SN238 – AMERIKA DITATANG, ISLAM DITENTANG!

Posted: December 22, 2010 in Sautun Nahdhah
Tags:

SN Keluaran 12 November 2010

alt

AMERIKA DITATANG, ISLAM DITENTANG!

 

[SN238] Setelah menangguhkan lawatannya sebanyak dua kali, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama akhirnya tiba jua ke Indonesia pada 9 November lepas. Sebelum kedatangannya, Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) telah melancarkan kempen besar-besaran untuk menolak kehadiran presiden negara penjajah itu. HTI telah menyelenggarakan perhimpunan ulama di kota-kota utama di Indonesia di mana ribuan ulama telah bersepakat untuk menolak kehadiran Obama kerana ia bertentangan dengan Islam. “Obama adalah presiden negara kafir muharibah fi’lan (negara yang sedang berperang dengan umat Islam) dan tidak layak diterima sebagai tetamu”, demikian ujar Ustaz Ismail Yusanto, jurucakap rasmi HTI. Kemuncak kepada usaha untuk menekan presiden Susilo Bambang Yudhoyono agar tidak menerima kehadiran rakan sejawatnya dari AS itu adalah demonstrasi besar-besaran yang dilakukan oleh HTI pada 7 November dengan menyaksikan lebih kurang 15 ribu anggota dan penyokong Hizbut Tahrir berarak dari Istana Negara hingga ke depan Kedutaan Besar AS, dengan membawa slogan dan sepanduk membantah keras lawatan Obama ke Indonesia. Di Malaysia, lebih kurang seminggu sebelumnya, Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton telah melakukan lawatan ke sini.
Sungguh aneh dengan lawatan Hillary ke Malaysia kerana akhbar-akhbar utama seperti menyembunyikan tarikh tepat lawatannya. Laporan rasmi akhbar hanya menyebut bahawa Hillary ‘akan melawat’ Malaysia dan dalam jadualnya akan menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pertemuan Hillary-Anwar juga adalah suatu yang janggal kerana biasanya lawatan rasmi seseorang wakil negara hanyalah untuk berjumpa dengan ketua negara yang dilawati. Namun, hal ini dapat difahami kerana Anwar sememangnya ada hubungan rapat dengan AS. Namun apabila tiba di Malaysia, Hillary tiba-tiba membatalkan pertemuannya dengan Anwar tanpa sebab. Walaupun sekali pandang hal ini seolah-olah perkara biasa sahaja, namun bagi mereka yang celik politik tentunya dapat membaca bahawa parti pembangkang Malaysia sebenarnya telah terperangkap dengan kelicikan Hillary. Dengan tidak menghebahkan tarikh tepat kedatangannya dan dengan ‘mengisytiharkan’ jadualnya untuk bertemu Anwar, ternyata Hillary telah berjaya mengelak ‘protes’ dari umat Islam di Malaysia pada lawatannya ini. Harapan kita untuk menyaksikan parti Islam terbesar Malaysia mengadakan demonstrasi besar-besaran menolak Hillary (sebagaimana lawatan Condoleeza Rice dahulu), tidak kesampaian, hanya kerana kelicikan Hillary yang mengatakan ingin bertemu dengan Anwar selaku ketua kepada pakatan pembangkang.

Walaupun kita yakin bahawa sebahagian besar umat Islam menolak kehadiran pemimpin penjajah kuffar di negara ini, namun nampaknya kerajaan Malaysia (dan Indonesia) telah berjaya membawa mereka ke sini! Malah para menteri begitu bangga dengan lawatan musuh Allah ini dan menyifatkannya sebagai penambahbaikan hubungan dua hala dengan negara super power itu. Begitulah hinanya para pemimpin umat Islam sekarang yang tanpa segan silu dan tanpa merasa bersalah sedikit pun, malah sebaliknya berbangga menyambut kedatangan ketua teroris dan syaitan besar ke negara ini. Pemimpin umat Islam ini sudah buta mata hatinya sehingga sanggup berbaik dengan AS yang sudah terang lagi bersuluh merupakan musuh Allah yang wajib diperangi. Para pemimpin ini sebaliknya memuja dan menatang AS umpama menatang minyak yang penuh, manakala hukum Islam mengenai jihad ditentang habis-habisan dan umat Islam yang ingin menegakkan Islam dilabel sebagai teroris ataupun ekstremis. Inilah hakikatnya dengan pemimpin umat Islam, sebagaimana diucap sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang menggesa golongan sederhana (moderat) supaya bersatu bergerak secara jemaah untuk menghalang mana-mana kumpulan ekstremis baik di dalam atau di luar negara. Beliau berkata, sepanjang sejarah, agama Islam tidak pernah dibina atau disebarkan melalui tindakan agresif, kekerasan atau terorisme. “Jika pendapat itu diterima, secara tidak langsung kita terpengaruh dengan dakyah bahawa Islam berkembang melalui perang dan pedang seperti juga penipuan fakta yang didakwa golongan ekstremis ini. Sebaliknya, Islam tersebar luas ke seluruh dunia termasuk ke negara kita secara dakwah berasaskan sunah Rasulullah SAW seperti penampilan akhlak terpuji dan mulia, perasaan kasih sayang, hormat menghormati, integriti dan kesederhanaan,” katanya [UM 07/11/10].

As-Siyasah Al-Kharijiyyah Dalam Islam

Setiap negara semestinya mempunyai as-siyasah al-kharijiyah (polisi luar)nya yang tersendiri, baik ia negara kafir mahupun negara Islam. Dalam konteks politik Islam, siyasah kharijiyah sesebuah negara yang berideologi adalah suatu hal yang mesti diperhatikan. Polisi luar AS sebagai sebuah negara adidaya saat ini dan sebuah negara penganut dan pengembang ideologi Kapitalis amat perlu diperhatikan oleh umat Islam. Secara ringkasnya, salah satu polisi luar AS yang terpenting saat ini adalah ‘memerangi pengganas dan juga ekstremis’ dan AS berusaha bersungguh-sungguh di dalam melaksanakan polisi luar ini. Di samping itu, sebagai negara Kapitalis, AS (di dalam melaksanakan polisi luarnya) telah menjajah dan merampas segala harta kekayaan yang ada di negara umat Islam. Atas nama memerangi pengganas juga, ratusan ribu umat Islam telah dibunuh oleh AS di dalam mencapai misinya. Manakala polisi luar negara umat Islam kini, secara amnya adalah berbaik-baik (berdamai) dengan semua negara, termasuklah AS. Dan dalam melaksanakan polisi luar ini, negara umat Islam sesungguhnya telah bersekongkol dengan kafir AS di dalam memerangi pengganas dan ekstremis. Dan pengganas atau ektremis yang dimaksudkan oleh AS (dan diterima bulat-bulat oleh pemimpin Islam) adalah ‘umat Islam’ itu sendiri.

Sesungguhnya persoalan siyasah kharijiyah di dalam Islam adalah suatu hal yang amat penting kerana ia terkait dengan hukum syarak secara langsung. Di dalam Islam, pelaksanaan siyasah kharijiyah dilakukan secara langsung oleh negara (pemerintah). Di dalam Daulah Khilafah, terdapat satu struktur yang tersendiri untuk menangani hal ini iaitu Da’irah al-Kharijiyah (Departmen Luar Negeri). Da’irah al-Kharijiyah mengurusi seluruh urusan luar negeri yang berkaitan dengan hubungan Negara Khilafah dengan negara-negara asing/kufur, apapun jenis dan bentuk hubungan luar negeri itu, baik yang berkaitan dengan aspek politik seperti perjanjian, kesepakatan damai, gencatan senjata, pelaksanaan pelbagai perundingan, tukar-menukar duta, pengiriman utusan dan delegasi serta pendirian pelbagai kedutaan dan konsulat. Begitu juga dengan perkara yang berkaitan dengan aspek ekonomi, pertanian, perdagangan, pos, telekomunikasi, pengangkutan, kabel, satelit dan sebagainya. Rasulullah SAW melakukan pelbagai bentuk hubungan luar negeri dengan negara-negara dan insititusi-institusi lainnya di mana baginda pernah mengutus Utsman bin Affan untuk berunding dengan Quraisy, sebagaimana baginda juga pernah berunding secara langsung dengan delegasi Quraisy. Rasulullah SAW juga mengirim sejumlah utusan kepada para raja, sebagaimana baginda juga menerima utusan para raja dan para pemimpin. Baginda juga pernah menjalin pelbagai kesepakatan dan perjanjian damai. Demikian pula para Khalifah sesudah baginda, mereka selalu melangsungkan hubungan politik dengan negara-negara dan institusi-institusi lain, sebagaimana mereka juga mengangkat orang yang mengurusi masalah tersebut [Ajhizah Daulah al-Khilafah Fi al-Hukm wa al-Idarah, Hizbut Tahrir].

Khalifah selaku ketua negara atau wakilnya bertanggungjawab untuk menyampaikan risalah Islam yang penuh kebaikan, keadilan dan rahmat ke seluruh dunia. Polisi ini sama sekali tidak berkaitan dengan penumpahan darah sesuka hati atau perampasan harta milik umat lain. Negara Khilafah bukan sebuah negara yang siyasah kharijiyahnya untuk merompak sumber alam milik bangsa lain dan membantai umat lain melalui sebuah peperangan. Siyasah kharijiyah Negara Khilafah juga tidak bertujuan untuk mencipta atau mencari suatu kawasan pasaran baru bagi produk dan perkhidmatan yang ia keluarkan. Itu semua bukan siyasah kharijiyah Negara Khilafah. Siyasah Kharijiyah Negara Khilafah (yang pernah dan akan kembali ditegakkan) adalah menyampaikan dakwah (kebenaran) Islam kepada umat manusia berdasarkan Quran dan Sunnah dan menghapuskan segala halangan fizikal (jika ada) dari sampainya Islam kepada mereka. Islam telah menetapkan suatu aktiviti khusus di dalam pelaksanaan siyasah kharijyah ini sekiranya terdapat halangan fizikal untuk menyampaikan agama Allah kepada manusia secara damai. Aktiviti ini bertujuan untuk menyingkirkan secara praktis segala bentuk halangan dan rintangan fizikal yang menghalangi tercapainya siyasah kharijiyah Negara Khilafah yang sangat mulia ini. Aktiviti ini tidak lain tidak bukan adalah jihad fi sabilillah. Ringkasnya,siyasah kharijiyah Negara Khilafah adalah dakwah dan jihad.

Ayat-ayat Al-Quran yang berbicara tentang jihad turun setelah Negara Islam berdiri di Madinah, bukan sebelumnya. Dalam Al-Quran, Allah SWT telah memerintahkan jihad dengan perintah yang tegas dan juga menentukan alasan peperangan dengan tujuan-tujuan yang jelas yakni kerana wujudnya kekafiran. Allah SWT berfirman,

“Dan perangilah mereka (orang-orang kafir) itu sehingga tidak ada lagi fitnah (kesyirikan) dan (agar) deen itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi) kecuali terhadap orang-orang yang zalim” [TMQ al-Baqarah (2):193].

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, perangilah orang-orang kafir yang di sekitar kamu itu dan hendaklah mereka menemui kekerasan daripadamu” [TMQ at-Taubah (9):123].

FirmanNya yang lain, “Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah dan orang-orang kafir berperang di jalan taghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu” [TMQ an-Nisa’ (4):76].

Lebih lanjut, dinyatakan secara eksplisit dalam hadis bahawa peperangan (qital) adalah metode untuk menyeru manusia dengan nilai-nilai Islam yang luhur. Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan La ila illallah Muhammad Rasulullah. Apabila mereka telah melakukannya (masuk Islam atau tunduk kepada aturan Islam) maka terpeliharalah darah-darah dan harta-harta mereka kecuali dengan jalan yang hak dan hisabnya terserah kepada Allah”[HR Bukhari & Muslim].

