Posts Tagged ‘suami isteri’

بسم الله الرحمان الرحيم

Seorang lelaki telah berumah-tangga dengan seorang wanita solehah. Hasil dari perkahwinan ini pasangan tersebut telah dikurniakan beberapa orang anak lelaki dan perempuan, kehidupan mereka sekeluarga sungguh bahagia dan sejahtera.

Si isteri sewaktu hidupnya, adalah seoarang wanita yang beriman dan bertaqwa, berakhlak mulia dan rajin beribadah, ia juga adalah isteri yang setia dan taat kepada suaminya, seorang ibu yang penyayang dan sebaik-baik pendidik kepada anak-anak-anaknya.

Rumah tangga yang indah ini kekal selama 22 tahun, sehinggalah si isteri meninggal dunia. Setelah jenazah si isteri diuruskan dengan sempurna, disolatkan dan dikebumikan, maka semua ahli-keluarga, saudara-mara dan kaum-kerabat berhimpun di rumah si suami untuk mengucapkan ta’ziah. Kesemua yang berhimpun itu mahu mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan dan  mengurangkan rasa pilu dan kesedihan si suami kerana kehilangan isteri yang paling dikasihi dan dicintai.

Namun demikian, sebelum sempat sesiapapun berkata-kata, si suami telah berkata: ” semoga tidak ada sesiapapun dari kamu yang mengucapkan ta’ziah kepadaku sebaliknya dengarlah kata-kata ku ini.”

Semua yang berhimpun terkejut dan terdiam dengan kata-kata si suami itu..

Si suami meneruskan kata-katanya: ” Demi Allah yang tiada AIlah yang berhak disembah melainkan-Nya, sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling bahagia dan gembira bagiku, lebih gembira dan bahagia dari malam pertamaku bersama isteriku itu.

Maha Suci Allah Ta’ala, sesungguhnya isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku, kerana ia sentiasa mentaatiku, menguruskan diriku dan anak-anakku dengan sebaik-baiknya dan juga ia telah mendidik anak-anakku dengan sempurna. Aku sentiasa bercita-cita untuk membalas segala jasa-baik yang dilakukannya kepada diriku. Apabila ia meninggal dunia aku teringat sebuah hadith Nabi (salla ‘Llahu ‘alayhi wa aalihi wa sallam);


“Mana-mana wanita yang meninggal-dunia sedang suaminya redho kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga.”

Tatkala akan meletakkan jenazahnya di dalam lahad, aku telah meletakkan tanganku di kepalanya dan aku berkata: “Wahai Allah, Aku sesungguhnya redho kepadanya, maka redhoilah ia.” Kulang-ulang kata-kataku itu, sehingga tenang dan puas hatiku..

Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku, di saat ini amat berbahagia dan bergembira, tidak dapat ku gambarkan kepada kalian betapa hebatnya kebahagian dan kegembiraan yang ku rasakan ini.


Maka barang siapa yang telah bercadang untuk mengucapkan ta’ziah kepada ku atas kematian isteriku itu, maka janganlah kamu melakukannya. Sebaliknya ucapkanlah tahniah kepadaku, kerana isteri telah meninggal dunia dalam keadaan aku redho kepadanya.. Semoga Allah Ta’ala menerima isteriku dengan keredhoan-Nya. “

Masyaallah… Alangkah bahagianya mendapat keredhaan suami seperti ini. Adakah kita mampu lakukan seperti yg dilakukan terhadap suaminya sehingga pemergiannya diredhai dan membahgiakan suaminya…. Kebanyakkan sekarang nie ramai juga suami-suami yg redha dan bahagia jika isteri mereka meninggal dunia. Tetapi bahagia kerana boleh kawin lagi…

Wallahu’alam

Kredit: Anonymous

<Ilaahi…Anta MaqSuudi, wa ridhoka maTluubi>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

 بسم الله الرحمان الرحيم

 

Syurga rumahtangga itu fitrah Ilahi

Naluri semulajadi yang pinta diisi

Kerananya ‘jejaka’ rela menjadi suami

Kerananya ‘perawan’ rela menjadi isteri

Masing-masing dengan harapan

Agar rumahtangga membawa kebahagiaan

 

