SN239 – KEBEBASAN DI BAWAH SISTEM DEMOKRASI

Posted: December 22, 2010 in Sautun Nahdhah
Tags: , ,

SN Keluaran 26 November 2010

alt

KEBEBASAN DI BAWAH SISTEM DEMOKRASI

[SN239] Dewasa ini, di antara bencana yang paling mengerikan yang menimpa umat manusia di seluruh dunia ialah idea ‘kebebasan’ yang dibawa oleh demokrasi. Idea ini telah mengakibatkan pelbagai malapetaka secara universal, serta memerosotkan harkat dan martabat masyarakat di negara-negara demokrasi sampai ke darjat yang lebih hina daripada darjat segerombolan binatang! Sungguh, sudah berapa banyak hal atas nama demokrasi yang menjengkelkan sekaligus memuakkan, yang selalu dijaja oleh negara-negara demokrasi penjajah yang malangnya disambut baik oleh para pemimpin, ulama dan juga gerakan Islam. Amerika, Britain dan Perancis misalnya selalu sahaja menggembar-gemburkan nilai-nilai demokrasi dan Hak Asasi Manusia (HAM) di mana-mana. Padahal pada waktu yang sama merekalah yang memijak-mijak seluruh nilai kemanusiaan dan akhlak, mencampakkan seluruh hak asasi manusia dan menumpahkan darah pelbagai bangsa di dunia.
Dalam masyarakat demokrasi, hubungan antara sesama manusia telah menjadi hancur lebur hasil dari pergaulan tanpa batas di antara lelaki dan wanita yang tidak dilarang oleh undang-undang negara. Kerana itu, adalah fenomena wajar dan biasa dalam sebuah masyarakat demokrasi jika kita menyaksikan di jalan-jalan, taman-taman, stesen-stesen dan sebagainya, para wanita yang berjalan di jalanan umum atau berbaring  di taman atau di pantai dalam keadaan tidak menutup aurat atau bogel. Juga, adalah fenomena biasa bagi para pemuda dan pemudi berdua-duaan, berciuman, berpelukan dan melakukan lain-lain kelakuan yang menjolok mata di tempat-tempat umum. Semua ini mereka lakukan tanpa rasa malu dan bersalah sedikit pun, atas nama ‘kebebasan’. Malah di sesetengah negara terdapat peraturan yang membolehkan hubungan seksual dan pergaulan lelaki-perempuan dengan sebebas-bebasnya apabila masing-masing telah berumur 18 tahun. Undang-undang itu ternyata tidak sekadar membenarkan hubungan seksual dengan lawan jenis, malah lebih dari itu telah membolehkan hubungan seksual dan ‘mensahkan’ perkahwinan sesama jenis. Pelbagai perilaku seksual yang menyimpang dan abnormal telah memenuhi masyarakat demokrasi yang bejat ini. Homoseksual, lesbianisme serta pemuasan seksual dengan binatang (bestiality) begitu berleluasa. Bahkan perilaku seksual (perzinaan) secara beramai-ramai sudah menjadi trend, padahal perilaku seperti ini tidak akan dijumpai di dalam kandang-kandang binatang ternak sekalipun. Segala perilaku serba boleh yang lebih buruk dari binatang inilah yang telah menyebarluaskan pelbagai penyakit kelamin (seperti AIDS) dan juga telah menghasilkan ramai anak zina.

 

