Posts Tagged ‘umar al-khattab’

بسم الله الرحمان الرحيم

Sesiapa pun tidak dapat menafikan keberanian, ketabahan dan kekuatan Umar yang apabila disebutkan namanya sahaja bisa menggentarkan hati dengan penuh ketakjuban dan penghormatan walaupun itu semua sudah berlalu lebih 1400 tahun dahulu.

Sebelum Umar memeluk Islam, penyeruan dan pengakuan iman tidak dapat dilakukan secara terang-terangan. Sebaik sahaja beliau memeluk Islam, mulalah orang-orang Islam bersolat di Tanah Haram kerana seorang pun tidak berani mendatangkan mudarat apabila Umar berada di belakang mereka.

Walaupun ciri-ciri kepimpinan ada terdapat pada Umar, namun gelombang kejutan dengan  kewafatan Rasulullah s.a.w sukar dibendungnya. Beliau berdiri dengan pedang terhunus di tangannya, bingung dan keliru sambil berkata:

“Daku akan memancung kepala sesiapa sahaja yang berkata Rasulullah telah wafat. Rasulullah hanya pergi menemui Tuhannya sebagaimana Musa a.s pergi ke Bukit Thur. Baginda akan segera kembali dan akan mengerat tangan dan kaki mereka yang menyebarkan berita palsu mengenai kewafatannya”.

Sementara itu Uthman terpegun dan sedih dengan kejadian ini. Sepatah perkataan pun tidak terekeluar dari mulutnya sehinggalah keesokan harinya. Beliau mundar mandir seolah-olah kehilangan kata-kata.

Ali dalam keadaan yang berdukacita yang teramat sangat. Beliau kaku tanpa bergerak-gerak. Hanyalah Abu Bakar, didorong dengan cinta kasih terhadap Rasulullah tetap teguh seumpama batu menghadapi keadaan berdukacita. Beliau tidak kehilangan punca. Dengan tenang beliau masuk ke rumah Rasulullah lalu mencium dahi baginda. Kemudian beliau muncul kembali kepada orang ramai. Katanya seperti firman Allah:

“Muhammad itu hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad). Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur”.

(Surah Ali Imran : ayat 144)

Wallahu’alam.

Kredit/Endnotes: Akh Kamal Zharif, Akh Mujahid, Halaqah-online, Sirah Sahabat Rasulullah s.a.w, mislimin, muslimat, translators, authors, distributors, readers, etc.

<Jangan menyalakan api untuk membakar musuh anda sedemikian panas, sehingga anda sendiri hangus kerananya.>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

بسم الله الرحمان الرحيم

Bayaran Bantuan Harian Kepada Umar

Umar juga hidup dengan berniaga. Apabila beliau dilantik menjadi khalifah selepas Saidina Abu Bakar, beliau pun mengumpul orang ramai dan berkata kepada mereka:

“Aku menyara hidupku dengan berniaga. Disebabkan kamu semua telah melantikku sebagai khalifah, aku tidak dapat lagi pergi berniaga. Jadi bagaimana dengan saraanku sekarang?”.

Berbagai saranan diberikan agar bayaran harian daripada Baitul Mal diberikan kepadanya. Ali r.a tidak berkata apa-apa. Lalu Umar pun meminta pandangannya:

“Wahai Ali! Apakah pendapat kamu?”

Beliau menjawab:

“Aku cadangkan agar sejumlah wang diambil mencukupi bagi keperluan keluargamu”.

Umar menerima cadangannya dan jumlah bayaran harian yang sederhana ditetapkan untuknya.

Kemudian beberapa orang termasuk Ali, Uthman, Zubair dan Talhah mencadangkan agar bayaran itu ditambah kearana bayaran sebelum itu jauh daripada mencukupi. Tetapi tiada seorang pun yang berani mengesyorkannya kepada Umar r.a.

