Posts Tagged ‘syurga & neraka’

بسم الله الرحمان الرحيم


Kita jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.

Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah Radhiallahu Anha bermaksud:

“Aku pernah bertanya kepada Baginda: “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya”.

Kemudian aku bertanya lagi : “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab:” Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” (

Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud:

“Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.”

(Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)

Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.

Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya.

Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka:

1. Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:

“Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita.

Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam ditanya: “Mengapa demikian ya Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.”

(Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:

“Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Baginda menjawab : “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.”

(Riwayat Muslim)

Ibnu Asakir pula menyebut:

“Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.”

2. Menyakiti hati suami

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

” Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami.”

(Riwayat Ibnu Majah)

3. Puasa sunat tanpa keizinan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Keluar rumah tanpa izin suami

Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.”

(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)

5. Meminta cerai daripada suami

Sabda Rasulallah sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:

“Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syara haram baginya bau syurga.”

(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

6. Isteri yang tidak menunaikan hajat suami

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya kaum isteri.

Ketahuilah wahai isteri sekalipun seseorang suami itu kejam atau jahat HARAM bagi isteri itu derhaka dan menyakiti hati suaminya. Isteri wajib taat kepada perintah suami dengan keadaan apa sekalipun SELAGI SUAMI TIDAK MEYURUH KE ARAH KEMAKSIATAN. Ini adalah disebabkan oleh kemudahan jalan pintas untuk ke syurga yang Allah berikan kepada isteri itu dengan hanya menjaga solat, puasa, jaga kehormatan dan taat kepada suami.

Sebagaimana Sabda Rasullullah S.A.W yang bermaksud;

“Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.”

Sabda baginda lagi…

“Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang di kehendaki dengan tidak berhisab.”

Sebagaimana isteri firaun Asiah yang tetap taat dengan suaminya yang kafir sehingga beliau dipacung .

Al-Quran surah At-Tahrim ayat 11 yg bermaksud :

“Dan Allah mengemukakan satu misalan perbandingan bagi orang2 yang beriman iaitu perihal isteri Firaun ketika ia berkata : “Tuhanku, binalah untukku sebuah istana di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku drpd kaum yang zalim.”

Permohonan Asiah diperkenankan oleh Allah S.W.T, lalu Allah perintahkan kpd malaikat : “Sesungguhnya hamba-Ku memohon pada-Ku dan aku perkenankan permohonannya. Maka perlihatlah padanya gambarannya kerana suaminya didunia akan Aku ganti dengan suami yang lebih baik di dalam syurga, istananya yang ada di dunia akan Aku ganti dengan istana yang lebih baik di dalam syurga.”

Wallahu’alam.

<Membirkan orang lain sahaja yang bermotivasi dalam memperolehi pahala bukanlah sifat orang beriman. Jangan biarkan kata-kata negatif orang terhadap sesuatu yang baik untuk akhirat anda, membantutkan semangat. Jadikan ia pendorong dan motivasi… [U.Z.A.R]>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

بســـــــم الله الرحمان الرحيم

Imam Abdullah bin al-Mubarak R.A. telah meriwayatkan di dalam kitab Al-Zuhd dengan sanad beliau daripada seorang lelaki iaitu Khalid bin Maadan yang pernah berkata kepada Muaz: “Wahai Muaz! Ceritakanlah kepadaku sebuah hadith yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah s.a.w.”

Lalu Muaz menangis sehingga aku sangka ia tidak dapat berhenti tetapi akhirnya Muaz berhenti daripada tangisannya kemudian lalu Muaz berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadaku:

Wahai Muaz! Sebenarnya aku mahu ceritakan kepada kamu sebuah hadith jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manafaat akan dikau di sisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujahmu di hadapan Allah pada hari kiamat nanti.

Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menjadikan tujuh orang malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi lalu ditentukannya pada setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu langit tersebut.

Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Amalan tersebut mempunyai nur bagaikan cahaya matahari, sehingga apabila malaikat Hafazhah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit pertama. Mereka menganggap bahawa amalan itu baik dan sangat banyak lalu berkata malaikat penjaga langit pertama itu bagi malaikat Hafazhah:

“Pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui aku untuk terus naik ke atas”

Kemudian datang pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak (malaikat itu berjaya melintasi langit yang pertama kerana orang yang mengerjakan amalan tersebut tidak terlibat dengan dosa mengumpat orang) sehingga mereka sampai ke langit yang kedua lalu berkata malaikat penjaga langit yang kedua itu:

“ Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakanya kerana ia mengkehendaki dengan amalannya akan mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke atas. Selain daripada itu ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan. Akulah malaikat penjaga kebesaran.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, sembahyang, puasa. Para malaikat Hafazhah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu ( melintasi langit yang pertama dan kedua) sehingga sampai ke pintu langit yan ketiga maka berkata malaikat penjaga langit ketiga itu:

“ Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takbur. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takbur dapat melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang ramai.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba. Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip. Baginya suara tasbih, sembahyang, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazhah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke pintu langit yang keempat maka berkata malaikat penjaga kangit keempat itu:

“ Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat ‘ujub. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang ‘ujub dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan perasaan ‘ujub terhadap dirinya.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima seolah-olah amalan itu pengantin yang dihantar (disambut) ke rumah suaminya (maksudnya amalan itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga langit yang pertama:

“ Berhenti kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya dan campakkanya di atas tengkoknya. Akulah malaikat hasad , ia sangat hasud kepada orang berlajar ilmu dan beramal seperti amalanya. Ia hasut akan orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam ibadat, ia juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasud ini melintasi aku.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada sembahyang, zakat, umrah, jihad dan puasa. Malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut:

“ Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia tidak belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang terkena bala dan kesusahan bahkan ia merasa gembira dengan demikian. Akulah malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang seperti ini tidak melintasi aku.”

Kemudian naiklah pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Amalan itu sembahyang, puasa, nafkah, jihad dan warak. Baginya bunyi (maksudnya bunyi zikir) seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu tiga ribu malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit yang ketujuh maka berkata malaikat penjaga pintulangit tersebut:

“ Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat zikir ( seorang yang beramal dengan tujuan supaya disebut-sebut oleh orang lain). Aku akan menghalang amalan orang riak dari sampai kepada Tuhanku. Ia bukan beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi hanya bertujuan supaya mendapat tempat yang tinggi di hati para fukaha dan supaya disebut di kalangan para ulama dan supaya masyhur namanya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riak.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seseorang hamba. Amalan itu berupa sembahyang, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam (daripada perkara yang tidak berguna) dan banyak berzikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para malaikat itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah ber firman kepada para malaikat –Nya:

“ Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan sebenarnya Aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya. Ia sebenarnya tidak mengkehendaki akan Aku dengan amalannya tersebut. Ia hanya mengkehendaki sesuatu yang lain daripadaKu oleh kerana itu maka Aku turunkan ke atasnya akan laknatKu.

Lalu para malaikat tadi berkata: “Ke atasnya laknatMu dan juga laknat kami.” Lalu melaknat akan dia oleh tujuh petala langit dan seisinya.

Mendengar sabda Rasulullah s.a.w. ini lalu Muaz menangis seraya berkata: “Engkau adalah Rasulullah s.a.w. sedangkan aku adalah Muaz (hamba Allah yang bukan Rasul). Maka bagaimana aku dapat selamat dan sejahtera”.

Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab:

“Hendaklah engkau ikuti aku walaupun hanya dengan sedikit amalan. Wahai Muaz

  • jaga lidahmu baik-baik daripada mencela saudaramu yang membaca al-Quran (golongan ulama)
  • dan pertanggungkanlah segala dosamu ke atasmu dan jangan engkau mempertanggungkan dosamu ke atas mereka
  • dan jangan engkau menganggap dirimu bersih dan jangan pula engkau mencela orang lain
  • dan jangan engkau memuji dirimu di hadapan mereka .
  • Dan jangan engkau campurkan urusan dunia di dalam urusan akhirat .
  • Dan jangan engkau menyombong diri di dalam majlis nanti orang ramai akan takut kepadamu kerana kejahatanmu
  • dan jangan engkau berbisik kepada seseorang sedangkan seorang lagi ada di sisimu
  • dan jangan engkau membesarkan dirimu , maka akan terputus daripadamu segala kebaikan di dunia dan di akhirat.
  • Dan jangan engkau carikkan (pecah belah) akan manusia, maka mencarik akan dikau oleh anjing-anjing api neraka pada hari kiamat nanti. Allah berfirman yang bermaksud: “ Demi yang mencarik dan carikkan .” (al-Nazi’at: 2).

Apakah engkau ketahui wahai Muaz siapakah mereka yang mencarik itu?

Muaz bertanya: “Ya Rasulullah, sebenarnya siapa mereka?”

Lalu Nabi s.a.w. menjawab: “Itulah anjing-anjing garang di dalam api neraka yang akan mencarikkan daging sehingga sampai ke tulang.”

Muaz bertanya: “Ya Rasulullah siapakah yang mampu melaksanakan segala perkara yang engkau sebutkan tadi? Dan siapakah yang akan selamat daripada seksaan itu?”

Nabi s.a.w. menjawab: “Itu sebenarnya mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah”

Kemudian lalu Khalid bin Maadan berkata: “Maka aku tidak pernah melihat seseorang yang banyak membaca al-Quranul Karim lebih daripada Muaz kerana beliau faham terhadap hadith yang besar ini.”

~dipetik dari kitab Bidayatul Hidayah-Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Wallahu’alam.

<Aduhai teman, tidakkah kau sedar bahawa dunia ini hanyalah suatu persinggahan? Maka, perlulah kita bersegera kembali kepada hakiki. Menuai bekalan bagi menempuh perjalanan ke negeri abadi itu… Sesungguhnya teman, persinggahan ini cumalah satu… sekali sahaja… hanya satu tiket, satu perhentian… bangunlah, usah kita terus terleka dalam mimpi yang sementara ini…>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

بسم الله الرحمان الرحيم

Mati adalah sesuatu perkataan yang paling ditakuti oleh hampir setiap manusia. Setiap orang, juga binatang takut mati, kecuali beberapa manusia yang sudah putus asa dalam kehidupan ini, yang ingin segera mati. Wajar sekali kalau manusia takut mati, sebab mati bererti berpisah dengan segala yang ia miliki atau senangi, berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Berpisah dengan anak dan isteri serta kekasih. Berpisah dengan bapa atau ibu, berpisah dengan harta dan pangkat, berpisah dengan dunia dan segala isinya.

Semua orang takut mati, tetepi ada yang berlebihan sekali, ada pula yang takutnya itu sedikit sahaja, bahkan ada yang tak takut sama sekali, malah berani dan ingin mati. Ketakutan terhadap mati adalah kerana dua hal :-

Kerana kurang atau tidak adanya pengetahuan kita tentang mati, keadaan mati dan keadaan selepas mati adalah gelap. Semua orang takut menempuh tempat yang gelap dan tidak diketahui. Kerana doa dan kesalahan yang sudah bertumpuk dan tidak bertaubat, sehingga mendengar kata mati sudah terbayang azab dan seksa yang diperolehinya akibat dosa dan kesalahan tadi. Bagi orang cukup pengetahuan dan keyakinan terhadap hidup sesudah mati dan merasa dirinya tak pernah melakukan dosa dan kesalahan, maka baginya tak ada ketakutan terhadap mati malah ingin mati. Tetapi agama Islam melarang orang ingin cepat mati, agar dapat hidup melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya. Dan kalau ingin hidup lama adalah dengan tujuan agar dapat semakin banyak melakukan kebaikan bukan pula untuk dapat lebih banyak menumpuk harta dan kekayaan atau keturunan.

Ada beberapa petunjuk Rasullullah s.a.w. untuk selalu zikrul maut (ingat akan mati) ini, antara lain :-

1) Perintah memperbanyak mengingati mati :”

Perbanyaklah mengingat-ingat sesuatu yang melenyapkan dan menjadikannya segala macam kelazatan (kematian).” ( Riwayat At-Turmudzi )

2) Mengingati kematian dapat melebur dosa dan zuhud :

Perbanyaklah mengingati kematian, sebab yang demikian itu akan menghapus dosa dan menyebabkan timbulnya kezuhudan di dunia.” ( Riwayat Ibnu Abiddunya )

3) Kematian sebagai penasihat pada diri sendiri :

Cukuplah kematian itu sebagai penasihat.” ( Riwayat Ath-Thabrani dan Baihaqy )

4) Orang cerdik ialah orang yang banyak mengingati mati :

Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat.” (Riwayat Ibnu Majah dan Abiddunya)

Hadis-hadis di atas menerangkan kepentingan mengingati mati dalam individu Muslim. Sesungguhnya dengan mengingati mati, ia akan dapat membentengkan diri daripada terpengaruh dengan kelazatan duniawi yang bersifat sementara. Hal ini, inshaAllah akan meneguhkan lagi keimanan kita terhadap hari akhirat yang kekal abadi.

Ternyata mengingati mati merupakan salah satu senjata yang ampuh dalam menentang naluri duniawi seperti kecintaan melampau pada harta, keturunan, [dll.] dalam diri individu, disamping ianya merupakan salah satu usaha dalam mendekatkan diri hamba pada Allah s.w.t. maka, jelaslah bahawa, mengingati mati merupakan penasihat yang berguna manusia terhadap dirinya sendiri dan orang lain.

Orang yang benar-benar ingat dan percaya akan kematian, alam barzakh, dan hari akhirat, dan yang paling penting percaya akan pertemuan dengan Allah s.w.t, sudah pasti akan mengingati kematian dan sentiasa menjadikannya sebagai salah saatu usaha dalam mengurus kehidupannya di dunia ini berlandaskan syriat Allah s.w.t demi meraih redhaNya, di dunia dan akhirat.

Orang sebeginilah yang hakikatnya celik pancaindera dan mindanya. Bahkan selayak-layak digelar sebagai orang yang benar-benar cerdik sebagaimana disebut dlam hadis riwayat ibn Majah di atas. Subhanallah, inilah petanda orang-orang yang beruntung kerna mereka benar-benar yakin dan sedar bahawa realiti kehidupan hari ini  adalah sementara dan pinjaman semata-mata serta penuh dengn kepalsuan. Dan sesungguhnya, pertemuan dengan Allah, hari akhirat, syurga dan neraka itulah yang sebenar-benarnya hala tuju kehidupan.

Maka, beruntunglah orang-orang yang penuh keyakinan serta disusuli dengan usaha-usaha sewajarnya dalam mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi kematian…yang menjadi persinggahan dalam menuju jalan menuju ke kehidupan abadi….dan sesungguhnya hanya amal lah yang menemani…

Agar selalu ingat kepada kematian perlu dilakukan perkara-perkara berikut :

1) Menyaksikan orang yang sedang sakaratul maut. Betapa dasyatnya dan menakutkan lebih-lebih kalau berdosa. Keadaan sakaratul maut ini digambarkan oleh Rasullullah dalam hadisnya yang bermaksud :

Sakitnya sakaratul maut itu kira-kira tiga ratus sakitnya pukulan pedang.” ( Riwayat Abiddunya ).

Sesungguhnya Nabi s.a.w. mempunyai segelas air ketika hendak meninggal dunia. Baginda memasukkan tangannya ke dalam air, kemudian mengusap wajahnya dengan air itu dan berkata :

Ya Allah, semoga Tuhan mempermudah kepada saya terhadap sakaratul maut ini.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

2) Mengunjungi orang sakit, sebab hujung dari penyakit ini tidak lain adalah kematian. Dari itu kita selalu waspada dan berhati-hati.

3) Melakukan ziarah kubur, sebagaimana sabda Rasullullah :

“Lakukanlah ziarah kubur kerana ia mengingatkan mati.” ( Riwayat Muslim )

4) Sentiasa ingat akan Allah s.w.t dan Dia ada di mana-mana. Merasakan diri selalu diawasi Allah s.w.t. dimana saja kita berada. Oleh dengan demikian sentiasalah beramal yang baik. Rasullullah s.a.w. bersabda :

“Seutama-utama iman seseorang itu ialah bahawa ia mengetahui dengan sungguh bahawa Allah s.w.t. itu ada bersama dengannya di manapun ia berada.” ( Riwayat ‘Ubadah bin Shamit )

5) Sedarilah bahawa perasaan kita sering disaksikan oleh anggota badan kita sendiri, yakni oleh lidah, tangan, kaki, kulit, telinga, mata dan hati. Hal ini difahamkan Allah dalam Al-Qur’an yang bermaksud :

“Pada hari (ketika) lidah tangan dan kaki mereka menyaksikan atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” (  TQM, An-Nur: 24 )

6) Begitu pula agar disedari bahawa perasaan kita selalu disaksikan. Dilihat dan diikuti oleh siang dan malam bumi tempat kita berpijak, langit serta malaikat Raqib dan Atib dan malaikat-malaikat lainnya. Allah s.w.t. berfirman :

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan hatinya. Dan Kami lebih dekat kepadanya dari urat nadi lehernya sendiri. Ketika dua malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain di sebelah kiri, tiada sesuatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” ( TQM, Qaf: 16-18 )”

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran dimuka dan dibelakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah.” ( TQM, Ar-Ra’d: 11).

(Malaikat ini disebut malaikat Hafazhad)

Sebagaimana disebutkan di atas bahawa mati adalah satu kejadian yang paling berat, paling menakutkan dan paling mengerikan. Satu kejadian yang pasti akan dihadapi dan dialami oleh setiap manusia, atau kejadian yang tak dapat dihindari dengan cara bagaimanapun juga. Para Nabi dan Rasul, jin dan malaikat sekalipun tidak dapat menghindari diri dari kematian ini.

Dalam Al-Qur’an Allah s.w.t. menjelaskan :

1) Kepastian tentang mati :

a) Kematian itu datang sesuai dengan ajal yang telah ditetapkan ke atas mereka (manusia).

b) Ke mana saja manusia pergi/berlari kematian tetap akan mengejarnya.

c) Kematian datang tanpa pilih umur, tanpa pilih waktu dan tempat.

2) Cara mati :

Rasullullah s.a.w. bersabda :

Apabila telah tiba hukum Allah kepada seorang hamba untuk mati dan dikuburkan pada suatu tanah, Allah mengadakan suatu keperluan baginya untuk pergi ke tempat itu (sehingga mati dan dikuburkan pada tanah di situ). ( Riwayat At-Tirmudzi )

MAKAnya; setiap manusia pasti akan menempuh kematian dan kematian itu akan menemui kita pada bila-bila masa sahaja. Kematian akan menjelma sama ada melalui pelbagai cara sebgaimana yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Saat itu takkan berubah dan berganjak biar sedetik pun. ia tetap akan datang apabila sampai masanya. Walaupun manusia itu tidak bersedia atau pun tidak mahu akan kematian itu. Ia tetap akan hadir.

Hal demikian jelas sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Setiap jiwa manusia pasti akan menempuh mati”. (TQM, Ali Imran, 185)

dan

“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh”. (TQM, An-Nisa’ 78).

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berusaha mendapatkan husnul khatimah pada penghujung kehidupan. Husnul Khatimah bermaksud kesudahan hidup di dunia yang baik, manakala, sebaliknya su’ul khatimah iaitu berakhirnya kehidupan manusia sebagai penyudah yang buruk.

“Ya Allah,

Jadikan lah sebaik-baik umurku pada hujungnya,

dan sebaik baik amal ku adalah pada hujung akhir nya ,

dan sebaik baik-baik hariku adalah pada saat aku bertemu Mu.”

(An-Nawawi)

Ameen.

Kredit:

Al Quran, hadith

and syukran to Mujahid al-faqir and otrs. 🙂

الحمد لله و

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

ســـــــم الله الرحمان الرحيم



Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata:

Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh Nabi s.a.w.: ‘Mengapa aku melihat kau berubah muka?’

Jawabnya: ‘Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya.’

Lalu nabi s.a.w. bersabda: ‘Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam.’

Jawabnya: ‘Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawahbumi yg ke tujuh.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi dan minumannya air panas campur nanah dan pakaiannya potongan-potongan api.

Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan.’

Nabi s.a.w. bertanya: ‘Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?’

Jawabnya: ‘Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda.’ (nota kefahaman: iaitu yg lebih bawah lebih panas).

Tanya Rasulullah s.a.w.: ‘Siapakah penduduk masing-masing pintu?’

Jawab Jibrail: Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat Nabi Isa a.s. serta keluarga Fir’aun sedang namanya Al-Hawiyah.

Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim,

Pintu ketiga tempat orang shobi’in bernama Saqar.

Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha,

Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah.

Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa’eir.’

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga ditanya: ‘Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?’

Jawabnya: ‘Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmusampai mati belum sempat bertaubat.’

Maka Nabi s.a.w. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala Nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sadar Nabi saw bersabda: ‘Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?’


Jawabnya: ‘Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu.’

Kemudian Nabi s.a..w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian Nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah.

(dipetik dari kitab ‘Peringatan Bagi Yg Lalai’)

___________________________________________________

Subhanallah, sayangnya Rasulullah pada umat baginda. Sayangnya, kita tidak pernah `sayang’ pada baginda sebanyak kasihnya baginda pada kita umatnya.  Malu sungguh rasanya… : ( (sad)

Astaghfirullahal’azim… Semoga Allah swt memberikan kepada kita semua kesempatan untuk bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan semoga Allah swt menerima taubat seluruh Muslim yang beriman pada-Nya. Saudara-saudaraku, ayuhlah kita mengambil peluang yang ada, setiap saat yang ada untuk memohon keampunan dari-Nya, dan bertaubat atas segala dosa, dengan penuh keikhlasan. Semoga Allah swt mengurniakan perlindungan kepada kita pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindunagn dari-Nya semata-mata… Maha Suci Allah Yang Maha Agung.

Semoga beroleh rahmat-Nya. Amin.

Wallahu’alam.