SN246 – WANITA SEBAGAI WAKIL RAKYAT, APA HUKUMNYA?

Posted: February 6, 2011 in Sautun Nahdhah

SN Keluaran 28 Januari 2011

alt

WANITA SEBAGAI WAKIL RAKYAT, APA HUKUMNYA?

[SN246] Bahang perpecahan umat Islam datang lagi gara-gara sistem demokrasi! Sistem kufur yang berasal dari Barat ini sekali lagi meluahkan kebusukannya dalam pilihanraya kecil DUN Tenang, Johor. Seperti biasa, walaupun calon-calon yang bertanding adalah orang-orang Islam namun demi memenangi sebuah kerusi pemerintahan, segala propaganda, fitnah, penghinaan, hipokrasi, wang ringgit, janji manis dan sebagainya terus ditabur. Ini belum mengambil kira segala bentuk kerendahan akhlak, caci-maki, persengketaan, pergaduhan dan mungkin juga rusuhan yang boleh terjadi pada hari mengundi. Ratusan ribu, malah tidak mustahil jutaan ringgit dihabiskan setiap kali berlangsungnya pilihanraya, baik dari  parti-parti yang bertanding mahupun pihak kerajaan. Peruntukan kepada SPR dan PDRM setiap kali pilihan raya berlangsung bukannya sekupang dua, malah boleh mencecah jutaan ringgit.
Inilah ‘pesta’ demokrasi yang diajar oleh Barat kepada umat Islam, agar umat Islam senantiasa berpecah belah dan bergaduh sesama sendiri demi merebut apa yang dipanggil sebagai sebuah ‘kerusi’.

Dalam pilihanraya kecil kali ini, setelah sekian lama PAS tidak meletakkan calon wanita atas alasan-alasan tertentu, kini kaum Hawa itu diberi kesempatan untuk terjun ke jurang demokrasi. Bagi UMNO yang merupakan musuh tradisi PAS, calon wanita PAS ini telah memberi ‘modal besar’ kepada parti sekular itu untuk menghentam pendirian PAS selama ini terhadap wanita. Media pengampu UMNO terus diguna untuk memutarbelit kenyataan Salahuddin Ayub selaku Pengarah Pilihanraya Kecil PAS kali ini sebagai berkata, bahawa PAS telah menafsir semula Al-Quran bagi membolehkan wanita bertanding di dalam pilihanraya [BH 24/01/11]. Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS menyelar tindakan jahat UMNO yang telah melaporkan kenyataannya secara tidak benar [harakahdaily.net].

Isu sama ada wanita dibolehkan untuk menjadi wakil rakyat atau tidak sebenarnya adalah isu yang menyentuh kedudukan wanita di bidang pemerintahan, yakni yang terkait dengan persoalan, bolehkah wanita terlibat di dalam pemerintahan? Jawapan ringkas untuk persoalan ini adalah, sesungguhnya wanita diharamkan untuk terlibat di dalam bidang pemerintahan. Dengan kata lain, seorang wanita tidak dibenarkan (haram) memegang jawatan sebagai ketua negara, mu’awin (pembantu), wali (gabenor), amil dan apa sahaja jawatan pemerintahan (kekuasaan). Hal ini didasarkan kepada apa yang telah diriwayatkan dari Abu Bakrah, ia menuturkan bahawa,

“Ketika sampai berita kepada Rasulullah SAW bahawa penduduk Parsi telah mengangkat putri Kisra sebagai ratu (ketua) mereka, baginda lalu bersabda, ‘Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan (pemerintahan) mereka kepada wanita” [HR Bukhari].

Hadis ini secara jelas melarang wanita dari memegang jawatan yang melibatkan urusan pemerintahan di mana Rasulullah SAW mencela orang-orang yang menyerahkan urusan mereka kepada wanita. Waliyul-Amri (pemegang urusan) di dalam hadis tersebut tidak lain adalah penguasa (pemerintah). Allah SWT berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu” [TMQ an-Nisa’ (4):59].