Mereka pun berjumpa dengan Ummul Mukminin Hafsah, anak perempuannya dan memintanya mendapatkan persetujuan daripada Umar tanpa menyebutkan nama orang-orang yang mengesyorkannya. Apabila perkara ini dibawa oleh Hafsah, Umar menjadi begitu marah dan berkata:

“Siapakah yang mengesyorkan perkara ini?”

Hafsah menjawab:

“Berikan pendapatmu dahulu”.

Umar:

“Jika aku mengetahui mereka, nescaya aku akan ku tampar muka mereka. Hafsah! Ceritakanlah kepadaku pakaian Rasulullah yang terbaik yang ada di rumahmu?”

Hafsah:

“Sepasang kain kemerah-merahan yang dipakai oleh Rasulullah pada hari Jumaat atau tatkala menerima perutusan”.

Umar:

“Apakah jenis makanan yang terbaik yang pernah dimakan oleh Rasulullah di rumahmu?”

Hafsah:

“Kami makan roti barli biasa. Pada suatu hari daku telah menyapu sekeping roti daripada bekas minyak sapi dan baginda makan dengan penuh selera dan menyungguhkannya kepada orang lain”.

Umar:

“Apakah jenis hamparan tidur yang terbaik yang digunakan oleh Rasulullah di rumahmu?”

Hafsah:

“Sehelai kain tebal. Pada musim panas ia dilipat empat dan pada musim sejuk ia dilipat dua, sebahagian dijadikan selimut untuk menutupinya”.

Umar:

“Hafsah! Pergilah beritahu orang-orang ini bahawa Rasulullah telah menunjukkan satu tauladan peribadinya. Aku mesti ikut teladan itu. Perumpamaan bagi kami bertiga yakni aku, Rasulullah dan Abu Bakar adalah seumpama tiga orang yang bermusafir melalui sebatang jalan yang sama”.

Orang yang pertama (Rasulullah) yang memulakannya dengan perbekalan dan telah mencapai matlamatnya. Yang kedua (Abu Bakar) mengikuti jejaknya dan telah bertemu dengannya. Sekarang orang yang ketiga sedang dalam perjalanan. Jikalau dia menuruti jejak mereka nescayalah dia juga akan bertemu dengan mereka. Jika tidak menyimpanglah dia.

Terlewat kerana membasuh pakaian

Suatu ketika beliau terlewat untuk solat Jumaat lalu beliau memberitahu jemaah :

“Maafkan aku tuan-tuan semua. Aku terlewat disebabkan pakaianku sedang dibasuh dan aku tidak punya pakaian lain”.

Umar dan tepung roti

Suatu ketika beliau sedang menghadapi makanan, seorang sahabat

‘Utbah bin Abi Farqad meminta izin untuk berjumpa dengannya. Beliau mengizinkannya dan menjemputnya makan bersamanya. ‘Utbah pun mulalah makan tetapi roti terlalu kasar sehinggalah beliau tidak dapat menelannya. Beliau pun bertanya:

“Kenapa tuan tidak menggunakan tepung yang lebih baik untuk rotimu wahai Umar?”

Beliau berkata:

“Adakah setiap orang Islam mampu memperolehi tepung yang baik untuk membuat rotinya?”

Lalu ‘Utbah menjawab:

“Tidak. Tidak semua orang Islam mampu untuk berbuat sedemikian”.

Umar berkata lagi:

“Oh! Kamu ingin agar aku mengecapi segala kelazatan ketika aku masih di dunia”.

Begitulah antara kisah mengenai kezuhudan para sahabat nabi. Dengan menjadikan sahabat nabi sebagai contoh, sekurang-kurangnya kita merasa malu untuk berlumba-lumba di antara satu sama lain dalam mengejar kemewahan duniawi.

Wallahu’alam.

Kredit/Endnotes: Akh Kamal Zharif, Akh Mujahid, Halaqah-online, Sirah Sahabat Rasulullah s.a.w, mislimin, muslimat, translators, authors, distributors, readers, etc.

