Posts Tagged ‘muhasabah’

SN Keluaran 7 Januari 2011

alt

MUHASABAH TERHADAP HARAKAH ISLAM YANG MENGAKUI SISTEM TAGHUT

[SN243] Setelah hancurnya Daulah Khilafah pada tahun 1924, banyak harakah (gerakan) Islam yang telah muncul dan bangkit berjuang untuk mengembalikan kejayaan Islam. Pelbagai harakah Islam ini berjuang dengan tujuan, idea dan metode perjuangan masing-masing. Walaupun jalan yang diambil oleh harakah Islam ini berbeza-beza, namun Insya Allah semuanya mendapat ganjaran dari Allah SWT selama mana mereka ikhlas berjuang untuk Islam dan menuruti jalan yang lurus. Namun begitu, tidak semua perjuangan ini relevan dengan qadhiyah masiriyah (masalah utama) umat Islam atau sesuai dengan tuntutan ajaran Islam dalam melakukan taghyir (perubahan). Jadi, ‘ikhlas’ sahaja tidaklah mencukupi meskipun keikhlasan memang tuntutan mendasar dalam amal perjuangan. Keikhlasan mestilah disertai dengan pemahaman dan pelaksanaan HUKUM-hukum Islam secara benar di dalam usaha untuk melakukan perubahan yang dikehendaki oleh syarak. Kebenaran hanya akan dapat dicapai apabila kita berpandu kepada nas (Al-Quran dan Sunnah), bukannya kepada akal.

Di dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah dan menegakkan sebuah Negara Islam, maka sudah semestinya kita wajib meneledani perjuangan Rasulullah SAW di dalam menegakkan negara. Sesungguhnya Islam adalah agama yang komprehensif yakni bukan sekadar agama spiritual tetapi juga agama yang mengatur segenap aspek kehidupan, baik secara individu, bermasyarakat mahupun bernegara. Dengan kata lain Islam adalah agama dan sekaligus negara. Maka dari itu, sejak Rasulullah SAW diutus sebagai Nabi dan Rasul, yang menjadi fokus utama perjuangan baginda dan para sahabat adalah bagaimana untuk mengamalkan agama Islam secara menyeluruh, dari kehidupan individu hinggalah kepada kehidupan bernegara dan seterusnya untuk mengatur dunia.

Bermula dari perjuangan di Mekah di mana baginda diutuskan, Rasulullah SAW telah berhasil mewujudkan Islam dalam kehidupan bernegara setelah baginda berjaya menegakkan Daulah Islamiyyah di Madinah. Daulah Islam ini kemudiannya dilanjutkan oleh para khulafa’ sesudah baginda selama lebih 1300 tahun sehinggalah kehancurannya (Khilafah) di Turki pada tahun 1924. Sejak saat itulah umat Islam hidup terpecah belah dalam puluhan negara-bangsa (nation-states) yang memerintah dengan sistem taghut (selain Islam) dan hidup menderita kerana menjadi sasaran penindasan pemimpin mereka sendiri dan juga kuffar Barat.

Oleh kerana Islam adalah agama dan negara, bukan sekadar agama spiritual, setiap perjuangan harakah Islam wajib memperhatikan masalah ini dalam perjuangan masing-masing. Inilah yang disebut sebagai qadhiyah masiriyah (masalah utama / vital issue) umat Islam – untuk mengamalkan keseluruhan ajaran Islam di dalam kehidupan bernegara dalam bingkai Negara Khilafah. Dengan demikian, perjuangan harakah Islam seharusnya terfokus pada dua hal.

Pertama; membebaskan umat Islam dari penjara sistem taghut (sistem sekular, demokrasi, teokrasi, monarki, federasi, diktator dan sebagainya) yang telah memecah belah umat Islam dan menjadikan mereka tidak berdaya menghadapi hegemoni Barat.

Kedua; mengembalikan umat Islam ke dalam satu institusi politik pemersatu umat iaitu Negara Khilafah Islamiyyah. Kuffar Barat dan para penguasa dunia Islam sebagai pemimpin sistem taghut ini sangat memahami akan hal tersebut. Oleh yang demikian mereka senantiasa merancang dan melakukan strategi untuk membendung dan ‘menjinakkan’ harakah-harakah Islam. Mereka telah pun berhasil di dalam misi ini di mana sebahagian besar harakah Islam berjaya dijinakkan. Harakah Islam ini akhirnya menjadi harakah yang pragmatis dan tunduk kepada realiti, malah mereka ‘menundukkan’ pula Islam dengan realiti.

Namun, tidak kesemua harakah Islam berjaya dijinakkan Barat di mana ternyata terdapat harakah Islam ideologis yang tidak tunduk kepada kehendak Barat. Harakah jenis ini sangat faham bahawa satu-satunya jalan yang benar untuk menyelesaikan masalah umat Islam adalah dengan cara taghyir (merombak total) bukannya dengan islah (memperbaiki) sistem taghut/sekular yang sedia ada. Mereka juga faham bahawa  umat Islam perlu dipimpin dengan menerapkan hukum Islam secara kaffah (menyeluruh) melalui tegaknya Negara Khilafah. Malangnya harakah Islam ideologis ini sering diburuk-burukkan dan dilabel dengan negatif oleh Barat dan sering menghadapi tentangan dari penguasa kaum Muslimin itu sendiri. Dalam masa yang sama, Barat berusaha membela dan membelai harakah Islam yang pragmatis dan Barat selalu memuji dan ‘menyanjung’ mereka kerana bersifat moderat. Akhirnya harakah Islam pragmatis ini telah berjaya ‘disesatkan’ oleh Barat hingga tunduk kepada realiti sehingga mereka tidak lagi sedar akan qadhiyah masiriyah umat Islam. Mereka malah mengakui ‘kesahihan’ (validity) sistem taghut yang sedia ada serta berjuang dari dalam sistem taghut itu untuk memperbaiki (islah) sistem kufur tersebut.

Kuffar Barat dan penguasa zalim di dunia Islam sememangnya suka ‘memelihara’ harakah Islam pragmatis. Ini kerana, dari dua jenis harakah Islam yang ada, harakah pragmatis tidak mengajak umat untuk mengubah sistem taghut secara total, sebaliknya mereka mengakui kesahihannya dan tunduk kepadanya. Harakah pragmatis pada prinsipnya memang ‘tidak ada masalah’ untuk hidup dalam sistem taghut baik sistem itu demokrasi, teokrasi, monarki atau apa sahaja. Oleh itu, penguasa di dalam sistem taghut tidak perlu (dan tidak akan) khuatir terhadap harakah pragmatis semacam ini, walaupun harakah ini menggembar-gemburkan slogan-slogan Islam atau slogan ‘Negara Islam’, selama mana slogan (atau Negara Islam) yang diperjuangkan itu adalah di dalam ruang lingkup sistem taghut seperti demokrasi. Semua ini tidak akan merisaukan Barat atau penguasa Muslim di dalam sistem taghut kerana harakah pragmatis ini sesungguhnya masih tetap mengakui kesahihan sistem taghut yang sedia ada. Dengan jalan ini, harakah pragmatis ini sebenarnya telah melakukan ‘penyesatan politik’ yang telah menyimpangkan umat dari perjuangan yang benar untuk menegakkan Islam. Ini kerana, keterlibatan harakah pragmatis dalam sistem taghut bererti mereka telah melegitimasi sistem kufur, yang sekaligus telah mempersulitkan usaha harakah ideologis dan umat Islam lainnya untuk menghancurkan sistem kufur ini.

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh harakah Islam adalah mengubah dan menghancurkan sistem taghut ini, bukan mempertahankannya. Pertamanya, perubahan ini hendaklah dilakukan dengan jalan tidak mengakui kesahihan sistem taghut (sekular) ini, kerana sistem  ciptaan penjajah ini hakikatnya adalah musuh Islam dan hanya merupakan kehendak kaum kuffar penjajah. Seterusnya, perubahan ini mesti dilakukan dari luar sistem bukan dari dalam (sebagai contoh cuba memperbaikinya dengan melibatkan diri di dalam kabinet atau parlimen). Perubahan ini juga harus disertai dengan usaha untuk memimpin umat agar memahami dan berjuang secara sahih sebagaimana perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Rasululah SAW dan para sahabat sehingga tegaknya sebuah Negara Islam berdasarkan jalan wahyu. Umat Islam juga harus difahamkan bahawa Negara Khilafah adalah negara Islam yang sama sekali berbeza dengan negara demokrasi (dan lain-lain bentuk sistem taghut) yang sedia ada. Umat Islam juga perlu dijelaskan bahawa setelah Negara Khilafah berdiri, maka kaum Muslimin yang terpecah belah mengikut negara-bangsa sekarang ini, wajib bersatu di bawah satu bendera dan di bawah satu payung pemerintahan.