Kata “memerangi” yang digunakan di dalam hadis tersebut berasal dari kata “qital” yang bermaksud ‘perang fizik’ (perang bersenjata) dan tidak ada makna lain selain makna itu. Nas-nas di atas dengan jelas menunjukkan kewajipan berperang bagi kaum Muslimin. Peperangan di jalan Allah itu dilakukan dengan tujuan tertentu dan semata-mata demi mencari keredhaan Allah SWT serta untuk menyebarluaskan Islam kepada seluruh umat manusia. Inilah jihad menurut pengertian syarak. Negara-negara kolonialis kafir selalu berusaha menyerang ‘pemikiran’ kaum Muslimin kerana ketaatan kaum Muslimin dalam hal jihad ini dan mereka sangat benci dengan kaum Muslimin yang ingin menegakkan hukum tersebut. Dengan penuh kemunafikan, kaum kuffar Barat menuduh jihad sebagai sebuah sumber ‘kekerasan’ dan ‘teror’ sedangkan pada masa yang sama mereka mengganyang pelbagai bangsa dan negara khususnya umat Islam, dengan pelbagai peperangan yang mereka ciptakan. Mereka membinasakan jutaan nyawa manusia dalam Perang Dunia I dan II. Mereka menggunakan pelbagai bentuk senjata pemusnah besar-besaran yang menghancur-leburkan manusia dan kehidupan seperti di Hiroshima dan Nagasaki. Mereka melakukan pembantaian besar-besaran di Vietnam, Bosnia, Kashmir, Iraq, Pakistan, Palestin dan banyak lagi dengan menggunakan pelbagai bentuk senjata pemusnah besar-besaran terhadap umat manusia dari dulu hingga sekarang. Inilah polisi luar negeri negara-negara kuffar Barat yang sebenarnya.

Siyasah kharijiyah dalam Islam telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya secara jelas dan terbuka, bukan dengan cara sembunyi atau samar-samar dan ia merupakan sebuah polisi yang terkenal, baik di kalangan umat Islam ataupun pihak kuffar. Telah menjadi sebuah fakta yang tidak dapat dibantah oleh seluruh umat manusia di dunia bahawa sepanjang berabad-abad lamanya Islam telah tersebar dan berjaya memerintah dunia melalui jalan “dakwah dan jihad fi sabilillah”. Kedua metode ini merupakan metode peluasan Islam secara langsung dan kaum Muslimin telah memegang teguh metode ini kerana ia adalah sebuah metode yang berasal dari wahyu. Kaitan langsung antara jihad dan penyebarluasan Islam secara jelas dapat dilihat dalam hadis Rasulullah SAW yang merupakan hukum praktis yang wajib diikuti oleh umat Islam, khususnya penguasa. Imam Muslim meriwayatkan dari Sulaiman ibn Buraidah dari bapanya,

“Apabila Rasulullah SAW menunjukkan seorang pemimpin (amir) sebuah pasukan atau sebuah ekspedisi (perang), baginda SAW sentiasa menekankan kepadanya untuk bertakwa kepada Allah dan berbuat baik kepada kaum Muslimin yang turut bersamanya. Kemudian baginda SAW akan memberikan nasihat sebagai berikut, ‘Berperanglah atas nama Allah di jalan Allah. Perangilah orang-orang yang kufur kepada Allah. Perangilah dan janganlah melampaui batas, jangan berkhianat, jangan mencincang tubuh musuh dan jangan membunuh anak-anak. Apabila bertemu musuh dari kalangan kaum Musyrikin, maka ajaklah mereka kepada tiga (pilihan) dan apa pun yang mereka pilih sebagai jawapan atas tawaranmu, terimalah dan berhentilah memerangi mereka. (Pertama) Serulah mereka kepada (untuk masuk) Islam dan apabila mereka menerima seruanmu, maka terimalah ia dan berhentilah memerangi mereka. Kemudian serukan kepada mereka untuk berpindah dari wilayah mereka ke wilayah kaum Muhajirin (Darul Islam). Sampaikan khabar bahawa apabila mereka menerima seruan ini, mereka mendapat hak yang sama dengan hak yang diterima oleh kaum Muhajirin dan mempunyai kewajipan yang sama dengan kewajipan kaum Muhajirin. Jika mereka menolak untuk berhijrah (ke wilayah Muhajirin), katakan kepada mereka bahawa (kedudukan) mereka sama seperti orang Badwi Muslim iaitu tunduk kepada hukum kaum Mukminin, namun mereka tidak mendapat bahagian fai’ dan ghanimah, kecuali jika mereka mahu berperang bersama kaum Muslimin. (Kedua) Apabila mereka menolak (untuk masuk Islam), perintahkan kepada mereka untuk membayar jizyah, dan apabila mereka menerima seruan ini (membayar jizyah), terimalah mereka dan berhentilah memerangi mereka. (Ketiga) Jika mereka masih tetap menolak (membayar jizyah), maka mohonlah pertolongan kepada Allah dan majulah memerangi mereka”.

Hadis di atas merupakan ketentuan syariat yang bersifat khusus sebagai penjelasan kepada keumuman ayat-ayat Al-Quran berkenaan jihad. Berdasarkan hadis ini, Rasulullah SAW telah menjelaskan alasan (sebab) untuk melakukan peperangan sekaligus cara-cara dan peraturan dalam berjihad. Dengan begitu banyak nas Al-Quran dan Hadis yang menyentuh tentang kewajipan dakwah dan jihad, maka sungguh salah dan keliru apabila dikatakan Islam tidak berkembang dengan cara mata pedang atau peperangan. Semua kefahaman sesat ini adalah bertujuan untuk melarikan umat Islam dari berjihad dan untuk menghapuskan hukum jihad itu sendiri, sesuai dengan kehendak Barat. Hanya sahaja, perlu difahami bahawa kaum Muslim tidak dibenarkan untuk memerangi suatu kaum sebelum dakwah Islam disampaikan kepada mereka secara damai terlebih dahulu.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kami ulangi sekali lagi bahawa di dalam Islam terdapat hukum tentang siyasah kharijiyah dansiyasah kharijiyah fil Islam adalah dakwah dan jihad. Namun, sebelum jihad dilancarkan, umat manusia wajib diseru terlebih dahulu untuk masuk Islam, tanpa paksaan. Apabila mereka menerima seruan ini sehingga menjadi Muslim, maka hukum syariat yang diterapkan oleh Negara Islam akan berlaku ke atas mereka. Kaum tersebut beserta wilayah tempat tinggal mereka menjadi sebahagian dari Negara Islam. Apabila mereka menolak seruan untuk masuk Islam ini, maka mereka diseru untuk membayar jizyah, yakni suatu bentuk pungutan terhadap warganegara Daulah Islam yang non-Muslim. Kesediaan membayar jizyah ini secara tidak langsung merupakan suatu bentuk pernyataan bahawa wilayah tempat tinggal mereka telah menjadi sebahagian dari Daulah Islam. Maka sejak saat itu syariat Islam dalam urusan-urusan umum diberlakukan kepada mereka dan mereka bersama-sama dengan warganegara Islam lainnya menikmati keadilan dan keberkatan sistem kehidupan Islam. Apabila mereka masih menolak ajakan tersebut, iaitu menolak hidup dalam naungan sistem Islam, maka Negara Islam terpaksa menggunakan cara-cara militer untuk menyingkirkan segala rintangan fizik yang menghalangi penerapan hukum Islam terhadap diri mereka. Usaha ini dilakukan semata-mata  agar umat manusia hidup dalam naungan hukum dan keadilan Islam. Inilah tujuan dari pelaksanaan siyasah kharijiyah Islam, yakni untuk mengeluarkan orang-orang kafir (dan orang-orang Islam yang tinggal di negara kufur) dari hitam pekat kegelapan kekufuran menuju cahaya Islam yang indah bergemerlapan dan Insya Allah,siyasah kharijiyah yang penuh rahmat dan berkat ini akan kembali dilaksanakan apabila Daulah Khilafah tegak kembali sedikit masa lagi.

Wallahu a’lam.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s