Selain urusan kekuasaan (pemerintahan), wanita boleh memegang jawatan seperti qadhi/hakim (kecuali Qadhi Qudhat dan Qadhi Mazhalim), atau menjadi kakitangan awam kerana pekerjaan semacam itu tidak termasuk urusan pemerintahan tetapi termasuk kontrak kerja (ijarah).

Wanita, Majlis Umat/Syura dan Parlimen/DUN

Sebelum membahas lanjut persoalan bolehkah wanita bertanding dan seterusnya menjadi wakil rakyat, terlebih dahulu kami ingin menjelaskan bahawa kedudukan “wakil rakyat” di dalam sistem demokrasi sekarang adalah berbeza sama sekali dengan kedudukan “wakil rakyat” di dalam sistem Islam (Khilafah). Di dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia di bawah ajaran Lord Reid, wakil rakyat yang terpilih (melalui pilihanraya) akan pergi ke Parlimen/DUN. Manakala di dalam sistem Islam (Khilafah), wakil rakyat yang terpilih akan pergi ke Majlis Umat (atau dikenali juga sebagai Majlis Syura). Ramai ulama yang menduga bahawa wanita tidak boleh menjadi anggota Majlis Umat. Dugaan mereka ini adalah akibat dari tanggapan analogi yang salah terhadap Majlis Umat (dalam sistem Islam) dan Parlimen/DUN (dalam sistem kufur demokrasi). Padahal, terdapat perbezaan yang mendasar antara Parlimen/DUN dan Majlis Umat. Parlimen/DUN dalam sistem demokrasi merupakan sebahagian dari pemerintahan kerana dalam tradisi demokrasi, Parlimen/DUN memiliki bidang kuasa pemerintahan. Ini adalah kerana, Parlimen/DUN inilah yang melantik sekaligus memberhentikan ketua negara/negeri. Parlimen/DUN-lah yang berkuasa memberikan kepercayaan kepada kabinet/exco untuk mengusulkan undi tidak percaya sehingga Kabinet/exco (yang diketuai oleh Perdana Menteri/Menteri Besar) seketika itu juga boleh jatuh dari tampuk pemerintahan.

Berdasarkan undang-undang dan amalannya, Parlimen/DUN melakukan tiga perkara:-

Pertama: mengawasi dan memuhasabah (check and balance) pemerintah.

Kedua: membuat/menggubal undang-undang, dan

Ketiga: melantik serta memberhentikan penguasa. Jika dilihat Parlimen/DUN dari sisi aktiviti muhasabah dan mengawasi penguasa, memanglah ia bukan sebahagian dari pemerintahan. Akan tetapi, jika dilihat dari aspek aktiviti membuat undang-undang dan melantik serta memberhentikan penguasa, maka jelas Parlimen/DUN merupakan sebahagian dari pemerintahan.

Realiti Parlimen/DUN seperti ini jelas berbeza dengan kedudukan Majlis Umat. Tugas Majlis Umat adalah memuhasabah dan mengawasi penguasa serta mengemukakan aduan terhadap urusan yang memang perlu dibuat aduan seperti penguasa yang lalai dalam melakukan ri’ayah asy-syu’un (penjagaan urusan) umat, penguasa yang mengambil mudah urusan penerapan Islam atau penguasa yang berdiam diri tanpa melakukan aktiviti mengembang dakwah dan seumpamanya. Akan tetapi Majlis Umat tidak boleh (haram) membuat undang-undang serta tidak boleh mengangkat dan memberhentikan penguasa. Membuat undang-undang hanyalah hak Allah secara mutlak. Oleh itu, Majlis Umat ternyata berbeza dengan Parlimen/DUN yang telah mengambil hak Allah di dalam membuat undang-undang! Kerana itu, seorang wanita boleh menjadi anggota Majlis Umat kerana hal itu bukan sebahagian dari pemerintahan. Akan tetapi, seorang wanita tidak boleh menjadi anggota Parlimen/DUN kerana itu merupakan sebahagian dari pemerintahan, kecuali jika dia membatasi dirinya masuk ke Parlimen/DUN hanya untuk memuhasabah dan mengawasi penguasa serta menyampaikan dakwah di dalamnya. Itupun bergantung kepada prosedur Parlimen/DUN yang tidak bertentangan dengan Islam serta pilihanraya yang disertainya sebelum itu hendaklah bebas dari segala unsur-unsur keharaman.