<Jangan menyalakan api untuk membakar musuh anda sedemikian panas, sehingga anda sendiri hangus kerananya.>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

بسم الله الرحمان الرحيم

Kisah Umar dan Seorang Pemuda

Suatu ketika beliau sedang sibuk dengan satu pekerjaan yang penting. Pada ketika itu, datang seorang membawa pengaduan mengenai suatu hal kecil agar beliau dapat menyelesaikannya. Umar r.a lalu memukul bahu pemuda itu sambil berkata:

“Apabila aku duduk untuk menerima perkara tersebut, kamu tidak datang menemuiku tetapi apabila aku sibuk dengan lain-lain perkara yang penting kamu mencelahiku dengan perkara remeh temeh”.

Pemuda itu pun pergi dari situ. Tetapi Umar r.a memanggilnya kembali dan memberinya cemeti lalu berkata:

“Pukullah aku dengan cemeti ini supaya kesalahanku terbalas”.

Pemuda itu berkata;

“Aku maafkan kamu kerana Allah”.

Umar r.a pulang ke rumahnya lalu bersolat taubat dua rakaat serta mencela dirinya sendiri:

“Wahai Umar! Kamu dahulukan hina maka Allah mengangkat darjatmu, kamu sesat tetapi Allah telah memberikan kamu hidayah kepadamu, kamu dulu sangat mengaibkan tetapi Allah memuliakan kamu serta mengurniakan kamu kekuasaan terhadap orang lain. Sekarang apabila salah seorang datang kepadamu mengadu mengenai sesuatu kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya untuk diselesaikan, kamu memukulnya? Apakah jawapan yang akan kamu berikan di hadapan Allah kelak?”.

Beliau menangis begitu lama seperti tangisan kanak-kanak kecil.

Kisah Umar dan Si Ibu Yang Memasak Batu

Suatu hari Umar membuat rondaan biasanya ke Harrah bersama hambanya Aslam. Nun jauh di sana kelihatan suatu cahaya api. Beliau berkata:

“Mungkin di sana ada sebuah khemah. Mungkinkah suatu khalifah yang tidak dapat memasuki Bandar kerana waktu telah gelap. Marilah kita melihat hal mereka dan menguruskan keselamatan yang perlu untuk mereka”.

Apabila tiba di sana didapati seorang wanita dan beberapa orang kanak-kanak sedang menangis. Sebuah periuk berisi air sedang terjerang. Umar menyapanya dengan salam dan dengan keizinan daripada wanita itu beliau datang menghampirinya. Lalu Umar bertanya:

“Mengapa kanak-kanak itu menangis?”.

Wanita itu tidak mengenali Umar dan dia menjawab pertanyaan Umar dengan sedih:

“Mereka lapar”.

“Apakah yang ada dalam periuk?”. Umar bertanya.

“Hanyalah air dijerang bagi mendiamkan kanak-kanak itu agar mereka pergi tidur dengan harapan makanan sedang disiapkan untuk mereka apabila meraka bangun nanti. Ah! Allah akan mengadili Umar pada hari kiamat kelak kerana membiarkan aku dalam kesusahan.”  kata wanita itu.

Umar menangis apabila mendengar kata-kata wanita itu.

“Semoga Allah merahmatimu. Bagaimanakah Umar dapat mengetahui kesusahanmu ini?’.

Wanita itu menjawab:

“Apabila dia menjadi amir kami, dia perlulah tahu mengenai kami”.

Umar pun kembali ke Bandar dan terus ke Baitul Mal. Beliau mengisi tepung, kurma, lemak dan pakaian serta wang dinar ke dalam karung. Apabila telah siap diisi beliau berkata kepada Aslam:

“Sekarang letakkanlah karung ini di belakangku wahai Aslam”.

Aslam enggan lalu menjawab:

“Wahai Amirul Mukminin, biarlah aku sahaja yang memikulnya”.