Itulah beberapa contoh kerosakan yang diakibatkan oleh sistem demokrasi di Barat, khususnya idea kebebasan individu yang selalu dilaungkan oleh penganut demokrasi. Itu pula salah satu bentuk dan penampilan peradaban yang senantiasa mereka bangga-banggakan, gembar-gemburkan dan mereka jaja ke seluruh pelosok dunia Islam. Tujuannya tak lain agar seluruh manusia, khususnya umat Islam ikut terjerumus ke dalam peradaban mereka yang sangat buruk dan keji itu. Adapun idea kebebasan individu, sesungguhnya merupakan salah satu idea yang paling menonjol dalam demokrasi. Idea ini dianggap sebagai salah satu ‘rukun’ penting dalam demokrasi, sebab dengan idea inilah tiap-tiap individu akan dapat melaksanakan dan menjalankan kehendaknya seperti yang diinginkannya tanpa tekanan atau paksaan. Rakyat dianggap tidak akan dapat mengekspresikan kehendak umumnya kecuali dengan terpenuhinya kebebasan individu bagi seluruh rakyat. Kebebasan individu merupakan satu ajaran suci dalam demokrasi, sehingga, baik negara mahupun siapa sahaja tidak dibenarkan melanggarnya. Yang dimaksud dengan kebebasan individu di bawah sistem demokrasi adalah empat jenis kebebasan iaitu (i) Kebebasan beragama (ii) Kebebasan berpendapat (iii) Kebebasan kepemilikan (iv) Kebebasan bertingkah laku. Keempat macam kebebasan ini sesungguhnya tidak ada dalam kamus Islam, sebab seorang Muslim adalah wajib mengikatkan dirinya dengan hukum syarak dalam seluruh perbuatannya. Seorang Muslim tidak dibenarkan berbuat semahunya. Dalam Islam tidak ada istilah ‘kebebasan’ kecuali dalam bab pembebasan seorang hamba dari perhambaan. Keempat-empat jenis kebebasan yang dibawa oleh demokrasi ini sangat bertentangan dengan Islam dalam segala aspeknya, sebagaimana penjelasan di bawah:-

 

1. Kebebasan Beragama/Berakidah: Kebebasan beragama berarti seseorang berhak meyakini suatu akidah yang dikehendakinya atau memeluk agama yang disukainya tanpa tekanan atau paksaan oleh orang lain. Dia berhak pula meninggalkan akidah dan agamanya, atau berpindah kepada akidah baru, agama baru, atau berpindah kepada kepercayaan non-agama (animisme/paganisme). Seseorang berhak mempercayai atau tidak mempercayai sesuatu sebebas-bebasnya tanpa ada tekanan atau paksaan. Jadi, seorang itu (termasuk Muslim) misalnya, berhak berpindah-randah atau berganti agamanya sesukanya dan bila-bila masa sahaja, tanpa boleh adanya larangan ke atasnya dari negara atau dari mana-mana pihak sekalipun.

 

Kebebasan ini sungguh bertentangan dengan Islam kerana Islam telah mengharamkan seorang Muslim meninggalkan akidah Islamiyah atau murtad dari Islam. Siapa sahaja yang murtad dari agama Islam maka dia akan diminta bertaubat. Jika dia kembali kepada Islam, itulah yang diharapkan, maka dia selamat. Tetapi jika tidak, maka dia akan dijatuhi hukuman mati, disita hartanya dan diceraikan dari isterinya. Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa menukar agamanya (Islam), maka bunuhlah ia” [HR Muslim].

 

Manakala jika yang murtad adalah sekelompok orang dan mereka tetap berkeras untuk murtad walaupun setelah diajak kembali, maka mereka akan diperangi sehingga mereka kembali kepada Islam atau dibinasakan. Hal ini seperti yang pernah terjadi pada orang-orang murtad setelah wafatnya Rasulullah SAW tatkala Abu Bakar memerangi mereka habis-habisan sehingga sebahagian mereka yang tidak terbunuh kembali kepada Islam.

 

2. Kebebasan Berpendapat/Bersuara: Kebebasan berpendapat dalam sistem demokrasi bererti bahawa setiap individu berhak untuk mengembangkan pendapat atau idea apa pun, bagaimana pun juga pendapat atau idea itu. Dia berhak pula menyatakan atau menyerukan idea atau pendapat itu dengan sebebas-bebasnya tanpa ada syarat atau batasan apapun, bagaimana pun juga idea dan pendapatnya itu. Dia berhak pula mendakwahkan idea atau pendapatnya itu dengan cara apapun, tanpa ada larangan baginya untuk melakukan semua itu baik dari negara atau mana-mana pihak, selama dia tidak mengganggu kebebasan orang lain. Maka setiap larangan untuk bersuara, mengembang dan menyebarluaskan pendapat akan dianggap sebagai pelanggaran terhadap kebebasan. Jika mereka mengeluarkan pendapat untuk menghina agama lain sekalipun, ini dibenarkan, sebagaimana mereka (golongan kuffar penganut demokrasi) telah menghina agama Islam, menghina Rasulullah SAW dan juga Al-Quran. Beginilah betapa kejinya kebebasan berpendapat/bersuara di bawah sistem demokrasi.