Matlamat yang satu tapi jalan berliku

Destinasi sama kaedah berbeza

Lalu bermacam-macamlah jalan ke sana

 

Ada yang mengatakan bahagia itu pada harta

Diukir dari intan permata (gah! suamiku seorang jutawan)

Tak kurang yang merasakan bahagia itu pada rupa

Ditempa oleh wajah rupawan (wah! isteriku seorang jelitawan)

Sesetengahnya berkeyakinan bahagia itu pada nama

Dibaja gelar yang glamour (ah, isteriku seorang. celebrity)

Ramai jua yang merasakan bahagia itu pada kuasa

Dituai oleh pangkat dan jawatan (wah, suamiku seorang negarawan)

 

Pelbagai jalan menimbul dilema

Mencari yang benar mempelai tersasar

 

Kalaulah bahagia itu ada pada harta

Kalaulah bahagia itu ada pada nama

Kalaulah bahagia itu ada pada rupa

Kalaulah bahagia itu ada pada kuasa

Kenapa Charles & Diana berpisah? (seorang putera & seorang puteri)

Kenapa Elvis & Priscilla berpecah? (seorang seniman & seorang seniwati)

Kenapa Onasis & Jackie bertelagah? (seorang jutawan seorang celebrity)

 

Bahagia itu dari dalam diri

Kesannya zahir rupanya maknawi

Terpendam bagai permata di dasar hati

Terbenam bagai mutiara disalut nurani

 

Bahagia itu pada HATI

Bertakkhta di kerajaan diri

Bahagia itu pada JIWA

Mahkota di singgahsana rasa

Bahagia itu KESABARAN

Bila susah tak gelisah

Bila miskin tak pemarah

Bila sakit tak gundah

Bila gagal tak resah

Bahagia itu KESYUKURAN

Bila kaya pemurah

Bila berkuasa amanah

Bila berjaya tak alpa

 

Hakikatnya bahagia itu KETENANGAN

Bila hati mengingati

Tuhan Firman Allah : “Ketahuilah dengan mengingati Allah itu memberi ketengan pada hati”

Suami isteri sama-sama mengerti

Maksud terseni takdir Ilahi

Itulah zikir yang hakiki

Binalah rumahtangga atas tapak iman

Tuliskan niat luruskan matlamat;

“suamiku, kaulah pemimpin menuju Ilahi … isteriku, kaulah permaisuri hati penyeri Islamku nanti”

 

Muktamadlah akad sahlah nikah

Dengan nama Allah

Gerbang perkahwinan pun terserlah

Diatas tapak iman dirikanlah hukum Tuhan

 

Iman itu tujuan, syariat itu jalan

Tempat merujuk segala permasalahan

Tempat mencari semua penyelesaian

Isteriku, taatilah hukum Allah”

“Suamiku, patuhilah sunnah Rasulullah”

 

Binalah hidup di neraca makruf

Rumah jadi sambungan madrasah

Serinya kerana solat

Indahnya oleh munajat

Tapaknya iman

Jalannya syariat

Natijahnya akhlak

Tiga penjamin segala kunci kebahagiaan rumahtangga

Dan terciptalah: “setia dan penyayang suami … cinta dan kasih isteri”

Lalu berbuahlah: ‘mahmudah demi mahmudah’

Yang melahirkan ‘soleh dan solehah’

 

*~.~.~.~*

<Ilaahi…Anta MaqSuudi, wa ridhoka maTluubi>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

بسم الله الرحمان الرحيم


Kita jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.

Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah Radhiallahu Anha bermaksud:

“Aku pernah bertanya kepada Baginda: “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya”.

Kemudian aku bertanya lagi : “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab:” Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” (

Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud:

“Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.”

(Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)

Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.

Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya.

Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka:

1. Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:

“Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita.

Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam ditanya: “Mengapa demikian ya Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.”

(Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:

“Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Baginda menjawab : “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.”

(Riwayat Muslim)

Ibnu Asakir pula menyebut:

“Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.”

2. Menyakiti hati suami

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

” Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami.”

(Riwayat Ibnu Majah)

3. Puasa sunat tanpa keizinan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Keluar rumah tanpa izin suami

Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.”

(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)

5. Meminta cerai daripada suami

Sabda Rasulallah sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:

“Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syara haram baginya bau syurga.”

