Posts Tagged ‘secularism’

gejala-sosial2 rakan lelaki 3 remaja perempuan hilang direman


GEORGETOWN 22 Sept. – Dua lelaki yang ditemui bersama tiga remaja perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini, hari ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol gadis bawah umur.  Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kedua-dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu yang berasal dari Kampar dan Teluk Intan, Perak, ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.  Kedua-dua mereka ditemui bersama remaja pasangan kembar, Nurul Ain Kamarazmi dan Nurul Ashiqin, 14, serta teman sebaya, Suhaili Abd. Razak yang dilaporkan hilang di Kampar sejak 11 September lepas dan ditemui dalam sebuah flat di sini semalam.  “Berdasarkan keterangan tiga remaja wanita terbabit, mereka mengaku melakukan hubungan seks dengan dua lelaki itu ketika berada di sebuah hotel murah di Jalan Pintal Tali di sini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang mendapati terdapat kesan koyakan pada kemaluan tiga remaja perempuan terbabit dan polis kini sedang menjalankan siasatan.  Beliau berkata, mereka memberi kerjasama dan mengakui secara rela hati mengikut teman lelaki ke negeri ini pada 14 September iaitu tiga hari selepas mereka dilaporkan hilang. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 21/09/10

Penagih dadah Terengganu meningkat 1,366.67%

KUALA TERENGGANU – Terengganu merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 1,584 penagih berbanding hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus.  Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Terengganu Wan Addenan Wan Mohd. Noor berkata, daerah Besut mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 445 diikuti daerah Kemaman (351) dan Kuala Terengganu (229) manakala Dungun (188), Hulu Terengganu (128) dan Setiu (91).  “Kita dapati daerah-daerah yang berada di sempadan mencatatkan penagihan yang tinggi seperti Besut dan Kemaman manakala daerah-daerah lain juga turut meningkat,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya AADK negeri Terengganu di sini hari ini.   Beliau berkata, mengikut profil penagih, 98.2 peratus adalah lelaki dan 98.5 peratus merupakan keturunan Melayu manakala 78.53 peratus terdiri daripada golongan belia yang berumur antara 19 dan 39 tahun.  Katanya, sebanyak 32.36 peratus penagih pula mengambil methamphetamine, 12.63 peratus morfin manakala 9.72 peratus penagih amphetamine. – Bernama

Sumber: KOSMO 20/09/10


Mahasiswa IPTA buang bayi di belakang dapur

KUBANG PASU 19 Sept. – Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat menerima nasib malang apabila dibuang ibunya sendiri di belakang pintu dapur sebuah rumah di Taman Rasa Sayang di sini, semalam.  Tidak cukup dengan itu, seorang gadis dipercayai ibu bayi berkenaan telah berpura-pura kononnya ‘menemui’ seorang bayi di belakang rumah tersebut kira-kira pukul 8 malam semalam.  Difahamkan, bayi tersebut dibuang ibunya sendiri yang merupakan seorang penuntut di salah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di daerah ini.  Gadis tersebut yang berusia 20 tahun, dikatakan melahirkan bayi tersebut di rumahnya namun bertindak membuang bayinya di belakang rumah itu bagi mengelakkan perkara tersebut diketahui ramai.  Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ibrahim Mohd. Yusoff memberitahu, bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan. Menurutnya, hasil siasatan, polis kemudian menahan seorang penuntut IPTA berusia 20 tahun pada pukul 9 malam bagi membantu siasatan.  “Pelajar terbabit ditahan di kawasan berhampiran dan dia ketika ini menerima rawatan di hospital sama,” katanya.  Ibrahim berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.