 

Ketentuan ajaran Islam dalam masalah ini sangatlah berbeza. Seorang Muslim dalam seluruh perbuatan dan perkataannya wajib terikat dengan apa yang terkandung dalam nas-nas syarak. Dengan demikian dia tidak boleh melakukan suatu perbuatan atau mengucapkan suatu perkataan kecuali jika dalil-dalil syar’i membolehkannya. Atas dasar itulah, maka seorang Muslim berhak bersuara dan mengembangkan pendapat apa sekalipun selama dalil-dalil syar’i membenarkannya. Tetapi jika dalil-dalil syar’i melarangnya, maka seseorang Muslim itu tidak boleh berbuat demikian. Jika dia tetap melakukannya, ini bererti dia telah melakukan dosa dan akan dikenakan uqubat (hukuman). Jadi seorang Muslim itu wajib terikat dengan hukum-hukum syarak dalam mengembang dan menyatakan suatu pendapat. Dia tidak bebas untuk melakukan semahunya. Ini dari satu sisi. Dari sisi yang lain, Islam bukan sekadar membenarkan, malah mewajibkan seorang Muslim untuk mengucapkan kebenaran di setiap waktu dan tempat. Dalam hadis Ubadah bin As-Samit ra, disebutkan, “…dan kami akan mengatakan kebenaran di mana jua kami berada. Kami tidak takut kerana Allah terhadap celaan orang yang mencela.”

Demikianlah sebagaimana Islam telah mewajibkan kaum Muslimin untuk menyampaikan pendapat kepada penguasa, mengawasi serta melakukan muhasabah atas tindakan salah mereka. Diriwayatkan dari Ummu ‘Athiyah dari Abu Sa’id ra, bahawa  Rasulullah SAW bersabda, “Jihad yang paling utama adalah (menyampaikan) perkataan yang haq kepada penguasa yang zalim.” Diriwayatkan pula dari Abu Umamah ra bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seseorang pada saat melempar jumrah aqabah, “Jihad apakah yang paling utama wahai Rasulullah? Maka Rasulullah SAW menjawab, ‘menyampaikan perkataan yang haq (benar) kepada penguasa yang zalim.” Rasululah SAW juga pernah bersabda, “Pemimpin para syuhada’ adalah Hamzah dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, kemudian dia menasihati penguasa itu, lalu ia dibunuh (oleh penguasa itu).” Tindakan yang demikian ini bukanlah suatu kebebasan berpendapat, melainkan keterikatan kepada hukum-hukum syara’, yakni kebolehan menyampaikan pendapat dalam satu keadaan dan kewajipan menyampaikan pendapat dalam keadaan yang lain.

 

3. Kebebasan Kepemilikan: Idea kebebasan pemilikan ini (yang telah melahirkan sistem ekonomi kapitalisme yang selanjutnya mengakibatkan tindakan penjajahan oleh Barat terhadap bangsa-bangsa di dunia serta perompakan kekayaan alam negara tersebut) membawa erti bahawa seseorang boleh memiliki harta atau modal dan boleh mengembangkannya dengan sarana dan cara apa sekalipun mengikut kehendaknya. Seorang penguasa dianggap berhak memiliki harta dan mengembangkannya melalui imperialisme, perampasan dan perompakan harta kekayaan alam yang ada di negaranya sendiri mahupun dari bangsa-bangsa yang dijajah. Seseorang individu pula berhak memiliki dan mengembangkan harta melalui penimbunan (kanzul mal), perjudian, riba, pelacuran, rasuah, penyelewengan atau penipuan, monopoli (ihtikar), penetapan harga tinggi secara tidak wajar (ghaban al-fahish), eksploitasi tubuh wanita, produksi dan penjualan arak dan macam-macam cara lagi.

