Posts Tagged ‘ikhtilat’

Soalan:
Adakah seorang wanita dibolehkan belajar memandu bersama dengan guru memandunya jika dia bersendirian tanpa seorang Mahram atau suaminya, memandangkan kereta latihan memandu itu adalah sebuah kenderaan umum dan bukan kenderaan persendirian yang memerlukan seorang Mahram? Adakah guru memandu itu melakukan dosa jika dia mengajar s eorang wanita yang datang kepadanya tanpa seorang Mahram ataupun suami?

Jawapan:

Memang benar bahawa kereta yang digunakan untuk latihan memandu itu adalah sebuah kenderaan umum dan bukan kereta persendirian, tetapi, tanggungjawab disini adalah kehadiran suami atau seorang Mahram bersama wanita tersebut kerana jika dia tidak berbuat demikian, maka dia telah melakukan dosa, malah guru memandu itu juga turut melakukan dosa jika dia mengajar wanita tersebut tanpa berserta Mahramnya.

Penerangannya adalah seperti berikut:

1.    Allah Subhanahu wa ta’ala membenarkan wanita melakukan beberapa urusan didalam kehidupan umum: Wajib (الوجوب), lebih baik dilakukan (الندب) dan yang dibenarkan (الإباحة) supaya wanita boleh melakukan urusan-urusannya didalam kehidupan umumnya seperti yang dikehendaki.

Urusan-urusan ini terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama adalah urusan yang tidak memerlukan pergaulan (Ijtima’) diantara laki-laki dan perempuan bersama-sama atau hubungan sosial (khultah) diantara mereka. (Khultah atau hubungan sosial bermaksud bergaul dan bercakap-cakap bersama).

Contohnya adalah seperti berjalan dijalan-jalan, pergi ke masjid, pergi ke taman awam…dan perkara-perkara yang seumpamanya. Wanita tidak dibolehkan untuk bercampur dengan lelaki ketika melakukan urusan – urusan tersebut, kerana hukum asalnya didalam Islam adalah terpisah / berasingan seperti yang dinyatakan didalam hukum yang berkaitan lelaki dan perempuan, dan dengan syarat mengikut apa yang telah Syari’ah benarkan keatas wanita yang tidak memerlukan hubungan sosial (khultah) dan pergaulan (Ijtima’), hukumnya tetap seperti itu. Ini bererti bahawa wanita boleh berjalan dijalan – jalan, pergi ke masjid, atau melawat keluarganya atau pergi ke taman sama ada berjalan atau menaiki kenderaan (dengan syarat tidak melebih jarak yang memerlukan seorang Mahram). Dia boleh melakukan kesemuanya itu tanpa hubungan sosial (Khultah) dengan lelaki asing, iaitu tidak bergaul dan bercakap-cakap bersama-sama. Dia boleh menaiki bas tanpa bercakap – cakap dengan lelaki asing yang duduk disebelahnya, dia boleh memasuki taman dan berjalan-jalan didalamnya tanpa Khultah,didalam perkara-perkara umum seperti ini seorang wanita tidak memerlukan seorang Mahram bersamanya, juga tidak diperlukan laluan berasingan untuk lelaki dan wanita didalam taman, atau jalan – jalan khas yang berasingan didalam bandar untuk lelaki dan wanita. Disana, laluan dan jalan-jalan yang sama digunakan tetapi tanpa Khultah, seperti yang diterangkan diatas.

Oleh yang demikian, didalam mengerjakan segala urusan yang dibenarkan oleh Syari’ah keatas wanita, tidak diperlukan pergaulan (Ijtima’) diantara laki-laki dan perempuan.

Kedua adalah melakukan urusan yang memerlukan pergaulan (Ijtima’) diantara laki-laki dan wanita.  Contohnya adalah seperti berjual – beli, menyewa, rawatan perubatan, merawat orang sakit, pembelajaran dan pengajaran, memberi kuliah sains am, mencari modal untuk pertanian atau perindustrian. Hukum – hukum yang khusus telah ditetapkan didalam batas-batas Syari’ah untuk mengatur pergaulan diantara laki-laki dan wanita ketika berurusan  didalam hal- hal tersebut dalam kehidupan.  Bersembahyang didalam masjid memerlukan pergaulan (Ijtima’) diantara laki-laki dan wanita. Oleh itu, ada hukum yang khusus dimana baris lelaki terpisah dari wanita, iaitu lelaki  dibaris hadapan dan wanita di baris yang belakang, tanpa memerlukan seorang Mahram diantara yang bersembahyang.

Melakukan ibadah haji juga memerlukan Ijtima’ diantara lelaki dan wanita tanpa barisan yang terpisah. Oleh itu, maka ada hukum yang khusus hanya untuk ibadah haji bagi kedua-dua lelaki dan wanita. Ketika melakukan rawatan perubatan atau merawat orang sakit, ada sesetengah perkara memerlukan Ijtima’ diantara lelaki dan perempuan. Oleh itu ada hukum yang khusus dimana dibenarkan melihat bahagian yang sakit, walaupun bahagian yang sulit, dan sebagainya.

2.    Mengajar memandu memerlukan kehadiran laki-laki dan perempuan untuk pembelajaran, kerana tidak mungkin ada guru wanita untuk wanita dan guru lelaki untuk lelaki. Oleh itu, perkara ini ada hukumnya yang khusus.

Apabila meneliti realiti belajar memandu ini, jelas didapati bahawa:
Pada hakikatnya, mengajar memandu didalam kereta adalah terhad kepada guru dan pelajar yang bertujuan untuk mengajar individu tertentu bukan satu kumpulan. Tujuan khusus untuk lelaki dan perempuan itu bertemu adalah terhad kepada mereka berdua sahaja, dan tidak seperti dimasjid atau kuliah umum, dimana tujuan mereka bertemu melibatkan bilangan yang ramai,maka tidak terdapat perbuatan khalwat disitu, masalahnya hanyalah baris untuk laki- laki dan wanita. Oleh yang demikian, keterangan datang untuk memisahkan barisan tanpa mengambil kira khalwat dan Mahram. Manakala, didalam hal belajar memandu, didalam kereta menghimpunkan dua orang, lelaki dan perempuan, iaitu guru  memandu dan pelajar yang ingin belajar memandu. Oleh itu, kemungkinan terdapat perbuatan khalwat disitu kerana peraturannya memerlukan mengajar memandu dipelbagai jalan yang berlainan. Selain dari itu, terdapat juga hubungan sosial (Khultah) kerana berjumpa dan bercakap-cakap ketika belajar memandu. Oleh yang demikian, khalwat hendaklah dielakkan dan bersosial hendaklah dihadkan kepada tujuan untuk mengajar memandu.

Ini boleh dilakukan dengan disertai oleh seorang Mahram kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:
لا يخلون رجل بامرأة إلا ومعها ذو محرم
Seorang laki-laki tidak dibolehkan duduk berkahlwat dengan seorang perempuan tanpa Mahramnya” seperti yang diriwayatkan oleh Muslim.

Suami atau Mahram pelajar tersebut perlu berada didalam kenderaan ketika beliau belajar memandu. Jika tidak, dia akan melakukan dosa, malah, guru memandu yang mengajarnya turut melakukan dosa kerana ketidakhadiran seorang Mahram atau suaminya.

Perlu juga diberi perhatian bahawa wanita perlu menutup auratnya sepanjang masa ditempat-tempat umum mengikut pakaian yang telah ditetapkan oleh Syariah iaitu jilbab dan khimar mengikut batas-batas Syariah.

Sheikh Ata ibn Khaleel al –Rashta
Sumber: Islamic Revival

Menurut ajaran Islam, prinsip asas interaksi antara lelaki dan perempuan adalah terpisah.  Ini bermakna, di dalam seluruh aspek kehidupan dan di semua tempat samada  di tempat khusus ataupun di tempat umum, interaksi antara lelaki dan perempuan secara umumnya adalah dilarang.  Banyak dalil yang menunjukkan hukum pemisahan antara dua jantina ini, dan banyak hadis yang menjelaskan hukum berkaitan hal ini samada ada di tempat umum mahupun khusus (seperti di rumah dsb):

Abu Dawud telah meriwayatkan hadis-hadis seperti di bawah:

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Barisan yang terbaik untuk lelaki adalah barisan hadapan, ( yang paling jauh dari barisan wanita) dan barisan yang paling baik untuk wanita adalah di barisan belakang dan yang terburuk adalah di hadapan (paling hampir dengan barisan lelaki).” [HR Abu Dawud]

Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam melihat  kaum lelaki dan perempuan di luar masjid bergerak bersebelahan antara satu sama lain.  Beliau (Sallallahu Alaihi wa Sallam) menahan kaum perempuan lalu berkata, ” Adalah tidak elok untuk kalian berjalan di tengah-tengah laluan ini, adalah lebih baik bagi kalian untuk berjalan mengikuti tepi-tepi dinding.” [HR Abu Dawud]

Di dalam Sunan Abu Dawud, muka surat 284, Hadis No 4931, diriwayatkan dengan kebenaran Saidatina Aisha Radiallahu anha, beliau berkata: “Aku selalu bermain dengan teman-temanku dan tatkala Rasulullah masuk, mereka(teman- temanku) akan pergi dan apabila beliau(Sallallahu Alaihi wa Sallam) keluar, mereka akan kembali semula.”

Di dalam Sunan Abu Dawud , Hadis No. 4933, diriwayatkan bahawa Aishah Radiallahu anha berkata: “Rasulullah mengahwiniku pada usia tujuh tahun dan kami mengadakan hubungan di usia sembilan tahun dan  apabila aku berpindah ke Madinah, segolongan wanita mempersiapkan ku untuk majlis perkahwinan ku dan tidak pernah sekali-kali mereka mahupun aku, bercampur dengan lelaki di dalam rumah yang dipenuhi wanita.  Pihak wanita menyambutku dan pihak lelaki menyambut Rasulullah dan kemudian kami masuk ke rumah.

Di dalam Sunan Abu Dawud Vol. 4, muka surat 370, Hadis No. 5273, diriwayatkan dengan kebenaran Nafih bahawa Muhammad Sallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Usah berjalan di antara dua lelaki ataupun di antara dua wanita di satu lorong.” [HR Abu Dawud]

Ini bermakna, secara umumnya umat Islam perlu mengelakkan dari membuat sebarang hubungan dengan pihak yang berlainan jantina, sama ada dengan sesama Muslim ataupun bukan Muslim. Walaubagaimanapun, terdapat pengecualian ke atas aturan umum ini, di mana percampuran atau interaksi di antara lelaki dan wanita dibenarkan dalam beberapa keadaan.

Sebagai contoh, adalah dibenarkan bagi lelaki dan wanita yang mahram antara satu sama lain untuk bergaul dengan bebas untuk sebarang tujuan yang dibenarkan Islam.  Begitu juga, terdapat keadaan tertentu dimana di benarkan bagi lelaki bukan mahram dan seorang perempuan untuk berinteraksi, umpamanya bagi tujuan dakwah (mengajak kepada Islam).  Walaubagaimanapun, jenis pergaulan yang dibenarkan pada keadaan ini, bukanlah bebas, dan ianya terhad mengikut aturan dan batasan-batasan tertentu yang dibenarkan oleh Syara’.  Kaum Muslim hendaklah memahami akan hukum-hakam dan batasan ini, sebelum terlibat dalam pergaulan atau interaksi itu tadi.

Hukum-hakam yang berkaitan dengan pergaulan juga adalah berbeza mengikut  tempat di mana pergaulan itu berlaku

Dalam sesebuah masyarakat Islam, terdapat dua keadaan atau tempat di mana lelaki dan wanita berhimpun antara satu sama lain, yang mana penjelasannya agak berbeza dari segi hukum yang berkaitan dengannya.  Sifat interaksi di antara manusia di dalamnya mungkin melibatkan percampuran diantara lelaki sahaja, wanita sahaja, dan diantara kedua-dua lelaki dan wanita.  Ini adalah:

Tempat umum – Ini melibatkan tempat atau kawasan di mana sesiapa sahaja boleh berada di tempat itu tanpa perlu keizinan iaitu masjid-masjid, jalanan, lorong-lorong dan sebagainya.

Tempat khusus – Ini melibatkan tempat atau kawasan di mana keizinan adalah diperlukan sebelum seseorang memasukinya, seperti rumah.  Di tempat sebegini, adalah dilarang dari memasuki tanpa keizinan pemiliknya, meskipun hanya untuk menjenguk apa yang ada didalamnya.

Sahl ibnu Sa’ad meriwayatkan, “Seorang lelaki mengintai melalui sebuah lubang yang menembusi rumah Rasulullah ketika baginda sedang menggaru kepalanya menggunakan sikat besi kepunyaannya. Beliau(Sallallahu Alaihi wa Sallam) berkata, ” seandainya aku sedar kamu sedang mengintai melalui lubang itu, akan aku cucuk matamu dengan sikat ini.  Sesungguhnya, arahan untuk meminta kebenaran bagi memasuki rumah yang berpenghuni telah dikaitkan dengan kisah ini (iaitu seseorang tidak sepatutnya melihat keadaan orang lain tanpa kebenaran).” [Riwayat Bukhari]

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.  Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu selalu ingat.  Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin.  Dan jika dikatakan kepadamu: “Kembali sajalah”, maka hendaklah kamu kembali.  Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [TMQ An Nur:27-28]

Dari ayat ini dapat disimpulkan bahawa tempat yang dianggap seperti rumah dan di namakan tempat khusus adalah satu kawasan di mana tiada seorang pun dari luar yang boleh memasukinya kecuali dengan keizinan.  Di tempat seperti ini, wanita mempunyai hukum khusus, iaitu dinamakan sebagai hukum dalam kehidupan khusus. Ia merujuk kepada tempat yang dianggap rumah atau tempat tinggal. Ia dibandingkan melalui analogi iaitu tempat-tempat yang tidak dibuka untuk orang awam atau kawasan-kawasan yang mana tidak ada sesiapa dibenarkan memasukinya kecuali setelah mendapat keizinan. Walaubagaimanapun, jika tempat-tempat itu boleh dilihat oleh orang luar contohnya kerana ia diperbuat dari kaca lutsinar, yang mana isinya terdedah kepada umum, maka ia dianggap sebagai tempat umum. Begitu juga dengan tempat-tempat yang terbuka kepada orang umum, yang mana sesiapa yang mempunyai permasalahan atau urusan boleh memasukinya tanpa keizinan, seperti pejabat-pejabat adalah tertakluk kepada hukum dalam kehidupan umum.

Islam menjelaskan hukum-hakam yang mengatur hubungan  di antara lelaki dan wanita di setiap jenis keadaan ini.

Kehidupan Khusus (Hayat al-khassah)

Ini meliputi pergaulan manusia apabila berada di tempat khusus.  Hukumnya di sini adalah percampuran (ikhtilath) antara lelaki dan wanita bukan mahram, secara umumnya adalah dilarang.  Namun begitu, Syara’ membolehkan percampuran berlaku di dalam sesuatu keadaan yang tertentu.  Di dalam semua keadaan tersebut, seorang wanita tidak dibenarkan berkhalwat(bersunyi -sunyian) dengan seorang lelaki bersendrian.  Keadaan tersebut adalah:

1) Perubatan: Adalah dibenarkan bagi lelaki dan wanita berinteraksi dengan tujuan melakukan rawatan perubatan.  Para Sahabiyah biasa merawat para Sahabat dan Rasulullah membenarkannya.

2) Dakwah: Adalah dibenarkan bagi lelaki dan perempuan untuk hadir di dalam satu kelas yang sama seandainya tujuan percampuran mereka itu adalah untuk mempelajari tentang Islam ataupun jenis ilmu pelajaran yang lain yang dibenarkan oleh Syara’.  Adik kepada Umar Radiallahu anhu sedang diajar ilmu al Quran oleh Khabab ibnu Arrat radiallahu anhu bersama suaminya tatkala Umar masuk ke rumah mereka. Telah diriwayatkan bahawa Ummu Salamah dan Aishah Radiallahu anha juga sering melakukan dakwah ke atas lelaki dan wanita.

3) Perkahwinan: Sekiranya seorang lelaki berkeinginan untuk memperisterikan seseorang wanita itu, adalah beliau dibenarkan untuk berbicara dengan wanita itu tentang hal peribadi wanita itu dan berkenaan perkahwinan mereka.

Seorang lelaki telah datang kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam untuk menanyakan tentang perihal wanita yang ingin dinikahinya, dan Rasulullah menyuruh beliau pergi bertemu wanita itu, iaitu menemuinya bersama Mahramnya.

4)  Tekanan atau kecemasan: Dalam keadaan darurat atau berlaku kecemasan seperti gempa bumi, peperangan atau taufan, percampuran yang sepatutnya adalah dibenarkan antara lelaki dan perempuan dalam tindakan untuk menyingkirkan sebarang bahaya atau ancaman.

5) Penangkapan oleh Negara: Dalil kepada perkara ini adalah dari Uthman dan Umar Radiallahu anhu berkata, “Wahai kaum wanita, tutupilah diri kalian, kami akan masuk” dan beliau memasuki rumah itu dengan tenteranya untuk menangkap seseorang dan terdapat Ijma’ Sahabat (kesepakatan para sahabat) ke atas perkara ini.

6) Jamuan makan: Dalam Surah an Nur, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian), dan juga tidak ada salah bagi kamu makan(bersama- sama mereka) di Rumah kamu sendiri, atau di Rumah bapa kamu, atau di Rumah ibu kamu, atau di Rumah saudara kamu Yang lelaki, atau di Rumah saudara kamu Yang perempuan, atau di Rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa), atau di Rumah emak saudara kamu (sebelah bapa), atau di Rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu), atau di Rumah emak saudara kamu (sebelah ibu), atau di Rumah Yang kamu kuasai kuncinya, atau di Rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asingan. Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa Yang seperti) kamu Dengan memohon kepada Allah cara hidup Yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya) , supaya kamu memahaminya.” [TMQ an Nur24:61]

Bagi lelaki dan wanita untuk makan bersama-sama adalah dibenarkan di tempat yang telah dinyatakan dalam ayat di atas seperti rumah bapamu atau sahabatmu sebagaimana ayat, tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asingan.”

Namun demikian, manusia hendaklah berhati-hati iaitu walaupun makan bersama dengan wanita di rumah teman-teman di bolehkan, tetapi mereka mesti meninggalkan tempat itu sebaik selesai makan dan berwaspada terhadap ikhtilath iaitu pergaulan dengan lawan jenis yang mungkin akan melampaui batasan yang dibenarkan syarak.

7) Silaturahim (mengekalkan hubungan persaudaraan): Adalah dibenarkan bagi sanak-saudara bukan mahram untuk duduk bersama dengan bukan mahram mereka(orang- orang yang boleh dinikahi) semata-mata bagi tujuan Silaturahim selagi ianya bukan berkhalwat(bersunyi -sunyian) .  Terdapat beberapa hadis yang menitikberatkan tentang mengekalkan hubungan baik dengan sanak-saudara.

Telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersabda: “Sesiapa yang menginginkan dirinya dikurniakan lebih kekayaan dan umurnya dipanjangkan, maka hendaklah dia mengekalkan hubungan baik dengan sanak-saudaranya.” [HR MUslim]

Juga telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahu anhu, sesungguhnya Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menciptakan makhluk hingga ketika selesai menciptakannya berdirilah rahim dan berkata, ” Ini adalah tempat bagi orang yang berlindung kepada-Mu dari memutuskan silaturahmi. “Allah berfirman, “Benar, apakah engkau senang jika aku menyambungkanmu dan memutuskan orang yang memutuskanmu? ” Rahim berkata, “Tentu sahaja aku sangat senang.” Allah berfirman, ” Maka itu untukmu.”  [Mutafaq ‘alaih]

Kehidupan Umum (Hayat al-Ammah)

Ini adalah berkenaan perlakuan manusia di tempat umum.  Sekali lagi, hukum asas adalah bahawa pergaulan di antara bukan mahram lelaki dan wanita adalah dilarang secara umumnya.  Walaubagaimanapun, syarak membenarkan dalam pergaulan(dari segi keberadaan di tempat yang sama) itu berlaku di dalam beberapa keadaan tertentu.  Di dalam semua keadaan ini, kehadiran mahram seseorang wanita itu tidak menjadi pra-syarat pada ketika itu.  Kawasan atau tempat- tempat ini dapat dikategorikan secara kasarnya termasuk:

1) Ibadah Haji: Berdasarkan perlakuan Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam.

2) Jual beli atau Sewaan: Ini termasuk di pasar-pasar/ kedai, membeli, menyewa, meminjam dan memberi pinjam.

Tarmidzi meriwayatkan sesungguhnya Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam berdagang dengan wanita, dan Abu bakar melihat Baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam berniaga dengan seorang wanita.

3) Pekerjaan: Seandainya keperluan pekerjaan itu memerlukan seseorang untuk bergaul, maka ia dibolehkan.  Pekerjaan termasuk mencari pekerjaan seperti temuduga.  Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam membenarkan isteri Zubair ibnu Awwam untuk bekerja.  Beliau (isteri Zubair) membawa air untuk para lelaki dan wanita. Sallallahu Alaihi wa Sallam bahkan menawarkan unta baginda untuk membantunya.

4) Urusan kehidupan harian: Ini termasuk interaksi yang tidak dapat dielakkan antara lelaki dan wanita seperti di jalanan, pasar-pasar, kedai-kedai makan dan sebagainya.

Kes-kes tertentu dalam Kehidupan umum

Terdapat tempat khusus di mana hukum kehidupan khusus (hayat al-khassah) diguna pakai, seperti rumah-rumah.  Terdapat juga tempat-tempat umum yang mana hukum dalam kehidupan umum terpakai seperti di pasar-pasar.  Terdapat pula tempat-tempat umum yang mempunyai hukum yang khusus dalam memisahkan lelaki dan wanita, seperti di masjid-masjid dan hadirin yang mendengar ceramah umum di dewan-dewan kuliah dan beberapa keadaan yang lebih kurang sama.

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Barisan yang terbaik untuk lelaki adalah barisan hadapan (yang paling jauh dari wanita)  dan barisan yang paling baik untuk perempuan adalah barisan belakang dan yang terburuk adalah barisan hadapan(betul- betul di belakang lelaki).” [Riwayat Abu Daud]

Di dalam Abu Daud kitab Al Salat, vol 1, dalam bab pemisahan, telah driwayatkan bahawa Umar bin Al Khattab Radiallahu anhu berkata: “Binalah pintu yang berbeza untuk perempuan di dalam masjid-masjid.

Oleh itu, tidaklah menjadi satu syarat bahawa lelaki dan wanita perlu dipisahkan ketika urusan jual-beli di pasar.  Tetapi di masjid-masjid dan dewan-dewan kuliah, pemisahan antara lelaki dan wanita adalah sesuatu yang dituntut.  Rasullullah Sallallahu Alaihi wa Sallam biasa berucap kepada hadirin lelaki dan wanita di satu masjid di Madinah, lelaki duduk di bahagian hadapan dan wanitanya di belakang.  Begitu juga, di rumah-rumah sakit atau hospital, bahagian lelaki mesti dipisahkan dari bahagian wanita.

Di dalam semua keadaan yang dinyatakan tadi, apabila lelaki dan wanita dihimpunkan di dalam satu tempat, tidak boleh berlaku ikhtilath iaitu percampuran atau pergaulan bebas, di mana lelaki dan wanita itu bercampuran dan berinteraksi antara satu sama lain.  Hukum umumnya adalah sebarang hubungan di antara lawan jenis perlu di kurangkan seminima mungkin dimana jika ada sebarang hubungan antara mereka, hendaklah ianya terbatas kepada urusan yang sedang dilaksanakan.  Maka, di dalam Negara Islam, akan ada pemisahan tempat lelaki dan wanita, sebagai contohnya, di dalam kenderaan awam seperti keretapi, bas dan sebagainya.

Di dalam sebarang keadaan juga, aktiviti yang sedang dilaksanakan mestila yang halal (dibenarkan syarak).  Begitu juga pergaulan antara lelaki bukan mahram dan wanita untuk tujuan keseronokan, aktiviti masa lapang ataupun berhibur adalah ditegah sama sekali.  Dengan demikian, isu seperti hubungan teman lelaki/wanita, “dating”, ataupun berhibur sambil ditemani wanita bukan mahram adalah haram hukumnya.  Namun begitu, Islam tidak melarang aktiviti-aktiviti yang disebutkan itu (berseronok, berhibur) selagi mana ianya dilakukan dalam lingkungan rumahtangga.

Majlis perkahwinan

Percampuran (ikhtilath) adalah dilarang kecuali ada keperluan yang di benarkan oleh Syara’ iaitu seperti apa yang tertulis di dalam Kitabullah atau as Sunnah seperti membeli,menjual ataupun silaturrahim.

Tiada dalil menjelaskan tentang percampuran antara lelaki dan wanita dalam majlis walimah. Sebaliknya, apa yang disebutkan sewaktu hayat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para Sahabat adalah kebiasaannya para wanita duduk-duduk dengan mempelai wanita manakala kaum lelaki bersama-sama dengan lelaki-lelaki lain. Maka, percampuran dalam majlis walimah adalah haram dan tidak ada pengecualian ke atasnya.

Di dalam Sunan Abu Daud , Hadis No. 4933, diriwayatkan bahawa Aisha Radiallahu anha berkata: “Rasulullah mengahwiniku pada usia tujuh tahun dan kami mengadakan hubungan di usia sembilan tahun dan  apabila aku berpindah ke Madinah, segolongan wanita mempersiapkan ku untuk majlis perkahwinan ku dan tidak pernah sekali-kali mereka mahupun aku, bercampur dengan lelaki di dalam rumah yang dipenuhi wanita.  Pihak wanita menyambutku dan pihak lelaki menyambut Rasulullah dan kemudian kami masuk ke rumah.”

Apa yang telah dinyatakan ini adalah merujuk kepada perarakan majlis  walimah semasa pengantin perempuan di bawa ke rumah suaminya. Adalah dibenarkan bagi pengantin lelaki untuk membawa isterinya ke rumah pihak lelaki dan kemudiannya, pihak lelaki hendaklah dipisahkan dari kaum wanita seperti mana yang telah dilakukan dan dibenarkan pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Perkara ini berlaku di luar rumah, maka ia termasuk di dalam hukum dalam kehidupan umum (hayat al-ammah).

Khalwat (Bersunyi-sunyian)

Khalwat membawa erti berkumpulnya seorang lelaki dan perempuan bukan mahram secara berdua-duaan atau bersunyi-sunyian tanpa di temani oleh mahram mereka atau orang lain.  Ini boleh terjadi di tempat khusus mahupun tempat umum.  Di dalam mana-mana salah satu keadaan tempat (umum atau khusus), berkhalwat adalah ditegah sama sekali di sisi Islam.  Maka kedua-dua lelaki ataupun  wanita yang melakukannya adalah berdosa.

Khalwat di tempat khusus: Perkara ini berlaku di mana-mana tempat yang yang memerlukan kebenaran untk memasukinya, seperti rumah kediaman atau bilik tidur.

Khalwat di tempat umum
: Perkara ini berlaku di mana-mana tempat umum yang mana tidak menjadi laluan orang lain ( tempat sunyi).  Sebagai contoh, di dalam hutan atau di dalam bilik yang terasing di pejabat-pejabat.

Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, Janganlah seorang laki-laki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dia disertai mahramnya, kerana yang ketiga di antara keduanya adalah syaitan.” [HR Muslim]

Dari Bukhari di riwayatkan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, Janganlah sekali-kali seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali jika wanita itu disertai mahramnya.  Tidak boleh pula seorang wanita melakukan perjalanan kecuali disertai mahramnya.” Tiba-tiba salah seorang sahabat berdiri dan berkata ‘ Wahai Rasulullah, sesungguhnya isteriku hendak pergi menunaikan ibadah haji, sedangkan aku sudah ditugaskan ke peperangan anu dan anu.’  Rasulullah menjawab, “Pergilah engkau dan tunaikan ibadah haji bersama isterimu.” [HR Muslim]

Malu dan menundukkan pandangan

Sebahagian dari syarat untuk mengekalkan maruah dan kehormatan para lelaki dan wanita di dalam Islam adalah hukum tentang bagaimanakah pandangan mereka antara  satu sama lain.  Adalah di larang(berdosa) bagi seorang lelaki untuk merenung seorang perempuan dengan pandangan yang berahi kecuali terhadap isterinya.  Begitu jugalah hukum seorang wanita Islam memandang lelaki.

Bahkan, penekanannya adalah dalam menundukkan pandangan jauh di antara lawan jenis ketika berhadapan dengan mereka di tempat seperti jalanan atau pasar-pasar.

Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman: Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” [TMQ an Nisa’24:30-31]

Dari Jabir ibnu Abdullah meriwayakan, “Aku pernah bertanya pada Sallallahu Alaihi wa Sallam mengenai pandangan yang tiba-tiba (tidak disengajakan) .  Maka Baginda (SAW) menyuruhku untuk memalingkan pandanganku.” [HR Muslim]

Ini menunjukkan bahawa hukum atau pengaturan bagaimana lelaki Muslim memandang wanita Muslim adalah sangat berbeza dengan cara Barat memandang wanita.  Di Barat, wanita dilihat sebagai objek seksual dan perasaan hormat terhadap wanita di Barat hampir tiada sama sekali.  Malahan, jika adapun rasa hormat itu, kriteria asasnya lebih tertumpu kepada sifat fizikal luaran semata, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”  [TMQ at Taubah9:71]

Khatimah

Aspek Sistem Sosial dalam sebuah Negara Islam ini akan mencegah exploitasi kaum wanita dalam pornografi, mahupun pengunaan tubuh badan wanita untuk tujuan pengiklanan bagi melariskan sesuatu produk.  Tambahan pula dalam media secara umumnya, sama ada di kaca-kaca televisyen, majalah-majalah, surat khabar-surat khabar serta filem-filem, tidak ada lelaki mahupun perempuan yang akan digambarkan peranan mereka dengan cara mendedahkan aurat mereka, ataupun terlibat dengan aktiviti yang ditegah  dalam Islam.

Dengan itu, adegan-adegan seksual yang diperbesarkan oleh media-media seperti yang dihadapi oleh masyarakat Barat, dan imej songsang kaum lelaki dan wanita yang terbina dalam pemikiran masyarakat disebabkan adegan-adegan ini, tidak akan pernah ada dalam sebuah Negara Islam.

Sumber: Islamic Revival (Usul and Fiqh)

<Ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia, dan dengannya, manusia diberi peringatan. (TMQ Ibrahim [14]: 52)>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

Tentu ramai yang tertanya-tanya. Tidak kurang juga yang tidak berpuas hati dengan pernyataaan di atas. Ada yang kata hukumnya harus. Mungkin ada yang kata makruh. Sememangnya kenyataan ini menimbulkan banyak kontroversi, lebih-lebih lagi di kalangan muda-mudi sekarang.

Apa Itu Ber ‘couple’?

Ber ‘couple’ merupakan suatu tradisi atau budaya yang telah dibudayakan oleh masyarakat remaja kini. Bermula dengan saling berpandangan mata, kemudian turun ke hati. Kemudian mereka akan saling mengutus senyuman dan cinta mula berputik. Bila rasa dah cukup sedia, masing-masing mula ‘masuk line’. Ade yang berbalas-balas nota, bagi yang lebih ‘advance’, teknologi SMS digunakan. Akhirnya apabila dua insan berlawanan jantina ini sudah saling suka-menyukai, mereka akan mengisytiharkan ikatan percintaan mereka dan kemudian ber‘couple’.

Pasangan kekasih ini akan merapatkan hubungan mereka serapat-rapatnya. Kalau di kelas, buat study group ataupun group discussion. Bagi yang kreatif, kad-kad ucapan ‘hand made’ yang pelbagai warna dan rupa akan dikirimkan. Bagi yang mengikuti peredaran semasa, teknologi SMS akan dimanfaatkan sepenuhnya. Kata ganti diri pada asalnya aku-kau ditukar kepada saya-awak, atau bagi mereka yang lebih intim, abang-sayang dan sebagainya.

Kalau diperhatikan pasangan-pasangan yang sedang asyik dilamun cinta ini,hidup mereka tidak menentu, diibaratkan ‘makan tak kenyang,tidur tak lena, mandi tak basah’. Ungkapan-ungkapan cinta seperti ‘sayang awak’, ‘love you’, ‘miss you’ dan sebagainya akan menjadi sebahagian ucapan harian mereka. Sentiasa ceria dan tersenyum gembira, mengenangkan Si Dia yang datang bertandang ke hati. Ada pasangan yang serius, sampaikan sanggup berjanji nak sehidup-semati. Sanggup bersumpah, setia hingga ke akhir hayat. Ada juga yang hanya sekadar bermain-main, untuk suka-suka, dan sebagainya. Ringkasnya, pelbagai ragam yang boleh dilihat daripada pasangan yang ber‘couple’ ini. Ada yang boleh meneruskan hubungan hingga ke jinjang pelamin dan ada juga yang kecundang di pertengahan perlayaran di lautan percintaan masing-masing.

Mengapa Ber’couple’ Haram?

Ya,mengapa? Sekarang kita kembali kepada persoalan pokok. Di sinilah timbulnya kontroversi di antara kita. Bagi yang ber ‘couple’, sudah tentu perasaan ingin tahu mereka sangat tinggi dan pelbagai hujah ingin dikeluarkan bagi mempertahankan kesucian cinta mereka itu.

Sebagai seorang muslim, untuk menjawab persoalan ini, kita perlulah merujuk kembali kepada manual kita yang telah digarisi oleh Allah S.W.T. iaitu Al-Quran dan panduan iaitu As-Sunnah yang telah diwasiatkan kepada kita oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.

Ada yang berkata, Allah telah menjadikan makhluk-Nya berpasang-pasangan, lelaki dan perempuan, mengapa tidak boleh bercinta atau ber ‘couple’? Memang tidak dinafikan,dalam Al-Quran Allah ada berfirman, seperti dalam Surah Yasin(36) ayat 36:

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui.”

Dan juga firman-Nya dalam Surah Al-Hujrat(49) ayat 13:

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Meskipun begitu, ayat-ayat ini tidak menjelaskan yang kita boleh mengadakan hubungan percintaan dan berkasih kasihan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Banyak larangan Allah dalam Al-Quran yang melarang hubungan-hubungan ini. Percintaan bermula dari mata. Firman Allah dalam Surah An-Nur(24) ayat 30:

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat..

Dalam ayat ini, jelas Allah telah memerintahkan kita supaya kita menjaga pandangan kita daripada memandang perkara-perkara yang dilarang, termasuklah memandang wanita bukan mahram serta wajib bagi kita menjaga nafsu. Perintah ini bukan ditujukan kepada kaum Adam sahaja. Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman dalam Surah An-Nur(24) ayat 31:

Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya,….

Dua ayat dari Surah An-Nur ini sebenarnya terdapat dalam sukatan matapelajaran Pendidikan Al-Quran & Sunnah tingkatan 5. Para pelajar tingkatan 5 sepatutnya lebih jelas akan perkara ini. Daripada ayat ini jelas Allah melarang lelaki dan perempuan bukan mahram daripada saling berpandang-pandangan dengan niat untuk suka-suka, apatah lagi untuk memuaskan hawa nafsu.

Dalil yang lebih kuat menetang hubungan percintaan ini terdapat dalam Surah Al-Israa’(17) ayat 32:

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

Ayat ini memeng cukup popular di kalangan kita. Ramai yang apabila ditegur dengan ayat ini akan menjawab, “Kami tidak berzina. Kami berbual-bual je” , “Kami keluar makan je” dan “Kami main SMS je.” Dan pelbagai 1001 alasan lagi. Para pembaca,sila teliti firman Allah tadi.Dalam ayat ini, Allah melarang kita mendekati zina. Allah menggunakan kalimah ‘walaa taqrobuu’ (jangan hampiri) dan bukannya kalimah ‘walaa ta`maluu’ (jangan melakukan). Ini menunjukkan, walaupun kita hanya mendekati zina, ia sudah pun HARAM! Mungkin ada yang tidak jelas dengan maksud menghampiri di sini. Biar kita ambil contoh, jarak kita dengan dewan adalah 50 meter. Apabila kita melangkah setapak ke arah dewan, jarak antara kita dan dewan adalah 49.8 meter. Inilah dikatakan menghampiri dewan. Jadi, bercinta sebelum kahwin dan ber‘couple’ adalah menghampiri zina, dan menghampiri zina adalah HARAM.

Ini adalah dalil-dalil daripada Al-Quran. Bagaimana pula dengan hadis rasul kita, Nabi muhammad S.A.W? Dalam hadis, baginda rasulullah telah memperincikan jenis-jenis zina. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda :

Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti

Hadis kedua; Daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi S.A.W. sabdanya:

Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.”


Daripada dua hadis ini, jelas Rasulullah menenyenaraikan bahangian-bahagian zina. Apabila kita memandang Si Dia dengan sengaja,menatapi wajahnya, dan sebagainya, zina mata berlaku. Apabila lidah kita digunakan untuk mengeluarkan kata-kata manis serta puitis, untuk memenangi hati Si Dia, membuatkan Si Dia tertarik kepada kita, lidah berzina. Apabila kita mendengar serta menghayati kelunakkan suaranya, telinga berzina. Apabila berpegangan tangan, berjalan bersama ke arah menghampiri zina, tangan dan kaki berzina. Tetapi, yang paling bahaya ialah, apabila kita merindui Si Dia, memikirkan-mikirkan tentangnya, kecantinkannya, ketampanannya, sifat penyanyangnya, betapa kecintaannya kepada kita, zina tetap berlaku. Biarpun tidak bersua dari segi pancaindera, hati boleh berzina. Tidak mungkin sesuatu hubungan percintaan itu tidak melibatkan penglihatan, percakapan, pendengaran dan perasaan. Sudah terang lagikan bersuluh, percintaan sebelum berkahwin dan ber ‘couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.

Apa Yang Patut Dilakukan?

Bagi yang belum terjebak, adalah dinasihatkan jangan sekali-kali menjerumuskan diri ke lembah percintaan. Susah untuk meninggalkan suatu perbuatan maksiat seperti ini setelah merasai kenikmatannya. Silap-silap boleh terlanjur dan langsung tidak dapat meninggalkannya lagi. Bagi yang sudah terjebak, sedang, ataupun yang mula berjinak-jinak dengan percintaan, sedarlah. Segeralah kita meninggalkan perbuatan maksiat yang tidak diredhai lagi dimurkai Allah ini. Tiada gunanya kita terus melakukan dosa demi meneruskan hubungan terlarang ini demi mendapatkan kebahagiaan duniawi yang sementara ini. Hanya satu jalan sahaja yang menghalalkannya iaitu melalui ikatan pernikahan.

Bagi pasangan-pasangan yang benar-benar serius, diingatkan, semakin manis hubungan sebelum berkahwin, semakin tawar hubungan selepas menjadi suami isteri nanti. Lihatlah ibu-bapa serta atuk nenek kita, keutuhan rumah tangga mereka boleh dilihat sehingga kini tanpa melalui zaman percintaan yang diimpikan remaja-remaja kini.

Setiap dari kita tentu mengidamkan pasangan hidup yang baik. Kita tidak mahu pasangan kita seorang yang tidak beriman. Seburuk-buruk perangai manusia, dia tetap menginginkan seseorang yang bain sebagai teman hidupnya.

Firman Allah dalam Surah An-Nuur(24) ayat 26:

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).”


Janji Allah, dia akan mengurniakan kepada lelaki yang baik-baik dengan perempuan yang baik-baik. Begitulah sebaliknya. Allah akan berikan yang baik, denagn syarat, kita juga berusaha menjadi baik serta meilih jalan yang baik serta diredhai-Nya. Bagaimana hendak mendapatkan sebuah keluarga yang bahagia serta diredhai Allah jika pokok pangkal permulaannya sudah pincang, tidak berlandaskan Islam serta tidak diredhai Allah? Mungkin pada mulanya kita menganggap perkara yang kita lakukan ini cukup baik, niatnya baik, caranya pun kita rasakan cukup baik.tetapi sebenarnya, ia adalah rencana syaitan yang membuatkan kita kabur memandang perbuatan yang kita lakukan itu.

Firman Allah dalam Surah Al-‘ankabut(29), ayat 38:

Dan setan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.”.

Sebenarnya, dalam Islam, lelaki dan perempuan tdak dibenarkan bergaul terlalu rapat, sehingga menjadi teman karib dan sebagainya. Lelaki tidak boleh mengahampiri perempuan dan perempuan tidak boleh menghampiri lelaki sesuka hati tanpa sebab. Tetapi Islam membenarkan apabila ada keperluan dan tujuan yang benar-benar perlu. Misalnya apabila ditugaskan mengadakan perbincangan dalam kumpulan besar yang melibatkan lelaki dan perempuan atau perlu berbincang mengenai sesuatu yang penting. Untuk berbual-bual kosong atau bergurau senda tanpa tujuan tertentu adalah tidak dibenarkan. Apatah lagi untuk saling meluahkan perasaan dan sebagainya. Cukuplah kaum sejenis sendiri untuk dijadikan teman karib dan tempat berbincang masalah.

Perasaan suka dan cinta adalah dua perkara yang berbeza. Tak salah bagi seseorang lelaki untuk menyukai seseorang perempuan dan seseorang perempuan menyukai seorang lelaki. Tapi, perasaan ini tidak boleh dilayan dan difikir-fikirkan kerana ianya merupakan hasutan syaitan yang membawa kepada zina hati. Sepatutnya apabila kita terfikir mengenai perkara-perkara ini, kita hendaklah menepisnya dan berhenti terus daripada memikirkannya.

Firman Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 201:

Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan setan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Para pembaca diingatkan, semua hujah-hujah yang telah diberikan adalah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika kita menolaknya, sebenarnya kita menolak perintah Allah dan Rasul. Na’uzubillah.

Firman Allah dalam Surah Al-Anfal(8), ayat 20-22:

Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling daripada-Nya, sedang kamu mendengar (perintah-perintah-Nya),(20) dan janganlah kamu menjadi sebagai orang-orang (munafik) yang berkata: “Kami mendengarkan, padahal mereka tidak mendengarkan.(21) Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk pada sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan tuli (tidak mendengar dan tidak memahami kebenaran) yaitu orang-orang yang tidak mengerti.(22).

Orang yang paling buruk dalam pandangan Allah ialah mereka yang tidak mahu menuruti perintah-perintah Allah. Janganlah kita tergolong dalam golongan ini. Balasan bagi golongan ini ialah neraka jahannam seperti firman Allah dalam Surah Aj-Jaatsiyah(45) ayat 7-11:

Kecelakaan yang besarlah bagi tiap-tiap orang yang banyak berdusta lagi banyak berdosa,(7) dia mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya kemudian dia tetap menyombongkan diri seakan-akan dia tidak mendengarnya. Maka beri kabar gembiralah dia dengan azab yang pedih.(8) Dan apabila dia mengetahui barang sedikit tentang ayat-ayat Kami, maka ayat-ayat itu dijadikan olok-olok. Merekalah yang memperoleh azab yang menghinakan.(9) Di hadapan mereka neraka Jahanam dan tidak akan berguna bagi mereka Sedikit pun apa yang telah mereka kerjakan, dan tidak pula berguna apa yang mereka jadikan sebagai sembahan-sembahan (mereka) dari selain Allah. Dan bagi mereka azab yang besar.(10) Ini (Al Qur’an) adalah petunjuk. Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Tuhannya bagi mereka azab yaitu siksaan yang sangat pedih.(11)”

Akhir sekali, ambillah Islam secara syumul,bukan hanya ambil Islam pada perkara yang disukai, tetapi kita tinggalkan sebahagian yang lain yang tidak sesuai dengan kehendak kita. Firman Allah dalam Surah An-Nisaa’(4) ayat 150-151 :

Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan rasu-rasul-Nya, dan bermaksud memperbedakan antara (keimanan kepada) Allah dan rasul-rasul-Nya, dengan mengatakan:Kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kafir terhadap sebahagian (yang lain)”, serta bermaksud (dengan perkataan itu) mengambil jalan (tengah) di antara yang demikian (iman atau kafir),(150) merekalah orang-orang yang kafir sebenar-benarnya. Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir itu siksaan yang menghinakan. (151).

Kembalilah ke jalan yang lurus. Tinggalkanlah perkara-perkara maksiat yang telah kita lakukan sebelum ini. Bertaubatlah sementara kita masih ada kesedaran, jangan tunggu sampai kita dibiarkan sesat oleh Allah sehingga hati kita tertutup untuk menerima kebenaran, Surah Aj-Jaatsiah(45) ayat 23:

Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?

Memang pada mulanya untuk meninggalkan maksiat-maksiat ini amat susah, tetapi,ia masih wajib kita tinggalkan. Ingatlah Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah(2) ayat 216:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan ber‘couple’ adalah menghampiri zina. Ia adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam dan hukumnya adalah HARAM. Wallahua’lam.

Sumber: http://www.iluvislam.com

<“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” [TMQ At-Tahrim (66):6]>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء