SN250 – MEMPERSIAPKAN SUASANA THALABUN NUSRAH UNTUK MERAIH KEKUASAAN

Posted: April 1, 2011 in Sautun Nahdhah
Tags: ,

SN Keluaran 25 Februari 2011

 

alt

MEMPERSIAPKAN SUASANA THALABUN NUSRAH UNTUK MERAIH KEKUASAAN


[SN250] Selepas Tunisia dan Mesir, dunia kini menyaksikan domino effect (kesan domino) dari kebangkitan rakyat secara besar-besaran yang melanda negara-negara Arab lainnya seperti Yemen, Bahrain, Maghribi dan yang semakin membesar sekarang, Libya. Dari kebangkitan besar-besaran yang berlaku ini yang disifatkan sebagai ‘kuasa rakyat’ (people power), satu perkara yang tidak boleh kita nafikan adalah adanya ‘kuasa tentera’ di dalam menentukan kejayaan revolusi dan pemerintahan sesebuah negara. Sesungguhnya rakyat tidak akan dapat menjatuhkan suatu rejim sekiranya tidak mendapat sokongan dari tentera, sepertimana yang telah kita lihat di Tunisia, Mesir, Indonesia dan lain-lain. Di dalam perjuangannya, Hizbut Tahrir (Hizb) telah menjelaskan secara terperinci betapa pentingnya kedudukan tentera selaku pihak yang mesti dituntut pertolongan (thalabun nusrah) demi meraih kekuasaan.

 

Inilah ‘proses akhir’ yang Hizb senantiasa jelaskan untuk meraih kekuasaan yakni melalui thalabun nusrah daripada tentera sebagai ahlul quwwah (golongan yang mempunyai kekuatan). Terkait dengan hal ini, Hizb juga sering ditanya, bilakah umat akan berhasil meraih kekuasaan dan menegakkan Khilafah Islamiyah melalui aktiviti thalabun nusrah yang Hizb bincangkan? Dalam ruangan yang cukup terbatas ini, Sautun Nahdhah kali ini cuba menjelaskan persoalan ini dari aspek suasana yang perlu ada atau perlu disiapkan oleh Hizb atau mana-mana gerakan sekalipun sebelum meraih kekuasaan melalui penegakan Daulah Khilafah.

 

Pengertian Thalabun Nusrah

Dalam konteks thalabun nusrah, ada beberapa perkara penting yang harus difahami oleh para pengembang dakwah Islam, iaitu:- (i) Pengertian thalabun nusrah secara lughah (bahasa) mahupun secara syar’i (ii) Bagaimana suasana thalabun nusrah di Madinah al-Munawarah dipersiapkan dan bagaimana suasana seperti itu dipersiapkan pada masa sekarang (iii) Realiti umat Islam sekarang, dari sisi apakah mereka telah memiliki persiapan (bersedia) untuk menerima perkara yang besar ini atau belum? (iv) Bagaimanakah cara menyempurnakan thalabun nusrah hingga wujud keupayaan untuk mendorong terjadinya penyerahan kekuasaan? Secara bahasa, an-nusrah dan al-munasarah memiliki makna i’anah ‘ala al-amr (menolong atas suatu perkara) [Ibnu Mandzur, hlm. 210]. Secara syar’i, thalabun nusrah adalah aktiviti meminta pertolongan yang dilakukan oleh orang-orang yang memiliki autoriti (amir) kepada orang-orang yang memiliki kekuasaan untuk tujuan penyerahan kekuasaan dan penegakan Daulah Islamiyah atau untuk tujuan-tujuan lain yang berhubungan dengan dukungan terhadap dakwah, misalnya:-

(i) untuk melindungi para pengembang dakwah di negeri-negeri kaum Muslimin agar mereka dapat menyampaikan maksud dan tujuan dakwah mereka di tengah-tengah masyarakat

(ii) untuk menyingkirkan pelbagai macam keburukan, baik yang akan menimpa mahupun yang telah menimpa para pengembang dakwah, misalnya, meminta pertolongan dari tokoh-tokoh yang memiliki pengaruh agar penguasa tidak menangkap dan memenjarakan pengembang dakwah atau berdiri teguh bersama pengembang dakwah ketika mereka melakukan aktiviti dakwah

(iii) untuk memperkenal dan menunjukkan kekuatan Hizb kepada masyarakat dengan sokongan dan kerjasama orang-orang yang memiliki kekuataan dan pengaruh ini, setelah mereka masuk Islam (jika belum Islam) dan qana’ah (yakin) terhadap pemikiran-pemikiran dan tujuan-tujuan dakwah Hizb.

Adapun thalabun nusrah yang bertujuan untuk istilam al-hukm (penerapan kekuasaan) dan penegakan Daulah Khilafah Islamiyah, ini memerlukan sejumlah keadaan dan syarat-syarat yang berbeza dengan bentuk thalabun nusrah yang telah dijelaskan di atas.

Syarat-syarat yang mesti dipenuhi adalah sebagai berikut:-

(i) Terbentuknya ra’yu al-’am (pendapat umum / public opinion) tentang Islam dan Hizb yang bersumber dari wa’yu al-’am (kesedaran umum) di suatu negara kaum Muslimin

(ii) Terpenuhinya syarat-syarat khusus di suatu negara di mana nusrah ingin diperolehi yang mana negara tersebut mesti memiliki kemampuan untuk melindungi kewujudan dan keberlangsungan Daulah Islamiyah. Negara tersebut juga hendaklah mampu memberikan perlindungan mandiri terhadap Daulah Islamiyah dan tidak berada di bawah perlindungan negara lain atau dikuasai secara langsung oleh negara lain

(iii) Keikhlasan ahlul quwwah dalam menolong dakwah, penerimaan mereka yang sempurna terhadap Islam dan Daulah Islamiyah serta tidak adanya keraguan dan kekhuatiran pada diri mereka terhadap kekuatan lain atau negara lain atau terhadap kelompok-kelompok Islam lain mahupun kelompok non-Islam yang memiliki tujuan yang berbeza dengan tujuan sebenar Islam. Thalabun nusrah untuk meraih kekuasaan adalah hukum syarak yang berhubung erat dengan metode meraih kekuasaan. Penyerahan kekuasaan tidak akan terjadi tanpa adanya aktiviti thalabun nusrah serta terpenuhinya syarat-syarat di atas, tidak kira sama ada kekuasaan tersebut diserahkan oleh ahlul quwwah atau diminta dari ahlul quwwah.

 

Mempersiapkan Suasana Nusrah

Siapa sahaja yang mengkaji Sirah Nabi SAW akan menyaksikan bahawa baginda melakukan beberapa aktiviti penting dan berkesinambungan sebelum mempersiapkan suasana nusrah dan istilam al-hukm di Madinah. Langkah pertama yang baginda lakukan adalah berjumpa delegasi suku Khazraj yang berkunjung ke Makkah dan meminta mereka masuk Islam. Setelah masuk Islam, baginda memerintahkan mereka kembali ke Madinah untuk mendakwahkan Islam kepada kaum mereka. Setibanya di kota Madinah, mereka menzahirkan keIslaman mereka dan mengajak kaum mereka masuk Islam. Jumlah kaum Muslimin kemudiannya terus bertambah. Pada tahun berikutnya, mereka kembali menemui Rasulullah SAW di mana jumlah mereka ketika itu adalah 12 orang. Nabi SAW menerima mereka dan mengutus Mus’ab bin Umair ra untuk menjadi pengajar mereka di Madinah. Akhirnya, melalui tangan Mus’ab bin Umair ra, para pembesar Auz dan Khazraj masuk Islam serta menunjukkan dukungan dan kesetiaan mereka yang amat kuat terhadap Islam. Setelah melihat kesediaan masyarakat Madinah, yang tampak pada masuk Islamnya para pembesar Auz dan Khazraj serta terbentuknya ra’yul am tentang Islam yang lahir dari wa’yul am penduduk Madinah, Rasulullah SAW pun meminta mereka untuk menemui baginda pada musim haji. Dari sini dapat disimpulkan bahawa realiti Madinah sebelum terjadinya Baiat Aqabah II (baiat yang menandakan terjadinya penyerahan kekuasaan di Madinah) adalah realiti yang dipersiapkan untuk pembentukan ra’yul am bagi membela Islam dengan kekuatan. Ertinya, Madinah dipersiapkan sedemikian rupa sehingga Islam diterima oleh majoriti penduduk Madinah dan menjadi ra’yul am yang mampu mendominasi para penganut agama lain di Madinah. Tidak hanya itu, ra’yul am tersebut juga ditujukan agar masyarakat Madinah bersedia membela kepimpinan baru, yakni kepimpinan Rasulullah SAW. Ra’yul am untuk membela Islam tersebut lahir dari wa’yul am majoriti masyarakat Madinah dan para pembesarnya atas hakikat Islam dan atas diri Rasulullah SAW dalam kapasiti baginda sebagai seorang nabi dan pemimpin takattul (kelompok) Sahabat. Rasulullah SAW belum bersedia menerima nusrah li istilam al-hukm kecuali setelah keadaan-keadaan di atas terwujud dan yakin dengan kesediaan penduduk Madinah. Setelah yakin terhadap kesediaan penduduk Madinah untuk menerima dan membela kekuasaan Islam, Rasulullah SAW meminta wakil penduduk Madinah dengan disertai Mus’ab bin Umair menemui baginda di Bukit Aqabah. Tujuan pertemuan itu adalah meminta nusrah dari penduduk Madinah agar menyerahkan kekuasaan mereka di Madinah kepada baginda dan meminta kesediaan mereka untuk membela baginda dengan harta, anak-anak, isteri dan nyawa mereka. Aktiviti thalabun nusrah di Bukit Aqabah (sebagai langkah muqaddimah istilam al-hukm) menjadi sempurna setelah Nabi SAW tiba di Madinah dan menegakkan Daulah Islamiyah di sana. Terbentuknya ra’yul am yang lahir dari wa’yul am merupakan syarat mutlak yang mesti dipenuhi oleh suatu negara yang hendak didapatkan thalabun nusrah li istilam al-hukm. Negara tersebut juga mestilah memiliki kemampuan untuk melindungi kewujudan dan kelangsungan Daulah Islamiyah secara mandiri dan tidak berada di bawah pengaruh atau dominasi negara lain. Ra’yul am untuk membela Islam, Hizb dan pengikut-pengikutnya hendaklah lahir dari wa’yul am untuk membela Islam dan Hizb. Jika ini tidak dipenuhi, maka di negara tersebut tidak mungkin berlaku aktiviti thalabun nusrah li istilaam al-hukm, baik secara syar’i mahupun ‘aqli. Jikalau dipaksakan juga aktiviti nusrah di negara tersebut, maka selain melanggar ketentuan syariah dalam konteks thalabun nusrah, aktiviti tersebut juga mungkin berakhir dengan kegagalan dan kehancuran. Adapun yang dimaksud dengan ra’yul am pada konteks sekarang adalah, adanya keinginan untuk diatur dan diperintah oleh kekuasaan Islam pada majoriti kaum Muslimin yang ada di sebuah negara yang layak dilakukan thalabun nusrah. Keinginan tersebut juga harus muncul pada diri ahlul-quwwah (panglima tentera, pemimpin kabilah yang kuat dan seumpamanya) dan tidak cukup hanya muncul pada majoriti kaum Muslimin semata-mata. Adapun yang dimaksud dengan wa’y al-’am adalah kesedaran umum terhadap beberapa hal iaitu:-

(i) tentang Islam, terutama pemikiran tentang Khilafah dan pemerintahannya

(ii) tentang permusuhan dan usaha-usaha penyesatan yang dilakukan kaum kafir untuk menghalang tegaknya Khilafah

(iii) kesedaran umat Islam bahawa mereka tidak akan pernah dapat keluar dari masalah kecuali mereka membebaskan diri mereka dari pemerintahan yang menerapkan hukum-hukum kufur

(iv) kesedaran terhadap tipudaya dan permainan politik kaum kafir untuk memalingkan umat dari jalan yang benar. Di samping itu, di tengah-tengah umat juga harus tumbuh kesedaran tentang Hizb dan keikhlasan ahli-ahlinya dalam membebaskan umat dari dominasi sistem kufur serta kesediaan Hizb untuk melakukan perkara yang amat besar ini.

 

Kesediaan Umat

Keadaan umum umat Islam sekarang menunjukkan bahawa mereka berhasil menyiapkan suasana nusrah dan istilam al-hukm. Hal ini boleh dilihat dari realiti berikut ini:- 1. Pandangan umum untuk membela Islam Di banyak negara, ra’yul am untuk membela Islam dan keinginan untuk hidup di bawah naungan Daulah Islamiyah telah terbentuk secara massa (besar-besaran) pada majoriti penduduknya. Keadaan seperti ini boleh dilihat di Algeria, Turki, Sudan, Mesir, Jordan dan Pakistan. Besarnya ra’yul am di negara-negara ini boleh dilihat dari hasil pilihanraya serta banyaknya masirah (demonstrasi aman) yang dilakukan oleh kelompok-kelompok Islam yang secara terbuka menyerukan penegakan syiar-syiar Islam. 2. Terjadinya proses pembentukan ra’yul am untuk membela Hizb di beberapa negara umat Islam Pembentukan ra’yul am untuk membela Hizb, dari sisi penerimaan umat terhadap pemikiran-pemikiran Hizb seperti pemikiran Khilafah Islamiyah dan pandangan-pandangan politiknya, telah berhasil dengan cukup baik. Di beberapa negara seperti Indonesia, Turki, Sudan dan Pakistan, Hizb telah berhasil menghimpun umat sehingga mereka rela membantu dan membela Hizb dalam melawan sepak terajang kaum kafir. Cuma sayangnya, ra’yul am untuk membela Hizb terpaksa berhadapan dengan sejumlah halangan sehingga masih tidak memungkinkan bagi Hizb untuk memimpin umat dan meraih kekuasaan dari mereka.

 

Faktor-faktor penghalangnya adalah:-

(i)    penyelewengan fakta yang dilakukan oleh para penguasa terhadap Hizb seperti digembar-gemburkan pendapat bahawa Hizb adalah gerakan teroris, menyimpang, sesat dan sebagainya

(ii)    penyesatan pendapat yang dilakukan oleh ulama-ulama yang menjadi kakitangan penguasa fasik dan zalim untuk menyerang Hizb, keikhlasannya serta pandangan-pandangannya, umpamanya mereka mengembangkan pemikiran tentang bolehnya ada banyak pemimpin di negara-negara umat Islam, Khilafah adalah suatu khayalan, kewajipan menerima demokrasi dan sebagainya

(iii)    adanya parti-parti dan gerakan-gerakan yang memiliki hubungan dengan penguasa mahupun dengan negara-negara imperialis yang terus-menerus menentang Hizb dan keikhlasannya. Namun demikian, usaha pendustaan dan penyesatan fakta mahupun serangan-serangan yang dilakukan oleh kelompok-kelompok ini, sedikit demi sedikit mulai tersingkap. Akibatnya, umat semakin yakin akan kepimpinan dan keikhlasahan Hizb dalam memperjuangkan hak-hak umat. Ra’yul am untuk membela Islam, Hizb dan aktivisnya semakin hari semakin menguat dan tumbuh pesat hampir di seluruh negara-negara umat Islam.

 

Menyempurnakan Nusrah

Aktiviti thalabun nusrah untuk meraih kekuasaan dari umat hanya boleh sempurna ketika ra’yul am yang lahir dari wa’yul am untuk membela Islam dan Hizb telah lahir di tengah-tengah umat secara sempurna di dalam sesebuah negara yang hendak ditegakkan Daulah Islamiyah di dalamnya. Namun, musuh-musuh dakwah terutama kaum kafir imperialis dan para penguasa yang merupakan ejen penjajah senantiasa berusaha menghalang terwujudnya ra’yul am tersebut dengan cara menyerang pandangan-pandangan Hizb, keikhlasan ahli-ahlinya serta metode perubahan yang ditempuh oleh Hizb. Ini dilakukan oleh penguasa jahat ini agar ra’yul am tentang Islam dan Hizb yang lahir dari wa’yul am untuk membela Islam dan Hizb, tidak tumbuh di tengah-tengah masyarakat. Atas dasar ini, tugas utama Hizb adalah menjaga konsistensi dirinya untuk berpegang teguh di atas pemikiran dan pandangannya yang sahih serta menjaga keikhlasan perjuangannya dari semua bentuk tipudaya dunia. Dari sinilah dapat disimpulkan bahawa tugas utama Hizb pada masa sekarang dalam konteks untuk menyiapkan suasana nusrah, adalah berpegang teguh kepada mabda’ (ideologi) Islam tanpa keluar sedikit pun darinya dan menjaga keikhlasan perjuangannya dari seluruh bentuk penyimpangan dan kecenderungan-kecenderungan duniawi. Oleh yang demikian, aktiviti yang harus dilakukan oleh Hizb dan mana-mana kelompok dakwah yang berpegang kepada metode Rasulullah dalam usaha mereka untuk mewujudkan perkara-perkara di atas adalah:- Pertama, memelihara keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan cara memupuk ketaatan dan mendekatkan diri kepadaNya dalam seluruh aspek. Ini kerana, sesugguhnya Allah tidak akan menyerahkan amanah agama ini kecuali kepada orang-orang yang bertakwa, ikhlas dan dekat denganNya [TMQ an-Nur (24):55]. Kedua, sabar untuk selalu berkorban dan melaksanakan tugas-tugas dakwah dengan bersungguh-sungguh. Kaum kafir imperialis berusaha untuk menghancurkan kekuatan Hizb melalui kakitangan mereka dari kalangan penguasa Muslim. Untuk itu, pada saat Hizb berhasil meraih dukungan umat secara besar-besaran melawan sistem kufur dan penjaganya seperti yang terjadi di Uzbekistan, para penguasa segera mengisytiharkan perang terhadap aktivis dan pendukung Hizb. Dalam keadaan seperti ini, aktivis-aktivis Islam tidak boleh mundur atau melonggarkan perjuangannya, sebaliknya mereka harus mencurahkan segenap tenaga dan pengorbanannya untuk berpegang teguh dengan perjuangan Islam yang lurus dan suci. Ketiga, meningkatkan tenaga dan aktiviti yang dimaksudkan untuk menjadi ‘benteng’ bagi umat. Ini kerana, musuh-musuh Islam berusaha terus-menerus untuk meletakkan di hadapan umat pelbagai macam pendustaan, penyesatan dan makar terhadap Hizb, pemikiran dan pandangan-pandangannya. Usaha itu dilakukan untuk menjauhkan umat dari Hizb dan dari aktivis-aktivisnya. Oleh kerana itu, para aktivis dakwah harus meningkatkan tenaga dan aktiviti yang difokuskan untuk menjaga umat dari semua bentuk penyesatan, pendustaan dan makar ini, sekaligus untuk menghancurkan dinding penyesatan yang diletakkan di hadapan umat [TMQ at-Taubah (9):105]. Keempat, para aktivis dakwah harus menonjolkan karakter dirinya sebagai seorang Mukmin yang selalu ikhlas dalam beramal dan senantiasa mengikatkan diri dengan hukum syariah serta tekun dalam ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Aktiviti-aktiviti inilah yang akan mendekatkan Hizb dan aktivis-aktivis dakwah kepada nusrah (pertolongan) Allah di kala Hizb berada pada dawr tafa’ul ma’a al-ummah. (tahapan berinteraksi dengan umat).

 

Wallahu a’lam. [Disunting dari Tahayya‘ al-Ajwa‘ Li Thalab an-Nusrah, Abu al-Mu’tasim, majalah al-Wa’ie (bahasa arab) No. 282-283 Rajab-Sya’ban 1431 H, Beirut.]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s