Sumber: Utusan Malaysia 20/09/10

Kontraktor disyaki dera tunang hamil ditangkap

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Seorang kontraktor ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan hamil yang koma setelah perutnya dipercayai dipijak sehingga bayi dalam kandungannya gugur di Batang Kali dekat sini, Jumaat lalu.  Sumber polis memberitahu, suspek yang ditahan merupakan tunang kepada remaja perempuan berusia 18 tahun itu.  Katanya, lelaki berusia 30-an itu disyaki memukul mangsa menyebabkan tunangnya mengalami keguguran dan tidak sedarkan diri sehingga kini.  Katanya, kontraktor terbabit kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.  “Siasatan polis mendapati, mangsa sebelum ini ditemui oleh ahli keluarganya berlumuran darah dalam bilik air di rumahnya di Batang Kali pada pukul 4 pagi, Jumaat lalu.   “Ketika ditemui oleh keluarganya, remaja perempuan itu sedang menggelupur kesakitan dipercayai menghidap sawan sebelum dibaringkan di atas katil. “Ahli keluarga dan jiran mangsa kemudian menyedari wanita itu sedang hamil dan berusaha mengeluarkan bayi dalam kandungan namun tidak sempat setelah kandungannya disahkan gugur,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Sumber berkata, keluarga mangsa kemudian membawa gadis malang dan mayat bayi itu ke Hospital Selayang.   Sehingga kini, katanya, mangsa masih dirawat di hospital dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan untuk terus hidup.  Pada Jumaat lalu, pihak Hospital Selayang membuat laporan polis setelah pemeriksaan mendapati perut remaja perempuan itu ada kesan lebam disyaki dipijak menyebabkan dia mengalami keguguran dan tidak sedarkan diri.

Sumber: Utusan Malaysia 22/09/10

Apa Nak Jadi Dengan 1Malaysia Kebanggaan Najib?

Najib yang terus mengusung ke sana ke mari idea dan gagasan 1Malaysia nampaknya terus dilambakkan dengan 1001 macam masalah masyarakat yang berlaku hampir setiap hari di seluruh negara. Lihat dan perhatikanlah cebisan laporan akhbar di atas.  Pelaku dan mangsa yang terlibat rata-ratanya adalah terdiri dari golongan remaja. Apakah denyut jantung Najib tidak berdegup kencang apabila membaca dan mendengar berita-berita seperti d iatas? Hanya mereka yang pekak, bisu, buta dan mati hatinya sahajalah yang tidak merasa apa-apa dengan kejadian yang berlaku. Sedangkan jika kita perhatikan dengan sudut pandangan Islam ternyata dan terbukti betapa sistem masyarakat yang digunapakai oleh pemerintahan yang diterajui oleh Najib hari ini adalah merupakan sistem yang rosak lagi merosakkan.

Jika kita teliti dan kaji secara mendalam dan cemerlang maka sudah pasti kita akan mendapati bahawa sebenarnya sistem sekular Kapitalisme yang diwarisi oleh Najib hari inilah sebenarnya punca dan penyumbang terbesar kepada masalah-masalah yang berlaku di dalam masyarakat hari ini. Tetapi malangnya, sering kali apabila kes-kes seperti di atas diulas dan dibincangkan di mana-mana forum maka ramailah ”tokoh-tokoh yang terpilih” akan menuding 10 jari mereka kesemuanya kepada institusi keluarga, ibu-bapa dan juga individu itu sendiri tanpa ada satu jari pun yang mereka tujukan kepada pemerintah yang ada pada hari ini. Apakah mata tokoh-tokoh yang berbicara ini buta dalam melihat sistem yang diterapkan oleh pemerintah sekular hari ini sebagai penyumbang dan penyebab sebenar kepada masalah ini?

Terlampau jarang kedengaran teguran dan kritikan mahupun muhasabah yang ditujukan kepada pemerintah sekular dalam isu ini. Akibatnya kita dapat menyaksikan secara jelas bagaimana pemerintah sekular hari ini secara berterusan dengan tanpa rasa malu dan bersalah tetap tegar menerapkan dan mempertahankan sistem pemerintahan yang terhasil dari ciptaan akal-akal manusia sedangkan sistem kehidupan selain dari kehidupan Islam yang diturunkan oleh Allah SWT adalah sistem kehidupan jahiliyyah. Firman Allah SWT: ”Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al Maaidah (5) : 50].

Lihat SN083 – MASYARAKAT JAHILIYYAH DI MALAYSIA

-mykhilafah.com-

Advertisements

kes-rogolPakaian bukan punca wanita dirogol: WOA

KUALA LUMPUR: Masyarakat harus mengubah persepsi faktor pakaian menjadi punca utama kes rogol di kalangan wanita sebaliknya perlu melihat pemikiran pelaku jenayah terbabit, kata Pengurus Projek dan Tadbir, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA), Annie Varghese.