Strategi Barat Terhadap Harakah Islam

Barat telah membahagi kaum Muslimin  kepada dua golongan utama iaitu golongan fundamentalis (ekstremis/teroris) dan golongan moderat. Dari keduanya, Barat hanya mendokong golongan moderat bahkan mereka sentiasa berusaha mendudukkan golongan ini ke kerusi kekuasaan. Ini kerana golongan moderat sememangnya tidak akan menimbulkan bahaya bagi sistem politik dunia dan eksistensi Barat di dunia Islam. Inilah strategi umum Barat dalam  ‘menyesatkan’ harakah-harakah Islam. Contoh nyata strategi ini adalah sepeti apa yang terjadi kepada Parti Keadilan dan Pembangunan (PKP) pimpinan Recep Tayyip Erdogan di Turki. Turki tetap sahaja sekular bahkan menjalankan kebijakan (polisi) AS dan Israel meskipun PKP telah berhasil berkuasa. Inilah bukti nyata bahawa PKP telah menjadi harakah Islam yang disesatkan oleh Barat sehingga PKP justeru menjadi pelaksana kepada hegemoni dan kehendak Barat.

Sayangnya ramai generasi muda umat Islam yang telah terpukau dengan harakah pragmatis seperti PKP. Mereka menganggap PKP yang berhasil meraih kekuasaan telah melayani kepentingan Islam dan umat Islam. Padahal dengan sekilas tinjauan sahaja, akan terlihat PKP sangat jauh dari ajaran dan politik Islam. Buktinya, PKP mengumumkan tidak akan memusuhi Barat (penjajah), mempercayai demokrasi, ingin menjadi bahagian dari Eropah serta menjadi sekutu Israel dan mengadakan perjanjian militer dengannya. PKP juga terlibat dalam operasi militer NATO di Afghanistan untuk memerangi Islam dan umat Islam di sana. Dan lebih dari semua itu, PKP adalah pendukung idea-idea Mustafa Kamal Ataturk laknatullah, manusia hina yang menjadi musuh Islam dan penghancur Daulah Khilafah. Harakah seperti PKP inilah yang amat didambakan Barat, sehingga Barat berusaha mewujudkannya di pelbagai negara di dalam dunia Islam dan menyekat harakah Islam ideologis dari meraih kejayaan.

Memang Barat telah menggariskan karakter tertentu untuk harakah Islam agar sesuai dengan kepentingan mereka. Barat menghendaki agar harakah Islam dapat menerima dan mempertahankan sistem taghut yang dibawa oleh mereka. Agar diterima oleh umat Islam, Barat menyebut aktivis harakah ini sebagai kaum moderat dan golongan yang baik, tidak sebagaimana kaum fundamentalis atau ekstremis yang dikatakan merbahaya. Selain terjebak dengan kehendak Barat dan ‘selesa’ disebut sebagai golongan moderat, hakikatnya golongan Islam moderat ini tidak jauh berbeza dengan puak Islam liberal. Jika dicermati, lontaran idea harakah Islam pragmatis sama sahaja dengan idea kelompok liberal-sekular di mana mereka telah meletakkan Islam sebagai suatu agama yang bersifat ‘anjal’ dan boleh berubah mengikut zaman dan tempat. Sedar atau tidak, mereka telah menundukkan Islam dengan realiti yang ada. Akhirnya, kedua-dua kelompok ini menafsir dan mengaplikasikan Islam sesuai dengan kehendak Barat. Umat Islam tidak seharusnya tertipu dengan permainan istilah dan pengggunaan simbol-simbol Islam yang dibawa oleh kelompok-kelompok ini. Contoh nyata adalah seperti PKP di Turki di mana parti ini sangat sering mengeksploitasi istilah dan simbol Islam. Padahal pelbagai strategi dan langkah politiknya, seribu kali lebih berbahaya bagi umat Islam daripada kelompok-kelompok liberal-sekular.

Setiap harakah Islam seharusnya sedar akan jerat kuffar Barat dan tidak seharusnya terlibat di dalam sistem taghut yang akhirnya memberi kelebihan kepada orang-orang kafir/sekular dan melemahkan diri mereka sendiri. Lebih buruk, mereka sebenarnya telah menggadaikan Islam dan perjuangan mereka sendiri kerana meletakkan hawa nafsu dan kepentingan dunia lebih tinggi dari Islam. Umat Islam pula perlu sedar bahawa ada di antara harakah Islam yang, sama ada sedar atau tidak, sebenarnya telah menjadi pelaksana kepada kehendak Barat di dalam menjaga dan memelihara sistem kufur yang dibawa oleh Barat. Setiap ahli gerakan Islam harus sedar bahawa niat yang ikhlas (untuk memperjuangkan Islam) sahaja tidak cukup, tetapi mesti disusuli dengan langkah perjuangan yang benar menurut syarak.

Karakter Harakah Islam Yang Mengakui Sistem Taghut

Setidak-tidaknya terdapat enam karakter utama harakah Islam yang mengakui sistem taghut dan menjadi pelaksana kepada kehendak kuffar Barat:-

Pertama; menganut sikap pragmatis (waqi’iyyah) iaitu bertindak bukan atas dasar pertimbangan syarak tetapi atas dasar waqi’ (fakta/realiti) yang ada dengan pertimbangan untung-rugi (maslahat/manfaat).

Kedua;
tidak mempunyai pemikiran Islam yang jelas. Mereka menyerukan Islam secara umum sahaja dengan penafsiran yang disesuaikan dengan fakta yang ada demi meraih keridhaan penguasa yang zalim dan kaum penjajah (Barat).

Ketiga; tidak berusaha mengubah secara total (taghyir) sistem sekular yang ada, melainkan hanya memperbaikinya (islah) secara sebahagian pada aspek-aspek tertentu sahaja. Mereka mempunyai anggapan dasar bahawa sistem yang sedia ada ‘sudah sah’ dan ‘sudah final’. Justeru, yang perlu diubah bukanlah ‘sistem’nya melainkan hal-hal tertentu yang memerlukan pembaikan misalnya masalah rasuah, penyelewengan, kehakiman, birokrasi, peraturan pilihanraya dan seumpamanya.

Keempat; mempunyai wawasan dan aktiviti yang hanya bersifat lokal. Mereka tidak menekankan persoalan umat Islam yang bersifat global, misalnya mempersatukan seluruh umat Islam dalam satu negara Khilafah. Malah ada di antara mereka yang tidak mahu menyatukan umat Islam di bawah satu negara dan ada pula yang menganggapnya sebagai idea yang khayal. Mereka lebih suka berjuang atas dasar kebangsaan dan tanahair (assabiyyah dan wathaniyyah).

Kelima; selalu berusaha menampakkan diri sebagai kelompok moden dan moderat dengan dalih bahawa Islam adalah agama yang fleksibel atau anjal dan boleh berubah mengikut masa dan tempat. Mereka mengecam harakah Islam ideologis sebagai kelompok garis keras (mutasyaddidun) yang hanya mencari masalah dengan ‘menentang’ pemerintahan yang sah. Mereka menggembar-gemburkan pemikiran tertentu yang disandarkan kepada Islam seperti fiqh al-waqi’ (hukum fikih yang tunduk kepada realiti), fiqh al-mashalih (hukum fikih yang tunduk kepada kemaslahatan) dan semisalnya. Mereka masuk ke dalam parlimen atau bergabung dengan pemerintahan taghut yang ada dengan dalih untuk menegakkan agama.