Umar enggan mendengar kata-kata Aslam malah beliau mendesaknya agar membenarkannya memikul barang itu di atas pundaknya sambil berkata:

“Apa! Mahukah kamu memikul beban dosaku pada hari akhirat? Aku mesti membawa karung ini  kerana aku akan disoal mengenai wanita ini pada hari akhirat kelak”.

Dengan perasaan yang berat Aslam meletakkan barang tersebut di atas belakang Umar lalu bergerak pantas ke khemah wanita tadi. Aslam mengikut beliau dari belakang. Beliau memasukkan sedikit tepung, kurma dan lemak ke dalam periuk dan mengacaunya. Beliau menghidupkan api untuk memasaknya.

Aslam berkata;

“Aku lihat asap melalui celah-celah janggut Umar yang tebal”.

Seketika kemudian masakan tersebut siap. Beliau sendiri yang melayani keluarga itu. Setelah kenyang beliau menyimpan bakinya untuk kegunaan mereka di kemudian hari. Kanak-kanak tersebut sangat gembira setelah memperolehi makanan dan mereka bermain dengan riangnya selepas itu. Wanita itu sangat gembira dan berkata:

“Semoga Allah memberi ganjaran kepadamu kerana kebaikanmu. Selayaknya kamulah yang mengambil tempat Umar sebagai khalifah”.

Beliau duduk seketika di suatu penjuru yang berdekatan sambil memerhatikan kanak-kanak tersebut. Kemudian kembali ke Madinah. Dalam perjalanan pulang beliau berkata kepada Aslam:

“Tahukah kamu Aslam, mengapa aku duduk di situ? Aku telah melihat kesusahan mereka, maka begitulah juga aku mahu melihat mereka riang dan ketawa untuk seketika”.

Menangis dalam Solat

Dikatakan bahawa tatkala Umar mengimami solat Fajar, beliau selalu membaca Surah Kahf, Thaha dan lain-lain surah sambil menangis begitu kuat sehingga kedengaran tangisannya sehingga ke beberapa saf di belakangnya. Suatu ketika beliau membaca Surah Yusuf dalam solat Fajar sampailah beliau ayat 86 yang bermaksud:

“Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui”.

Lantas beliau menangis bersungguh-sungguh sehingga tidak boleh meneruskannya lagi. Dalam solat Tahajjudnya kadang kala beliau akan jatuh dan mendatangkan keuzuran disebabkan terlampau banyak menangis.

Wallahu’alam.

Kredit/Endnotes: Akh Kamal Zharif, Akh Mujahid, Halaqah-online, Sirah Sahabat Rasulullah s.a.w, mislimin, muslimat, translators, authors, distributors, readers, etc.

<Jangan menyalakan api untuk membakar musuh anda sedemikian panas, sehingga anda sendiri hangus kerananya.>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

سم الله الرحمان الرحيم

Saidina Umar Al-Khattab r.a sangat dibanggakan oleh seluruh umat Islam dan sangat digeruni oleh orang-orang musyrikin. Pada awalnya beliau sangat kuat menentang Rasulullah S.A.W dan merupakan seorang musuh Islam yang sangat berani menyeksa orang-orang Islam sehinggalah beliau sendiri memeluk agama Islam.

Peristiwa pengIslaman Saidina Umar Al-Khattab  bermula apabila pada suatu hari orang-orang Quraisy bermesyuarat bagi melantik seseorang untuk menjalankan usaha untuk membunuh baginda Rasulullah S.A.W. Umar menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab itu. Tawaran beliau mendapat sorakan daripada hadirin memandangkan beliau merupakan panglima perang Quraisy yang paling terkemuka dan handal. Umar lantas menggalas pedangnya di tengkuk lalu lalu terus pergi untuk menyelesaikan tanggungjawab tersebut.

Dalam perjalanan, beliau bertembung dengan Saad bin Abi Waqqas r.a dari Bani Zuhrah.

“Mahu ke mana engkau wahai Umar?”

“Aku mahu membunuh Muhammad!” jawab Umar.

“Tidakkah engkau sedar bahawa Bani Hashim, Bani Zuhrah dan Bani

Abdul Manaf akan bertindak balas membunuhmu”.

Umar tersinggung dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh Saad lalu menghunus pedangnya. Saad juga bertindak sedemikian untuk mempertahankan nyawanya sambil mengisytiharkan keIslamannya.

Pertarungan hampir tercetus dan pada ketika itu Saad berkata:

“Terlebih dahulu kamu perbetulkan urusan keluargamu. Adik  perempuanmu dan iparmu telah memeluk Islam”.

Mendengar sahaja berita itu, kemarahan Umar meluap-luap dan beliau menukar langkah untuk menuju ke rumah adiknya. Pintu rumah adiknya dikunci dari dalam dan kedua-dua adiknya sedang menerima pengajaran Al-Quran daripada Khabbab r.a. Umar mengetuk pintu dan memanggil adiknya supaya membuka pintu.

Mendengar suara Umar, Khabbab r.a terus menyembunyikan dirinya dalam sebuah bilik. Beliau terlupa untuk membawa lembaran-lembaran Al-Quran. Apabila pintu dibuka, Umar terus memukul adiknya sambil berkata:

“Wahai musuh kepada musuhmu sendiri. Kamu juga telah meninggalkan agama datuk nenek moyang kamu. Apa yang telah  kamu lakukan? Siapakah pemilik suara asing yang aku dengar dari luar sana?’’.

Adik iparnya menjawab:

“Kami sedang bercakap antara satu sama lain”.

Umar bertanya kepadanya:

“Adakah kamu juga meninggalkan agama nenek moyang kamu dan memeluk agama baru itu?”.

Adik iparnya menjawab:

“Tetapi apa salahnya sekiranya agama yang kami anuti itu lebih baik dan benar?’’.

Apabila mendengar sahaja jawapan daripada adik iparnya itu, Umar bertambah menyinga lalu memukulnya, menarik janggutnya dan membelasahnya dengan teruk. Apabila adik perempuannya mencelah, dia memukul muka adiknya begitu kuat sehingga mengalir darah dengan banyaknya. Adiknya meluahkan perasaannya:

“Umar, kami dibelasah hanya kerana kami menjadi seorang muslim.   Dengarlah! Bahawa kami berazam untuk mati sebagai seorang Islam. Kamu bebas melakukan apa sahaja terhadap kami kerana Allah sentiasa berada bersama kami”.

Dia berasa menyesal dengan perbuatannya apabila melihat adiknya berlumuran darah. Matanya terpandang lembaran Al-Quran yang tidak sempat dibawa oleh Khabbab r.a. Lalu beliau cuba untuk mengambil lembaran Al-Quran untuk melihat apakah kandungannya.

Adiknya berkata:

“Tidak! Badanmu bernajis dan tidak seorang pun yang bernajis dibenarkan untuk menyentuh Al-Quran”.

Umar mendesak ingin menyentuhnya tetapi adik perempuannya enggan membenarkan tindakannya kecuali beliau membersihkan dirinya terlebih dahulu. Akhirnya Umar akur.

Setelah beliau mandi beliau mula membaca lembaran tersebut dan surah yang dibacanya ialah Surah Thaha. Beliau memulakannya daripada awal. Apabila sampai kepada ayat berikut, pemikirannya bertukar sama sekali:

“Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak ada Tuhan selain Aku kerana itu, sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku”.

(Surah Thaha : ayat 14)

Lantas Umar bersuara:

“Baiklah bawakan aku berjumpa Muhammad”.

Apabila mendengar kata-kata ini, Khabbab pun keluar dari tempat persembunyiannya dan berkata:

“Wahai Umar! Berita gembira untukmu. Semalam Rasulullah s.a.w telah berdoa kepada Allah; “Ya Allah! Perkuatkanlah Islam melalui Umar atau Abu Jahal, sesiapa yang Engkau kehendaki”.

Nampaknya doa Rasulullah ini diperkenankan untukmu”.

Umar pun pergi menemui Rasulullah s.a.w lalu terus memeluk Islam pada pagi Jumaat. PengIslaman Umar memberikan pukulan hebat kepada semangat orang-orang musyrikin. Namun begitu bilangan umat Islam masih kecil untuk mengimbangi seluruh negeri yang memusuhi mereka. Orang musyrikin melipatgandakan usaha mereka untuk menghancur leburkan dan melenyapkan Islam sama sekali. Dengan kehadiran Umar r.a, orang Islam telah mula berani untuk menunaikan solat di Tanah Haram.

Abdullah bin Mas’ud berkata:

“PengIslaman Umar adalah satu kejayaan yang sangat besar. Penghijrahannnya ke Madinah menambahkan kekuatan dan pengkhalifahannya mendatangkan sebesar-besar rahmat kepada orang Islam”.

Wallahu’alam.

Kredit/Endnotes: Akh Kamal Zharif, Halaqah-online, Sirah Sahabat Rasulullah s.a.w, mislimin, muslimat, translators, authors, distributors, readers, etc.

<Jangan menyalakan api untuk membakar musuh anda sedemikian panas, sehingga anda sendiri hangus kerananya.>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء


بسم الله الرحمان الرحيم

Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab r.a., terdapat sepasang suami isteri yang selalu bertengkar dan bergaduh. Si isteri tidak henti-henti membebel. Sedang memasak pun dia membebel, sedang membasuh pun dia membebel, sedang tidur pun kalau boleh dia nak juga membebel.

Si suami tidak tahan dengan perangai isterinya yang sangat suka membebel. Dia pun marah balik isterinya kerana membebel. Si isteri pula menjawab. Si suami mula meninggikan suara.

Dari situlah mereka bertengkar dan bergaduh saban hari. Lama kelamaan si suami merasakan yang isterinya sudah melampau. Memandangkan keadaan rumahtangga mereka semakin parah, si suami pun mengambil inisiatif untuk pergi berjumpa dengan Saidina Umar untuk mengadu kelakuan isterinya.

Sebaik sahaja tiba di rumah Saidina Umar, si suami terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel di dalam rumah. Tetapi tidak terdengar pula suara Saidina Umar membalas. Mendapati isteri Saidina Umar pun begitu, si suami tidak jadi hendak mengadukan hal isterinya. Katanya dalam hati, kalau isteri Khalifah pun begitu, apatah lagi isteriku.

Ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Saidina Umar memanggilnya dan bertanya, “Apa hajat kamu datang ke mari?”

Si suami tadi menjawab, “Aku datang hendak mengadu hal isteri aku, tapi aku lihat isterimu pun berkelakuan demikian terhadapmu.”

Saidina Umar tersenyum lalu berkata, “Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, bersabung nyawa melahirkan zuriat untukku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri).”

8)
Wallahu’alam.

<Aduhai teman, tidakkah kau sedar bahawa dunia ini hanyalah suatu persinggahan? Maka, perlulah kita bersegera kembali kepada hakiki. Menuai bekalan bagi menempuh perjalanan ke negeri abadi itu… Sesungguhnya teman, persinggahan ini cumalah satu… sekali sahaja… hanya satu tiket, satu perhentian… bangunlah, usah kita terus terleka dalam mimpi yang sementara ini…>

بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

بسم الله الرحمان الرحيم

SAIDINA Umar tidak pernah mendapat pendidikan sekolah, apa lagi merantau ke pelosok negeri untuk menuntut ilmu atau hidup di kalangan ahli pemikir. Tetapi dia berjaya memberi contoh kepada kaumnya dalam mengurus pemerintahan dan kekuasaan yang penuh dengan keadilan, kebijaksanaan, keutamaan dan berlandaskan fiqh (hukum) Islam.

Sebelum memeluk Islam, Umar dikenali di kalangan kaumnya sebagai utusan yang mampu berdiskusi, berdialog dan menyelesaikan pelbagai urusan. Dia juga pedagang yang mahir dan tekun dalam perdagangannya.

Umar dikenali sebagai orang yang mempunyai peribadi kasar, kukuh dalam memegang prinsip dan berkedudukan tinggi. Oleh kerana itulah dia digelar Al-Faruq Umar Ibnul Khattab.

Selepas memeluk Islam, Umat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya, Rasulullah, mengapa kita bersembunyi dalam menyiarkan agama kita, pada hal kita berada di atas kebenaran dan mereka (kaum kafir) kebatilan?”

Rasulullah SAW menjawab: “Jumlah kita sedikit dan kamu dapat melihat sendiri apa yang selalu kita alami.”

Umar berkata lagi: “Demi yang mengutus engkau dengan hak, akan berjanji bahawa tiap-tiap tempat yang pernah aku sebarkan kekafiran, akan aku datangi untuk menyebarkan keimanan.”

Pada suatu hari Rasulullah SAW bersama kaumnya menuju Kaabah dengan dua barisan. Barisan pertama dipimpin oleh Hamzah dan kedua dipimpin oleh Umar. Ketika melihat barisan yang dipimpin oleh Hamzah dan Umar, kaum kafir tampak muram dan kecut hatinya. Maka, sejak itul Rasulullah SAW memberi gelaran “Al-faruq” bererti “pembeza di antara hak dengan batil” kepada Umar.

Ketika kaum Muslimin hijrah ke Madinah, mereka seluruhnya meninggalkan kota Makkah secara sembunyi-sembunyi kecuali Umar. Hanya Umar yang hijrah secara terang-terangan.

Dia sengaja pergi pada siang hari dan melalui gerombolan Quraisy. Ketika melalui mereka, Umar berkata: “Aku akan meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah. Barang siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghadang aku di belakang lembah ini!”

Mendengar perkataan Umar yang gagah itu, tidak seorang pun yang berani mengekori apa lagi mencegah Umar.

Itulah kekuatan yang dimiliki Umar sejak awal keimanannya hingga dalam mengharungi seluruh kehidupannya.

Pada zaman seperti ini, alangkah perlunya kita memiliki orang seperti Umar. Kuat jiwa raganya dan kukuh keperibadiannya. Kerana Allah senang kepada orang yang berjiwa kuat dan benci kepada orang berjiwa lemah.

Apa yang dapat membangkitkan kejayaan Islam adalah apa dan bagaimana yang pernah dikerjakan kaum Muslimin terdahulu.

Ketokohan Umar turut terserlah ketika peristiwa Siti Aisyah difitnah. Rasulullah SAW bermusyawarah dengan beberapa tokoh sahabat untuk meminta pandangan mereka.

Ketika Baginda berbicara dengan Umar, dia berkata “Ya, Rasulullah, siapakah yang mengahwinkan Rasulullah dengan Aisyah?” Nabi SAW menjawab: “Allah”.

Umar bertanya lagi: “Apakah Allah menipu anda?”

“Maha suci, Engkau, ya, Allah, sesungguhnya ini berita bohong yang besar,” ucap Rasulullah SAW.

Selepas Baginda mengucapkan itu, turunlah firman Allah bermaksud: “Dan mengapa kamu tidak berkata, waktu mendengar berita bohong itu: “Sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini. Maka Suci Engkau (Ya Rabb kami), ini adalah dusta yang besar.” (Surah an-Nuur, ayat 16).

Sekian.

Kredit:

akhi Mujahid

ســـــــم الله الرحمان الرحيم

Satu kisah abadi dalam lipatan sejarah yang menunjukkan betapa tingginya nilai kasih sayang dalam membentuk masyarakat yang sejahtera ialah kisah yang berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Islam, Khalifah Umar ibn al-Khatab. Khalifah Umar terkenal sebagai pemimpin yang sangat mencintai rakyatnya. Kepekaan hubungannya terhadap rakyat jelata khususnya fakir miskin sangat luar biasa.