“Jika faktor pakaian dikatakan sengaja memberi peluang untuk dirogol, bagaimanakah dengan kejadian membabitkan murid sekolah beruniform lengkap ataupun warga emas? “Ibu bapa, guru dan pentadbir negara perlu memahami konteks berkenaan, sekali gus mengambil langkah sewajarnya bagi mengikis efahaman atau pandangan terbabit,” katanya ketika ditemui dalam program Malaysiaku-Festival Raikan Hari Malaysia, di sini, semalam.

Menurutnya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes rogol meningkat setiap tahun iaitu 3,098 kes pada 2007 berbanding 2,454 kes tahun sebelumnya dan ia semakin membimbangkan.

Selain itu, beliau berkata, wanita tidak seharusnya dibebani perasaan bersalah atas perilaku suami apabila wujudnya segelintir isteri menganggap diri adalah punca berlakunya keganasan dalam rumah tangga.

Sumber: Harian Metro 17/09/10

Kes Rogol Adalah Salah Satu Natijah Daripada Penerapan Sistem Sekular

Beginilah akibatnya jika akal-akal manusia dijadikan sebagai kata pemutus sekaligus menjadi standard hukum di dalam kehidupan. Akan ada beragam jawapan dan analisis yang diketengahkan untuk membuktikan hujah masing-masing dalam memberi jawapan bagi punca suatu permasalahan. Jika dahulu, ketika isu rogol menjadi isu panas di dada-dada akhbar dan media massa tanah air, maka ketika itulah datang pelbagai komen daripada banyak pihak yang cuba menganalisis faktor dan punca permasalahan serta cara-cara untuk menanganinya. Antara punca yang disabitkan dalam isu rogol ialah kurangnya pendidikan agama dan nilai-nilai moral di dalam masyarakat, ibubapa kurang menjaga anak-anak sehingga mereka terlalu bebas, meningkatnya budaya hedonisma dan pengaruh luar dalam masyarakat Malaysia serta banyak lagi. Isu penerapan sistem sekular dan gagalnya sistem ini dalam membentuk masyarakat yang berakhlak langsung tidak disentuh sama sekali! Walhal ianya merupakan faktor terbesar yang menjadi punca kepada permasalahan ini!

Solusi-solusi yang diketengahkan pula langsung tidak menyelesaikan permasalahan ini hingga ke akar umbinya. Apa yang lebih melucukan ialah wujud pihak yang meminta agar para wanita memakai cawat besi untuk mengelakkan dari dirogol. Begitu dangkal sekali!

”Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusi, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. [TMQ Ar-Rum(30): 41]

Muhammad Ali Asshabuni di dalam Shafwah at-Tafasir menyatakan, bahawa yang dimaksud dengan bima kasabat ayd an-nas dalam ayat ini adalah bi sababi ma’asi an-nas wa dzunubihim (kerana kemaksiatan-kemaksiatan dan dosa-dosa manusia). Maksiat adalah setiap pelanggaran terhadap hukum Allah SWT, iaitu dengan melakukan keharaman dan meninggalkan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan bagi pelakunya akan mendapat dosa. Seharusnya ini difahami oleh kita semua khususnya para penguasa umat Islam saat kini, bahawa tidak diterapkannya syariat Islam secara keseluruhan akan mendatangkan pelbagai musibah dan bencana bagi umat manusia. Dan Islam tidak akan dapat diterapkan sepenuhnya tanpa Khilafah.

Isu rogol adalah salah satu masalah dari sekian banyaknya masalah yang melanda umat Islam ketika ini. Lihatlah bagaimana jenayah, kecurian, rompakan, pembunuhan dan banyak lagi tidak kunjung selesai.  Bahkan kes terbaru kematian jutawan wanita Datuk Sosilawati yang memenuhi akhbar-akhbar tempatan membuka mata kita tentang keselamatan dan keamanan di dalam sistem sekular saat ini. Sifat rakus, tamak, dengki dan cinta dunia tertanam di dalam jiwa masyarakat yang akan selalu mendatangkan kemudaratan, kecuali bagi golongan orang-orang yang mempunyai kesedaran di dalam diri mereka – mereka yang mampu berfikir dengan nuansa keminanan. Semoga kita semua tergolong daripada golongan tersebut yang berjuang untuk mendirikan semula Daulah Islam yang akan memberi kesejahteraan kepada umat manusia dalam segenap aspek.

-mykhilafah.com-