(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

6. Isteri yang tidak menunaikan hajat suami

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya kaum isteri.

Ketahuilah wahai isteri sekalipun seseorang suami itu kejam atau jahat HARAM bagi isteri itu derhaka dan menyakiti hati suaminya. Isteri wajib taat kepada perintah suami dengan keadaan apa sekalipun SELAGI SUAMI TIDAK MEYURUH KE ARAH KEMAKSIATAN. Ini adalah disebabkan oleh kemudahan jalan pintas untuk ke syurga yang Allah berikan kepada isteri itu dengan hanya menjaga solat, puasa, jaga kehormatan dan taat kepada suami.

Sebagaimana Sabda Rasullullah S.A.W yang bermaksud;

“Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.”

Sabda baginda lagi…

“Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang di kehendaki dengan tidak berhisab.”

Sebagaimana isteri firaun Asiah yang tetap taat dengan suaminya yang kafir sehingga beliau dipacung .

Al-Quran surah At-Tahrim ayat 11 yg bermaksud :

“Dan Allah mengemukakan satu misalan perbandingan bagi orang2 yang beriman iaitu perihal isteri Firaun ketika ia berkata : “Tuhanku, binalah untukku sebuah istana di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku drpd kaum yang zalim.”

Permohonan Asiah diperkenankan oleh Allah S.W.T, lalu Allah perintahkan kpd malaikat : “Sesungguhnya hamba-Ku memohon pada-Ku dan aku perkenankan permohonannya. Maka perlihatlah padanya gambarannya kerana suaminya didunia akan Aku ganti dengan suami yang lebih baik di dalam syurga, istananya yang ada di dunia akan Aku ganti dengan istana yang lebih baik di dalam syurga.”

Wallahu’alam.

<Membirkan orang lain sahaja yang bermotivasi dalam memperolehi pahala bukanlah sifat orang beriman. Jangan biarkan kata-kata negatif orang terhadap sesuatu yang baik untuk akhirat anda, membantutkan semangat. Jadikan ia pendorong dan motivasi… [U.Z.A.R]>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

بسم الله الرحمان الرحيم

Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab r.a., terdapat sepasang suami isteri yang selalu bertengkar dan bergaduh. Si isteri tidak henti-henti membebel. Sedang memasak pun dia membebel, sedang membasuh pun dia membebel, sedang tidur pun kalau boleh dia nak juga membebel.

Si suami tidak tahan dengan perangai isterinya yang sangat suka membebel. Dia pun marah balik isterinya kerana membebel. Si isteri pula menjawab. Si suami mula meninggikan suara.

Dari situlah mereka bertengkar dan bergaduh saban hari. Lama kelamaan si suami merasakan yang isterinya sudah melampau. Memandangkan keadaan rumahtangga mereka semakin parah, si suami pun mengambil inisiatif untuk pergi berjumpa dengan Saidina Umar untuk mengadu kelakuan isterinya.

Sebaik sahaja tiba di rumah Saidina Umar, si suami terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel di dalam rumah. Tetapi tidak terdengar pula suara Saidina Umar membalas. Mendapati isteri Saidina Umar pun begitu, si suami tidak jadi hendak mengadukan hal isterinya. Katanya dalam hati, kalau isteri Khalifah pun begitu, apatah lagi isteriku.

Ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Saidina Umar memanggilnya dan bertanya, “Apa hajat kamu datang ke mari?”

Si suami tadi menjawab, “Aku datang hendak mengadu hal isteri aku, tapi aku lihat isterimu pun berkelakuan demikian terhadapmu.”

Saidina Umar tersenyum lalu berkata, “Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, bersabung nyawa melahirkan zuriat untukku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri).”

8)
Wallahu’alam.

<Aduhai teman, tidakkah kau sedar bahawa dunia ini hanyalah suatu persinggahan? Maka, perlulah kita bersegera kembali kepada hakiki. Menuai bekalan bagi menempuh perjalanan ke negeri abadi itu… Sesungguhnya teman, persinggahan ini cumalah satu… sekali sahaja… hanya satu tiket, satu perhentian… bangunlah, usah kita terus terleka dalam mimpi yang sementara ini…>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء