaklah menyiapkan dirinya dengan persiapan rapi berkaitan Islam.  Seorang muslimah mesti memiliki pemahaman yang jernih mengenai Islam.  Setiap muslimah wajib meyakini bahawa Islam adalah rahmatan lil ‘alamin.  Seorang muslimah perlu memahami bahawa beliau merupakan asas kepada tiang negara kerana dari rahimnyalah akan lahir para mujahid pembela agama.  Dengan santun bicaranya tatkala mengasuh anak-anaknyalah akan tertancapnya semangat jihad dalam generasi seterusnya.

Keperibadian anak terbentuk daripada pembentukan pemikiran oleh ibunya sendiri.  Jika anak ditanam dengan asastsaqafah (culture) dan aqidah yang benar iaitu aqidah Islam, InsyaAllah generasi yang terhasil adalah generasi yang memahami kehidupan dan perjuangan seorang Islam.  Oleh sebab itu, besarnya tanggungjawab seorang ibu kerana di bahunya terletak satu amanah untuk melahirkan generasi yang cemerlang pada kaca mata Islam.  Namun, adakah para ibu hari ini benar-benar telah melaksanakan amanah ini?  Adakah para Muslimah hari ini telah menyiapkan diri mereka dengan ilmu Islam yang cukup bagi menyempurnakan tanggungjawab mereka sebagai seorang ibu?  Di sinilah seorang Muslimah memulakan langkah.  Setiap muslimah perlu menyiapkan diri mereka dengan ilmu Islam yang cukup dan mantap serta memahami kewajipan mereka sebagai seorang muslimah.

Wahai muslimah,

Kalian juga bukan sekadar Ummun wa rabbatul bait.  Kalian juga memiliki peranan yang sama dengan lelaki dalam usaha menegakkan Islam.  Kalian juga tertaklif dengan kewajipan berpolitik, sama seperti kaum Adam.  AllahSubhanahu Wa Taala memerintahkan lelaki dan wanita melibatkan diri dalam parti politik selaras dengan firmanNya:

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada Islam, mengajak melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang beruntung [TMQ al-Imran (3):104]

Diriwayatkan semasa pemerintahan Khalifah Umar, seorang wanita telah memuhasabah undang-undang yang melarang wanita meminta mahar yang tinggi dan bagi yang telah mendapat mahar yang tinggi harus mengembalikannya.  Hujah wanita itu, undang-undang tersebut bertentangan dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala:

“ Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedangkan kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya walau sedikit pun..” [TMQ an Nisa’ (4):20]

Khalifah Umar pun terus menukar arahannya dengan mengatakan: “Benar perkataan wanita itu!”

Jelaslah wanita tidak terlepas daripada bebanan politik seperti mana wanita-wanita terdahulu.  Apa lagi alasan kalian wahai muslimah?

Khatimah

Wahai Muslimah, jadilah seperti Khadijah yang sentiasa setia menyokong dakwah Rasulullah sehingga akhir hayatnya.  Saidatina Khadijah bukan sekadar menyokong, tetapi bersama-sama menyampaikan risalah Islam.  Saidatina Khadijah membantu Rasulullah berdakwah, membelanya, mengeluarkan harta bendanya untuk dakwah dan sangat mencintai suaminya di saat orang ramai memperlekeh dan membenci baginda.  Beliaulah yang berada di sisi Rasulullah dan menyokong dakwah Nabi dengan setia sehingga akhir hayatnya.  Suatu ketika Nabi mengenang wanita yang sangat dicintainya itu : “Demi Allah, tiada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman ketika semua orang engkar, yang percaya kepadaku ketika semua pihak mendustakan, yang mengorbankan hartanya ketika semua berusaha mempertahankannya dan daripadanyalah aku mendapat keturunan”.

Muslimah mesti menyedari bahawa masyarakat Islam tidak mungkin akan terbina dan Daulah Islam tidak akan tertegak jika wanitanya tidak memahami Islam, tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan, tidak berdakwah ke jalan Islam, tidak melahirkan generasi pejuang Islam, tidak mengasuh anak-anak dengan fikrah Islam yang hakiki dan tidak menyokong suaminya yang berjuang menerapkan Islam.  Di sinilah terdapat banyak hal yang menuntut peranan dan pengorbananmu wahai Muslimah! 

 

Wallahu „alam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s