Posts Tagged ‘hijrah’

 

SN Keluaran 10 Disember 2010

alt

HIJRAH RASULULLAH – KELUAR DARI DARUL KUFUR MENUJU DARUL ISLAM


[SN240] Tindakan dan makna politik penting dari hijrahnya Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang sering dilupa dan dilalaikan oleh umat Islam adalah kewajipan menegakkan Negara Islam (ad-Daulah al-Islamiyah). Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah sesungguhnya merupakan titik penting dalam babak perjuangan baginda beserta para sahabat di dalam menegakkan agama Allah di mana dari situlah lahirnya sebuah Daulah Islam. Madinah merupakan Negara Islam pertama di dunia yang didirikan oleh Rasulullah SAW yang dibangun berdasarkan aqidah Islam. Rasulullah SAW diangkat menjadi pemimpin Negara yang bertanggungjawab mengurus urusan umat (rakyat) secara keseluruhan. Sementara hukum (undang-undang) yang berlaku adalah hukum Islam secara keseluruhan menggantikan hukum Jahiliyyah yang sesat dan zalim.

 

Keberadaan pemimpin, rakyat dan hukum ini cukup untuk menjadi bukti kukuh bahawa apa yang dibangun oleh Rasulullah SAW di Madinah adalah sebuah Negara, dan ia adalah sebuah Negara (Dar) Islam, setelah sebelumnya baginda dan para sahabat hidup dan berjuang di Mekah yang merupakan Negara (Dar) Kufur pada ketika itu. Negara baru yang dibangun oleh Rasulullah SAW ini dihuni oleh warganegara yang beragam. Selain kaum Muslimin yang menjadi majoriti, terdapat Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Auf, Bani Najjar dan termasuk masih terdapat orang-orang musyrik penyembah berhala. Namun keberagaman ini langsung tidak menghalangi penerapan hukum Islam oleh Rasulullah. Ini kerana hukum Islam sesungguhnya bukan hanya untuk orang-orang Islam sahaja tetapi ia merupakan hukum (undang-undang) Negara yang terpakai ke atas semua warganegara tanpa mengira bangsa dan agama dan ia merupakan rahmat bagi seluruh manusia (rahmatan lil ‘alamin), termasuk non-Muslim. Hubungan antara kaum Muslimin dan warganegara lain yang non-Muslim di atur oleh Rasulullah dengan Islam dan sebuah piagam yang disebut Piagam Madinah (watsiqah al-madinah) diwujudkan. Sebagaimana disebutkan di dalam Sirah Ibnu Hisyam bahawa apabila muncul perselisihan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian, maka wajib dikembalikan kepada Allah dan RasulNya. Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT di dalam Surah an-Nisa:59. Imam al-Mawardi dalam tafsirnya menjelaskan maksud ayat ini sebagai kewajipan mentaati Allah SWT dalam seluruh perintah dan laranganNya dan taat kepada Rasulullah SAW. Beliau juga mengutip penjelasan Mujahid dan Qatadah bahawa makna kembali kepada Allah dan Rasul adalah kembali kepada kitabullah dan Sunnah Rasulullah.

Perlu difahami bahawa Rasulullah SAW tidak mendirikan negara-bangsa (nation-state), tetapi baginda mendirikan Negara Islam (Islamic State). Islamic State ini tidak hanya dikhususkan kepada bangsa-bangsa tertentu, tetapi untuk kesemua manusia yang ingin tinggal di dalamnya (dan tunduk kepada Islam) dan wilayah kekuasaan Islamic State ini meluas ke seluruh dunia sebagai konsekuensi kewajipan dakwah Islam ke atas umat manusia seluruhnya. Negara Islam ini kemudiannya berkembang dan terus berkembang dengan jalan dakwah dan jihad yang dilakukan oleh Nabi SAW. Di masa Khulafa’ Rasyidin dan para Khalifah selepasnya, Daulah Islam ini meluas hingga hampir mencapai 2/3 dunia dengan pelbagai bangsa dan agama di dalamnya yang kesemuanya tunduk kepada hukum Islam yang merupakan undang-undang Negara. Walaupun Madinah merupakan sebuah kota kecil ketika itu, namun bukti bahawa Madinah merupakan sebuah Negara Islam tampak jelas dari apa yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana lazimnya dipraktikkan oleh seorang Ketua Negara. Rasulullah SAW memimpin kaum Muslimin, mengatur urusan-urusan dan kepentingan rakyatnya, memenuhi keperluan pokok rakyat, menjamin keamanan dan kesihatan untuk rakyat dan melindungi penduduk Madinah. Rasulullah SAW menjadi hakim (qadhi) pada waktu terjadi perselisihan antara rakyatnya, termasuk mengangkat Ali bin Abi Thalib, Mu’adz bin Jabal, dan Abu Musa al Asy’ari sebagai qadhi di Yaman. Untuk membantu pemerintahannya, Rasululah SAW mengangkat Abu Bakar dan Umar sebagai Mu’awwin (pembantu)nya, Mu’adz bin Jabal menjadi Wali (gabenor) di Janad, Khalid bin Walid sebagai Amil di Sun’a, Ziyad bin Lubaid sebagai Wali di Hadhramaut, Abu Dujanah sebagai Amil di Madinah dan seterusnya. Dalam mengurus politik luar negara, Rasulullah SAW mengirim surat-surat diplomatik, melalui utusan diplomatik baginda yang mana kandungannya mengajak pemimpin dan rakyat negara lain untuk memeluk agama Islam. Sebagai ketua Negara, Rasulullah adalah Amirul Jihad (ketua/pemimpin perang) dalam pelbagai pertempuran dan mengangkat beberapa orang sahabat baginda sebagai Komandan di dalam beberapa peperangan. Baginda mengutus Hamzah bin Abdul Muthalib dan sahabat lainnya dalam pasukan perang menyerang Quraisy, mengutus antara lain Zaid bin Haritsah menyerang Rom, Khalid bin Walid menyerang Dumatul Jandal dan banyak lagi. Kesemua hal ini hanya boleh/layak dilakukan oleh seorang Ketua Negara dan semua fakta ini merupakan hakikat yang tidak boleh dibantah bahawa Madinah adalah sebuah negara dengan Ketua Negaranya adalah Rasulullah SAW.

Bermula dari hijrah Rasulullah SAW yang keluar dari Negara Kufur menuju tegaknya Negara Islam, agama Islam yang sebelum itu hanya menjadi anutan pengikutnya sahaja kemudian telah bertukar menjadi agama yang memerintah negara dan memerintah dunia. Agama suci ini telah zahir di atas agama-agama yang lain dengan peranan Negara (pemimpin) yang menerap dan mendakwahkannya ke seluruh pelosok dunia. Namun malangnya, sejak kejatuhan Daulah Islam lebih kurang 90 tahun yang lalu (28 Rajab 1342H), agama Islam sudah tidak lagi memimpin dunia kerana tidak ada lagi Negara (pemimpin) yang menerap dan mendakwahkannya. Umat Islam pula sering dipalingkan dari makna hijrah yang sebenar oleh para pemimpin dan oleh ulama su’ (buruk) sehingga sudah tidak ada kesedaran dari sebahagian besar umat Islam bahawa hijrah Rasulullah adalah sesungguhnya bermaksud keluar dari Negara Kufur menuju Negara Islam, dan ini merupakan sebuah kewajipan.

Adapun kewajipan mendirikan Negara Islam (Khilafah) adalah merupakan konsekuensi dari kewajipan menerapkan seluruh syariah Islam sebagai bukti keimanan seorang Muslim kepada Allah SWT. Keberadaan negara (kekuasaan) adalah hal yang mutlak untuk itu. Kewajipan menegakkan syariah Islam dalam pemerintahan seperti menerapkan hudud Allah, qisas, ta’zir, menetapkan mata wang berdasarkan dinar (emas) dan dirham (perak), mengadili pihak yang bersengketa, menjatuhkan hukuman terhadap pelaku jenayah, mengirim pasukan perang, menjamin pendistribusian harta di tengah-tengah masyarakat, menjamin keperluan pokok (basic needs) rakyat, mengambil jizyah, kharaj, ghanimah, jihad dan banyak lagi adalah termasuk dalam bidangkuasa (authority) negara, bukannya bidangkuasa mana-mana kelompok atau individu. Kerana itu menyatakan Negara Islam tidak wajib adalah sebuah kebodohan yang tidak dapat diterima di dalam agama kerana ia termasuk di dalam hal yang ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah (tidak ada alasan untuk tidak tahu). Sesungguhnya kewajipan menerapkan syariah Islam secara total bererti kewajipan mewujudkan sebuah negara yang didasarkan kepada Islam (Khilafah). Kewajipan mulia (menegakkan Khilafah) ini tidak pernah diperdebatkan oleh ulama-ulama tersohor dan mukhlis sebagaimana dinyatakan oleh Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslimnya, “Mereka (para imam mazhab) telah bersepakat bahawa kaum Muslimin wajib mengangkat seorang Khalifah”.

Umat Islam semakin Menyahut Seruan Khilafah

Setelah berjaya dalam usaha ratusan tahun mereka meruntuhkan Khilafah, berpuluh tahun pula lamanya usaha golongan kuffar Imperialis Barat melakukan serangan terhadap usaha umat Islam untuk menegakkan kembali Daulah Khilafah. Di samping tindakan fizikal (peperangan, penangkapan, penyeksaan dan pembunuhan) mereka ke atas anggota-anggota gerakan Islam yang ingin menegakkan semula Khilafah, mereka juga melakukan serangan pemikiran yang bertubi-tubi tanpa henti ke atas usaha mewujudkan kembali Daulah Islam. Mereka melontarkan pelbagai kata-kata dan propaganda jahat bagi menggambarkan kepada dunia bahawa gerakan yang ingin menegakkan Khilafah adalah gerakan yang ekstrem, radikal, teroris dan pelbagai macam tohmahan lagi. Mereka berusaha untuk menakutkan dunia, termasuklah dunia Islam sendiri bahawa Khilafah merupakan sebuah kekuasaan yang penuh dengan kejahatan dan kekolotan. Mereka melantik agen mereka dari kalangan penguasa umat Islam bagi memastikan Khilafah tidak dapat ditegakkan.

Bekas Presiden AS, George Bush sering melemparkan kata-kata jahatnya terhadap gerakan yang ingin mendirikan semula Khilafah, antaranya dia mengatakan, “They hope to establish a violent political utopia across the Middle East, which they call caliphate, where all would be ruled according to their hateful ideology.” (“Mereka mengharapkan berdirinya sebuah entiti politik kejam yang tak masuk akal di Timur Tengah, yang mereka sebut sebagai Khilafah, di mana semuanya akan diperintah mengikut ideologi kebencian mereka”). Sekutu rapat Bush yang juga mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair, semasa memberi komen setelah peristiwa pengeboman London menyifatkan pengebom sebagai ‘barbarian’. Tidak berhenti di situ. Blair kemudian menambah, “Undang-undang syariah di dunia Arab akan membawa kepada terbentuknya satu keKhilafahan untuk seluruh manusia dengan Islam.” Menteri Dalam Negerinya Charles Clark ketika itu pun turut memberikan pernyataan (dalam dialognya dengan para pemikir sayap kanan Amerika, The Heritage Foundation), “Kita tidak akan pernah bertolak ansur sedikit pun tentang penegakan Khilafah. Kita juga tidak akan bertolak ansur apa pun tentang pelaksanaan undang-undang (hukum) syariah.” Banyak lagi propaganda dan kenyataan yang dibuat oleh golongan kuffar ini tentang Khilafah. Seruan kepada Khilafah benar-benar telah digambarkan dengan gambaran yang jahat oleh mereka dan mereka sering mengaitkannya dengan keganasan. Padahal, usaha umat Islam untuk menegakkan Khilafah, sejak Khilafah dihancurkan pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), adalah sebuah usaha yang mulia di dalam menegakkan kembali agama Allah yang telah dihancurkan oleh musuh-musuhNya ini.

Hizbut Tahrir adalah antara gerakan Islam antarabangsa yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan semula Khilafah ke persada dunia melalui jalan politik dan intelektual. Di dalam perjuangan menegakkan Khilafah, Hizbut Tahrir telah dan senantiasa meneladani thariqah (jalan) dakwah Rasulullah SAW semasa di Mekah sehingga tertegaknya Negara Islam di Madinah, yang mana perjuangan dakwah ini semata-mata dilakukan melalui jalan fikriyyah (pemikiran) tanpa kekerasan (la madiyah) sedikit pun. Kita hendaklah yakin bahawa sekiranya kita ikhlas dan bersungguh-sungguh di dalam perjuangan mengembalikan semula Khilafah dengan mengikuti thariqah yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW, Insya Allah pertolongan Allah akan bersama kita, walau bagaimana hebat dan dahsyat halangan dari musuh-musuh Allah sekalipun. Sejak ditubuhkan pada tahun 1953 di Baitul Maqdis, Palestine, seruan menegakkan Khilafah yang dilaungkan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia telah membuka mata umat Islam dan mendapat sokongan dari mereka yang ikhlas. Hal ini sesungguhnya semakin menakutkan kuffar Barat (akan kemunculan semula Khilafah). Kaum Muslimin di seluruh dunia mulai sedar dan menganggap perjuangan ini sebagai qadhiyah masiriyah (agenda utama) dan semakin memahami kewajipan hukumnya. Kaum Muslimin juga mula sedar bahawa Khilafah merupakan satu-satunya alternatif terhadap segala kerosakan, kezaliman, penjajahan, perpecahan, kekacauan, pembunuhan dan sebagainya yang kini sedang melanda dunia Islam.

Sejak sekian lama, Hizbut Tahrir telah melakukan banyak seruan, konferens, seminar dan demonstrasi aman di seluruh dunia untuk menyedar dan membangkitkan umat agar berjuang menegakkan Khilafah. Seruan penegakan Khilafah ini telah disambut oleh ratusan ribu kaum Muslimin yang dengan jelas menyokong usaha-usaha ke arah menyatukan umat Islam di bawah satu Negara. Baik di negara umat Islam mahupun bukan, seruan dan usaha ke arah penegakan Khilafah telah kedengaran di mana-mana. Seruan mulia ini telah bergema di setiap lorong, jalan-jalan, pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta, universit-universiti, masjid-masjid dan rumah-rumah kaum Muslimin di seluruh dunia. Ribuan umat Islam telah keluar untuk bergabung, menyokong, mendengar dan membicarakan tentang Khilafah. Dari golongan kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun tua, baik lelaki mahupun wanita, pendek kata, kaum Muslimin tanpa mengira bangsa telah mula sedar dan bangkit bahawa Khilafah merupakan satu-satunya jalan dan masa depan bagi umat Islam. Pada tahun 2007 sebagai contoh, Konferens Khilafah Internasional yang diadakan di Indonesia telah dihadiri oleh lebih kurang 100,000 umat Islam yang datang dari seluruh ceruk Indonesia khususnya dan dunia amnya yang menyatakan sokongan yang begitu kuat untuk menegakkan semula Khilafah. Al-Jazeera, BBC, Reuters dan lain-lain media internasional melaporkan tentang himpunan terbesar umat Islam ini yang menginginkan Khilafah. Segala puji bagi Allah, sambutan umat Islam di seluruh dunia kini amat memberangsangkan dan kebanyakan mereka memberi sokongan penuh kepada usaha menegakkan kembali institusi politik agung umat Islam ini.

Justeru, sempena hijrah tahun ini (1432H) Hizbut Tahrir sekali lagi menyeru agar semua pihak bergabung dengan saudara-saudara kita di seluruh dunia dan saling bahu-membahu dalam perjuangan untuk mengembalikan semula Daulah Khilafah, yang akan menyatukan kaum Muslimin di bawah satu payung pemerintahan, membebaskan kaum Muslimin dari cengkaman musuh-musuh Allah serta mengembalikan kemuliaan kaum Muslimin sebagaimana dahulunya. Jadikanlah hijrah Rasul sebagai peringatan untuk kita sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menukar Darul Kufur yang kita duduki kepada Darul Islam yang sekaligus akan menukar segala hukum kufur kepada hukum Islam. Sentiasalah ingat bahawa hijrah Rasulullah adalah merupakan hijrah baginda dari Negara Kufur menuju Negara Islam dan ia merupakan sebuah kewajipan ke atas kita semua yang tidak ada tawar-menawar lagi. Ia (menegakkan Daulah Islam) adalah perintah Allah dan kita semua wajib mematuhinya. Berusahalah untuk menegakkan Khilafah dan sahutlah seruan Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu, ‘Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?’ mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah…” [TMQ as-Saf (61):14].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Sesungguhnya Khilafah bukanlah monopoli salah satu kumpulan atau mana-mana kelompok Islam. Khilafah adalah sistem pemerintahan Islam yang sama-sama kita harap dan usahakan penegakannya. Sistem tersebut merupakan satu kefardhuan yang agung, yang telah Allah SWT tetapkan. Seruan-seruan yang dikumandangkan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia, selain menjelaskan adanya sebuah kekuatan yang sedang membimbing kaum Muslimin menuju tegaknya Khilafah, juga telah berjaya meruntuhkan berbagai fitnah dan serangan yang dipenuhi kedengkian, berbagai kritikan yang keliru, serta berbagai kebohongan dan propaganda yang telah dihembuskan oleh musuh-musuh Islam sejak bertahun-tahun yang lalu. Kaum Muslimin kini semakin sedar bahawa adalah menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk memperjuangkan penegakan semula Khilafah serta mendukung gerakan Islam yang memperjuangkannya. Nas-nas syarak yang jelas dan sejarah sepanjang lebih 1,400 tahun pemerintahan Islam telah membuktikan bahawa Khilafahlah satu-satunya sistem pemerintahan yang wajib, sahih dan adil bagi umat manusia. Dengan janji dan izin Allah, Khilafah akan pasti berdiri dan ia akan kembali memimpin dunia dan akan menggantikan sistem kufur demokrasi yang penuh kebohongan dan kejahatan saat ini dengan sistem Islam yang penuh rahmat dan berkat.

 

Hijrah Rasulullah


1 Muharram datang lagi.  Selesai sahaja mentari merah Zulhijjah 1431 Hijrah berlabuh, sinar Muharram 1432 Hijrah menjelma.  Ketibaan bulan yang mulia ini akan diraikan dengan sambutan Maal Hijrah bersempena tahun baru kalender Islam dan bagi mengenang satu peristiwa agung dalam sejarah umat Islam, iaitu penghijrahan RasulullahSallallahu Alaihi wa Sallam dari Mekah ke Madinah.

Peristiwa hijrah merupakan titik tolak ke arah tertegaknya Negara Islam Madinah yang dipimpin oleh baginda RasulullahSallallahu Alaihi wa Sallam.  Kisah hijrah juga mengingatkan kita tentang pengorbanan umat Islam terdahulu dalam proses mengembangkan Islam di Mekah.  Kejayaan Rasulullah dan para sahabat sehingga tertubuhnya negara Islam pertama iaitu Madinah bukanlah suatu perkara yang mudah.  Selama 13 tahun Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallamberdakwah di Mekah, namun usaha dakwah Rasulullah dan para sahabat ditentang hebat oleh Kafir Quraisy Mekah.

Kafir Quraisy Mekah telah menggunakan pelbagai usaha seperti melakukan penganiayaan dan penyeksaan, menimbulkan pelbagai propaganda di dalam dan di luar kota Mekah, dan melakukan pemboikotan terhadap umat Islam.  Semua ini dilakukan dengan harapan Rasulullah akan menghentikan dakwah baginda, namun semua usaha mereka tidak berhasil.  Rasulullah dan umat Islam terus menyampaikan risalah Islam walaupun dalam serba kekurangan.

Setelah lebih 10 tahun menyampaikan risalah Islam di Mekah, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menyedari bahawa meneruskan dakwah di Mekah tidak akan membuahkan hasil kerana masyarakat Quraisy Mekah sering berfikiran dangkal, berhati batu dan cenderung kepada kesesatan.  Oleh itu, baginda mula merancang untuk menyebarluaskan dakwah kepada masyarakat lain.  Lalu baginda mula memikirkan tentang kemungkinan untuk hijrah dari Mekah.

Penghijrahan kaum Muslim ke Madinah dilakukan supaya mereka dapat meneruskan dakwah dalam menyampaikan risalah Islam memandangkan penduduk Madinah berpotensi dan telah bersedia menerima cahaya Islam.  Dengan bimbingan wahyu, berlakulah penghijrahan Rasulullah ke Madinah.

Menelusuri Peranan Asma’ dalam Hijrah

Penghijrahan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan umat Islam ke Madinah telah dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi mengaburi mata Kafir Quraisy Mekah.  Dalam proses penghijrahan Rasulullah dan Abu Bakar ke Mekah, diriwayatkan bahawa Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Tsur selama tiga hari.  Ketika orang-orang Quraisy kehilangan jejak Rasulullah, mereka menawarkan imbuhan yang lumayan kepada sesiapa yang mengetahui tempat persembunyian Rasulullah dengan menawarkan seratus ekor unta.  Dalam masa yang sama Kafir Quraisy Mekah terus menjejaki dan mencari tempat persembunyian baginda.  Selama tiga hari mereka berusaha mencari jejak Rasulullah, tetapi gagal.  Akhirnya, orang Kafir Quraisy berhenti daripada terus mencari Rasulullah.  Setelah itu, Rasulullah dan Abu Bakar telah meneruskan perjalanan mereka ke Madinah dengan penuh berjaga-jaga.

Dalam peristiwa hijrah ini, keberanian luar biasa Asma’ Abu Bakar terserlah tatkala beliau memastikan bekalan makanan sampai kepada ayahandanya dan baginda Rasulullah di saat nyawa baginda diancam oleh kafir Quraisy.  Dalam usaha menghantar makanan, Asma’ memastikan bahawa pemergiannya menghantar makanan kepada Rasulullah dan ayahandanya tidak dapat di kesan oleh pihak Kafir Quraisy Mekah.  Asma’ mengembala kambing di belakangnya sepanjang perjalanan menghantar makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar dengan tujuan jejaknya akan terhapus oleh kambing yang digembalanya.  Asma’ telah berjaya membawa makanan untuk Hijrah Rasulullah dan ayahandanya, namun beliau terlupa membawa tali untuk mengikat makanan tersebut.  Dengan kecerdasan akalnya, beliau telah memotong dua tali yang digunakan untuk mengikat pinggangnya (wanita yang memiliki dua tali pinggang).

Asma’ tidak sekadar menjadi penghantar makanan, malah beliau juga menyampaikan berita-berita penting tentang rencana pihak musuh terhadap kaum muslimin.  Dengan kehamilannya ketika itu sedikit pun tidak mematahkan semangat Asma’ dalam memberi sumbangan kepada Islam.

Setelah Rasulullah dan Abu Bakar berangkat ke Madinah, Asma’ terus pulang ke rumah.  Setibanya di rumah, beliau telah didatangi Abu Jahal dan Kafir Quraisy yang hendak bertanyakan kedudukan Abu Bakar ketika itu.  Dengan tenang Asma’  menjawab, “Demi Allah aku tidak tahu ke mana ayahku pergi!”.  Abu Jahal berasa tidak puas hati dan sangat marah.  Dia menampar pipi Asma’ sehingga subang yang dipakai ditelinganya tercabut.  Setelah itu, Abu Jahal dan Kafir Quraisy beredar dari rumahnya.

Diriwayatkan dari Ibnu Ishaq, sesungguhnya Asma’ tidak mengetahui ke mana hala tuju baginda Rasulullah dan ayahandanya sehinggalah Asma’ mendengar syair yang didendangkan oleh seorang penyair.  Daripada bait-bait syair tersebut, barulah Asma’ tahu bahawa Rasulullah dan ayahandanya menuju ke Madinah.

Begitu hebat dan cekalnya hati Saidatina Asma’ binti Abu Bakar dalam kita menelusuri peranannya dalam peristiwa hijrah. Asma’ telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai muslimah yang unggul, bagaimana dengan muslimah masa kini? Sudahkah muslimah hari ini melaksanakannya?

Di Mana Peranan Muslimah?

Jika Asma’ sanggup mempertaruhkan nyawanya demi kelangsungan Islam, adakah kita juga sanggup?  Adakah sejarah pengorbanan Asma’ ini hanya sekadar lintasan sejarah?  Apakah bezanya kita dengan Asma’ sehingga kebanyakan daripada kita sering memberi alasan untuk berkorban demi Islam?  Asma’ adalah wanita biasa, sama seperti kita. Yang membezakan antara kita dan Asma’ adalah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala.  Adakah mustahil untuk kita memiliki iman sehebat Asma’ ?  Tidak wahai muslimah, semua itu tidak mustahil!  Setiap daripada kita berpeluang beriman kepada Allah sehebat Asma’  dan tidak mustahil untuk menjadi lebih hebat daripada Asma’.

Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah.” [TMQ al-Baqarah (2):207]

Wahai Muslimah,

Kalian mempunyai peranan besar dalam dunia Islam.  Kalian merupakan Ummun wa rabbatul bait (pengatur urusan rumahtangga).  Di tangan kalianlah, akan lahir cendiakawan dan mujahid pembela Islam.  Di bahu kalianlah terletak satu amanah untuk mempersiapkan anak-anak menjadi pejuang Islam yang akan membawa perubahan dalam masyarakat.  Oleh itu, seorang muslimah hendaklah menyiapkan dirinya dengan persiapan rapi berkaitan Islam.  Seorang muslimah mesti memiliki pemahaman yang jernih mengenai Islam.  Setiap muslimah wajib meyakini bahawa Islam adalah rahmatan lil ‘alamin.  Seorang muslimah perlu memahami bahawa beliau merupakan asas kepada tiang negara kerana dari rahimnyalah akan lahir para mujahid pembela agama.  Dengan santun bicaranya tatkala mengasuh anak-anaknyalah akan tertancapnya semangat jihad dalam generasi seterusnya.

Keperibadian anak terbentuk daripada pembentukan pemikiran oleh ibunya sendiri.  Jika anak ditanam dengan asastsaqafah (culture) dan aqidah yang benar iaitu aqidah Islam, InsyaAllah generasi yang terhasil adalah generasi yang memahami kehidupan dan perjuangan seorang Islam.  Oleh sebab itu, besarnya tanggungjawab seorang ibu kerana di bahunya terletak satu amanah untuk melahirkan generasi yang cemerlang pada kaca mata Islam.  Namun, adakah para ibu hari ini benar-benar telah melaksanakan amanah ini?  Adakah para Muslimah hari ini telah menyiapkan diri mereka dengan ilmu Islam yang cukup bagi menyempurnakan tanggungjawab mereka sebagai seorang ibu?  Di sinilah seorang Muslimah memulakan langkah.  Setiap muslimah perlu menyiapkan diri mereka dengan ilmu Islam yang cukup dan mantap serta memahami kewajipan mereka sebagai seorang muslimah.

Wahai muslimah,

Kalian juga bukan sekadar Ummun wa rabbatul bait.  Kalian juga memiliki peranan yang sama dengan lelaki dalam usaha menegakkan Islam.  Kalian juga tertaklif dengan kewajipan berpolitik, sama seperti kaum Adam.  AllahSubhanahu Wa Taala memerintahkan lelaki dan wanita melibatkan diri dalam parti politik selaras dengan firmanNya:

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada Islam, mengajak melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang beruntung [TMQ al-Imran (3):104]

Diriwayatkan semasa pemerintahan Khalifah Umar, seorang wanita telah memuhasabah undang-undang yang melarang wanita meminta mahar yang tinggi dan bagi yang telah mendapat mahar yang tinggi harus mengembalikannya.  Hujah wanita itu, undang-undang tersebut bertentangan dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala:

“ Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedangkan kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya walau sedikit pun..” [TMQ an Nisa’ (4):20]

Khalifah Umar pun terus menukar arahannya dengan mengatakan: “Benar perkataan wanita itu!”

Jelaslah wanita tidak terlepas daripada bebanan politik seperti mana wanita-wanita terdahulu.  Apa lagi alasan kalian wahai muslimah?

Khatimah

Wahai Muslimah, jadilah seperti Khadijah yang sentiasa setia menyokong dakwah Rasulullah sehingga akhir hayatnya.  Saidatina Khadijah bukan sekadar menyokong, tetapi bersama-sama menyampaikan risalah Islam.  Saidatina Khadijah membantu Rasulullah berdakwah, membelanya, mengeluarkan harta bendanya untuk dakwah dan sangat mencintai suaminya di saat orang ramai memperlekeh dan membenci baginda.  Beliaulah yang berada di sisi Rasulullah dan menyokong dakwah Nabi dengan setia sehingga akhir hayatnya.  Suatu ketika Nabi mengenang wanita yang sangat dicintainya itu : “Demi Allah, tiada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman ketika semua orang engkar, yang percaya kepadaku ketika semua pihak mendustakan, yang mengorbankan hartanya ketika semua berusaha mempertahankannya dan daripadanyalah aku mendapat keturunan”.

Muslimah mesti menyedari bahawa masyarakat Islam tidak mungkin akan terbina dan Daulah Islam tidak akan tertegak jika wanitanya tidak memahami Islam, tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan, tidak berdakwah ke jalan Islam, tidak melahirkan generasi pejuang Islam, tidak mengasuh anak-anak dengan fikrah Islam yang hakiki dan tidak menyokong suaminya yang berjuang menerapkan Islam.  Di sinilah terdapat banyak hal yang menuntut peranan dan pengorbananmu wahai Muslimah! 

 

Wallahu „alam