SN248 – DI SEBALIK OPS PIRAMID

Posted: February 11, 2011 in Sautun Nahdhah
Tags: , ,

SN Keluaran 11 Februari 2011

alt
DI SEBALIK OPS PIRAMID
[SN248] Sehingga kini pergolakan di Mesir masih belum berakhir. Rakyat masih tetap keluar ke Dataran Tahrir dan ke jalan-jalan utama untuk menekan Presiden Mubarak agar berundur. Dalam masa yang sama, si diktator itu masih tetap enggan melepaskan jawatannya dan melakukan pelbagai taktik keji dan jahat untuk meleraikan tunjuk perasaan. Terdapat bukti bahawa Gamal Mubarak, anak kepada Hosni Mubarak, mengupah sekumpulan penjenayah untuk melakukan serangan ke atas penunjuk perasaan sehingga menyebabkan kecederaan kepada lebih dari seribu orang yang berhimpun. Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pula nampaknya sedang bermain tarik tali dengan apa yang berlaku di mana ketua pengganas dunia ini sudah pun memberi isyarat agar Mubarak berundur dan memberikan laluan kepada ejennya yang lain pula untuk menjadi diktator Mesir.

Walaupun Obama menekankan kepada orderly transition (peralihan kuasa yang tertib) tetapi hingga kini dia masih ‘mempertahankan’ Mubarak di kerusi presiden. Ini bagi menguji dan memastikan ‘hambanya’ yang baru iaitu Omar Suleiman, El-Baradei dan beberapa yang lain betul-betul ‘menyembah’kan sepenuh taat setia kepada AS tanpa berbelah bahagi apabila dilantik kelak. Dalam masa yang sama, AS juga sedang menjinakkan pemimpin Ikhwanul Muslimin agar turut berada di barisan ejennya yang baru.

Dalam kekecohan dan rusuhan yang berlaku di bumi para Anbiya’ itu sejak lebih dua minggu lepas, kerajaan Malaysia juga teramat sibuk untuk menyelamatkan rakyat Malaysia, khususnya para pelajar yang jumlahnya lebih 10,000 orang yang menginap di beberapa kota utama di Mesir. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi tunjang kepada misi menyelamat pelajar Malaysia di bawah operasi yang dinamakan sebagai ‘Ops Piramid’ bagi mengeluarkan rakyat Malaysia dengan selamat dari bumi Mesir. Syarikat penerbangan MAS dan AirAsia turut diminta membantu. Bukan sahaja kerajaan, parti pembangkang juga turut mendesak dan cuba bergabung di dalam misi menyelamat rakyat Malaysia ini. Ramai di kalangan ibubapa dan juga pihak pembangkang tidak berpuas hati dengan kerajaan yang dikatakan lambat bertindak dan ada agenda politik di sebalik operasi tersebut. Kerajaan pula bersungguh-sungguh menafikannya dan meminta pembangkang agar tidak ‘mempolitikkan’ isu tersebut.

Harakahdaily.net melaporkan bahawa terdapat wakil dari Kelantan iaitu bekas Presiden Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Zulkapli Yaacob yang pada awalnya ditawarkan menyertai misi Mercy bagi menghantar bantuan ke Mesir, tetapi kemudian diketepikan. “Saya telah serahkan passport kepada pihak penganjur biar pun tahu di belakangnya ada Kelab Putera Malaysia. Ketika taklimat diadakan di Kuala Lumpur setiap peserta yang akan menyertai misi berkenaan diberi t-shirt berlambang 1Malaysia”, ujarnya tidak berpuas hati. Terdapat juga laporan bahawa pelajar yang pro parti politik tertentu didakwa didahulukan dalam misi menyelamat bagi memindahkan pelajar dari Mesir ke Jeddah, selain terdapat maklumat bahawa ada ibu bapa pelajar yang datang ke Bilik Gerakan Bantuan Kemanusian Mesir membuat aduan mereka ditanya oleh petugas di Wisma Putera, “Encik datang dari UMNO Bahagian mana?” [harakahdaily.net]. Berdasarkan perkembangan terbaru, kerajaan menyatakan bahawa Ops Piramid telah hampir selesai di mana sebahagian besar pelajar Malaysia telah berjaya dibawa pulang dengan selamat. Namun demikian, terdapat lebih kurang 2000 pelajar yang berkeras tidak mahu mahu balik walaupun telah ditawarkan berbuat demikian.

