Posts Tagged ‘Akhlak’

gejala-sosial2 rakan lelaki 3 remaja perempuan hilang direman


GEORGETOWN 22 Sept. – Dua lelaki yang ditemui bersama tiga remaja perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini, hari ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol gadis bawah umur.  Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kedua-dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu yang berasal dari Kampar dan Teluk Intan, Perak, ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.  Kedua-dua mereka ditemui bersama remaja pasangan kembar, Nurul Ain Kamarazmi dan Nurul Ashiqin, 14, serta teman sebaya, Suhaili Abd. Razak yang dilaporkan hilang di Kampar sejak 11 September lepas dan ditemui dalam sebuah flat di sini semalam.  “Berdasarkan keterangan tiga remaja wanita terbabit, mereka mengaku melakukan hubungan seks dengan dua lelaki itu ketika berada di sebuah hotel murah di Jalan Pintal Tali di sini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang mendapati terdapat kesan koyakan pada kemaluan tiga remaja perempuan terbabit dan polis kini sedang menjalankan siasatan.  Beliau berkata, mereka memberi kerjasama dan mengakui secara rela hati mengikut teman lelaki ke negeri ini pada 14 September iaitu tiga hari selepas mereka dilaporkan hilang. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 21/09/10

Penagih dadah Terengganu meningkat 1,366.67%

KUALA TERENGGANU – Terengganu merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 1,584 penagih berbanding hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus.  Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Terengganu Wan Addenan Wan Mohd. Noor berkata, daerah Besut mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 445 diikuti daerah Kemaman (351) dan Kuala Terengganu (229) manakala Dungun (188), Hulu Terengganu (128) dan Setiu (91).  “Kita dapati daerah-daerah yang berada di sempadan mencatatkan penagihan yang tinggi seperti Besut dan Kemaman manakala daerah-daerah lain juga turut meningkat,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya AADK negeri Terengganu di sini hari ini.   Beliau berkata, mengikut profil penagih, 98.2 peratus adalah lelaki dan 98.5 peratus merupakan keturunan Melayu manakala 78.53 peratus terdiri daripada golongan belia yang berumur antara 19 dan 39 tahun.  Katanya, sebanyak 32.36 peratus penagih pula mengambil methamphetamine, 12.63 peratus morfin manakala 9.72 peratus penagih amphetamine. – Bernama

Sumber: KOSMO 20/09/10


Mahasiswa IPTA buang bayi di belakang dapur

KUBANG PASU 19 Sept. – Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat menerima nasib malang apabila dibuang ibunya sendiri di belakang pintu dapur sebuah rumah di Taman Rasa Sayang di sini, semalam.  Tidak cukup dengan itu, seorang gadis dipercayai ibu bayi berkenaan telah berpura-pura kononnya ‘menemui’ seorang bayi di belakang rumah tersebut kira-kira pukul 8 malam semalam.  Difahamkan, bayi tersebut dibuang ibunya sendiri yang merupakan seorang penuntut di salah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di daerah ini.  Gadis tersebut yang berusia 20 tahun, dikatakan melahirkan bayi tersebut di rumahnya namun bertindak membuang bayinya di belakang rumah itu bagi mengelakkan perkara tersebut diketahui ramai.  Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ibrahim Mohd. Yusoff memberitahu, bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan. Menurutnya, hasil siasatan, polis kemudian menahan seorang penuntut IPTA berusia 20 tahun pada pukul 9 malam bagi membantu siasatan.  “Pelajar terbabit ditahan di kawasan berhampiran dan dia ketika ini menerima rawatan di hospital sama,” katanya.  Ibrahim berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.


Sumber: Utusan Malaysia 20/09/10

Kontraktor disyaki dera tunang hamil ditangkap

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Seorang kontraktor ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan hamil yang koma setelah perutnya dipercayai dipijak sehingga bayi dalam kandungannya gugur di Batang Kali dekat sini, Jumaat lalu.  Sumber polis memberitahu, suspek yang ditahan merupakan tunang kepada remaja perempuan berusia 18 tahun itu.  Katanya, lelaki berusia 30-an itu disyaki memukul mangsa menyebabkan tunangnya mengalami keguguran dan tidak sedarkan diri sehingga kini.  Katanya, kontraktor terbabit kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.  “Siasatan polis mendapati, mangsa sebelum ini ditemui oleh ahli keluarganya berlumuran darah dalam bilik air di rumahnya di Batang Kali pada pukul 4 pagi, Jumaat lalu.   “Ketika ditemui oleh keluarganya, remaja perempuan itu sedang menggelupur kesakitan dipercayai menghidap sawan sebelum dibaringkan di atas katil. “Ahli keluarga dan jiran mangsa kemudian menyedari wanita itu sedang hamil dan berusaha mengeluarkan bayi dalam kandungan namun tidak sempat setelah kandungannya disahkan gugur,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Sumber berkata, keluarga mangsa kemudian membawa gadis malang dan mayat bayi itu ke Hospital Selayang.   Sehingga kini, katanya, mangsa masih dirawat di hospital dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan untuk terus hidup.  Pada Jumaat lalu, pihak Hospital Selayang membuat laporan polis setelah pemeriksaan mendapati perut remaja perempuan itu ada kesan lebam disyaki dipijak menyebabkan dia mengalami keguguran dan tidak sedarkan diri.

Sumber: Utusan Malaysia 22/09/10

Apa Nak Jadi Dengan 1Malaysia Kebanggaan Najib?

Najib yang terus mengusung ke sana ke mari idea dan gagasan 1Malaysia nampaknya terus dilambakkan dengan 1001 macam masalah masyarakat yang berlaku hampir setiap hari di seluruh negara. Lihat dan perhatikanlah cebisan laporan akhbar di atas.  Pelaku dan mangsa yang terlibat rata-ratanya adalah terdiri dari golongan remaja. Apakah denyut jantung Najib tidak berdegup kencang apabila membaca dan mendengar berita-berita seperti d iatas? Hanya mereka yang pekak, bisu, buta dan mati hatinya sahajalah yang tidak merasa apa-apa dengan kejadian yang berlaku. Sedangkan jika kita perhatikan dengan sudut pandangan Islam ternyata dan terbukti betapa sistem masyarakat yang digunapakai oleh pemerintahan yang diterajui oleh Najib hari ini adalah merupakan sistem yang rosak lagi merosakkan.

Jika kita teliti dan kaji secara mendalam dan cemerlang maka sudah pasti kita akan mendapati bahawa sebenarnya sistem sekular Kapitalisme yang diwarisi oleh Najib hari inilah sebenarnya punca dan penyumbang terbesar kepada masalah-masalah yang berlaku di dalam masyarakat hari ini. Tetapi malangnya, sering kali apabila kes-kes seperti di atas diulas dan dibincangkan di mana-mana forum maka ramailah ”tokoh-tokoh yang terpilih” akan menuding 10 jari mereka kesemuanya kepada institusi keluarga, ibu-bapa dan juga individu itu sendiri tanpa ada satu jari pun yang mereka tujukan kepada pemerintah yang ada pada hari ini. Apakah mata tokoh-tokoh yang berbicara ini buta dalam melihat sistem yang diterapkan oleh pemerintah sekular hari ini sebagai penyumbang dan penyebab sebenar kepada masalah ini?

Terlampau jarang kedengaran teguran dan kritikan mahupun muhasabah yang ditujukan kepada pemerintah sekular dalam isu ini. Akibatnya kita dapat menyaksikan secara jelas bagaimana pemerintah sekular hari ini secara berterusan dengan tanpa rasa malu dan bersalah tetap tegar menerapkan dan mempertahankan sistem pemerintahan yang terhasil dari ciptaan akal-akal manusia sedangkan sistem kehidupan selain dari kehidupan Islam yang diturunkan oleh Allah SWT adalah sistem kehidupan jahiliyyah. Firman Allah SWT: ”Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al Maaidah (5) : 50].

Lihat SN083 – MASYARAKAT JAHILIYYAH DI MALAYSIA

-mykhilafah.com-

kes-rogolPakaian bukan punca wanita dirogol: WOA

KUALA LUMPUR: Masyarakat harus mengubah persepsi faktor pakaian menjadi punca utama kes rogol di kalangan wanita sebaliknya perlu melihat pemikiran pelaku jenayah terbabit, kata Pengurus Projek dan Tadbir, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA), Annie Varghese.

“Jika faktor pakaian dikatakan sengaja memberi peluang untuk dirogol, bagaimanakah dengan kejadian membabitkan murid sekolah beruniform lengkap ataupun warga emas? “Ibu bapa, guru dan pentadbir negara perlu memahami konteks berkenaan, sekali gus mengambil langkah sewajarnya bagi mengikis efahaman atau pandangan terbabit,” katanya ketika ditemui dalam program Malaysiaku-Festival Raikan Hari Malaysia, di sini, semalam.

Menurutnya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes rogol meningkat setiap tahun iaitu 3,098 kes pada 2007 berbanding 2,454 kes tahun sebelumnya dan ia semakin membimbangkan.

Selain itu, beliau berkata, wanita tidak seharusnya dibebani perasaan bersalah atas perilaku suami apabila wujudnya segelintir isteri menganggap diri adalah punca berlakunya keganasan dalam rumah tangga.

Sumber: Harian Metro 17/09/10

Kes Rogol Adalah Salah Satu Natijah Daripada Penerapan Sistem Sekular

Beginilah akibatnya jika akal-akal manusia dijadikan sebagai kata pemutus sekaligus menjadi standard hukum di dalam kehidupan. Akan ada beragam jawapan dan analisis yang diketengahkan untuk membuktikan hujah masing-masing dalam memberi jawapan bagi punca suatu permasalahan. Jika dahulu, ketika isu rogol menjadi isu panas di dada-dada akhbar dan media massa tanah air, maka ketika itulah datang pelbagai komen daripada banyak pihak yang cuba menganalisis faktor dan punca permasalahan serta cara-cara untuk menanganinya. Antara punca yang disabitkan dalam isu rogol ialah kurangnya pendidikan agama dan nilai-nilai moral di dalam masyarakat, ibubapa kurang menjaga anak-anak sehingga mereka terlalu bebas, meningkatnya budaya hedonisma dan pengaruh luar dalam masyarakat Malaysia serta banyak lagi. Isu penerapan sistem sekular dan gagalnya sistem ini dalam membentuk masyarakat yang berakhlak langsung tidak disentuh sama sekali! Walhal ianya merupakan faktor terbesar yang menjadi punca kepada permasalahan ini!

Solusi-solusi yang diketengahkan pula langsung tidak menyelesaikan permasalahan ini hingga ke akar umbinya. Apa yang lebih melucukan ialah wujud pihak yang meminta agar para wanita memakai cawat besi untuk mengelakkan dari dirogol. Begitu dangkal sekali!

”Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusi, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. [TMQ Ar-Rum(30): 41]

Muhammad Ali Asshabuni di dalam Shafwah at-Tafasir menyatakan, bahawa yang dimaksud dengan bima kasabat ayd an-nas dalam ayat ini adalah bi sababi ma’asi an-nas wa dzunubihim (kerana kemaksiatan-kemaksiatan dan dosa-dosa manusia). Maksiat adalah setiap pelanggaran terhadap hukum Allah SWT, iaitu dengan melakukan keharaman dan meninggalkan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan bagi pelakunya akan mendapat dosa. Seharusnya ini difahami oleh kita semua khususnya para penguasa umat Islam saat kini, bahawa tidak diterapkannya syariat Islam secara keseluruhan akan mendatangkan pelbagai musibah dan bencana bagi umat manusia. Dan Islam tidak akan dapat diterapkan sepenuhnya tanpa Khilafah.

Isu rogol adalah salah satu masalah dari sekian banyaknya masalah yang melanda umat Islam ketika ini. Lihatlah bagaimana jenayah, kecurian, rompakan, pembunuhan dan banyak lagi tidak kunjung selesai.  Bahkan kes terbaru kematian jutawan wanita Datuk Sosilawati yang memenuhi akhbar-akhbar tempatan membuka mata kita tentang keselamatan dan keamanan di dalam sistem sekular saat ini. Sifat rakus, tamak, dengki dan cinta dunia tertanam di dalam jiwa masyarakat yang akan selalu mendatangkan kemudaratan, kecuali bagi golongan orang-orang yang mempunyai kesedaran di dalam diri mereka – mereka yang mampu berfikir dengan nuansa keminanan. Semoga kita semua tergolong daripada golongan tersebut yang berjuang untuk mendirikan semula Daulah Islam yang akan memberi kesejahteraan kepada umat manusia dalam segenap aspek.

-mykhilafah.com-

seks-bebasLima remaja hamil akan daftar masuk Sekolah Harapan esok

JASIN 19 Sept. – Seramai lima remaja yang sedang hamil akan menjadi pelajar kumpulan pertama yang mendaftar masuk ke Sekolah Harapan di Jalan Pegawai di sini yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada golongan berkenaan. Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang mencetuskan idea penubuhan sekolah tersebut berkata, remaja berkenaan yang berusia antara 16 dan 17 tahun akan ditemani keluarga masing-masing ketika mendaftar.  “Empat daripada mereka akan bersekolah dalam Tingkatan Lima dan seorang di Tingkatan Empat.  “Mereka masing-masing dari Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Pahang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil dan meninjau operasi sekolah tersebut hari ini. Sekolah Harapan itu yang dibuka Jumaat lepas dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Melaka, beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah berserta sebuah asrama. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 19/09/10

Sekolah Harapan: Hanya Untuk Memperpanjangkan Hayat Kebobrokan Sistem Kapitalisme

Hebat sungguh Ali Rustam dengan idea “canggihnya” menubuhkan Sekolah Anak Luar Nikah (SALUN). Mungkin beliau melihat seolah-olah usahanya itu adalah terbaik dan terhebat untuk tahun 2010 ini. Tetapi sebagai seorang Muslim beliau seharusnya melihat isu ini dari sudut pandangan Islam dan bukannya dari kaca mata Kapitalisme . Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna telah menurunkan seperangkat sistem yang wajib diterapkan di dalam kehidupan manusia samada diperingkat individu, masyarakat mahupun negara. Ini termasuklah untuk menyelesaikan penyakit ataupun masalah yang muncul dari penyimpangan perhubungan antara lelaki dan perempuan. Persoalan ini sebenarnya termasuk di dalam perbincangan sistem sosial Islam dan ianya juga terkait dengan sistem ‘uqubat Islam.

Jika kita memperhalusi isu ini dari dasarnya dan dari sudut pandangan Islam maka kita akan mendapati bahawa tindakan Ali Rustam mewujudkan Sekolah Harapan ini akan hanya menimbulkan 1001 macam masalah baru kepada masyarakat. Sebelum cetusan idea songsang ini dimuntahkan oleh Ali, sebenarnya Malaysia telahpun mempunyai banyak pusat-pusat penjagaan yang diwujudkan oleh orang-orang persendirian mahupun NGO-NGO yang ada bagi menampung kelahiran anak-anak luar nikah dan juga wanita-wanita mahupun para remaja yang bermasalah. Kewujudan pusat-pusat ini sebenarnya tidak dapat menyelesaikan masalah anak luar nikah ini malahan jika diteliti dengan lebih telus dan jujur ia hanya akan memperpanjangkan tempoh hayat sistem Kapitalisme yang ada pada hari ini, di mana sebenarnya inilah yang menjadi punca kepada kerosakan yang berlaku.

Masyarakat sekular hari ini, terutamanya para pemimpin sekular yang ada tidak merasakan isu perzinaan sebagai satu pelanggaran terhadap syariat Islam yang wajib diselesaikan mengikut acuan dan hukuman Islam. Para pemimpin yang berkuasa hari ini hanya melihat Islam itu dalam konteks fikrah semata-mata tetapi tidak mengambil thariqahnya sekali. Sedangkan Islam adalah suatu mabda yang mengandungi fikrah dan thariqah yang wajib diambil secara keseluruhannya samada oleh individu, masyarakat dan juga negara. Inilah punca tercetusnya idea rosak itu sebenarnya. Sewajibnya Ali sebagai salah seorang yang memegang kekuasaan berusaha ke arah penerapan Islam dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara secara menyeluruh. Inilah sepatutnya yang dilakukan oleh Ali dan bukannya membuka SALUN seperti apa yang telah beliau lakukan itu. Islam sebagai suatu mabda yang datang dari Allah SWT telah merincikan perkara ini secara tuntas dan sempurna. Hanya mereka yang kafir atau zalim ataupun fasik sahaja yang akan mengabaikan penerapan sistem dan hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT Rabb yang menciptakan manusia, alam dan kehidupan ini.   Lihat: SN228 – BUANG BAYI – NATIJAH DARI DIBUANGNYA HUKUM ALLAH!

Taubat secara etimologi (bahasa) berasal dari kata taba (fi’il madhi), yatubu (fi’il mudhari’), taubatan (mashdar), yang bererti “kembali” atau “pulang” (raja’a) (Haqqi, 2003). Adapun secara terminologi (menurut makna syar’i), secara ringkas Imam an-Nawawi mengatakan bahawa taubat adalah raja’a ‘an al-itsmi (kembali dari dosa) (Syarah Shahih Muslim, XVII/59). Dengan kata lain, taubat adalah kembali daripada meninggalkan segala perbuatan tercela (dosa) untuk melakukan perbuatan yang terpuji (‘Atha, 1993).

Adapun pengertian dosa (itsmun/dzanbun/ ma’shiyat), adalah melakukan perkara yang haram (irtikabul haram) seperti mencuri, berzina, minum khamr (arak), dan meninggalkan kewajiban (tarkul wajib) seperti meninggalkan solat, tidak berdakwah, dan tidak menjalankan hukum-hukum Allah di muka bumi (Al-Maliki, 1990).

Taubat tersebut adalah suatu kepastian bagi umat manusia. Ini kerana, tidak ada satu pun anak keturunan Adam AS di dunia ini yang tidak pernah berbuat dosa. Semua manusia, pasti pernah melakukan berdosa. Hanya para nabi dan malaikat sahaja yang tidak pernah melakukan dosa dan maksiat (lihat surah at-Tahrim [66]: 6). Manusia yang baik, bukanlah orang yang tidak berdosa, tetapi mereka yang bertaubat setelah melakukan perbuatan yang berdosa. Rasulullah SAW telah bersabda:

“Setiap anak Adam (manusia) mempunyai salah (dosa), dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah mereka yang bertaubat.”
[HR. at-Tirmidzi dan Ibnu Majah] (‘Atha, 1993).

Apa yang menarik, dalam hadis tersebut ialah Rasulullah SAW menggunakan kalimat “anak Adam” (bani Adam) untuk menunjukkan pengertian “manusia”. Demikian itu, tentu mengandungi maksud tertentu. Antara lain adalah untuk mengingatkan kepada kita tentang sejarah Bapa kita, iaitu Nabi Adam AS sebagai manusia pertama yang bertaubat. Sebagai manusia, Adam (sebelum diangkat menjadi nabi) telah melakukan dosa dengan memakan buah dari pohon yang dilarang Allah untuk mendekati (memakan) buahnya (TMQ al-Baqarah [2]: 35). Namun, dengan segera Adam bertaubat dan Allah SWT pun menerima taubatnya. Allah SWT berfirman:

“Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Rabnya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
(TMQ al-Baqarah [2]: 37).

Sikap yang bertentangan dengan apa yang dimiliki oleh Adam, adalah sikap Iblis. Iblis itulah yang tidak mahu bertaubat kepada Allah untuk pertama kalinya setelah melakukan dosa. Allah SWT telah memerintahkan Iblis untuk bersujud (sebagai penghormatan, bukan menyembah) kepada Adam, tetapi Iblis tidak mahu mentaatinya. Iblis bersikap enggan menjalankan perintah Allah, bahkan bersikap takabbur lalu tergolonglah ia ke dalam golongan yang ingkar. (TMQ al-Baqarah [2]: 34).

Maka sebagai anak keturunan nabi Adam AS, sudah seharusnya bagi kita untuk mengambil pelajaran dan mengikuti sikap nabi Adam AS yang mahu bertaubat. Bukan mengikuti sikap Iblis yang takabbur dan enggan bertaubat setelah berbuat dosa. Padahal setiap perkara yang maksiat wajib bagi pelakunya untuk bertaubat.

Memang, secara syar’i setiap perbuatan yang mengundang dosa itu wajib ditaubati. Sebab taubat hukumnya adalah wajib untuk setiap dosa yang dilakukan, Tidak kira sama ada dosa itu adalah kerana mengerjakan larangan Allah (sesuatu yang haram), atau pun kerana meninggalkan perintah Allah (sesuatu yang wajib). Allah SWT berfirman:

“Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (TMQ an-Nur [24]: 31).

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya.”
(TMQ at-Tahrim [66]: 8).

Ayat-ayat di atas menunjukkan adanya perintah bertaubat bagi orang-orang yang beriman (muslim). Taubat adalah ciri orang mukmin. Namun demikian, kewajiban taubat sesungguhnya juga ditujukan kepada orang kafir, bukan hanya kepada orang muslim. Sebab kekufuran adalah perkara maksiat yang terbesar sekali. Cara bertaubatnya ialah dengan cara masuk Islam.

Oleh kerana itu, kepada orang yang murtad sebelum dihukum mati, harus dilakukan istitabah, iaitu diminta untuk bertaubat taubat dengan masuk Islam semula. Khalifah Umar bin Khaththab ra telah melakukan istitabah kepada orang yang murtad dalam jangka waktu tiga hari (Al-Maliki, 1990).

Kewajiban taubat ke atas kaum kafir ditunjukkan oleh berbagai dalil, antara lain firman Allah SWT:

“Jika mereka berhenti (dari kekafirannya) , nescaya Allah akan mengampuni mereka tentang dosa-dosa mereka yang telah lalu.”
(TMQ al-Anfal [8]: 38).

Rasulullah SAW bersabda:

“Allah SWT tertawa gembira tatkala ada dua orang yang bunuh membunuh yang kedua-duanya masuk syurga. Yang seorang berperang di jalan Allah lalu dia itu terbunuh. Kemudian orang yang membunuhnya bertaubat kepada Allah lalu masuk Islam dan terbunuh pula (mati syahid).” [HR. Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah ra] (An-Nawawi, 1989).

Bagaimana cara bertaubat? Bagi mereka yang hendak bertaubat, wajib memenuhi syarat-syarat taubat agar taubatnya sah. Syarat-syarat ini tak ubahnya seperti syarat-syarat solat, yang jika tidak dipenuhi satu syarat atau lebih daripadanya, maka solatnya tidaklah sah dalam pandangan syara’. Demikian pula syarat-syarat taubat. Terdapat 3 (tiga) syarat taubat:

Pertama, menghentikan perbuatan maksiat yang telah dilakukan.

Kedua, menyesali di atas segala perbuatan maksiat yang telah dilakukan.

Ketiga, bertekad kuat (azam) untuk tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat itu lagi untuk selama-lamanya (An-Nawawi, 1989).

Jika salah satu syarat itu tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah dan tidak diterima oleh Allah SWT. Ia sama seperti orang yang sedang solat, tetapi tidak berwudhu, secara automatik solatnya tidak diterima. Seseorang yang bertaubat daripada suatu maksiat, tetapi masih tetap melakukan perbuatan yang sama (maksiat), maka taubatnya juga tidak akan diterima. Demikian pula orang yang bertaubat, tapi tidak menyesali dosanya, bahkan merasa bangga kerananya (maksiat tersebut), juga tidak diterima taubatnya. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud ra secara marfu’, “An-nadamu taubatun.” (Menyesal itu adalah taubat). [HR. Abu Dawud dan al-Hakim] (Al-Math, 1993).

Terdapat syarat keempat untuk  bertaubat, khusus untuk perbuatan dosa yang berhubung kait dengan sesama manusia. Seseorang itu hendaklah menyelesaikan permasalahan itu dengan orang yang terlibat. Jika ianya berupa hutang yang belum dilunaskan, padahal orang itu mampu (untuk membayarnya) , maka hutang tersebut wajib dilunaskan dengan segera. Jika menguasai (mengambil) harta orang (tanpa hak), maka wajib dikembalikan kepadanya. Jika berupa tuduhan atau umpatan (ghibah), maka wajib untuk minta maaf atau minta dihalalkan. Demikianlah seterusnya (Nawawi, 1989; ‘Atha`, 1993, Haqqi, 2003).

Apabila syarat-syarat taubat di atas telah dipenuhi, maka taubatnya sah dan insyaAllah akan diterima oleh Allah SWT. Namun perlu diingat, taubat itu ada batas (had) waktunya, iaitu ada titik waktu yang mana apabila telah sampai, maka suatu taubat itu tetap tidak  akan diterima walaupun telah memenuhi syarat-syaratnya secara lengkap. Batas waktu tersebut ada 2 (dua), iaitu:

Pertama, batas waktu untuk setiap individu manusia. Batas ini adalah ketika nyawa seseorang sudah sampai di tenggorokan (sakaratul maut). Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla akan menerima taubat seseorang, sebelum nyawanya sampai di tenggorokan (sebelum ia sekaratul maut).” [HR. at-Tirmidzi] .

Kedua, batas waktu umum, iaitu batas waktu yang berlaku secara universal untuk seluruh manusia. Batas ini adalah ketika matahari telah terbit dari arah barat, yang merupakan salah satu tanda besar (‘alamat al-kubro) akan datangnya Hari Kiamat. Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari sebelah barat, maka Allah menerima taubatnya.” [HR. Muslim].

Seorang sahabat Nabi SAW, Hudzaifah bin Usaid ra, meriwayatkan, “Suatu saat Rasulullah memperhatikan kami yang sedang merenungkan sesuatu. Maka Rasulullah SAW bertanya, ‘Apakah yang sedang kalian renungkan?’ Kami menjawab, ‘Kami sedang mengingat Hari Kiamat.’ Kemudian Rasulullah bersabda, ‘Hari Kiamat tidak akan terjadi sebelum kalian melihat sebelumnya sepuluh tanda, iaitu: …(di antaranya) matahari terbit dari barat’.” [HR. Muslim] (Al-Jazairi, 1994).

Lalu, apakah jenis-jenis dosa yang wajib kita taubati pada saat ini? Seperti yang telah dijelaskan, segala dosa wajib untuk ditaubati. Ini kerana, perintah taubat tersebut datang dalam bentuk redaksi yang umum, meliputi segala bentuk dosa. Baik dosa akibat melakukan keharaman mahupun dosa akibat meninggalkan kewajiban. Baik dosa yang dilakukan secara orang individu, mahupun dosa yang dilakukan oleh sekelompok (jamaah), iaitu dosa dalam sebuah negeri atau sebuah kaum.

Terdapat banyak nas-nas syariah yang menjelaskan terjadinya suatu dosa terhadap suatu negeri (qaryah) atau suatu kaum (qaum), sebagaimana yang terdapat pada nas-nas syariah yang menjelaskan kewajiban taubat bagi suatu penduduk negeri (ahlul quro) (lihat surah al-A’raf [7]: 96).

Nas yang menjelaskan berlakunya dosa bagi sekelompok (masyarakat/ jemaah), misalnya Rasulullah SAW berkata:

“Jika riba dan zina telah berleluasa di suatu negeri (qaryah), maka mereka telah menghalalkan diri mereka untuk menerima azab Allah.” [HR. al-Hakim].

“Tidaklah dalam suatu kaum itu berleluasa (amalan) riba, melainkan dalam kaum itu berleluasa juga penyakit gila. Dan tidaklah berleluasa dalam kaum itu perzinaan, kecuali berleluasa pula dalam kaum itu kematian. Dan tidaklah kaum itu mengurangi takaran dan timbangan, melainkan Allah akan menahan titisan air hujan.” [HR. Ibnu Majah dan al-Baihaqi] (Muda’im, 1987).

Hadis-hadis di atas dengan jelas menunjukkan tentang adanya suatu dosa (riba, zina, mengurangi takaran dan timbangan) yang tidak hanya dilakukan oleh individu-individu tertentu, melainkan dilakukan oleh orang yang ramai (sekelompok) , sehingga diungkapkan dengan kalimat “zhahara fi qaryatin” (berleluasa di suatu negeri), atau “ma zhahara fi qaumin” (tidaklah berleluasa dalam suatu kaum…).

Di antara dosa jamaah (sekelompok manusia) itu, adalah adanya penguasa yang tidak menerapkan syariah Islam, iaitu menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, yang ternyata akan menimbulkan banyak bencana kepada rakyat yang dipimpinnya. Ini sebagaimana termaktub dalam hadis panjang di bawah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Bagaimana jika terjadi lima perkara, dan aku berlindung kepada Allah mudah-mudahan lima perkara itu tidak terjadi pada kalian dan kalian pun tidak mengalaminya. Pertama, tidaklah perbuatan zina itu berleluasa di dalam suatu kaum, dikerjakan secara terang-terangan, melainkan terdapat pada kaum itu tha’un (wabah penyakit) dan kelaparan yang tidak pernah dijumpai oleh nenek moyang mereka dahulu.

Kedua, tidaklah kaum itu menahan zakat, melainkan mereka itu dicegah oleh Allah dari turunnya hujan dari langit. Andaikata tidak ada binatang ternak, tentu mereka tidak akan mendapat hujan.

Ketiga, tidaklah kaum itu mengurangi takaran dan timbangan, melainkan mereka disiksa oleh Allah dengan kesengsaraan selama bertahun-tahun, sukarnya mendapatkan keperluan hidup, dan kezaliman penguasa.

Keempat, tidaklah pemimpin-pemimpin mereka itu menghukumi dengan selain apa yang diturunkan Allah, melainkan mereka akan dikuasai oleh musuh mereka lalu musuh mereka ini merampas sebahagian apa yang menjadi milik kaum itu (kekayaan, kedaulatan, dan sebagainya).

Kelima, tidaklah mereka (pemimpin-pemimpin itu) mengabaikan Kitabullah dan Sunnah Nabi mereka, melainkan Allah menimpakan bahaya di antara mereka sendiri.” [HR. Ahmad dan Ibnu Majah] (Muda’im, 1987)

Hadis-hadis di atas menegaskan bahawa di antara dosa jamaah yang terjadi di suatu kaum, yakni seperti keadaan kita sekarang, adalah dosa akibat daripada perbuatan pemimpin-pemimpin kita yang tidak melakukan apa yang diturunkan Allah (syariah Islam).

Maka, sudah menjadi kewajiban bagi kita semua untuk bertaubat. Para pemegang tampuk kekuasaan di seluruh negeri kaum Muslimin wajib kembali kepada syariah Islam, dan kita juga (sebagai rakyat) wajib melakukan amar ma’ruf nahi munkar terhadap penguasa agar mereka menerapkan syariah Islam.

Namun, sebagaimana permusuhan abadi antara Adam AS (yang mahu bertaubat) dengan Iblis (yang enggan bertaubat), pada saat ini muncul pertentangan di antara orang-orang yang hendak bertaubat dengan kembali menerapkan syariah Islam, dengan golongan orang-orang yang menolak taubat dengan cara menentang syariah Islam, serta berusaha melestarikan sistem sekular warisan nenek moyang yang berasal dari penjajah kafir. Allah SWT menjelaskan hakikat pertentangan seperti ini dengan firman-Nya:

“Dan jika dikatakan kepada mereka, ‘Ikutilah apa-apa yang diturunkan Allah!’ Maka mereka berkata, ‘Tetapi kami mengikuti apa-apa yang kami dapati dari bapa-bapa kami.’ (Adakah mereka akan tetap mengikuti bapa-bapa mereka) meskipun bapa-bapa mereka itu tidak memikirkan suatu apa pun dan tidak pula mendapat petunjuk?” (TMQ al-Baqarah [2]: 170).

Mereka yang tidak mahu bertaubat pada saat ini, adalah seperti kelompok kaum liberal-sekular yang selalu sahaja memusuhi dan memerangi para pejuang yang mahukan agar syariah Islam itu diterapkan di muka bumi. Tidak diragukan lagi, bahawa mereka adalah ibarat syaitan pengikut Iblis yang tidak mahu bertaubat! Mereka adalah syaitan yang menjadi musuh Rasulullah SAW, sebagaimana Iblis musuh bagi Nabi Adam as. Firman Allah SWT :

“Demikianlah Kami jadikan musuh bagi tiap-tiap nabi, iaitu syaitan dari golongan manusia dan dari golongan jin. Sebahagian mereka membisikkan perkataan yang indah kepada yang lain, untuk membuat tipu daya…” (TMQ al-An’am [6]: 112).

Hendaknya kita tidak tertipu dengan tipu daya mereka, yang sering kali mempropagandakan berbagai pemikiran yang lahir daripada jenama yang sama iaitu sekularisma seperti yang telah dipraktikkan di Amerika Syarikat dan Negara-negara Barat lainnya. Mereka mengaku bahawa Barat telah berjaya dalam kehidupan pada saat ini, walaupun tidak menjalankan syariah Islam.

Tidak dinafikan bahawa terdapat manusia yang tidak taat (orang kafir dan muslim) mendapat limpahan rezeki dari Allah SWT. Keadaan mereka selamat dan tidak mendapat siksaan dan bencana dari Allah SWT. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya ia adalah tipu daya daripada Allah SWT, dan bukan bermakna Allah SWT meredhai mereka. Allah SWT berfirman:

“Kemudian apabila mereka melupakan apa Yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu Segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria Dengan Segala nikmat Yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana Yang membinasakan) , maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan) .” (TMQ al-An’am [6]: 44).

Memang pada dasarnya, setiap dosa dan kemaksiatan akan membawa bencana dan musibah (TMQ Thaha [20]: 123-124). Tetapi, adakalanya pelaku maksiat dibiarkan selamat (oleh Allah) di dunia. Tapi ini bukan bererti mereka akan selamat dari azab Allah. Azabnya ditunda kelak pada Hari Kiamat. Rasulullah SAW menjelaskan:

“Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, maka Allah akan mempercepat hukuman atas dosanya (di dunia). Dan jika Allah menghendaki bagi hamba-Nya keburukan, maka Allah menyimpan dosanya sehingga hambaNya itu akan menebusnya pada Hari Kiamat.” [HR. at-Tirmidzi dan al-Baihaqi] (Almath, 1993).

Akhir sekali, marilah kita bertaubat kepada Allah di atas segala dosa yang telah kita lakukan. Inilah kesempatan yang masih ada, sebelum nyawa berada di tenggorokan. Ingatlah, bahawasanya kematian itu adakalanya datang dengan sangat mendadak dan tidak pernah diduga bila ia akan datang.

Marilah kita sebagai kaum muslimin dalam satu jamaah, bertaubat dengan berusaha untuk menerapkan Syariah Islam dan menghapuskan sistem sekular yang ada pada saat ini. Marilah kita renungkan bersama firman Allah:

“Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (TMQ al-A’raf [7]: 96).

Allah SWT berfirman pula:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (TMQ ar-Rum [30]: 41).

Wallahu a’lam.

Sumber rujukan:

1. Al-Jazairi, Abu Bakar Jabir. 1994. Aqidah Seorang Mukmin (Aqidah Al-Mu`min). Terjemahan oleh Salim Bazemool. Solo : CV. Pustaka Mantiq.

2. Al-Maliki, Abdurrahman. 1990. Nizham Al-‘Uqubat. Beirut : Darul Bayariq.

3. Al-Math, Muhammad Faiz. 1993. 1100 Hadis Terpilih Sinar Ajaran Muhammad (Qabasun Min Nur Muhammad SAW). Terjemahan oleh A. Aziz Salim Bsyarahil. Jakarta : Gema Insani Press.

4. An-Nawawi, Imam. 1989. Terjemah Riyadhus Shalihin ( Riyadh Ash-Shalihin) . Terjemahan oleh Muslich Shabir. Semarang “ Toha Putera.

5. ‘Atha, Abdul Qadir. 1993. Leburkan Dosamu Raihlah Pahalamu (Mukaffirat Adz-Dzunub wa TSAWab Al-A’mal Ash-Shalihat) . Suarabaya : Media Idaman.

6. Haqqi, Ahmad Mu’adz. 2003. Syarah 40 Hadis Tentang Akhlak (Al-Arba’un Hadisan fi Al-Akhlaq ma’a Syarhiha). Terjemahan oleh Abu Azka. Jakarta : Pustaka Azzam

7. Muda`im, Ali Hamdi. 1987. Ramalan-Ramalan Rasulullah SAW Tentang Akhir Zaman. Surabaya : CV. Bintang Pelajar.

Sumber: mykhilafah.com

Jika mereka berpaling maka katakanlah, “Aku telah memperingatkan kamu dengan petir, seperti petir yang menimpa kaum `Aad dan kaum Tsamud. (TMQ Fushilat [41]: 13)

Kemudian Utbah menahan mulut Rasulullah SAW dan memohon belas kasihan Rasul SAW agar berhenti daripada membacakan al-Quran. Sejak peristiwa itu, Utbah tidak  lagi menemui keluarganya dan menahan diri dari mereka. Abu Jahal berkata, “Wahai kaum Quraisy, demi Allah, kami tidak melihat Utbah kecuali telah keluar daripada agama kita untuk memeluk agama Muhammad. Dia tertarik dengan kata-kata Muhammad. Semua itu tidak akan terjadi tanpa ada sesuatu yang menimpanya. Marilah kita berangkat bersama-sama menemuinya.” Lalu mereka berangkat menemui Utbah. Abu Jahal berkata, “Wahai Utbah, demi Allah, kami tidak takut kecuali jika engkau memihak kepada Muhammad, dan engkau tertarik dengan urusan Muhammad. Jika engkau menginginkan sesuatu yang berharga, maka kami akan mengumpulkan harta kami untukmu yang dapat memuaskan dirimu berbanding apa yang diberikan oleh Muhammad.”

Mendengar hal itu Utbah marah dan bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak akan berbicara dengan Muhammad untuk selama-lamanya.” Utbah berkata, “Kalian telah mengetahui bahawa aku adalah orang Quraisy yang paling banyak hartanya. Tetapi sungguh, aku telah datang kepada Muhammad.” Kemudian Utbah menceritakan kisahnya kepada mereka dengan berkata, “Kemudian Muhammad menjawabku dengan sesuatu perkataan. Demi Allah, itu bukan sihir, syair, dan perdukunan; dia (Muhammad) membacakan: Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Haa Miim.

Diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang mengetahui. (TMQ. Fushilat [41]: 1-3); sehingga ayat yang ketiga belas: Jika mereka berpaling maka katakanlah, “Aku telah memperingatkan kamu dengan petir, seperti petir yang menimpa kaum `Ad dan kaum Tsamud. (TMQ. Fushilat [41]: 13)

Kemudian aku menahan mulutnya dan memohon kasih sayangnya agar berhenti membacakan al-Quran. Sungguh, kalian telah mengetahui bahawa jika Muhammad mengatakan sesuatu, maka dia tidak akan berdusta. Aku sangat khuatir akan turun seksa kepada kalian.” (Hadits ini diriwayatkan oleh Ibnu Muin yang berbeda dengan Riwayat Ibnu Ishak dari Muhammad bin Ka’ab al-Qurdzi, yang dalam riwayat itu terdapat Rawi yang majhul, dan diceritakan dalam Sirah Ibnu Hisyam)

Mencaci-maki

Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan dari Abdurrahman bin Auf ia berkata; ketika kami bediri di barisan perang Badar, aku melihat ke kanan dan kiriku, tiba-tiba aku melihat dua orang anak muda dari kaum Anshar. Aku berharap agar aku berada di samping keduanya. Kemudian salah seorang dari keduanya memegangku dan berkata, “Wahai pakcik, adakah engkau mengenal Abu jahal?” Aku berkata, “Ya, Apa yang engkau mahukan daripadanya wahai anakku?” Dia berkata, “Aku mendapat khabar bahawa dia telah mencaci maki Rasulullah SAW.

Demi Allah yang menggenggam jiwaku, apabila aku melihatnya maka tidak akan berpisah pakaianku dan pakaiannya sehingga matilah yang paling cepat di antara kami.” Maka aku sangat kagum terhadap anak itu. Kemudian anak yang kedua pun memegangku dan berkata seperti anak yang pertama. Imam Bukhari dan Muslim juga telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas ra. tentang firman Allah: Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya (TMQ. al-Isra’ [17]: 110) Ibnu Abbas berkata ayat ini diturunkan ketika Rasulullah SAW sedang berdakwah secara sembunyi-sembunyi (sirriyah) di Makkah. Rasulullah SAW. Ketika solat bersama para sahabat, suka mengeraskan suaranya ketika membaca al-Quran. Jika orang-orang musyrik mendengarnya, maka mereka akan mencaci maki al-Quran, Dzat yang menurunkannya serta orang yang membawanya. Allah berfirman kepada RasulNya:

Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam shalatmu dan janganlah pula merendahkannya. (TMQ. al-Isra’ [17]: 110)

Maksudnya, jangan mengeraskan bacaan sehingga didengar oleh orang-orang musyrik, yang mengakibatkan mereka akan mencaci maki al-Quran. Maksud dari firman Allah “wala tukhafit biha” adalah jangan menyembunyikan bacaan solatmu dari sahabatmu, sehingga mereka tidak dapat mendengar, Tapi carilah yang pertengahan di antara hal itu.

Imam Ahmad telah meriwayatkan dalam al-Musnad, para perawinya terpercaya, dari Abu Hurairah dari Nabi SAW, beliau bersabda:

Apakah kalian tidak melihat bagaimana Allah memalingkan dariku kutukan kaum Quraisy, dan caci maki mereka. Mereka mencaci makiku sambil mencela, padahal aku adalah Muhammad. Dalam hadits Mutafaq ‘alaih, Ibnu Abbas berkata, ketika turun firman Allah: Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat, (TMQ. Asy-Syu’ara [26]: 214) Rasulullah SAW. keluar sehingga naik ke bukit Shafa, kemudian beteriak, “Hai selamat pagi!” Kaum Quraisy berkata, “Siapa yang berteriak itu?.” Mereka berkata, “Ia adalah Muhammad.” Kemudian mereka berkumpul menujunya.

Beliau bersabda: Bagaimana pendapat kalian jika aku kabarkan bahawa saat ini ada pasukan kuda yang keluar dari belakang bukit ini, apakah kalian akan mempercayaiku? Mereka berkata, “Kami tidak pernah melihat engkau berdusta.” Beliau bersabda, “Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan bagi kalian, bahawa di hadapanku ada seksa yang sangat keras.” Abu Lahab berkata, “Celaka engkau Muhammad, adakah hanya untuk ini engkau mengumpulkan kami?” Kemudian turunlah firman Allah, surat al-Lahab [111]: 1, “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.” Ath-Thabrani telah mengeluarkan dari Manbats al-Azdi, ia berkata; Aku melihat Rasulullah SAW. di masa jahiliyah, ia bersabda, “Wahai manusia, katakan “Tiada tuhan selain Allah”, pasti kalian berbahagia”.

Setelah itu kaum Quraisy ada yang meludahi wajah Rasul SAW. Dan ada pula yang menaburkan tanah ke wajahnya, dan ada yang mencaci maki sehingga ke tengah hari. Kemudian ada seorang anak wanita yang datang kepada Rasulullah SAW. membawa wadah yang cukup besar yang dipenuhi air, lalu beliau membasuh wajah dan kedua tangannya. Rasulullah SAW. bersabda, “Engkau jangan risau akan ayahmu terbunuh atau dihina”. Manbat al-Azdi berkata, “Siapa anak kecil itu?” Orang-orang berkata, “Ia adalah Zainab anak Rasulullah SAW.” Al-Haitsami berkata, “Dalam hadis ini terdapat Manbats bin Mudrik, aku tidak mengenalnya, tapi perawi yang lainnya terpercaya.”

SUMBER: myk

Inpirasi peringatan daripada saudara Muhammad Ghazi:

**********

Assalamualaikum,

Berikut dikongsikan beberapa kisah benar untuk tatapan bersama, mudah-mudahan menjadi iktibar kepada kita semua khasnya diri saya sendiri. “Siapa” yang melakukan perbuatan tersebut tidak akan dinyatakan di sini, cukuplah dengan mengetahui “apa” yang dilakukan serta mengambil pengajaran daripadanya…

1. Kita begitu gah mengatakan bahawa kitalah ahli ilmu yang menekankan methodologi yang rinci serta mengakui bahawa kitalah pemikir dan pengkaji. Pihak yang tidak sealiran dengan kita, yang tidak mengikuti acuan pemikiran kita dilihat sebagai pihak yang tidak mengkaji. Pihak yang bersungguh-sungguh ingin melakukan perubahan secara mendasar melalui kegiatan politik (dalam ertikata yang luas dan tidak terhad / ekslusif kepada politik demokrasi semata-mata) pula dikatakan sebagai “berpemikiran simplistik, tidak sabar, tidak minat menganalisa, berfikir pendek, sempit dan terhad dalam lingkungannya serta tiada visi & tiada perancangan”. Ringkasnya, di sisi kita, “pemain politik” ini boleh dikatakan sebagai “semangat je lebih, mengaji malas”.

Ironi: Apabila dibentangkan gerak kerja secara rinci, dihuraikan secara berperingkat mengenai kegiatan politik yang dijalankan – tiada pula kita nak terlibat sama membincangkannya. Usahkan terlibat sama, nak mendengar pun tidak mahu. Apabila dikongsikan secara bertulis, tidak dibacanya. Apabila diundang bermuzakarah dan bertukar pandangan, tiada pula yang hadir. Alih-alih kesimpulan yang muncul = “Pemain politik yang pendek akal dan pandai berslogan kosong”; sedangkan kita tidak tergerak langsung untuk meneliti perjuangan mereka. Pemikir kah itu?

2. Kita mengakui bahawa kita ikhlas berdakwah dan berusaha menyebarkan risalah Islam. Setiap ruang dimanfaatkan untuk tujuan murni tersebut. Kita menentang sebarang usaha memecah-belahkan umat Islam. Kewujudan berbilang gerakan Islam pada hari ini akan hanya menyeru kepada perpecahan, kerana setiap gerakan itu merupakan firqah-firqah yang berbangga-bangga dengan kelompok mereka dan tidak berlapang dada dalam perbezaan pendapat.

Ironi: Tanpa disedari sebenarnya kitalah yang memupuk perpecahan apabila kita melihat sebarang isu melalui kacamata “us against them” sedangkan mereka itu tetap merupakan saudara seakidah kita juga. Kita menyeru supaya berlapang dada, tetapi apabila dibawakan hujah yang berlainan daripada pegangan kita, mudah sahaja mulut dan tangan kita melabel mereka dengan label-label yang mengandungi konotasi buruk dan tercela. Dalam masa yang sama, kita tidak pula melihat bahawa keberadaan lebih daripada 50 buah negara-negara kaum Muslimin yang berpecah-belah pada hari ini sebagai punca perpecahan yang sebenar. Bahkan ada pula yang bersungguh-sungguh menyokong status quo pada hari ini. Mereka yang cuba mengubahnya akan segera dilabel sebagai bughat, khawarij, dan ejen perpecahan. Apabila diusulkan jalan penyatuan yang hakiki iaitu melalui penyatuan secara politik, maka usul tersebut ditolak mentah-mentah dengan alasan “mustahil tercapai”, “sudah separuh abad diusahakan namun tak berjaya”, “tak relevan dengan zaman sekarang”, “tidak lebih daripada angan-angan ibarat kisah Don Quixote de la Mancha” dsb.

3. Kita mengakui bahawa akhlak merupakan salah satu keutamaan dalam Islam. Kita menekankannya dalam kebanyakan kuliah dan perbincangan ilmiah yang dianjurkan. Pihak “pemain politik” tidak memberikan penekanan terhadap hal ini. Sebab itulah kita lihat pada hari ini timbul isu penggunaan kata-kata kesat dan usaha menjatuhkan maruah serta membuka aib orang terjadi dalam kempen-kempen pilihanraya.

Ironi: Kita jugaklah yang memperlekeh usaha-usaha orang lain, memberikan gelaran-gelaran yang aneh dan bersifat menjatuhkan maruah, memandang enteng setiap hujah yang dibawa oleh mereka, mempertikai kelemahan mereka, memandang rendah sumber rujukan mereka, mendakwa mereka sebagai terburu-buru dan pendek akal, taksub kepada tokoh dsb. Dengan mudahnya kita membuat hipotesis sendiri dan daripadanya kita buat kesimpulan terhadap mereka mengikut selera kita. Perit-jerih mereka mengarang hujah balas, serta mengkaji dan membuat rujukan tidak dihiraukan. Persepsi kita tetap sama biar apapun respon yang mereka berikan. Namun semuanya ini tidak dipedulikan, sebab yang melakukan semua perbuatan itu merupakan seorang tokoh yang dihormati dan mempunyai kedudukan. Kalau pihak lain yang berbuat demikian, serta-merta dikecam dan diberikan amaran keras. Double standard.

Demikianlah serba-sedikit perkongsian saya buat masa ini. Insya Allah saya akan kongsikan lagi kelak apabila berkelapangan. Perkongsian saya ini dibuat berdasarkan interaksi-interaksi yang berlangsung dalam masyarakat, baik melalui pertemuan secara bersemuka mahupun melalui medium seperti internet. Tujuan penulisan ini bukanlah untuk mengatakan bahawa sayalah yang terbaik, saya tak pernah buat silap dsb. Sebaliknya untuk dijadikan pengajaran kepada kita semua supaya kita menginsafi diri, memperbetul niat serta mengelakkan diri daripada mengulanginya semula.


Akhir kalam, janganlah kita berusaha “menutup” usaha pihak lain dalam medan dakwah, kerana dikhuatiri kita tidak mampu hendak mengisi ruang yang ditinggalkan setelah usaha pihak lain “ditutup”. Lebih baik jika kita menggembleng tenaga dan masa untuk “mengisi” setiap penjuru dakwah yang ada. Wallahua’lam.

_________________________

Sekian, mudah-mudahan kita sama-sama dapat mendalami hakikat kehidupan hari ini yang disampaikan oleh beliau. Kerana sesungguhnya ianya fakta yg tak tersangkalkan. Melainkan pada mereka yg hidup dengan baqa’ yg tinggi dan sia-sia!

Wallahu’alam.

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

Sabda Sallallahu alaihi wa Sallam:
Wahai Ummu Saad, terimalah khabar gembira dan sampaikanlah khabar gembira kepada keluarga mereka, bahawa orang-orang yang terbunuh di antara mereka saling berteman di dalam syurga, semuanya dan mereka diberi syafaat untuk keluarganya”

IBU PARA PAHLAWAN

Sahabiyyah ini adalah antara wanita mukminah yang menyajikan jalan-jalan tauladan dan termasuk salah seorang wanita yang memberikan kesaksian kebenaran bagi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Baginda Rasul turut menjanjikan imbalan kebaikan dan mendoakan barakah baginya. Ketika iklim iman menggantikan kegelapan jahiliyyah dan mentari hidayah mulai terpancar di tanah Madinah, sahabiyyah ini hidup dan tampil sebagai penolong bagi Islam, mencurahkan sekalian yang dimiliki dan menjadi ibu kepada dua orang anaknya yang gugur sebagai syuhada’; dua pahlawan Islam yang segar di dalam medan sejarah.

Inilah dia, Kabsyah bintu Rafi’ bin Muawiyah bin Ubaid bin Al-Abjar Al-Ansyariyah Al-Khudriyah. (Thabaqat Ibn Saad, 8/37; Al-Isti’ab, 4/383; Usdul  Ghabah [7230]; Al-Istibshar,hal. 129)

Beliaulah ibu yang Arasy Ar-Rahman pun bergoncang kerana kematian anak-anaknya. Beliaulah ibu yang memutuskan perkara dengan hukum Allah dari atas langit ketujuh. Anak beliau ialah penjaga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ketika Perang Badar, yang juga pemegang panji dari golongan Ansar, serta salah seorang ahli majlis syura Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ketika itu. Anak beliau adalah As-siddiq kedua setelah Abu Bakar Radiallahu Anhu. Anak beliau jugalah wakil Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam di saat Perang Buwath. Dari rumah pasangan Kabsyah bintu Rafi’ dan Muadz bin An-Nu’man inilah, lahirnya sosok-sosok peribadi Saad bin Muadz, Amru bin Muadz, Iyas, Aqrab dan Ummu Hizam. Maka, setelah mendengarkan nama-nama ini, masihkah kita menginginkan tambahan karamah untuk memuliakan beliau?.

PENGISLAMAN

Madinah menerima tetamu, seorang pemuda dari Mekah, duta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam; Mushab bin Umair. Beliau ditugaskan untuk mengajarkan Al-Quran kepada penduduk Madinah dan menjelaskan hukum-hukum berkaitan permasalahan agama. Risalah Islam akhirnya tersebar ke perkampungan Bani Al-Asyal. Dua orang pemimpin Aus, Usaid bin Hudhair dan Saad bin Muadz lantas melafazkan keislaman mereka. Peristiwa pengislaman keduanya dirakamkan di dalam beberapa kitab sirah. Setelah Saad bin Muadz memeluk Islam, beliau lantas berdiri di hadapan kaumnya, Bani Abdul-Asyhal, seraya berkata kepada mereka : “ Wahai Bani Abdul Asyhal, bagaimanakah pendapat kalian tentang kepimpinanku di tengah-tengah kalian?”

Soalan yang dilontarkan Saad dijawab oleh pengikut-pengikut beliau: “Engkau pemimpin dan orang yang paling utama di antara kami”.

Beliau kemudian berkata: “Sesiapapun di antara kalian, lelaki ataupun wanita dilarang berbicara denganku melainkan dia telah menjadi seorang Muslim atau Muslimah!”.

Pada petang hari yang sama, tiada seorang pun dari kalangan Bani Abdul-Asyhal melainkan mereka telah memeluk Islam. Ibnul Jauzy Rahimahumullah menyebutkan bahawa perkampugan Bani Abdul-Asyal merupakan perkampungan Ansar pertama yang menerima Islam (Shifahush-Shafwah, 1/455). Ummu Saad (Kabsyah bintu Rafi’) segera menyatakan keislaman beliau, malah mendapatkan kebahagiaan yang besar di atas nikmat keimanan tersebut. Rumah beliau menjadi tempat menetapnya duta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, yang dari situlah angin keimanan berhembus ke seluruh pelosok Madinah.

Kebaikan mula memancar dari para wanita Ansar dan Ummu Saad merupakan salah seorang wanita mukminah yang menyimpan kebaikan-kebaikan tersebut. Kelebihan ini turut diakui oleh Ibn Saad dengan berkata: “ Orang yang pertama berbaiat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ialah Ummu Saad, Kabsyah bintu Rafi’ bin Ubaid, Ummu Amir  bintu Yazid bin As-Sakan serta Hawa’ bintu Yazid bin As-Sakan.”

PENIUP SEMANGAT JIHAD ANAK-ANAKNYA

Berbagai kitab sejarah dan biografi telah menyajikan peribadi mulia dan keutamaan-keutamaan yang dimiliki oleh Kabsyah bintu Rafi’, seperti keberanian, kebenaran, kebaikan dan keprihatinan beliau kepada tetangga. Beliau juga mempamerkan contoh terbaik yang mencerminkan kedudukan beliau yang sangat istimewa di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam . Beliau terkenal kerana keberanian dan kesabaran beliau di dalam membela baginda nabi dan mendorong anak-anaknya untuk terjun ke medan jihad dan syahid di jalan Allah.

Di dalam Perang Badar, beliau meniupkan semangat kepada kedua anak beliau, Saad bin Muadz dan Amru bin Muadz Radiallahu Anhuma, agar berangkat dan berjihad kerana Allah dengan sebenar-benar jihad, sehinggalah kedua-duanya mendapat cubaan yang berakhir dengan khabar kemenangan.

Di dalam Perang Uhud, Ummu Saad turut terlibat secara langsung bersama beberapa wanita Muslimah lainnya. Berita kekalahan tentera kaum Muslimin dan gugur syahidnya anak beliau, Amru bin Muadz sampai ke pengetahuan beliau. Namun, berita-berita tersebut ternyata kurang penting bagi ibu ini berbanding keselamatan baginda nabi. Beliau lantas bersegera ke medan peperangan dan melihat dengan mata kepala sendiri keadaan dan keselamatan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Saat itu juga, beliau memanjatkan puji dan syukur kepada Allah seraya berkata: ”Selagi aku melihat engkau dalam keadaan yang selamat, maka musibah ini (kematian Amru bin Muadz) adalah terasa sangat ringan”

Di saat Perang Khandaq meletus, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengarahkan para wanita muslimat dan kanak-kanak yang turut serta untuk berlindung di dalam benteng Bani Haritsah yang telah siap dibina. Turut sama di kalangan mereka ialah Aisyah Ummul Mukminin Radiallahu Anha dan Ummu Saad. Aisyah menuturkan bahawa Saad bin Muadz berlalu untuk menyertai pasukan perang dengan mengenakan baju besi yang pendek, sehingga seluruh tangannya terdedah. Beliau juga menyandang tombak yang dibanggakannya sambil melantunkan bait syair Hamal bin Sa’danah Al-Kalby: Teguhkan hatimu barang sejenak dalam gejolak medan laga; Jangan pedulikan kematian jika sudah tiba saatnya. Mendengar perkataan anaknya, Ummu Saad lantas menasihatkan anaknya agar bersegera supaya tidak ketinggalan walau sesaatpun tanpa bersama-sama Rasulullah. Beliaulah yang tidak henti-henti menasihati dan meniupkan semangat jihad di dalam dada anak-anaknya. Beliau berkata: ”Wahai anakku, cepatlah berangkat kerana demi Allah, engkau sudah terlambat!”

Di dalam peperangan tersebut, Saad terkena anak panah lemparan Hibban Al-Urqah yang memutuskan urat di dekat mata kakinya. Saat itu, Saad sempat berdoa kepada Allah dengan doanya yang sangat masyur,

Ya Allah, jika Engkau masih menyisakan peperangan melawan Quraisy, maka berikanlah aku sisa umur untuk aku menyertainya. Tidak ada kaum yang lebih aku sukai untuk memeranginya kerana Engkau, selain dari kaum yang telah menyakiti Nabi-Mu, mendustakannya dan mengusirnya. Ya Allah, jika Engkau menjadikan peperangan antara kami dengan mereka, maka jadikanlah mati syahid bagiku dan janganlah Engkau uji aku sehingga aku merasakan senang kerana dapat mengalahkan bani Quraizhah”

Tenyata Allah mengabulkan doa Saad bin Muadz. Yahudi Bani Quraizhah melanggar perjanjian yang telah dimeterai bersama Baginda Nabi. Keputusan tentang Bani Quraizhah diserahkan kepada Saad bin Muadz. Beliaulah yang memutuskan agar kaum lelaki Bani Quraizhah dibunuh, manakala kaum wanita dan kanak-kanaknya dijadikan tawanan. Sebaik saja urusan Bani Quraizhah diselesaikan, luka di kaki Saad semakin parah dan akhirnya beliau meninggal dunia.

Sekali lagi, Ummu Saad diuji dengan kehilangan anak beliau. Kekaguman wajar diberikan kepada ibu ini lantaran kesabaran dan kekuatannya menerima ujian tersebut. Jasad Saad diusung dan dikebumikan di Baqi’. Kesedihan Ummu Saad terpancar jelas di wajahnya. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menghibur beliau dengan bersabda,

Adakah air matamu tidak dapat dibendung dan apakah kesedihanmu tidak dapat dihilangkan? Sesungguhnya anakmu adalah orang pertama, Allah tersenyum kepadanya dan Arasy bergoncang kerana kematiannya“ (Syiar Alamin-Nubala’, 1/293: Thabaqat Ibn Saad, 3/434; Majma’ Az-Zawa’id, 9/309)

Hatinya lantas gembira dengan perkhabaran Baginda. Beliau hanya mengharapkan pahala kebaikan di sisi Allah dan RasulNya di atas kematian kedua-dua anaknya sebagai syuhada’, apatahlagi setelah mengetahui ketinggian martabat seorang syahid. Beliau mendahulukan kecintaan kepada Allah dan RasulNya di atas segala sesuatu yang di mata manusia lainnya sangat berharga, termasuklah harta dan anak-anak. Di atas sifatnya inilah, maka beliau layak mendapatkan khabar gembira daripada Allah dan RasulNya sebagai penghuni syurga.

BAGINYA JAMINAN SYURGA

Ummu Saad menerima khabar gembira sebagai penghuni syurga secara langsung dari Rasulullah sewaktu berakhirnya Perang Uhud (Al-Maghazy, 2/315-316; As-sirah Al-Halabiyah, 2/545-546). Saat Baginda Nabi mengetahui gugurnya Amru bin Muadz selain sebelas orang lagi syuhada’ medan uhud, Baginda lantas bersabda,

Wahai Ummu Saad, terimalah khabar gembira dan sampaikanlah khabar gembira kepada keluarga mereka, bahawa orang-orang yang terbunuh di antara mereka saling berteman di dalam syurga, semuanya dan mereka diberi syafaat untuk keluarganya”

Baginda turut mendoakan Ummu Saad dengan doa yang istimewa,

Ya Allah, singkirkan kesedihan hati mereka, ringankanlah musibah mereka dan berilah pengganti yang baik bagi orang-orang yang mereka tinggalkan”.

Dari Anas bin Malik Radiallahu Anha, beliau berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda,

”Barangsiapa yang sabar dan ikhlas mencari pahala kerana kematian tiga anaknya, maka dia akan masuk syurga” Ada seorang wanita yang berdiri seraya berkata, ” Bagaimana dengan dua orang anak?” Baginda kemudiannya menjawab, ”Begitu pula dua orang anak” [HR Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, An-Nasaei dan Ahmad].

Inilah sekilas tentang sirah sahabiyyah mulia ini. Semoga keikhlasan dan kesabaran beliau dalam mendidik anak-anaknya sehingga menjadi pendamping utama Rasulullah yang tidak pernah gerun dan sentiasa bersemangat di medan dakwah dan jihad menjadi teladan yang layak untuk dicontohi oleh ibu kaum muslimin hari ini.

Wallahu’alam

SUMBER: Mykhilafah.com