 

Sedangkan menurut Islam, Islam telah memerangi idea penjajahan bangsa-bangsa serta perompakan atau penguasaan kekayaan alam bangsa-bangsa di dunia. Islam juga mengharamkan praktik riba baik yang berlipat ganda maupun yang sedikit. Di samping itu Islam telah menetapkan sebab-sebab kepemilikan harta, cara-cara pengembangan dan pengelolaannya. Islam mengharamkan ketentuan lain di luar cara-cara yang telah digariskan. Islam mewajibkan seorang Muslim untuk terikat dengan hukum-hukum syarak dalam usahanya untuk memiliki, mengembangkan dan mengelola harta. Islam tidak memberikan kebebasan kepada individu untuk mengelola harta sekehendaknya tetapi Islam telah ‘mengikat’nya dengan hukum-hukum syarak dan mengharamkannya untuk memiliki dan mengembangkan harta secara batil seperti dengan cara merampas, merompak, mencuri, rasuah, mengambil riba, berjudi, berzina, menyembunyi kecacatan barang dagangan, berlaku curang dan menipu, monopoli, menetapkan harga tinggi dengan tidak wajar, memproduksi dan menjual arak, mengeksploitasi tubuh wanita dan cara-cara lain yang telah diharamkan. Semua itu merupakan sebab-sebab pemilikan dan pengembangan harta yang dilarang oleh Islam. Dan setiap harta yang diperoleh melalui jalan-jalan haram, berarti ia adalah haram dan tidak boleh dimiliki dan pelakunya akan dijatuhi uqubat (hukuman). Jadi, kebebasan kepemilikan harta itu tidak ada dalam ajaran Islam, sebaliknya Islam mewajibkan setiap Muslim untuk terikat dengan hukum-hukum syarak dalam hal kepemilikan, pengembangan, dan pengelolaan harta.

 

4. Kebebasan Bertingkah Laku: Kebebasan bertingkah laku bererti kebebasan untuk lepas dari segala macam ikatan dan kebebasan untuk melepaskan diri dari setiap nilai kerohanian, akhlak, dan kemanusiaan. Juga bererti kebebasan untuk memporak-porandakan keluarga dan untuk membubarkan atau melestarikan institusi keluarga. Kebebasan ini merupakan jenis kebebasan yang telah menimbulkan segala kebinasaan dan membolehkan segala sesuatu yang telah diharamkan. Kebebasan inilah yang telah menjerumuskan masyarakat demokrasi menjadi masyarakat binatang yang sangat keji dan membejatkan moral individu-individunya sampai ke darjat yang lebih hina daripada binatang. Kebebasan ini menetapkan bahawa setiap orang, dalam perilaku dan kehidupan peribadinya berhak untuk berbuat apa sahaja mengikut kehendaknya tanpa boleh ada larangan baik dari negara atau orang lain. Idea kebebasan ini telah membolehkan seseorang untuk melakukan perzinaan, homoseksual, lesbianisme, meminum khamr, berbogel dan  melakukan  perbuatan  apa  sahaja (walaupun sangat hina) dengan sebebas-bebasnya tanpa ada ikatan atau batasan, tanpa tekanan atau paksaan. Sesungguhnya kebebasan ini telah menhancurkan martabat pelbagai masyarakat yang mempraktikkan demokrasi sampai pada darjat masyarakat binatang yang sangat rendah. Idea itu juga telah menyeret mereka untuk mengambil gaya hidup serba-boleh (permissiveness) yang lebih buruk dari binatang. Maha Benar Allah SWT yang berfirman,

“Terangkanlah kepadaKu tentang orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)” [TMQ al-Furqan (25):43-44].

 

Hukum-hukum Islam sangat bertentangan dengan kebebasan bertingkah laku yang dibenarkan dalam demokrasi. Tidak ada kebebasan bertingkah laku dalam Islam. Seorang Muslim tidak bebas, tetapi wajib ‘terikat’ dengan perintah dan larangan Allah dalam seluruh perbuatan dan tingkah lakunya. Haram baginya melakukan perbuatan yang diharamkan oleh Islam. Jika dia mengerjakan suatu perbuatan yang diharamkan, bererti dia telah melakukan dosa dan wajib dijatuhi uqubat bergantung kepada kesalahan yang dilakukannya. Islam telah mengharamkan perzinaan, homoseksual, lesbianisme, minuman keras, membuka aurat atau berbogel di khalayak ramai dan hal-hal lain yang boleh merosakkan masyarakat. Islam memerintahkan umatnya agar berakhlak mulia dan terpuji serta menjadikan masyarakat Islam sebagai masyarakat yang bersih dan sangat memelihara kehormatan, ukhwah serta penuh dengan nilai-nilai yang mulia.

 

Dari penjelasan ringkas di atas, nyata sekali bahawa nilai-nilai demokrasi yang diamalkan baik di negara Barat mahupun negara umat Islam, seluruhnya adalah bertentangan secara total dengan hukum-hukum Islam. Kesemuanya merupakan idea-idea, peradaban, peraturan, dan undang-undang kufur. Oleh kerana itu, adalah suatu kejahilan dan usaha penyesatan jika ada pihak yang mengatakan bahawa demokrasi itu adalah sebahagian dari ajaran Islam. Juga, suatu kejahilan dan penyesatan kalau dikatakan demokrasi itu identik dengan sistem syura (mesyuarat) atau parlimen, atau identik dengan konsep amar ma’ruf nahi munkar di dalam memuhasabah (memperbetulkan) tingkah laku penguasa. Walhal syura, amar ma’ruf nahi munkar dan memuhasabah penguasa adalah hukum-hukum syarak yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tanpa ada pertimbangan atau campurtangan dari demokrasi sedikitpun. Seseorang Muslim wajib melakukan semua itu, baik ia tinggal dalam sistem demokrasi, teokrasi, monarki atau sistem apa sahaja. Demokrasi bukan syura, kerana syura ertinya adalah memberikan pendapat. Sedangkan demokrasi merupakan suatu pandangan hidup dan himpunan ketentuan untuk seluruh perlembagaan, undang-undang dan peraturan, yang telah dibuat oleh manusia menurut akal mereka sendiri. Mereka menetapkan ketentuan-ketentuan itu berdasarkan kemaslahatan yang dipertimbangkan menurut akal, bukan menurut wahyu dari langit. Kaum Muslimin telah diperintahkan untuk mengambil dan melaksanakan segala perintah dan larangan Allah semata-mata kerana semua itu adalah hukum-hukum syarak. Sedangkan demokrasi bukanlah hukum-hukum syarak dan tidak berasal dari peraturan Allah. Demokrasi adalah sistem buatan manusia dan peraturan buatan manusia!

 

Maka dari itu, kaum Muslimin haram mengambil, menerap dan menyebarluaskan demokrasi atau berjuang serta mendirikan parti-parti politik yang berasaskan demokrasi. Haram pula bagi mereka menjadikan demokrasi sebagai pandangan hidup dan menerapkannya atau menjadikannya sebagai asas atau sumber bagi konstitusi dan undang-undang atau sebagai asas bagi sistem pendidikan dan penentuan tujuannya. Kaum Muslimin wajib membuang demokrasi sejauh-jauhnya kerana demokrasi adalah najis dan merupakan hukum thaghut. Demokrasi adalah sistem kufur yang mengandung pelbagai idea, peraturan dan undang-undang kufur. Demokrasi tidak ada hubungannya dengan Islam sama sekali. Kaum Muslimin wajib menerapkan dan melaksanakan seluruh ajaran Islam (bukannya ajaran demokrasi) dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Sesungguhnya demokrasi atau apa jua nilai yang dibawa oleh demokrasi adalah bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul, 

“Dan siapa sahaja yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang Mukmin, Kami biarkan mereka berkuasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.” [TMQ an-Nisa’ (4):115].

 

[Dipetik dan disunting dari kitab Ad-Dimuqratiyyah Nizam Kufr, Yahrumu Akhzuha Au Tatbiquha Au Ad-Da’watu Ilaiha, Syeikh Abdul Qadim Zallum]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s