Pada suatu malam beliau seperti biasa meronda di sekitar Madinah. Beliau melakukan rondaan malam bagi mengetahui keadaan rakyatnya. Tiba-tiba pandangannya tertumpu ke sebuah pondok di pinggir kota Madinah. Dari dalam pondok itu terdengar rintihan seorang wanita.

Segera Umar menghampiri tempat itu. Di pintu pondok ada seorang lelaki yang sedang duduk termenung. Ternyata beliau adalah suami kepada wanita yang sedang mengerang kesakitan kerana hendak melahirkan. Wanita ini sedang bertarung nyawa sementara suaminya berada dalam kebingungan kerana tidak tahu apa yang hendak dilakukan untuk menolong isterinya. Rupa-rupanya pasangan suami isteri ini bukanlah penduduk asal kota Madinah tetapi orang asing yang sedang merantau tanpa sanak saudara.

Melihat situasi ini, Khalifah Umar segera pulang menemui isterinya, Ummu Kalthum lalu berkata: “Mahukah engkau mendapat pahala yang dibukakan kesempatannya oleh Allah SWT bagi kita? Mahu, jawab isterinya. Seorang wanita musafir sedang sarat mengandung dan sedang menanti saat melahirkan tetapi tiada orang yang datang menolongnya, kata Umar. Jika anda mahu, saya pasti akan menolongnya,” sahut isteri Umar.

Umar segera menyiapkan perbekalan dan bahan-bahan yang diperlukan seperti tepung gandum, minyak samin, lembaran kain untuk membalut bayi dan sebagainya. Sambil mengajak isterinya, Umar memikul sendiri periuk dan tepung gandum di bahunya. Bersama isterinya beliau menuju pondok pasangan suami isteri tadi.

Ummu Kalthum terus masuk ke dalam pondok untuk membantu wanita yang akan melahirkan itu. Manakala Saidina Umar pula segera memasang tungku, kemudian meletakkan periuk di atasnya dan menyalakan api di bawahnya. Umar bersiap sedia memasak makanan bagi wanita yang akan melahirkan sementara suami wanita itu berada di sisi Saidina Umar sambil memerhatikan perbuatan lelaki asing yang menolongnya dengan rasa penuh syukur dan terima kasih.

Suami wanita itu sama sekali tidak mengetahui siapa penolong yang baik hati itu. Di dalam hatinya ia berkata, “Lelaki ini lebih layak menjadi khalifah daripada Umar bin Khattab!” Tiba-tiba terdengar dari dalam pondok tangisan bayi. Rupanya ibu itu sudah selamat melahirkan bayinya. Bukan main gembira hati si ayah yang menunggu di luar pondok.

Tidak lama kemudian terdengar suara keras dari Ummu Kalthum, “Hai Amirul Mukminin, sampaikanlah berita gembira kepada sahabatmu itu, ia dianugerahkan Allah seorang anak lelaki”. Mendengar ungkapan itu, barulah disedari oleh lelaki berkenaan bahawa orang yang menolong keluarganya ialah pasangan suami isteri pemimpin kaum Muslimin, lalu gementarlah seluruh tubuhnya akibat rasa terkejut yang amat sangat.

Selepas selesai semua urusan dan sebelum berlalu, Umar berpesan kepada si suami tadi, “Pagi nanti datanglah menemui saya di Kota Madinah. Saya akan memberikan bekalan kepada anda dengan wang dari Baitulmal, sekadar bekal bagi anda dan akan saya keluarkan hak bayi ini”.

Demikianlah contoh seorang isteri yang sedia membantu suaminya tanpa mengira waktu untuk menolong mereka yang berada dalam kesulitan. Inilah hasil tarbiyah iman dan Islam sehingga mampu melahirkan suatu masyarakat Islam yang tiada tandingan.

Subhanallah 🙂