Ops Piramid, Apa Yang Tak Kena?

Di sebalik segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan misi menyelamat pelajar Malaysia di Mesir ini, terdapat segelintir yang lain berpuas hati dan berterima kasih kepada kerajaan di atas operasi yang dijalankan. Di balik semua itu, tidak ramai yang melihat dan membincangkan apakah aspek yang tidak kena dengan operasi ini, dipandang dari sudut Islam. Jika dilihat dari perspektif kemanusiaan, sesungguhnya usaha menyelamat itu adalah suatu yang baik, tetapi tertakluk kepada syarat. Syaratnya adalah tindakan itu hendaklah dilakukan semata-mata kerana Islam, bukan kerana yang lain. Ia mestilah suatu tindakan yang didorong semata-mata oleh akidah Islam, bukan selain dari itu. Jika ia dilakukan bukan kerana Islam, maka misi menyelamat itu tidak akan dapat menyelamatkan pelakunya dari dosa kepada Allah dan azab di akhirat.

Sekali pandang sahaja sudah cukup untuk kita menafsirkan bahawa misi menyelamat itu bukan dilakukan atas dorongan ‘akidah Islam’. Baik kerajaan mahupun pembangkang, semuanya melihat bahawa yang perlu diselamatkan di sana adalah rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi, rakyat yang berwarganegara Malaysia atau yang memegang kad pengenalan Malaysia! Itulah hakikatnya. Mereka langsung tidak memandang bahawa rakyat Indonesia (yang belajar di Mesir) perlu diselamatkan, rakyat Pakistan perlu diselamatkan, rakyat Arab Saudi perlu diselamatkan atau rakyat negara mana pun yang belajar di Mesir perlu diselamatkan. Mereka langsung tidak memandang bahawa rakyat Mesir itu sendiri perlu diselamatkan, walaupun hakikatnya mereka semua itu adalah Muslim dan walaupun hakikatnya akidah rakyat Indonesia, Pakistan, Arab Saudi dan Mesir itu kesemuanya adalah ‘akidah Islam’. Mereka langsung tidak memandang bahawa kesemua pihak tersebut adalah orang yang beragama Islam dan merupakan saudara seakidah mereka yang wajib diselamatkan kesemuanya!

Persoalannya, kenapakah hanya rakyat Malaysia yang diselamatkan? Jawapannya, tidak lain adalah kerana mereka itu ‘rakyat kita’! Apakah yang membezakan orang Malaysia, orang Indonesia, orang Pakistan dan orang Mesir? Bezanya adalah kerana seseorang itu memiliki sekeping ‘kad pengenalan’ yang tertulis perkataan ‘Malaysia’ di atasnya, maka, jadilah orang itu ‘orang Malaysia’. Jika yang tertulis di atas kad tersebut adalah ‘Mesir’, maka jadilah dia orang Mesir. Dan apa pula yang memisahkan negara yang bernama Malaysia, Indonesia, Mesir dan lain-lain negara kaum Muslimin? Jawapannya, kerana sempadan palsu yang telah dilakar oleh kuffar penjajah Barat setelah mereka menjajah tanah-tanah kita lebih seabad yang lalu!!

Kesemua sempadan imaginatif ini diwujudkan bagi memecah-belah, mencerai-berai dan melemahkan kesatuan umat Islam. Kemudian kuffar Barat melantik di setiap negara yang dipecahkan ini seorang ejen mereka yang memerintah mengikut apa yang mereka kehendaki, bukannya mengikut apa yang Allah kehendaki. Hasil dari penjajahan dan semua makar jahat Barat inilah, maka umat Islam akhirnya terpecah-belah kepada negara-negara kecil yang lemah dan tidak bermaya dan pemimpinnya tunduk kepada Barat dan para pemimpin jahat ini pula berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan sempadan negara masing-masing yang telah dilakar oleh Barat dan tidak mahu keluar darinya! Akibatnya, wujudlah negara Malaysia, negara Indonesia, negara Mesir dan lain-lain negara umat Islam yang tercerai-berai dan dibanggakan oleh pemerintah dan rakyat masing-masing!

Setelah melakar sempadan-sempadan palsu ini, Barat telah meleraikan ikatan suci umat Islam yakni ‘ikatan akidah’ yang selama ini menjadi satu-satunya pengikat yang benar sesama kaum Muslimin. Ikatan suci ini kemudiannya diganti dengan ‘ikatan sempadan’ atau wathaniyyah (patriotisme) dan ikatan asabiyyah (nasionalisme). Akhirnya umat Islam telah melebihkan ikatan wathaniyyah dan assabiyyah dari ikatan akidah itu sendiri, sehingga jika ada apa jua masalah hatta masalah nyawa sekalipun yang melanda umat Islam, maka ikatan yang akan didahulukan oleh umat adalah ikatan sempadan dan ikatan nasionalisme, bukannya ikatan akidah!

Ops Piramid yang dilancarkan oleh kerajaan Malaysia dan usaha-usaha menyelamat rakyat Malaysia di Mesir hakikatnya merupakan manifestasi dari ‘ikatan sempadan’ yang lebih diutamakan (untuk dijaga) dari ‘ikatan akidah’ yang ada pada sesama Muslim. Walhal sesungguhnya Allah SWT langsung tidak memandang manusia dengan ikatan sempadan kerana Allah telah menyatukan manusia dengan ikatan akidah Islam. Tidak ada bezanya antara orang Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Mesir dan sebagainya selama mana mereka adalah orang yang mengucapkan La Ilaha Illallah kerana dengan kalimah inilah Allah telah menyatukan kita semua di bawah satu ikatan. Sesungguhnya darah umat Islam itu sama sahaja, darahnya mulia dan wajib dijaga, tanpa mengira di negara manakah mereka lahir atau tinggal, tanpa mengira bangsa apakah mereka dan tanpa mengira warna apakah kulit mereka. Sabda Nabi SAW,

“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu dan bapa kalian pun satu. Tidak ada keutamaan orang Arab atas orang ajam (bukan Arab) dan tidak ada keutamaan orang ajam atas orang Arab, tidak ada keutamaan orang berkulit hitam atas yang merah dan tidak ada keutamaan orang berkulit merah atas yang hitam, kecuali dengan taqwa” [HR Ahmad].

Umat Islam diharamkan mengikat diri mereka dengan ikatan patriotisme dan nasionalisme kerana ia bertentangan dengan hukum penyatuan umat Islam yang diwajibkan oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman,

“Sesungguhnya umat ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Rabbmu, maka bertakwalah kepadaKu” [TMQ al-Mukminun (40):52].

Firman Allah yang lain,

“Sesungguhnya orang-orang beriman adalah bersaudara” [TMQ al-Hujurat (49):13].

Ayat ini dengan tegas menunjukkan bahawa umat Islam adalah bersaudara yang diibaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai tubuh yang satu. Kesemua kesatuan dan persaudaraan ini adalah kerana umat Islam ini diikat oleh kesamaan ‘aqidah Islamiyyah’ (iman), bukannya oleh kesamaan bangsa atau tanahair. Rasulullah SAW bersabda,

“Tidak termasuk umatku orang yang menyerukan kepada assabiyyah, berperang kerana assabiyyah dan mati kerana assabiyyah” [HR Abu Dawud].

Cintakan Tanahair, Dari Mana Asalnya?

Ada sebahagian dari umat Islam yang memperjuangkan wathaniyyah beristidlal (menggunakan dalil) dengan ‘hadis’ yang berbunyi “hubbul wathan minal iman” (cintakan tanahair sebahagian daripada iman). Malangnya mereka tidak mengkaji kedudukan sebenar ‘hadis’ ini. Ungkapan “hubbul wathan minal iman” sebenarnya adalah hadis palsu (maudhu’), dengan kata lain ia bukanlah hadis. Demikianlah menurut para ulama ahli hadis yang terpercaya. Dalam kitab Tahdzirul Muslimin karya Syaikh al-Azhari asy-Syafi’i hal. 109 diterangkan bahawa hadis “hubbul wathon minal iman” adalah maudhu’ (palsu). Demikian juga penilaian Imam as-Sakhawi dan Imam ash-Shaghani. Imam as-Sakhawi (w. 902 H) menerangkan kepalsuannya dalam kitabnya al-Maqasid al-Hasanah fi Bayani Katsirin min al-Ahadits al-Musytaharah ‘ala Alsinah, hal. 115. Imam ash-Shaghani (w. 650 H) pula menerangkan kepalsuan ‘hadis’ ini di dalam kitabnya Al-Maudhu’at, hal. 8.

Penilaian palsunya hadis tersebut juga dapat dirujuk pada rujukan lain seperti berikut, (i) Kasyful Al-Khafa’ wa Muzilu al-Ilbas, karya Imam Al-Ajluni, Juz I hal. 423 (w. 1162 H), (ii) Ad-Durar Al-Muntatsirah fi al-Ahadits al-Masyhurah, karya Imam Suyuthi, hal. 74 (w. 911 H), (iii) At-Tadzkirah fi al-Ahadits al-Musytaharah, karya Imam Az-Zarkasyi, hal. 11 (w. 794 H) [lihat Syeikh al-Azhari asy-Syafi’i, Tahdzirul Muslimin min al-Ahadits a-Maudhu’ah ‘Ala Sayyid al-Mursalin, hal. 109].

Ringkasnya, ungkapan “hubbul wathan minal iman” adalah hadis palsu (maudhu’) atau dengan kata lain ia bukanlah hadis Nabi SAW. Oleh yang demikian, kami mengingatkan kepada seluruh kaum Muslimin agar tidak mengatakan “hubbul wathan minal iman” sebagai hadis, sebab Nabi SAW memang tidak pernah mengatakannya. Menisbahkan ungkapan itu kepada Nabi SAW adalah sebuah kedustaan yang nyata atas nama Nabi SAW dan ingatlah bahawa Nabi SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis mutawatir, “Barangsiapa yang berdusta atasku dengan sengaja, maka hendaklah ia menempatkan tempat duduknya di neraka”.

Jika kita menelusuri sejarah Islam, kita akan dapati bahawa Islam memang tidak pernah mengenal perjuangan wathaniyyah dan assabiyyah ini, kecuali setelah zaman perang pemikiran (al-ghazwul fikri) pada abad ke-17 Masihi yang dilancarkan kaum penjajah yang cuba menakluk dan memecah-belahkan Daulah Khilafah. Mereka melancarkan serangan pemikiran melalui para misionaris dan merekayasa parti-parti politik rahsia untuk menyebarluaskan kedua-dua idea sesat ini. Banyak kelompok misionaris British, Perancis dan Amerika didirikan di dalam Daulah di sepanjang abad ke-17, 18, dan 19 Masihi untuk menjalankan misi tersebut.

Namun, usaha mereka menemui kegagalan demi kegagalan sehinggalah pada tahun 1857, penjajah kuffar mula menuai kejayaan tatkala berdirinya Persatuan Sains Syria (Syrian Scientific Society) yang menyerukan nasionalisme Arab. Sebuah sekolah misionaris terkemuka dengan nama Al-Madrasah Al-Wathaniyah telah didirikan di Syria oleh Butros Al-Bustani, seorang Kristian Arab (Maronit). Nama sekolah ini menjadi simbol intipati dan kejayaan misi Barat dalam menerapkan fahaman wathaniyyah (hubbul wathan, cintakan tanah air) di dunia Islam. Langkah yang sama terjadi di Mesir, ketika Rifa’ah Badawi Rafi’ At-Tahtawi (w. 1873M) mempropagandakan wathaniyyah dan sekularisme. Setelah itu, berdirilah beberapa parti politik yang diasaskan atas perjuangan patriotisme dan nasionalisme dan parti-parti ini kemudiannya digerakkan untuk menghancurkan Daulah Khilafah yang berpusat di Turki ketika itu.

Sepanjang zaman kemerosotan Khilafah Uthmaniyyah, kaum kuffar berhimpun dan bekerjasama untuk merobek-robek negara Khilafah, antaranya melalui perjanjian Sykes-Picot pada tahun 1916 ketika British dan Perancis merencana untuk membahagi-bahagikan wilayah Khilafah. Kemudian pada tahun 1923, dalam Perjanjian Versailles dan Lausanne, rencana itu mula diimplementasikan. Dari sinilah lahirnya negara-negara Irak, Syria, Palestin, Lebanon dan Transjordan. Kesemuanya berada di bawah mandat British, kecuali Syria dan Lebanon yang berada di bawah Perancis. Hal ini kemudian diikuti dengan usaha British dalam merancang kelahiran Pakistan. Kewujudan semua negara-bangsa ini tiada lain adalah hasil perancangan imperialis kuffar yang berjaya memecahbelahkan kesatuan negara kaum Muslimin. Begitu juga Malaysia dan Indonesia, semuanya tidak lepas dari perancangan penjajah menyebarkan fahaman patriotisme dan nasionalisme dalam tubuh umat Islam agar umat ini tidak dapat bertaut kembali di bawah negara yang satu yakni negara Khilafah.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya keseluruhan bumi ini diwariskan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman dan sesungguhnya bumi Allah ini sama sahaja tidak kira di mana kedudukannya. Allah Azza Wa Jalla tidak pernah membezakan bumi Malaysia dari bumi Mesir, bumi Arab Saudi dari bumi Irak dan sebagainya. Maha Suci Allah yang telah mencipta keseluruhan bumi ini dengan kekuasaan dan kehendakNya. Dia tidak pernah membezakan kaum Muslimin di bumi mana sekalipun Muslim itu tinggal. Justeru, apakah hak manusia untuk membeza-bezakan seseorang Muslim dengan Muslim yang lain hanya kerana perbezaan tempat kelahiran dan perbezaan kewarganeraan sedangkan setiap Muslim itu mengucapkan kalimah La Ilaha Illallah yang sama? Wahai kaum Muslimin! Wahai umat Islam di Malaysia! Sedarlah! Campakkanlah sejauh-jauhnya perasaan, semangat dan perjuangan wathaniyyah dan assabiyyah yang sesat lagi menyesatkan! Kembalilah kepada ikatan yang hakiki…ikatan yang menjadikan umat Islam umat yang satu, umat yang mulia yang menjadi pewaris bumi Allah ini kesemuanya. Ingatlah bahawa sesungguhnya daripada tanah kita berasal dan kepada tanah kita kembali…maka janganlah sekali-kali kalian membeza-bezakan tanah ciptaan Allah, di bumi mana sekalipun tanah itu berada, baik di bumi Malaysia, bumi Indonesia mahupun bumi Mesir kerana yang pasti, di bumi Allah inilah kita semua akan disemadikan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s