Hakikat wanita yang tidak boleh memegang tampuk pemerintahan itu tidak bererti bahawa wanita tidak boleh memilih penguasa. Keharaman memegang tampuk pemerintahan itu datang dari larangan yang jelas dalam hadis. Hal ini berbeza dengan aktiviti memilih penguasa. Ini kerana aktiviti ‘memilih penguasa’ tidak menjadikan wanita sebagai penguasa, melainkan wanita hanya sekadar menjalankan hak memilih orang yang akan memerintahnya. Syara’ telah membolehkan seorang wanita untuk memilih penguasa atau memilih lelaki mana pun untuk menjalankan tugas-tugas pemerintahan. Dengan kata lain, nas membenarkan seorang wanita untuk memilih dan membaiat seorang ketua negara. Ummu Athiyah menuturkan bahawa,

“Kami membaiat Nabi SAW, lalu baginda membacakan kepada kami ‘Bahawa mereka tidak akan menyekutukan sesuatu pun dengan Allah’ [TMQ Mumtahanah (60):12] dan baginda melarang kami untuk meratap. Maka seorang wanita di antara kami menarik kembali tangannya lalu ia berkata, ‘Seorang wanita telah membahagiakan diriku dan aku ingin sekali membalasnya.’ Baginda tidak memberikan apa-apa komen. Selanjutnya wanita itu pergi, lalu kembali lagi” [HR al-Bukhari].

Baiat terhadap Nabi SAW bukanlah baiat atas keNabian baginda, tetapi baiat untuk mentaati baginda sebagai seorang ketua negara (penguasa). Hadis ini menunjukkan bahawa kaum wanita berhak membaiat penguasa dan memilihnya.

Demikian juga wanita berhak menjadi anggota Majlis Umat kerana Majlis Umat hanyalah merupakan Majlis untuk mengambil dan menyampaikan pendapat. Majlis Umat tidak memiliki bidangkuasa pemerintahan. Ia juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk memilih penguasa kecuali sekiranya umat mewakilkan hal itu kepadanya. Namun Majlis Umat sekali-kali tidak berhak untuk memberhentikan penguasa dan menggubal undang-undang. Di dalam Islam, bidangkuasa untuk memberhentikan penguasa terletak kepada Mahkamah Mazhalim. Aktiviti Majlis Umat secara keseluruhannya adalah berhubungan dengan isu ‘pendapat’ sahaja. Tugas dan aktiviti Majlis Umat adalah untuk menjadi tempat rujukan negara dalam mengambil pendapat tentang aktiviti-aktiviti dalam negara yang hendak dilaksanakan dan memuhasabah negara atas aktiviti yang telah dilakukan baik aktiviti dalam mahupun luar negara. Di samping itu, Majlis Umat dengan inisiatifnya sendiri juga boleh memberikan pendapat dan pandangan dalam berbagai urusan baik urusan dalam mahupun luar negara. Selain itu, Majlis Umat juga mempunyai bidangkuasa untuk memberikan pendapat tentang orang-orang yang dicalonkan menduduki jawatan Khalifah serta menampakkan keluhannya terhadap para Wali atau Mu’awin. Semua itu merupakan sebahagian dari aktiviti menyampaikan pendapat, tidak lebih dari itu.

Majlis Umat juga dalam sifatnya sebagai majlis syura (dan tidak mengikat) bagi Khalifah, boleh menyampaikan pendapatnya tentang hukum-hakam yang akan diterapkan oleh Khalifah. Semua itu merupakan pendapat dan bukannya aktiviti pemerintahan. Anggota-anggota Majlis Umat merupakan wakil dari umat (masyarakat) dalam mengemukakan pendapat, bukan yang lain. Mereka bukan wakil dari masyarakat dalam urusan pemerintahan, baik dalam mengangkat penguasa (kecuali jika umat mewakilkan pengangkatan penguasa itu kepada Majlis Umat), juga bukan wakil umat dalam memberhentikan penguasa. Hatta, ketika anggota-anggota Majlis Umat menzahirkan ketidakpuasan hati mereka atas sikap para Wali dan Mu’awin sekalipun, Wali dan Mu’awin tersebut tidaklah serta merta dihentikan (dilucut) jawatannya kerana pandangan mereka. Khalifahlah yang berkuasa memberhentikan para Wali dan Mu’awin itu (berdasarkan pandangan Majlis Umat). Berbeza dengan realiti Parlimen/DUN di mana ketua negara/negeri bersama barisan kabinet/exco serta merta akan terlucut jawatan pada saat berlakunya undi tidak percaya, tanpa perlu adanya pemberhentian kabinet oleh ketua negara.

Selama anggota Majlis Umat merupakan wakil dalam hal pendapat, maka wanita berhak untuk memberikan pendapatnya dalam setiap perkara yang menjadi bahagian dari bidang kuasa Majlis Umat. Ia boleh menyampaikan pendapatnya baik yang bersifat politik, ekonomi, mahupun undang-undang dan sebagainya. Wanita berhak mewakilkan kepada siapa sahaja yang dia kehendaki untuk menyampaikan pendapat. Wanita juga berhak mewakili siapa sahaja yang dia kehendaki dengan menyampaikan pendapat tersebut. Islam telah memberikan hak kepada kaum wanita untuk memberikan pendapat sebagaimana hal itu juga telah diberikan kepada kaum lelaki, tanpa ada perbezaan di antara keduanya. Musyawarah (syura) dalam Islam merupakan hak bagi lelaki mahupun wanita tanpa ada diskriminasi. Allah SWT berfirman,

“Dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu”
[TMQ Ali Imran (3):159].

“Sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka” [TMQ asy-Syura (42):38].

Kalimat dalam dua ayat di atas bersifat umum, mencakup lelaki dan juga wanita.

Aktiviti amar makruf dan nahi mungkar hukumnya wajib baik bagi lelaki mahupun wanita tanpa ada perbezaan. Allah SWT berfirman,

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar” [TMQ Ali Imran (3):104].

Rasulullah SAW juga bersabda,

“Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya…”

Nas-nas ini bersifat umum, mencakup lelaki dan wanita. Demikianlah dengan aktiviti memuhasabah penguasa, sebagaimana juga menyampaikan nasihat, turut merupakan kewajiban bagi lelaki mahupun wanita. Nabi SAW bersabda,

“Agama itu adalah nasihat. Dikatakan, ‘Untuk siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab, ‘Untuk Allah, RasulNya, para imam kaum Muslimin dan kaum Muslimin umumnya”
[HR Muslim dari jalur Tamim ad-Dari].

Ketika Rasul mengucapkan hadis tersebut, baginda tidak membataskan pemberian nasihat itu terhadap lelaki sahaja. Diriwayatkan bahawa Khawlah binti Tsa‘labah pernah mendatangi Rasulullah SAW dan bertanya kepada baginda tentang masalah zihar (tindakan suami menyerupakan isterinya dengan ibunya) sehingga turunnya ayat pertama di dalam surah al-Mujadalah. Nas ini secara jelas menyatakan tentang dialog wanita tersebut dengan Rasul SAW. Dengan demikian, tidak ada keraguan sedikit pun bahawa seorang wanita boleh memberikan pendapatnya dalam hal apapun dan kepada siapa pun termasuklah kepada ketua negara sekalipun.

Selama Majlis Umat merupakan Majlis untuk menyampaikan pendapat dan kedudukan anggotanya merupakan wakil dari orang lain dalam menyampaikan pendapat, maka wanita boleh memilih dan dipilih dalam Majlis Umat. Ertinya dia boleh menjadi wakil bagi orang lain atau mewakilkan kepada orang lain dalam menyampaikan pendapat. Tambahan pula, Nabi SAW sendiri, pada tahun ke-13 pasca kenabian atau pada tahun di mana baginda melakukan hijrah, telah datang kepada baginda 73 orang lelaki dan 2 orang wanita. Kedua wanita tersebut adalah Ummu Ammarah binti Kalb, salah seorang wanita dari Bani Mazin, dan Asma’ binti Amr ibn Adi, salah seorang wanita dari Bani Salamah. Rasulullah SAW telah berjanji dengan mereka untuk bertemu di bukit Aqabah sehingga mereka pun pergi di tengah kegelapan malam dan kesemuanya mendaki bukit tersebut. Rasulullah SAW bersabda kepada mereka,

“Aku akan menerima baiat kalian untuk melindungiku sebagaimana kalian melindungi isteri-isteri dan anak-anak kalian”
[HR Ibn Hibban dari jalur Auf bin Malik].

Mereka semuanya membaiat Rasulullah SAW seraya berkata,

“Kami berbaiat untuk mendengar dan taat dalam keadaan sempit mahupun lapang, susah ataupun senang dan kami akan mengatakan kebenaran di mana jua kami berada. Kami tidak akan takut terhadap celaan orang-orang yang mencela”
[HR Ahmad dan an-Nasa’i dari jalur Ubadah bin as-Shamit].

Baiat tersebut merupakan baiat yang bersifat politik. Maka jika wanita boleh melakukan baiat politik, bererti mereka juga boleh memilih atau dipilih sebagai ahli politik. Inilah dalalah (pemahaman yang ditunjukkan oleh) baiat Aqabah II bahawa wanita boleh memilih orang lain untuk menjadi anggota dalam Majlis Umat.

Mengenai wanita yang boleh dipilih oleh orang lain untuk menjadi anggota Majlis Umat, ia berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW setelah selesai proses baiat tersebut. Baginda bersabda kepada mereka semuanya baik lelaki mahupun wanita,

“Pilihlah di antara kalian 12 pemimpin yang akan menjadi penanggungjawab terhadap kaum mereka beserta apa yang ada di tengah mereka” [HR Ahmad].

Hadis ini merupakan perintah Nabi SAW yang ditujukan kepada mereka semuanya untuk memilih 12 orang dari antara mereka. Perintah Rasul tersebut bersifat umum. Rasulullah SAW tidak mengkhususkan perintah itu hanya untuk kalangan lelaki sahaja. Baginda juga tidak mengecualikan wanita, baik dalam konteks orang memilih atau yang dipilih. Dalam hal ini, dalil yang bersifat umum tetap berlaku dalam keumumannya selama tidak ada dalil yang mengkhususkannya.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sekali lagi kami tekankan di sini bahawa kaum wanita boleh menjadi wakil di dalam Majlis Umat, namun bukannya di dalam Parlimen/DUN kerana fungsi keduanya adalah berbeza sama sekali. Sekiranya pemergian mereka ke Parlimen/DUN itu adalah sebagai wakil rakyat yang membuat/menggubal undang-undang (law maker), maka bukan sahaja wanita, malah kaum lelaki pun haram menjadi wakil rakyat sedemikian. Meskipun lelaki boleh memegang urusan pemerintahan dan dibolehkan mereka berada di Parlimen/DUN, namun yang dibolehkan itu hanyalah sekiranya mereka memerintah berdasarkan apa yang telah diturunkan oleh Allah manakala Parlimen/DUN merupakan sebahagian dari pemerintahan taghut yang menuruti ideologi Kapitalisme Demokrasi. Kemaksiatan dan dosa apakah lagi yang lebih besar dari kemaksiatan manusia yang mengambil hak ‘keTuhanan’? Justeru, fikirkanlah dengan hati yang jernih dan ikhlas, pandanglah dengan pandangan dosa dan pahala dan pandanglah nun jauh ke negeri akhirat, apakah anda akan menjadi atau mengundi calon yang akan kemudiannya ke Parlimen/DUN untuk mengambil-alih hak Allah di dalam membuat undang-undang? Na’uzubillah min zalik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s