Keenam; mementingkan personaliti/tokoh (figure). Mereka adalah harakah yang mengamalkan ‘pensucian’ individu. Kerana itulah mereka senantiasa mengedepankan tokoh pimpinan (qiyadah) daripada mengedepankan fikrah (pemikiran) Islam itu sendiri. Jika berhadapan dengan masalah yang perlu diputuskan, pertimbangannya bukanlah kepada hukum-hakam Islam tetapi kepada keputusan atau kehendak pimpinan, walaupun sudah jelas lagi nyata bahawa si pemimpin telah ‘tertawan’ oleh realiti keadaan dan sistem yang rosak.

Harakah dengan karakter-karakter inilah yang sesungguhnya telah ‘menyenangkan’ Barat dan juga penguasa dalam sistem taghut. Harakah seperti inilah yang selalu dimanfaatkan dan diperalat oleh puak kuffar untuk mengalihkan perhatian umat dari harakah ideologis yang berjuang ‘di luar kotak’ demi menukar sistem taghut kepada sistem Islam. Dengan demikian, di samping telah ‘melarikan’ gambaran perjuangan Islam yang hakiki,  harakah pragmatis ini juga telah mempersulit perjuangan ke arah perubahan total yang dikehendaki oleh Islam. Padahal sudah jelas, keterlibatan harakah pragmatis di dalam parlimen dan dalam sistem yang sedia ada sesungguhnya adalah suatu bentuk ketaatan dan ketundukan mereka kepada sistem taghut dan telah memperpanjangkan umur kebatilan. Hal ini juga telah menyebabkan kekeliruan di dalam kefahaman umat Islam mengenai sistem taghut sehingga sebahagian kaum Muslimin menganggap sistem taghut yang ada adalah ‘ok’ apatah lagi apabila perjuangan harakah Islam pragamatis ini didokong oleh ramai ulama dan tokoh yang terkenal.

Dari seluruh penjelasan di atas, kita berdoa dan mengharapkan agar seluruh harakah Islam pragmatis menyedari kekeliruan langkah mereka dengan membuang sejauh-jauhnya sikap taksub kepada gerakan mahupun pimpinan sehingga mereka terjerumus berjuang untuk menegakkan Islam dengan mengiktiraf sistem taghut yang ada. Sesungguhnya setiap perjuangan yang dilandasi anggapan bahawa sistem taghut (demokrasi dan lain-lain) yang sedia ada sudah ‘sah’ dan tidak perlu diubah, hanya akan sia-sia dan mendatangkan kerugian kepada mereka sendiri serta akan mengundang kemurkaan Allah, meskipun mereka berniat ikhlas. Namun, sama ada mereka mahu berfikir dan keluar dari kepompong pragmatisme, lalu bersedia untuk berjuang di luar sistem taghut, ini  bergantung kepada kesedaran dan keikhlasan masing-masing. Allah SWT bertanya,

“Maka apakah orang yang berjalan dengan wajah terlungkup, lebih berpetunjuk atau adakah orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus (lebih berpetunjuk)?” [TMQ al-Mulk (67):22].

Dan Dia mengingatkan,

“Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidak bersikap sebagai orang-orang yang tuli dan buta.” [TMQ al-Furqan (25):73].

Wallahu a’lam.

[Diterjemah dan disunting dari artikel Amaa Aan li al-Harakat al-Islamiyah allatiy Ta’tarifu bi Syar’iyyah Al-Anzhimah an Tash-huw, oleh Dr. Hazim Badar, Palestine,  Majalah Al-Waie (Arab), no. 282, Edisi Khusus Rajab 1431 H/ Julai 2010].

 

MUHASABAH (MENGHISAB DIRI)…. Baginda Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
“Orang yang paling bijak adalah orang yang selalu mengendalikan hawa nafsunya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…”[HR Imam Tarmizi; Hadis Hasan]

Dikatakan bahawa maksud “orang yang mengendalikan hawa nafsunya” (man dana nafsahu) dalam hadis di atas adalah orang yang selalu menghisab dirinya di dunia sebelum dirinya dihisab oleh ALLAH pada Hari Kiamat. Berkenaan dengan hadis ini, Khalifah Umar Al-Khattab RA pernah berkata, “Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab oleh ALLAH SWT kelak. Bersiaplah menghadapi Hari Perhitungan yang amat dahsyat. Sesungguhnya hisab pada Hari Kiamat akan terasa ringan bagi orang yang selalu menghisab dirinya ketika di dunia.” [Lihat Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarh Jami’ at-Tirmidzi).

Muhasabah (Menghisab diri) sebagai satu pesan ini dari hadis Rasulullah SAW di atas, sangatlah penting dilakukan oleh setiap muslim. Dengan sering melakukan muhasabah, ia akan mengetahui berbagai kelemahan, kekurangan, dosa dan kesalahan yang dilakukan. Dengan itu, ia akan terdorong untuk selalu melakukan perbaikan diri. Dengan itu pula, dari tahun ke tahun, dari bulan ke bulan, dari hari ke hari, bahkan dari waktu ke waktu ia menjadi semakin baik. Imannya semakin kuat; ketaqwaan nya semakin kukuh; solatnya semakin khusyuk; amal solehnya semakin bertambah dan dosa-dosanya semakin berkurang kerana semakin jarang ia bermaksiat; semangat dakwahnya semakin bergelora; pengorbanannya untuk ALLAH SWT dan Rasulnya semakin besar; akhlaknya semakin terpuji- ia semakin ikhlas, semakin tawaduk, semakin wara’, semakin menjaga amanah dan semakin Taqarrub (dekat diri) kepada ALLAH SWT.

Sayangnya, kerana pelbagai kesibukan dunia, entah kerana sibuk dengan kawan-kawan, study, assignment, tesis, bekerja mencari nafkah untuk keluarga, seseorang muslim tidak sempat ber-muhasabah; masanya banyak terbuang dengan pelbagai aktiviti harian yang dilakukan. Ada juga yang jarang ber-muhasabah bukan kerana sibuk, tetapi kerana memang ia lalai. Ia sendiri memang lalai melakukan muhasabah.

Sudah tentu, jarangnya seseorang muslim melakukan muhasabah merupakan musibah (perkara yang buruk berlaku ke atas diri manusia). Betapa tidaknya, jarangnya melakukan muhasabah (menghisab diri), seseorang Muslim sering marasakan tidak ada kurang pada dirinya; ia merasakan dirinya baik-baik saja. Padahal boleh jadi, imannya semakin rapuh, ketaqwaannya semakin terkikis, solatnya tidak lagi khusyuk, amal solehnya sudah jauh berkurangan, dosa-dosanya semakin bertambah, semangatnya untuk menyebarkan Islam ke tengah-tengah umat hampir-hampir padam, pengorbanannya untuk ALLAH SWT dan Rasulnya semakin menipis, akhlaknya semakin jauh dengan akhlak islam- mulai sering muncul ketidak-ikhlasan, ketidak-warak-an, ketidak-amanah-an dan semakin jauh dari ALLAH SWT.

Namun, musibah ini sering tidak disedari kerana kepekaan spiritual memang telah hilang dari dirinya akibat jarangnya ia melakukan muhasabah (menghisab diri). Akibat lebih jauh lagi, ia sering merasa tidak berdosa atau bersalah saat solatnya lalai dan tidak khusyuk, saat amal solehnya berkurangan, saat belajar agamanya jarang-jarang, saat melalaikan amanah ALLAH dalam menyebarkan islam; dan sering merasa tidak bersalah di saat melakukan banyak dosa; seperti sering melihat hal-hal yang haram, mendengar hal-hal yang sia-sia, melakukan hal-hal yang syubhat dan lain-lain. Ia pun tidak lagi merasa menyesal saat meninggalkan solat berjemaah; saat jarang melakukan solat malam; saat solat subuhnya suka terlambat, saat tidak mampu lagi berpuasa sunat, saat jarang membaca Al-Quran, saat tidak lagi boleh menangis ketka berdoa dan lain-lain. Tentu, semua ini sekali lagi dikatakan kerana jarangnya ia melakukan muhasabah.

Kita nampaknya perlu merenung kembali teladan Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat-sahabat Baginda yang mulia (Radhiallahu anhu). Baginda Nabi Muhammad SAW, misalnya pernah semalaman tidak dapat tidur kerana khuatir memikirkan sebutir kurma- (hanya sebutir kurma!)- yang terlanjur Baginda SAW makan di suatu tempat. Pasalnya, kemudian Baginda SAW berfikir bahawa kurma itu mungkin sebahagian daripada kurma sedekah yang disediakan untuk fakir miskin. Itulah yang menjadi beban fikiran Baginda Rasullah SAW semalaman.

Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA pernah memuntahkan kembali makanan, yang baru kemudian beliau ketahui bahawa makanan itu ternyata merupakan permberian dari tukang tilik. Saat itu Abu Bakar RA ditanya, mengapa melakukan demikian?, beliau menjawab, “Seandainya untuk memuntahkan makanan itu aku terpaksa menebusnya dengan nyawaku, aku pasti akan melakukannya. Sebab aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “BADAN YANG TUMBUH DENGAN MAKANAN YANG HARAM, MAKA API NERAKA LEBIH BAIK BAGINYA”, Aku sangat khuatir dengan itu”. (Kanz al-‘Umal).

Hal yang sama dilakukan oleh Khalifah Umar Al-Khattab RA. Beliau pernah memuntahkan kembali susu yang beliau minum, kerana baru kemudian baliau mengerahui bahawa ternyata air susu itu berasal dari unta sedekah. Seketika beliau memasukkan jari ke mulutnya dan memuntahkan kembali air susu itu (Rujuk Imam Malik, dalam kitabnya Al-Muwaththa’).

Diriwayatkan pula, pada zaman Khalifah Uthman bin Affan RA, seorang Ansar sedang solat ditengah-tengah kebunnya.Lalu pandangannya tertuju pada buah-buahan masak ranum yang bergantungan di dahan-dahan pepohonan. Selesai solat, ia merasakan sangat menyesal. Ia lalu segera mewakafkan kebun miliknya itu demi “menebus” kesalahannya (Rujuk Imam Malik, dalam kitabnya Al-Muwaththa’).

Secebis kisah diatas – yang benar-benar nyata- mungkin bagi kita semacam kisah para Rasul, kisah “manusia langit”, kisah “manusia yang dijamin syurga” yang sepertinya mustahil untuk kita teladani. Pernyataan semacam itu hanyalah menunjukkan bahawa, kita benar-benar sangat jauh dengan keteladanan Baginda Nabi SAW dan Para Sabahat RA yang dimuliakan. Mengapa kita sangat jauh dengan keteladanan Nabi SAW dan Para Sahabat RA?

Kerana mungkin- salah satunya- kita jarang melakukan muhasabah. Kalau pun kita melakukannya, mungkin itu kita lakukannya setahun sekali, saat bertukar tahun atau saat “berulang tahun”, atau saat terkena musibah barulah nak dekatkan diri dengan ALLAH, barulah nak bermuhasabah. Padahal dosa dan kemaksiatan yang kita lakukan setiap hari, bahkan mungkin setiap waktu. Sudah tentu, semua dosa dan kemaksiatan itu sangat mudah kita lupakan, kerana muhasabah (menghisab diri) setahun sekali tidak mungkin boleh “detect” seluruh dosa setiap hari, apatah lagi dosa yang kita lakukan setiap waktu. Dosa setiap hari atau setiap waktu hanya akan mudah di”detect” jika kita melakukan muhasabah setiap hari atau setiap waktu. Mudah-mudahan kita semua boleh melakukannya. Semasa kita masih bernafas lagi inilah kita masih ada peluang untuk bermuhasabah untuk berbuat banyak perkara kebaikan, dan apabila nafas kita berhenti untuk selama-lamanya, peluang untuk bermuhasabah (menghisab diri) sudah tidak ada lagi. Saat itu kita pula akan dihisab oleh ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman maksudnya:
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu (sendiri)…[TMQ Surah Al-Isra (17): ayat 7]

gejala-sosial2 rakan lelaki 3 remaja perempuan hilang direman


GEORGETOWN 22 Sept. – Dua lelaki yang ditemui bersama tiga remaja perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini, hari ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol gadis bawah umur.  Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kedua-dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu yang berasal dari Kampar dan Teluk Intan, Perak, ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.  Kedua-dua mereka ditemui bersama remaja pasangan kembar, Nurul Ain Kamarazmi dan Nurul Ashiqin, 14, serta teman sebaya, Suhaili Abd. Razak yang dilaporkan hilang di Kampar sejak 11 September lepas dan ditemui dalam sebuah flat di sini semalam.  “Berdasarkan keterangan tiga remaja wanita terbabit, mereka mengaku melakukan hubungan seks dengan dua lelaki itu ketika berada di sebuah hotel murah di Jalan Pintal Tali di sini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang mendapati terdapat kesan koyakan pada kemaluan tiga remaja perempuan terbabit dan polis kini sedang menjalankan siasatan.  Beliau berkata, mereka memberi kerjasama dan mengakui secara rela hati mengikut teman lelaki ke negeri ini pada 14 September iaitu tiga hari selepas mereka dilaporkan hilang. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 21/09/10

Penagih dadah Terengganu meningkat 1,366.67%

KUALA TERENGGANU – Terengganu merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 1,584 penagih berbanding hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus.  Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Terengganu Wan Addenan Wan Mohd. Noor berkata, daerah Besut mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 445 diikuti daerah Kemaman (351) dan Kuala Terengganu (229) manakala Dungun (188), Hulu Terengganu (128) dan Setiu (91).  “Kita dapati daerah-daerah yang berada di sempadan mencatatkan penagihan yang tinggi seperti Besut dan Kemaman manakala daerah-daerah lain juga turut meningkat,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya AADK negeri Terengganu di sini hari ini.   Beliau berkata, mengikut profil penagih, 98.2 peratus adalah lelaki dan 98.5 peratus merupakan keturunan Melayu manakala 78.53 peratus terdiri daripada golongan belia yang berumur antara 19 dan 39 tahun.  Katanya, sebanyak 32.36 peratus penagih pula mengambil methamphetamine, 12.63 peratus morfin manakala 9.72 peratus penagih amphetamine. – Bernama

Sumber: KOSMO 20/09/10


Mahasiswa IPTA buang bayi di belakang dapur

KUBANG PASU 19 Sept. – Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat menerima nasib malang apabila dibuang ibunya sendiri di belakang pintu dapur sebuah rumah di Taman Rasa Sayang di sini, semalam.  Tidak cukup dengan itu, seorang gadis dipercayai ibu bayi berkenaan telah berpura-pura kononnya ‘menemui’ seorang bayi di belakang rumah tersebut kira-kira pukul 8 malam semalam.  Difahamkan, bayi tersebut dibuang ibunya sendiri yang merupakan seorang penuntut di salah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di daerah ini.  Gadis tersebut yang berusia 20 tahun, dikatakan melahirkan bayi tersebut di rumahnya namun bertindak membuang bayinya di belakang rumah itu bagi mengelakkan perkara tersebut diketahui ramai.  Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ibrahim Mohd. Yusoff memberitahu, bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan. Menurutnya, hasil siasatan, polis kemudian menahan seorang penuntut IPTA berusia 20 tahun pada pukul 9 malam bagi membantu siasatan.  “Pelajar terbabit ditahan di kawasan berhampiran dan dia ketika ini menerima rawatan di hospital sama,” katanya.  Ibrahim berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.


Sumber: Utusan Malaysia 20/09/10

Kontraktor disyaki dera tunang hamil ditangkap

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Seorang kontraktor ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan hamil yang koma setelah perutnya dipercayai dipijak sehingga bayi dalam kandungannya gugur di Batang Kali dekat sini, Jumaat lalu.  Sumber polis memberitahu, suspek yang ditahan merupakan tunang kepada remaja perempuan berusia 18 tahun itu.  Katanya, lelaki berusia 30-an itu disyaki memukul mangsa menyebabkan tunangnya mengalami keguguran dan tidak sedarkan diri sehingga kini.  Katanya, kontraktor terbabit kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.  “Siasatan polis mendapati, mangsa sebelum ini ditemui oleh ahli keluarganya berlumuran darah dalam bilik air di rumahnya di Batang Kali pada pukul 4 pagi, Jumaat lalu.   “Ketika ditemui oleh keluarganya, remaja perempuan itu sedang menggelupur kesakitan dipercayai menghidap sawan sebelum dibaringkan di atas katil. “Ahli keluarga dan jiran mangsa kemudian menyedari wanita itu sedang hamil dan berusaha mengeluarkan bayi dalam kandungan namun tidak sempat setelah kandungannya disahkan gugur,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Sumber berkata, keluarga mangsa kemudian membawa gadis malang dan mayat bayi itu ke Hospital Selayang.   Sehingga kini, katanya, mangsa masih dirawat di hospital dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan untuk terus hidup.  Pada Jumaat lalu, pihak Hospital Selayang membuat laporan polis setelah pemeriksaan mendapati perut remaja perempuan itu ada kesan lebam disyaki dipijak menyebabkan dia mengalami keguguran dan tidak sedarkan diri.

Sumber: Utusan Malaysia 22/09/10

Apa Nak Jadi Dengan 1Malaysia Kebanggaan Najib?

Najib yang terus mengusung ke sana ke mari idea dan gagasan 1Malaysia nampaknya terus dilambakkan dengan 1001 macam masalah masyarakat yang berlaku hampir setiap hari di seluruh negara. Lihat dan perhatikanlah cebisan laporan akhbar di atas.  Pelaku dan mangsa yang terlibat rata-ratanya adalah terdiri dari golongan remaja. Apakah denyut jantung Najib tidak berdegup kencang apabila membaca dan mendengar berita-berita seperti d iatas? Hanya mereka yang pekak, bisu, buta dan mati hatinya sahajalah yang tidak merasa apa-apa dengan kejadian yang berlaku. Sedangkan jika kita perhatikan dengan sudut pandangan Islam ternyata dan terbukti betapa sistem masyarakat yang digunapakai oleh pemerintahan yang diterajui oleh Najib hari ini adalah merupakan sistem yang rosak lagi merosakkan.

Jika kita teliti dan kaji secara mendalam dan cemerlang maka sudah pasti kita akan mendapati bahawa sebenarnya sistem sekular Kapitalisme yang diwarisi oleh Najib hari inilah sebenarnya punca dan penyumbang terbesar kepada masalah-masalah yang berlaku di dalam masyarakat hari ini. Tetapi malangnya, sering kali apabila kes-kes seperti di atas diulas dan dibincangkan di mana-mana forum maka ramailah ”tokoh-tokoh yang terpilih” akan menuding 10 jari mereka kesemuanya kepada institusi keluarga, ibu-bapa dan juga individu itu sendiri tanpa ada satu jari pun yang mereka tujukan kepada pemerintah yang ada pada hari ini. Apakah mata tokoh-tokoh yang berbicara ini buta dalam melihat sistem yang diterapkan oleh pemerintah sekular hari ini sebagai penyumbang dan penyebab sebenar kepada masalah ini?

Terlampau jarang kedengaran teguran dan kritikan mahupun muhasabah yang ditujukan kepada pemerintah sekular dalam isu ini. Akibatnya kita dapat menyaksikan secara jelas bagaimana pemerintah sekular hari ini secara berterusan dengan tanpa rasa malu dan bersalah tetap tegar menerapkan dan mempertahankan sistem pemerintahan yang terhasil dari ciptaan akal-akal manusia sedangkan sistem kehidupan selain dari kehidupan Islam yang diturunkan oleh Allah SWT adalah sistem kehidupan jahiliyyah. Firman Allah SWT: ”Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al Maaidah (5) : 50].

Lihat SN083 – MASYARAKAT JAHILIYYAH DI MALAYSIA

-mykhilafah.com-

qisasMufti Kedah Saran Hukum Qisas Bagi Kesalahan Jenayah Bunuh

ALOR SETAR – Masyarakat kini harus kembali kepada ajaran al-Quran dengan melaksanakan hukum Qisas atau hukum balas bagi kesalahan jenayah melampau yang disifatkan kejam dan di luar tabii.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, hanya hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada pesalah dan orang sekeliling dapat membendung jenayah kejam daripada terus berleluasa.

“Hukuman sedia ada tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada masyarakat, tidak hairanlah jenayah makin berleluasa sehingga ada pihak sanggup membunuh warga emas, kanak-kanak mahupun membuang bayi tanpa ada belas kasihan,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, hukuman Qisas seperti yang termaktub dalam kitab suci adalah sesuai untuk semua zaman, malah Allah SWT telah menyebut bahawa hukuman ini dapat memberi kehidupan yang selesa pada masyarakat.

“Apabila masyarakat melihat kesan daripada hukuman ini, contohnya mencuri hukumannya potong tangan. Mereka akan takut untuk melakukan jenayah itu kerana boleh menyebabkan mereka hilang anggota badan. Oleh itu mereka tidak berani buat begitu pada orang lain kerana hukum balas ini adalah supaya pesalah merasai keperitan mangsa,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin mengulas kejadian tragis yang menimpa jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang dipukul, dibunuh dan dibakar selain abu mayat kesemua mangsa dibuang ke dalam sungai, baru-baru ini.

Tragedi yang turut memberi kesan pada masyarakat ialah insiden seorang warga emas wanita, Lian Osman, 74, yang tinggal bersendirian di Yan, mati dibunuh selepas disamun di dalam rumah sendiri pada 15 Ogos lalu.

Kejadian lain membabitkan seorang wanita berusia 26 tahun, Suhana Mohd Shariff dari Kota Tanah, dekat sini, yang ditikam rakan baiknya sendiri sebanyak tujuh kali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 17.8 sentimeter. Kejadian pada 2 Mei itu menggemparkan rakyat Kedah kerana dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.   Sheikh Muhamad Baderudin berkata, manusia menjadi semakin kejam apabila kehidupan mereka bertunjangkan duniawi sehingga sanggup berbunuhan demi harta kekayaan.

“Banyak faktor yang menyumbang kepada kekejaman, antaranya tekanan hidup, gila harta dan kuasa. Sikap cintakan duniawi punca berlakunya kepincangan dalam masyarakat. Kita sudah hilang nilai-nilai murni dan agama yang sepatutnya dipupuk sejak kecil,” katanya.

Menurutnya, ajaran Islam tidak hanya mementingkan hukuman setimpal, sebaliknya sebelum pesalah dikenakan hukuman, mereka perlu diberi didikan.

“Jika didikan tidak beri kesan, barulah dikenakan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran. Ini termasuk gejala sosial seperti buang anak dan berzina,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin turut kesal kerana perbuatan kejam yang banyak dipaparkan di dada akhbar menunjukkan realiti kepincangan masyarakat kini.

“Orang yang bertamadun tidak akan melakukan kekejaman yang melampau,” katanya.

Sumber: Sinar Harian: 17/09/10

Saranan Pak Mufti Itu Sewajibnya Diarahkan Kepada Najib

Qisas itu satu kewajiban! Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang Yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) Dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. [TMQ Al Baqarah (2) : 178].

Tidak ada istilah saranan sebenarnya. Tambahan pula adalah tidak kena tempat dan gayanya apabila Mufti Kedah menyarankan masyarakat kini harus kembali kepada ajaran al-Quran dengan melaksanakan hukum Qisas atau hukum balas bagi kesalahan jenayah melampau yang disifatkan kejam dan di luar tabii. Ini kerana hakikatnya bidang kuasa untuk menerapkan sesuatu hukuman itu adalah wilayah dan tanggungjawab pemerintah. Dalam konteks negara Malaysia ini, sewajarnya pihak mufti secara khusus menyatakan dan mengarahkan seruan ini kepada Najib, bukan kepada pihak lain. Sewajarnya seruan itu dikumandangkan dan diperjuangkan oleh beliau dan oleh seluruh umat Islam yang lainnya dan tidak seharusnya bersifat bermusim.

Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna telah menjelaskan bahawa bentuk ‘uqubat di dalam Islam itu ada empat iaitu hudud, qisas, takzir dan mukhalafat.  Falsafah sistem ‘uqubat dalam Islam adalah sebagai zawajir (pencegah) dan jawabir (penebus). Ia disebut sebagai zawajir kerana jika diterapkan hukuman tersebut maka ia akan mampu mencegah orang lain dari berkeinginan untuk melakukan kesalahan yang sama. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT: “Dan dalam hukuman qisas iu terdapat kehidupan bagi kalian wahai orang-orang yang beraqal supaya kamu bertakwa”. [TMQ al-Baqarah (2) : 179].

Ia juga berfungsi sebagai penebus (jawabir), yakni hukuman yang dijatuhkan di dunia atas kejahatan yang dilakukan itu akan dapat menghapuskan hukuman di akhirat yang jauh lebih berat dan dahsyat. ”Hukuman di
dunia telah menjadi kafarah bagi hukuman di akhirat” [HR.Bukhari].

Wahai Pak Mufti! Wahai seluruh umat Islam! Hukuman Islam yang berfungsi sebagai zawajir dan jawabir itu akan pasti menyelamatkan individu khususnya dan masyarakat amnya, menjamin keadilan bagi mangsa dan  menyelamatkan si pesalah. Inilah yang dikatakan bahawa sistem ‘uqubat Islam itu mencakupi wilayah dunia dan juga akhirat. Inilah keunggulan sistem ‘uqubat Islam.

Rasulullah SAW pernah mengibaratkan masyarakat itu seperti sebuah perahu yang penuh dengan penumpang. Penumpang di sebelah bawah perlu mendapatkan air minuman dari tingkat atas perahu tersebut. Jika ada salah seorang penumpang yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan air, dengan menebuk bahagian bawah perahu tersebut, maka dia mesti dicegah. Jika tidak, maka air akan memasuki perahu tersebut sehingga akhirnya tenggelam. Bukan hanya orang yang menebuk perahu itu saja yang akan tenggelam, tetapi seluruh penumpang yang ada di dalam perahu/kapal.

Sistem hukuman yang tidak sempurna, secara umumnnya, memiliki ciri:

1.    Tidak mampu mencegah kemaksiatan.
2.    Tidak mampu membuatkan pelakunya insaf.
3.    Tidak dapat menghalang kejahatan dan kejahatan muncul di serata tempat secara kolektif.

Setiap manusia pasti mengharapkan kehidupan yang tenteram dan aman. Suasana ini akan hanya dapat diberikan oleh sebuah sistem hukuman yang adil. Masyarakat yang mendambakan kehidupan seperti itu terlebih dahulu mestilah terikat dengan hukum dan sistem yang diturunkan oleh Allah SWT. Bagi umat Islam, keterikatan dengan hukum Islam adalah merupakan konsekuensi dari aqidah yang diyakini. Sudah cukup banyak dan berbagai kemaksiatan terjadi di bumi ini, apapun bentuknya, siapapun pelakunya, yang kita tidak ketahui adalah bila ia akan segera berakhir. Sesuatu hukuman itu mestilah “digantung” pada satu prinsip – untuk menghilangkan kesamaran dan kesimpang siuran. Sungguh naif apabila sesuatu sistem hukuman itu dijalankan sesuai dengan proses kognitif subjek yang menegakkannya. Ini hanya akan menimbulkan kecenderongan pada suatu pihak dan ia malah akan memperpanjangkan lagi masalah. Apa yang pasti ialah bahawa sistem Islam memberikan solusi yang terbaik untuk kehidupan manusia buat selama-selamanya. Hukum Allah adalah hukum yang absolut. Ia tidak cenderung kepada mana-mana manusia kerana ia datang dari Allah Maha Pencipta! Firman Allah SWT: “Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al Maa-idah (5) : 50]. Lihat SN 126: Qisas Itu Wajib!

kes-rogolPakaian bukan punca wanita dirogol: WOA

KUALA LUMPUR: Masyarakat harus mengubah persepsi faktor pakaian menjadi punca utama kes rogol di kalangan wanita sebaliknya perlu melihat pemikiran pelaku jenayah terbabit, kata Pengurus Projek dan Tadbir, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA), Annie Varghese.

“Jika faktor pakaian dikatakan sengaja memberi peluang untuk dirogol, bagaimanakah dengan kejadian membabitkan murid sekolah beruniform lengkap ataupun warga emas? “Ibu bapa, guru dan pentadbir negara perlu memahami konteks berkenaan, sekali gus mengambil langkah sewajarnya bagi mengikis efahaman atau pandangan terbabit,” katanya ketika ditemui dalam program Malaysiaku-Festival Raikan Hari Malaysia, di sini, semalam.

Menurutnya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes rogol meningkat setiap tahun iaitu 3,098 kes pada 2007 berbanding 2,454 kes tahun sebelumnya dan ia semakin membimbangkan.

Selain itu, beliau berkata, wanita tidak seharusnya dibebani perasaan bersalah atas perilaku suami apabila wujudnya segelintir isteri menganggap diri adalah punca berlakunya keganasan dalam rumah tangga.

Sumber: Harian Metro 17/09/10

Kes Rogol Adalah Salah Satu Natijah Daripada Penerapan Sistem Sekular

Beginilah akibatnya jika akal-akal manusia dijadikan sebagai kata pemutus sekaligus menjadi standard hukum di dalam kehidupan. Akan ada beragam jawapan dan analisis yang diketengahkan untuk membuktikan hujah masing-masing dalam memberi jawapan bagi punca suatu permasalahan. Jika dahulu, ketika isu rogol menjadi isu panas di dada-dada akhbar dan media massa tanah air, maka ketika itulah datang pelbagai komen daripada banyak pihak yang cuba menganalisis faktor dan punca permasalahan serta cara-cara untuk menanganinya. Antara punca yang disabitkan dalam isu rogol ialah kurangnya pendidikan agama dan nilai-nilai moral di dalam masyarakat, ibubapa kurang menjaga anak-anak sehingga mereka terlalu bebas, meningkatnya budaya hedonisma dan pengaruh luar dalam masyarakat Malaysia serta banyak lagi. Isu penerapan sistem sekular dan gagalnya sistem ini dalam membentuk masyarakat yang berakhlak langsung tidak disentuh sama sekali! Walhal ianya merupakan faktor terbesar yang menjadi punca kepada permasalahan ini!

Solusi-solusi yang diketengahkan pula langsung tidak menyelesaikan permasalahan ini hingga ke akar umbinya. Apa yang lebih melucukan ialah wujud pihak yang meminta agar para wanita memakai cawat besi untuk mengelakkan dari dirogol. Begitu dangkal sekali!

”Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusi, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. [TMQ Ar-Rum(30): 41]

Muhammad Ali Asshabuni di dalam Shafwah at-Tafasir menyatakan, bahawa yang dimaksud dengan bima kasabat ayd an-nas dalam ayat ini adalah bi sababi ma’asi an-nas wa dzunubihim (kerana kemaksiatan-kemaksiatan dan dosa-dosa manusia). Maksiat adalah setiap pelanggaran terhadap hukum Allah SWT, iaitu dengan melakukan keharaman dan meninggalkan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan bagi pelakunya akan mendapat dosa. Seharusnya ini difahami oleh kita semua khususnya para penguasa umat Islam saat kini, bahawa tidak diterapkannya syariat Islam secara keseluruhan akan mendatangkan pelbagai musibah dan bencana bagi umat manusia. Dan Islam tidak akan dapat diterapkan sepenuhnya tanpa Khilafah.

Isu rogol adalah salah satu masalah dari sekian banyaknya masalah yang melanda umat Islam ketika ini. Lihatlah bagaimana jenayah, kecurian, rompakan, pembunuhan dan banyak lagi tidak kunjung selesai.  Bahkan kes terbaru kematian jutawan wanita Datuk Sosilawati yang memenuhi akhbar-akhbar tempatan membuka mata kita tentang keselamatan dan keamanan di dalam sistem sekular saat ini. Sifat rakus, tamak, dengki dan cinta dunia tertanam di dalam jiwa masyarakat yang akan selalu mendatangkan kemudaratan, kecuali bagi golongan orang-orang yang mempunyai kesedaran di dalam diri mereka – mereka yang mampu berfikir dengan nuansa keminanan. Semoga kita semua tergolong daripada golongan tersebut yang berjuang untuk mendirikan semula Daulah Islam yang akan memberi kesejahteraan kepada umat manusia dalam segenap aspek.

-mykhilafah.com-

seks-bebasLima remaja hamil akan daftar masuk Sekolah Harapan esok

JASIN 19 Sept. – Seramai lima remaja yang sedang hamil akan menjadi pelajar kumpulan pertama yang mendaftar masuk ke Sekolah Harapan di Jalan Pegawai di sini yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada golongan berkenaan. Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang mencetuskan idea penubuhan sekolah tersebut berkata, remaja berkenaan yang berusia antara 16 dan 17 tahun akan ditemani keluarga masing-masing ketika mendaftar.  “Empat daripada mereka akan bersekolah dalam Tingkatan Lima dan seorang di Tingkatan Empat.  “Mereka masing-masing dari Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Pahang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil dan meninjau operasi sekolah tersebut hari ini. Sekolah Harapan itu yang dibuka Jumaat lepas dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Melaka, beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah berserta sebuah asrama. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 19/09/10

Sekolah Harapan: Hanya Untuk Memperpanjangkan Hayat Kebobrokan Sistem Kapitalisme

Hebat sungguh Ali Rustam dengan idea “canggihnya” menubuhkan Sekolah Anak Luar Nikah (SALUN). Mungkin beliau melihat seolah-olah usahanya itu adalah terbaik dan terhebat untuk tahun 2010 ini. Tetapi sebagai seorang Muslim beliau seharusnya melihat isu ini dari sudut pandangan Islam dan bukannya dari kaca mata Kapitalisme . Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna telah menurunkan seperangkat sistem yang wajib diterapkan di dalam kehidupan manusia samada diperingkat individu, masyarakat mahupun negara. Ini termasuklah untuk menyelesaikan penyakit ataupun masalah yang muncul dari penyimpangan perhubungan antara lelaki dan perempuan. Persoalan ini sebenarnya termasuk di dalam perbincangan sistem sosial Islam dan ianya juga terkait dengan sistem ‘uqubat Islam.

Jika kita memperhalusi isu ini dari dasarnya dan dari sudut pandangan Islam maka kita akan mendapati bahawa tindakan Ali Rustam mewujudkan Sekolah Harapan ini akan hanya menimbulkan 1001 macam masalah baru kepada masyarakat. Sebelum cetusan idea songsang ini dimuntahkan oleh Ali, sebenarnya Malaysia telahpun mempunyai banyak pusat-pusat penjagaan yang diwujudkan oleh orang-orang persendirian mahupun NGO-NGO yang ada bagi menampung kelahiran anak-anak luar nikah dan juga wanita-wanita mahupun para remaja yang bermasalah. Kewujudan pusat-pusat ini sebenarnya tidak dapat menyelesaikan masalah anak luar nikah ini malahan jika diteliti dengan lebih telus dan jujur ia hanya akan memperpanjangkan tempoh hayat sistem Kapitalisme yang ada pada hari ini, di mana sebenarnya inilah yang menjadi punca kepada kerosakan yang berlaku.

Masyarakat sekular hari ini, terutamanya para pemimpin sekular yang ada tidak merasakan isu perzinaan sebagai satu pelanggaran terhadap syariat Islam yang wajib diselesaikan mengikut acuan dan hukuman Islam. Para pemimpin yang berkuasa hari ini hanya melihat Islam itu dalam konteks fikrah semata-mata tetapi tidak mengambil thariqahnya sekali. Sedangkan Islam adalah suatu mabda yang mengandungi fikrah dan thariqah yang wajib diambil secara keseluruhannya samada oleh individu, masyarakat dan juga negara. Inilah punca tercetusnya idea rosak itu sebenarnya. Sewajibnya Ali sebagai salah seorang yang memegang kekuasaan berusaha ke arah penerapan Islam dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara secara menyeluruh. Inilah sepatutnya yang dilakukan oleh Ali dan bukannya membuka SALUN seperti apa yang telah beliau lakukan itu. Islam sebagai suatu mabda yang datang dari Allah SWT telah merincikan perkara ini secara tuntas dan sempurna. Hanya mereka yang kafir atau zalim ataupun fasik sahaja yang akan mengabaikan penerapan sistem dan hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT Rabb yang menciptakan manusia, alam dan kehidupan ini.   Lihat: SN228 – BUANG BAYI – NATIJAH DARI DIBUANGNYA HUKUM ALLAH!

Soalan :

Seringkali kita diperdengarkan tentang haramnya mengumpat atau bercerita tentang hal orang lain (ghibah). Namun begitu, apakah benar ghibah adalah haram untuk semua keadaan?


Jawapan :

Berdasarkan dalil-dalil berkenaan Ghibah, para ulama dan sebahagian besar mereka bersepakat bahawa secara umumnya mengumpat(Ghibah) adalah haram . Ghibah dibolehkan untuk tujuan yang sah mengikut syari’at, di mana ada permasalahan yang  tidak dapat diselesaikan kecuali hanya dengan melakukan ghibah tersebut.

Ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah yang membenarkan dan tidak melarang Ghibah pada keadaan tertentu seperti yang disebutkan  dalam dalil-dalil di bawah.  Terdapat enam situasi yang membolehkan Ghibah dilakukan:

Pertama, mengadukan kezhaliman (at-tazhallum). Boleh bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang menimpa dirinya kepada penguasa, qadhi, atau yang memiliki kekuasaan hukuman ataupun pihak yang berwajib lainnya. Ia dapat menuntut keadilan ditegakkan, misalnya dengan mengatakan Si Fulan telah melakukan kezaliman terhadapku dengan cara seperti ini dan itu


Kedua
, permintaan bagi membantu mencegah kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar (al isti’ânah ‘ala taghyîril munkar wa raddal ‘âshi ila ash shawâb). Seseorang itu boleh menceritakan kepada orang yang boleh diharapkan untuk mencegah kemungkaran dengan cara menerangkan si Fulan telah melakukan itu atau ini dan sekaligus menyelamatkan fulan tersebut dari kemaksiatan dan kemungkaran. Dengan kata lain, maksud penceritaan itu mesti menuju kepada terhapusnya suatu kemungkaran. Jika pengaduan itu tidak bertujuan untuk mencegah kemungkaran, maka hukumnya adalah haram.


Ketiga
, permintaan fatwa (al istiftâ`). Misalnya, seseorang mengatakan kepada seorang mufti (pemberi fatwa), ayahku (atau saudaraku atau suamiku atau fulan) telah menzalimi aku dengan cara begini. Lalu apa yang harus aku lakukan padanya?; Bagaimana cara agar aku terlepas darinya, mendapatkan hakku, dan terlindung dari kezaliman itu? Atau apa sahaja pertanyaan yang seperti itu. Maka hukumnya boleh jika diperlukan. Tetapi lebih tepat dan lebih afdal jika ia mengatakan, bagaimana pendapat anda tentang orang atau seseorang, atau seorang suami yang telah melakukan hal seperti ini? Oleh itu, ia akan dapat memperoleh jawapan tanpa perlu menceritakan perinciannya iaitu tanpa perlu menyebut siapa orangnya dan sebagainya. Meskipun demikian, tetap dibolehkan untuk melakukan perincian (at ta’yîn), sebagaimana yang akan diceritakan di dalam hadits dari Hindun seperti di bawah nanti.

Keempat, mengingatkan kaum muslimin agar sentiasa berwaspada terhadap suatu keburukan dan menasihati mereka (tahdzîrul muslimîn min asy syarr wa nashîhatuhum). Terdapat beberapa situasi antaranya adalah ; menceritakan keburukan sifat orang yang memang perlu disebutkan keburukannya (jarhul majrûhîn) iaitu dari kalangan para perawi hadis dan saksi-saksi (di pengadilan, dsbnya). Hal ini dibolehkan menurut ijma’ kaum muslimin. Bahkan boleh menjadi wajib untuk suatu keperluan tertentu. Contoh lainnya adalah meminta pandangan atau pendapat (musyawarah) tentang seseorang calon suami/isteri yang bakal di nikahi (mushâharah), kerjasama, memutuskan kerjasama, mua’amalat dan lain sebagainya, atau tentang hubungan kejiranan. Maka wajib bagi orang yang dimintai pendapat itu untuk tidak menyembunyikan maklumat berkenaan orang yang ingin diketahui. Bahkan ia mesti menyebutkan sikap-sikap buruknya yang memang diniatkan untuk melakukan nasihat. Contoh lainnya lagi adalah jika seseorang melihat orang lain yang belajar agama pada orang yang berbuat bidaah atau orang fasik dengan niat untuk mendapatkan ilmu dari pelaku bidaah dan orang fasik tersebut, lalu dengan itu dikhuatiri ia akan mendapat kemudaratan, maka ia mesti menasihatinya dan memberikan penjelasan mengenai keadaan sebenarnya. Dengan syarat, dia benar-benar bermaksud untuk memberi nasihat. Hal ini berkemungkinan untuk terjadinya kekeliruan kerana kadangkala si pemberi nasihat memiliki rasa cemburu dan iri hati sehinggakan syaitan mencampuradukkan antara nasihat dan rasa cemburu dan iri hati. Syaitan menghadirkan bayangan padanya bahawa hal itu adalah nasihat dan akhirnya ia terjerumus dalam fitnah.

Hal ini merangkumi situasi di mana seseorang itu memiliki kekuasaan dan dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya. Terdapat kemungkinan yang berlaku iaitu dia memang tidak layak atau fasiq mahupun lalai, atau yang sejenis dengannya. Maka, adalah wajib hal itu dilaporkan kepada orang atasan yang memiliki kekuasaan yang lebih tinggi daripadanya agar kelalaian itu dapat diatasi atau digantikan dengan orang yang lebih berkebolehan. Orang atasan tersebut mestilah mengambil pendekatan yang sesuai dengan  keadaan orang yang lalai tersebut tanpa berlengah dan sepatutnya berusaha menasihati si pelaku kesalahan itu agar istiqamah ataupun menggantikannya dengan orang lain yang lebih amanah.


Kelima
, seseorang yang memperlihatkan secara terang-terangan (al- mujâhir) kefasiqan atau perilaku bidaahnya seperti memperlihatkan perbuatan minum arak, merampas barangan, mengambil ufti( memberi wang, emas dan sebagainya kepada yang berkuasa), pengumpulan harta secara zalim, memimpin dengan sistem yang batil iaitu selain dari sistem Islam dan sebagainya. Maka ini boleh untuk disebutkan kerana perbuatan itu dilakukan secara terang-terangan (mujâharah). Namun bergitu, hal-hal lain yang merupakan aib yang disembunyikan tidak boleh untuk diceritakan melainkan tujuannya adalah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.


Keenam
, panggilan nama atau gelaran(at-ta’rîf). Jika seseorang itu telah dikenali dengan nama laqab (panggilan atau gelaran) seperti al-A’masy (Si Mata Rabun) atau al-A’raj (Si Tempang), atau al- Ashamm (Si Pekak), al-A’maa (Si Buta), al-Ahwal (Si Juling), dan sebagainya maka mereka boleh digelar dengan panggilan tersebut namun diharamkan untuk menyebut kekurangannya yang lain. Akan tetapi adalah lebih baik sekiranya gelaran-gelaran ini tidak di gunakan untuk memanggil seseorang dan dihindari dari di gunakan.

Inilah enam sebab yang disebutkan oleh para ulama dan disepakati oleh sebahagian besar mereka. Berikut adalah di antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan mengumpat/ghibah di dalam keadaan seperti di nyatakan di atas adalah di bolehkan:

عن عائشة رضي الله عنها أن رجلا استأذن على النبي صلى الله عليه وسلم فقال‏:‏ “ائذنوا له، بئس أخو العشيرة‏؟‏ ‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏‏.‏

Dari Aisyah radhiallahu anha bahwa seseorang meminta izin pada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, lalu beliau berkata: izinkanlah ia, seburuk-buruk saudara suatu kabilah. [Muttafaq Alaih]

Al Bukhari berhujjah dengan hadis ini mengenai kebolehan berghibah terhadap ahlul fasad (pembuat kerosakan) dan ahlu ar rayb (menciptakan keraguan).

وعنها قالت‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ ‏”‏ما أظن فلانًا وفلانًا يعرفان من ديننا شيئًا‏”‏ ‏(‏‏(‏رواه البخاري‏)‏‏)‏‏.‏ قال الليث بن سعد أحد رواة هذا الحديث‏:‏ هذان الرجلان كانا من المنافقين

Dan masih dari Aisyah, ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, aku melihat si fulan dan si fulan tidaklah mengetahui sedikitpun dari perkara agama kami. [HR al Bukhari]. Al Layts ibn Sa’ad—salah seorang perawi hadits ini—berkata: kedua orang yang disebut di sini adalah orang munafiq.

وعن فاطمة بنت قيس رضي الله عنها قالت‏:‏ أتيت النبي صلى الله عليه وسلم، فقلت‏:‏ إن أبا الجهم ومعاوية خطباني‏؟‏ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏‏”‏أما معاوية،

فصعلوك لا مال له ، وأما أبوالجهم، فلا يضع العصا عن عاتقه‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏

Dari Fathimah binti Qays radhiallahu anha, ia berkata: aku mendatangi Nabi Sallallahu Alaihi wa sallam lalu aku berkata, sesungguhnya Abul Jahm dan Mu’awiyah telah mengkhitbahku. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkata, adapun Mu’awiyah adalah orang fakir, ia tidak mempunyai harta. Adapun Abul Jahm, ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. [Muttafaq alaih]

Dan dalam riwayat Muslim, haditsnya berbunyi:

‏”‏وأما أبو الجهم فضراب للنساء‏”‏

Adapun Abul Jahm ia suka memukul wanita.

Ini merupakan penjelasan dari riwayat sebelumnya yang mengatakan ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. Juga dikatakan bahwa makna ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya adalah katsiirul asfaar, yakni banyak bepergian atau merantau.

وعن زيد بن أرقم رضي الله عنه قال‏:‏ خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في سفر أصاب الناس فيه شدة، فقال عبد الله بن أبي‏:‏ لا تنفقوا على من عند رسول الله حتى ينفضوا وقال‏:‏ لئن رجعنا إلى المدينة ليخرجن الأعز منها الأذل فأتيت رسول الله صلى الله عليه وسلم، فأخبرته بذلك، فأرسل إلى عبد الله بن أبي ، فاجتهد يمينه‏:‏ ما فعل، فقالوا‏:‏ كذب زيد رسول الله صلى الله عليه وسلم فوقع في نفسي مما قالوا شدة حتى أنزل الله تعالى تصديقي ‏{‏إذا جاءك المنافقون‏}‏ ثم دعاهم النبي صلى الله عليه وسلم، ليستغفر لهم فلووا رءوسهم‏.‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)

Dari Zaid bin Arqam radhiallahu anhu, ia berkata: “kami pernah keluar bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam sebuah perjalanan di mana orang-orang ditimpa kesusahan. Lalu Abdullah bin Ubay berkata, jangan engkau memberi infaq kepada orang-orang yang bersama Rasulullah supaya mereka bersurai meninggalkan Rasulullah.. Lalu ia berkata lagi, “sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, pastilah orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah dari sana”. Kemudian aku mendatangi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa sallam, lalu aku menceritakan hal tadi, maka beliau mengutus kepada Abdullah bin Ubay, namun ia bersumpah bahwa ia tidak melakukannya. Lalu orang-orang mengatakan¸ “Zaid telah membohongi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam”. Lalu beliau(Sallallahu alaihi wa Sallam) mencelaku dengan keras atas apa yang orang-orang katakan hingga Allah Subhanahu wa Taala menurunkan apa yang dapat membenarkanku “apa bila datang orang-orang munafiq” (TMQ Al Munaafiquun:1). Kemudian Nabi SAW memanggil mereka untuk memintakan ampun bagi mereka, tapi mereka memalingkan wajah mereka.” [Muttafaq alaih]

وعن عائشة رضي الله عنها قالت‏:‏ قالت هند امرأة أبي سفيان للنبي صلى الله عليه وسلم ‏:‏ إن أبا سفيان رجل شحيح وليس يعطيني ما يكفيني وولدي إلا ما أخذت منه، وهو لا يعلم‏؟‏ قال‏:‏ ‏”‏خذي ما يكفيك وولدك بالمعروف‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏

Dari Aisyah radhiallahu anha, ia berkata: Hindun isteri Abu Sufyan berkata kepada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, “Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang laki-laki yang pelik, ia tidak memberikan kepadaku apa yang mencukupi aku dan anakku kecuali apa yang aku ambil secara diam-diam tanpa pengetahuannya”. Lalu Nabi Sallahu Alaihi wa Sallam berkata “Ambillah apa yang mencukupimu dan anak-anakmu dengan cara yang baik (bil ma’ruf)” [Muttafaq Alaih]